Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)

Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Ahad, Ogos 27, 2006
Surat Untuk Takdir: Rhapsody Selatan

Dalam bungkam, aku menulis kekecewaan itu dengan kata-kata yang dengan tujuan untuk mencabar takdir itu. Apakah pengertian takdir yang sebenarnya? Adakah takdir itu benar-benar tidak boleh diubah?

Dan aku mengirimkan satu mesej kepada Dragonizer, yang sudah lama tidak kukunjungi. Dan aku menyampaikannya secara rahsia, mencabar segala prinsip penulisan yang sedia ada.

"Maka, adakah anda sudah benar-benar bersedia?" Dragonizer meminta pandanganku terhadap diriku sendiri.

"Aku sudah bersedia."

"Dan apakah takdir itu bagi diri anda?"

"Takdir itu adalah untuk diubah. Jika tidak ada orang yang berdaya mengubahnya, maka aku adalah orang pertama untuk mengubahnya?"

"Dan dengan apa anda akan mengubahnya?"

"Dengan tekadku, dan dengan api dendam yang menyala-nyala. Dan dengan keangkuhanku yang terpendam. Dan dengan hati yang penuh dengan dingin yang lebih landai dari tangisan salji."

"Dan anda mahu kembali kepada asalnya? Tahukah kenapa anda kuberikan nama Romantis Selatan?"

"Aku masih ingat. Kesopanan dan untuk melembutkan hatiku, redha dengan takdir."

"Dan hari ini anda mahu menentang takdir itu kembali. Adakah nama Romantis Selatan itu sesuai dengan diri anda?"

"Tidak. Aku akan kembali kepada sifat asalku. Ganas. Angkuh. Memburu kejayaan. Menghapuskan saingan. Membunuh dan terus membunuh!"

Dragonizer mengeleng-gelengkan kepalanya. Tidak bersetuju.

"Anda mahu menjadi perfectionis?"

"Itu tidak penting. Yang penting adalah untuk mengubah takdir itu. Aku mahu takdir itu tunduk kepadaku."

"Ada satu perkataan gabungan yang kuciptakan khas untuk anda. Adakah anda mahukan perkataan ini untuk menggantikan diri anda yang lama?"

"Apakah perkataan itu?"

"Ratio-Perfecti"

"Apakah sifatnya perkataan ini?"

"Secara rasionalnya, untuk anda mencipta kesempurnaan dalam diri anda. Dengan cara baru memikul prinsip baru. Lebih hebat dari prinsip jiwa naga. Lebih dingin dan lebih bersemangat. Seperti hembusan ribut salji yang memadamkan kepanasan neraka dunia."

"Aku akan menghayatinya, sepenuhnya. Sempurna."

"Dan anda anda mahukan sifat ini. Ratio-Perfecti?"

"Ya."

"Maka mulai hari ini anda akan dikenal dengan nama ini... Rhapsody Selatan. Dari Selatan, kau mengubah sifatmu sekali lagi. Kali ini dengan sifat Ratio-Perfecti."

"Lebih tegas dan garang."

"Lebih tegas dan garang."

"Rhapsody Selatan..."

Rhapsody Selatan. Itulah identitiku... lebih tegas... lebih garang.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 10:27 PTG   0 comments
Lahirnya Yang Paling Kuat...

dan sirkel kaca itu telah terhempas ke lantai
tanpa menghiraukan sebarang risiko
rama-rama itu mula mengibaskan kepaknya...

perlahan-lahan rama-rama itu terus terbang ke arah matahari
yang sedang terik memancarkan cahayanya
kesunyian dan kebosanan hidup menyebabkan rama-rama itu
semakin hari semakin nekad

pertama,
untuk menghapuskan penghinaan yang diterimanya
kedua,
untuk mencapai cita-citanya
ketiga,
untuk menghiasi nesannya dengan bunga-bunga sunyi
keempat,
untuk menghidupkan kembali apa yang telah buta dan kabur...

rama-rama itu terbakar menjadi abu,
abu itu terus meninggalkan bekas dan kesan...

pada ketika itu munculnya pheonix
menjulang ke langit
menjelma sebagai garuda emas
dan garuda emas itu terus bangkit
memikul prinsip jiwa naga
tegas dan garang

gelombangnya menyemarakkan dunia
dan melampaui kokun yang mengurung dirinya

apakah yang telah berlaku?
demi mencipta dirinya yang paling kuat
demi memecahkan semua permasalahan dan rintangan...

garuda emas melaungkan cabaran
melihat kemusnahan

Nyawa jadi taruhan
hidup atau mati

perjuangan itu telah bermula

masa semakin hari semakin singkat.
semakin singkat.
semakin tercedera.
semakin parah.

namun semangat itu semakin kuat.
mengatasi daya upaya fizikalnya
seolah-olah jasad itu tidak penting lagi

dan ini adalah surat untuk takdir...
penghujung cerita
menamatkan bahagian kedua...

..secara rasminya...

dan apabila roh itu telah terlerai dari jasad
satu roh yang lain mengisi jasad itu

bergerak dalam suasana serba baru

sukar diramalkan
sukar ditamatkan
sukar rebah

tiada penghujungnya.

api-api terus mengalir
memadamkan kebisuan

tanah-tanah terus diinjak
mematahkan jeriji besi yang menghalang
meleburkan tembok emas

dan mata itu terus merenung ganas
tidak ada belas kasihan lagi

mempertaruhkan segala-galanya.

sama ada kegagalan.
atau kejayaan.

menutup segala penghinaan itu.

mencipta pesona angkuh.
merubah sifatnya.
dan api dendam terhadap penghinaan yang berterusan
juga terhadap kesunyian yang menjadi temannya

suatu ketika
pada zaman akan datang
akan bertemankan tempik laung
dan gegaran

menghembuskan nafas serba berbisa
dengan hati yang telah disakiti
mengubah takdir yang tertetap

dan meletakkan kematian sebagai tali tunggal
putus tali itu
mati

ini adalah api yang bangkit
terus menerus menulis
dan menghancurkan lidah bangsawan
mematahkan pena-pena intelektual yang takbur

api yang terhembus dari nafas jiwa naga
yang mengiringi kemunculan garuda emas

dari selatan terus mengembara
ke timur
ke barat
ke utara

mengajar semua keporak-peranda
tentang erti menguburkan sebuah keranda
menyuburkan segenap rindu di dada

lalu api terus membakar bintang-bintang
yang menyinari lapangan kesat itu
dan dari tanah yang telah bongkang maruahnya
di bakar sehingga tandus.

tidak ada penamat untuk satu perjuangan
kematian dan kehidupan menjadi satu.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 9:39 PTG   0 comments
Pelajar Itu Meletup Malam Ini!

Hari ini kelas tamat sekitar jam 10 malam. Seorang pelajar telah meletup dengan pensyarah berjanggut penyapu itu.

Pada malam ini tidak ramai pelajar yang datang. Kebanyakannya sudah tarik diri untuk subjek ini. Cuma tinggal baki beberapa orang pelajar yang masih setia dan tabah untuk menghadiri kelas ini.

Pelajar itu, yang berasal dari Melaka merungut-rungut di dalam kelas. Dia bertanya kepada pensyarah macam mana hendak faham apa yang diajarnya.

Pensyarah bertanya: "Kenapa kamu tak faham, pelajar lain boleh faham?"

Pelajar-pelajar lain termasuk saya, ketawa. Sebenarnya semua pun tidak faham. Cuma tidak meletup sahaja.

Pensyarah mengulang-ngulang ayat: "Bukan senang... bla bla bla.... Belajar bukan senang... Kena rajin... bla bla bla. Kena tafsir. Bila kamu rajin berfikir Tuhan akan datangkan dalam mimpi kamu."

Pelajar itu bertanya: "Bagaimana cara hendak....?"

Pensyarah mengulang-ngulang ayat: "Bukan senang... bla bla bla.... Belajar bukan senang... Kena rajin... bla bla bla. Kena tafsir. Bila kamu rajin berfikir Tuhan akan datangkan dalam mimpi kamu."

Pelajar itu bertanya: "Bagaimana cara hendak....?"

Dan proses itu berterusan tanpa ada penyelesaian yang secara nyata sehingga ke jam 10 malam.

Pelajar itu terus meletup. Esok saya tahu akan ada pelajar yang tidak akan datang ke kelas. Itu boleh diduga menerusi pengalaman saya.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 12:11 PG   2 comments
Jumaat, Ogos 25, 2006
Gu Du Bu Ku - Kesunyian Bukan Satu Kepahitan



Bagaimana sunyinya sekarang?
Apakah erti kesunyian?

Lagu "Loneliness is Not Bitter" adalah dendangan penutup untuk entri malam ini.

Semakin sunyi, semakin mahu saya menulis.

Matematik?

Esok saya akan menghabiskan separuh hari saya dengan Matematik, dengan pensyarah berjanggut penyapu itu.

Malam ini adalah malam untuk menghayati maksud di sebalik kesunyian.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 10:18 PTG   2 comments
Kesunyian Terus Mengapit Minda

Hari ini saya rasa kurang sihat. Pagi tadi saya ke kelas seperti biasa. Oh, terlupa. Sudah ada satu entri pada siang tadi. Nampaknya, hari ini sudah dua entri tertulis di sini.

Topik saya hari ini masih berkisarkan kesunyian. Ya, kesunyian. Di kolej, program-program pelajar penuh setiap minggu. Boleh dikatakan tidak ada rehat. Saya pula sibuk dengan kelas hampir setiap hari dalam satu minggu. Tidak sempat mengikuti mana-mana program.

Terhalang dengan kelas. Terhalang dengan kelas. Kelas, kelas, kelas dan kelas.

Kelas, kelas, kelas dan kelas.

Sekali lagi, kelas, kelas kelas dan kelas.

Bosan.

Tidak menarik.

Paling saya tidak suka. Seorang pensyarah itu. Ya, pernah saya ceritakan sebelum ini mengenai seorang pensyarah yang suka bercakap dengan papan putih.

Pensyarah ini tidak berani bertentang mata dengan para pelajarnya. Jika dia berpaling menghadap pelajar, matanya akan melihat ke bawah. Saya sendiri tidak tahu kenapa.

Adakah dia rasa bersalah? Sebab dia telah memutarbelitkan jadual kelas pelajar. Kelas dibatalkan dan digantikan pada hari yang lain. Sabtu dan Ahad semakin padat dengan jadual.

Ramai pelajar merungut. Ada pelajar yang datang dari Batu Pahat, Kota Tinggi, Muar, Pahang dan lain-lain negeri tidak bersetuju dengan tindakan ini. Bukan senang hendak datang ke kelas dan balik pada malam hari. Jarak perjalanan yang jauh.

Pensyarah pula bila datang mengajar, terus mengajar tanpa menghiraukan pelajar. Tidak kisah pelajar faham atau tidak. Yang dia kisah, batalkan kelas dan tunda ke tarikh lain sehingga mengganggu jadual waktu pelajar. Bukan kelas dia sahaja yang ada pada hari itu.

Apa yang dia ajar, satu apa pun tak faham! Ramai pelajar pening. Ada pula yang selepas masa rehat, tidak masuk ke kelas. Perlu rehat untuk pandu kereta pulang ke rumah.

Cuba bayangkan satu hari ada 10 jam kelas. Kelas dia sahaja. Petang kelas dia, malam pun kelas dia. Pagi kelas dia, petang pun kelas dia.

Apa nak jadi!

Label:

posted by Romantis Selatan @ 8:57 PTG   0 comments
Dan Hari Ini Tugasan Berkulit Biru itu...

Pagi ini, lif rosak lagi. Saya menunggu dari tingkat teratas blok kolej. Lif tersangkut di tingkat tiga. Jadi terpaksa menggunakan tangga lagi.

Saya berhajat untuk menaiki bas yang disediakan, tetapi untuk tujuan itu saya harus berjalan mendaki bukit di seberang jalan. Maka saya berjalan kaki seperti biasa. Tidak ada masalah apa pun sebenarnya.

Hari ini di dalam kelas, pensyarah itu memulangkan sendiri tugasan saya. Saya melihat markahnya. 3.5 daripada 4.

Esok sekali lagi saya akan dilanda dengan kesibukan kelas. Saya ingin menyertai program hari minggu untuk menghilangkan kebosanan. Namun, hidup ini agak membosankan bukan?

Sepanjang masa dengan akademik, intelektual dan sebagainya. Saya mahukan aktiviti yang lebih bersifat riadah. Sesuatu yang boleh bawa saya keluar dari lapangan mentelaah pelajaran. Saya inginkan sesuatu kelainan.

Hidup semakin tidak menarik.

Malam tadi saya menelefon seorang kawan lama. Dia bukan pelajar sekelas dengan saya. Dia mengambil bidang kejuruteraan dan kini bekerja di Sabah sebagai seorang jurutera.

Saya bertanya khabar menerusi SMS.

Dia membalas dan menghantar SMS kepada saya:

"Tak ada awek dekat sana yang boleh aku mengurat. Bosanlah dekat sini. Tak ada yang tersangkut. Mungkin Aku memilih sangat. Aku tengah gersang ni. Makin lama makin berdosa aku dekat sini."

Saya ketawa dan membalas:

"Samalah dekat sini. Semua budak-budak siswi junior perangai macam budak kecik. Kau nak tak?"

Dia membalas:

"Budak kecik buat apa!"

Saya menghantar SMS, bergurau lagi:

"Dengar kata dekat sana ada Anak Dara Orang Sungai. Aku baca dalam Mastika dulu-dulu. Kau tak cuba mengurat buat bini? Kalau lebih bagi dekat aku. Hehehe."

Kali ini dia membalas dengan...

"Dekat sini kalau nak dapat anak dara memang senanglah. Ada ayah dia orang support bagi duit untuk call anak dara dia orang. Aku pernah main dengan perempuan. Kontraktor yang belanja!"

Seperti kejutan elektrik menyambar ke jantung saya. Dia ni berguraukah? Bergurau agaknya.

"Kau main apa dengan perempuan tu?"

Dia membalas:

"OKlah, aku nak tidur dulu. Dekat sini awal satu jam. Dekat sana pukul 10 malam, sini dah pukul 11 malam. Esok aku nak kerja. Assalamualaikum."

Saya menghantar SMS terakhir untuk malam itu, membalas salamnya. Saya harap dia bergurau. Saya teringat zaman dahulu, dia jugalah rakan yang sering berbuka puasa bersama dengan saya. Berpuasa pada hari Isnin dan Khamis semasa di kolej. Beberapa tahun lepas. Sering pergi bersama saya ke masjid atau ke surau untuk solat berjemaah, Maghrib dan Isyak.

Sering bercakap mengenai hal-hal agama. Malah saya rasa dia lebih arif dalam bab-bab agama berbanding saya. Tak mungkinlah. Saya berharap itu sekadar gurauan.

Saya tertanya-tanya lagi.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 12:43 PTG   0 comments
Khamis, Ogos 24, 2006
Tertanya-tanya

Saya tidak tahu apa yang menyebabkan hari-hari terakhir dalam bulan Ogos ini begitu sunyi. Saya cukup rindu akan sesuatu. Cukup ingin mengingati hari lalu. Setiap petang, ketika matahari sudah hampir terbenam, saya akan melihat dari tingkap bilik asrama.

Mendengar suara-suara kanak-kanak bermain di padang sana. Juga melihat deretan motosikal dan kereta yang baru pulang dari bekerja.

Dalam kelas petang tadi, pensyarah itu memberitahu mengenai tempoh tarik diri. Pelajar-pelajar yang mendapat markah terkumpul pada nilai yang rendah digalakkan untuk menarik diri bagi menjaga kedudukan mereka di universiti.

Kelmarin, dia memulangkan kertas-kertas ujian. Sesiapa yang tidak mendapat kertas ujian bermaksud markahnya teruk dan akan dipanggil bertemu dengannya. Saya mendapat kembali kertas ujian saya. Di belakang saya, ramai pelajar yang tidak mendapat kertas ujiannya. Ada yang sudah merah matanya. Risau dengan pencapaiannya.

Saya walau bagaimana pun tidak berpuas hati dengan markah saya. Pensyarah mengatakan sesuatu kepada saya. "Cuba lagi." Atau saya tersalah dengar? "Usaha lagi?"

Hari ini, selepas memberi taklimat mengenai tarik diri. Pensyarah memberitahu bahawa dia akan memulangkan semua markah ujian dan tugasan supaya pelajar-pelajar boleh menarik diri sekiranya markah yang diperolehi adalah rendah.

Pensyarah memulangkan kertas tugasan. Semua kumpulan mendapat tugasan masing-masing yang telah ditanda. Saya menanti tugasan saya yang berkulit biru itu dipulangkan. Satu demi satu kumpulan mendapat tugasan masing-masing. Tugasan saya tidak dipulangkan. Pensyarah melihat tugasan saya sebelum meletakkan di atas meja.

Tugasan itu saya buat secara bersendirian. Tidak ada ahli kumpulan. Memandangkan tajuknya lebih kurang sama, saya cuma perlu menggunakan tugasan yang pernah saya buat dahulu. Pada semester yang terdahulu, ketika kali pertama saya mengambil subjek ini dengan pensyarah ini.

Pensyarah itu memberitahu. Jika pelajar tidak mahu tarik diri dan masih yakin untuk mampu mendapat A walaupun markah terkumpul terlalu rendah, mereka masih boleh mencuba pada peperiksaan akhir. Pensyarah kata jika markah peperiksaan terakhir lebih daripada 40/50, dia akan berikan A walaupun markah terkumpul untuk subjek yang diajarnya itu sebelum ini adalah rendah. Saya tersenyum.

Kelas berlangsung seperti biasa.

Habis waktu kelas, pensyarah menyusun bahan-bahan pengajarannya. Buku tugasan saya yang berwarna biru itu diletakkannya paling atas antara bahan-bahan lain. Dia berlalu pergi, keluar dari kelas.

Saya tertanya-tanya.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 8:09 PTG   0 comments
Rabu, Ogos 23, 2006
Sahabat Lama

Semalam, seorang rakan baik saya menghubungi saya. Dia sudah pun berkahwin, jadi saya pun sudah tidak menghubunginya lagi. Dia ingat saya sudah tamat pengajian dan pada malam itu dia ingin meminta bantuan saya.

Saya belum tamat pengajian. Saya masih di sini. Di Selatan. Sudah lama tidak mendengar suara dia. Dulu, dia adalah teman rapat saya. Seorang wanita. Kami berkawan baik. Banyak masalah yang saya kongsi bersama dia.

Sebagai menghormati persahabatan kami. Saya tidak lagi menghubunginya selepas perkahwinanannya.

Kebetulan saya sekarang, cukup sunyi. ya. Sudah lama tak dengar khabar kawan-kawan lama. Budaya budak-budak zaman sekarang berbeza. Cukup berbeza. Saya rasa ini adalah gelombang budaya baru. Saya cukup bosan keseorangan di sini.

Petang-petang akan ada sahabat baik saya, menjual karipap, nasi lemak dan hot dog. Selalunya dia akan singgah ke bilik saya. Memberikan karipap, hot dog atau nasi lemak percuma. Kadangkala saya tidak buka pintu. Segan juga untuk menerima pemberian itu, tetapi dia akan mengetuk pintu bilik saya.

Kawan lama saya yang seorang lagi menghubungi saya. Katanya ingin mendapatkan tarikh paling sesuai untuk 'reunion'. Ini sepatutnya 'reunion' yang kedua.

Saya inginkan sesuatu yang menarik. Baru-baru ini saya sempat menghadiri malam puisi anjuran pelajar-pelajar kolej. Cukup tidak selesa dengan bunyi bising pelajar-pelajar. Pelajar hari ini sudah begitu sosial. Semasa orang sedang membacakan puisi, mereka berborak, bergurau dan sekejap berjalan-jalan beralih tempat.

Seorang pelajar junior yang berbadan gemuk dan tinggi duduk di depan saya, menghalang penglihatan saya. Dia tidak menghayati puisi, sebaliknya berbual dengan kawan-kawannya. Lihatlah junior zaman sekarang. Sebenarnya mereka tidak tahu saya adalah seorang senior. Mereka tidak percaya bila saya kata saya sudah tahun akhir. Saya cuma mendiamkan diri.

Apa yang kelakar dan pada masa yang sama menimbulkan kemarahan saya ialah ada seorang pelajar junior yang rasa dirinya cukup betul dan sering memperbetulkan saya. Pelajar junior ini kata dia tidak pernah dipukul oleh bapanya. Pernah suatu ketika, bapanya bertemu dengan seorang guru kerana merotan dia. Sebab itu dia jadi macam itu.

Cuba bayangkan, bila dia cuba perbetulkan umur saya, memperbetulkan tarikh lahir saya. Seolah-olah saya lupa tahun bila saya dilahirkan.

Budaya budak-budak zaman kini tidak sama macam dulu. Saya semakin rindukan zaman itu.

Cukup sunyi...

Label:

posted by Romantis Selatan @ 7:28 PTG   2 comments
Selasa, Ogos 22, 2006
Pensyarah Dipanggil Cikgu

Saya cukup pelik dengan pelajar-pelajar junior zaman sekarang. Ada banyak soalan yang kadangkala mencuit hati. Mereka memanggil pensyarah sebagai cikgu. Dulu saya ingat, mereka bercakap mengenai cikgu sekolah atau semasa di matrikulasi, rupa-rupanya semua pensyarah mereka panggil cikgu.

Begitu juga di dalam kelas, apabila ada perkara yang hendak ditanya, mereka akan tanya cikgu di depan tu. Pensyarah terbeliak mata.

...dan...

pada minggu ini saya nampak nama saya ditaip dalam senarai kehadiran pelajar. Tidak perlu lagi menulis namaku...
posted by Romantis Selatan @ 8:27 PTG   4 comments
Khamis, Ogos 17, 2006
Kau Laksana Bulan: Romantis Selatan dan Adrianna

Pada ketika itu, saya telah berada di suatu tempat yang berwarna putih. Saya tidak tahu apakah tempat ini. Cahayanya cukup terang. Di satu tempat ada sebuah meja dan sebuah kerusi. Ada sebuah laptop dan buku. Di atas kerusi itu duduk seorang gadis.

Gadis itu termenung sendirian. Seolah-olah merenung. Merenung masa depannya barangkali. Merenung... takdir? Barangkali.

Saya mendekatinya.

"Oh?" Gadis itu terkejut. Dia memandang saya.

"Maafkan saya. Cik, tahu di mana saya berada sekarang?"

"Ah, ini. Ini adalah dunia novel. Ini adalah dunia novel Kau Laksana Bulan." jawab gadis itu sambil tersenyum. Senyumnya memikat hati.

"Ya? Cik ini..."

"Saya Adrianna. Watak utama dalam novel ini. Saya seorang..."

"Penulis novel yang masih mencari jodohnya. Mempunyai emak yang suka membebel, bukan?" Saya memotong percakapan Adrianna. Saya harap dia tidak marah saya menekanya secara begitu.

"Ya? Awak tahu? Bagaimana?" Wajah gadis itu kelihatan terkejut. Keningnya terangkat. Anak matanya sedikit membeliak.

"Saya dah baca novel awak..." Terus terang saya beritahu gadis itu.

"Jadi awak tahu siapa jodoh saya?" Adrianna bangkit dari kerusi itu, meluru ke arah saya.

"Adrianna!!!" terdengar jeritan suara seorang mak cik.

"Cepat pergi! Awak cepat pergi... itu ibu saya!" Adrianna kelihatan agak pucat.

Jari telunjuknya menghara ke satu arah. "Di situ, cepat!"

Saya terus berlari ke arah itu.

"Siapa nama awak?" Gadis itu menjerit. Suaranya sayup-sayup kedengaran.

"Romantis... Romantis Selatan." Saya melaung.

"Oh... awaklah... "


RS: Cerita ini sekadar rekaan semata-mata.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 9:49 PTG   9 comments
Jumaat, Ogos 11, 2006
Kau Laksana Bulan - Aina Emir

Inilah novel kesayangan saya.

Hari ini saya menerima suatu hadiah penghargaan daripada Kak Aina Emir. Sebuah novel. Ini adalah novel kesayangan saya. Judulnya Kau Laksana Bulan.

Novel ini mengisahkan kehidupan seorang penulis novel, Adrianna dan emaknya yang agak kelakar walaupun suka membebel. Adrianna digesa oleh emaknya supaya berkahwin cepat. Namun, Adrianna masih tercari-cari calon suami yang paling sesuai.

Dalam usaha untuk mencari calon suami itu, Adrianna telah bertemu dengan empat jejaka. Tidak kurang juga beberapa kejutan yang akan anda temui di dalam novel ini. Empat jejaka itu memiliki personaliti yang berbeza.

Gaya penulisan Novelis Aina Emir yang lancar serta puitis menyejukkan hati saya untuk terus membacanya. Saya pernah membaca novel karya Damya Hanna dan Norhayati Berahim. Jika Novelis Damya Hanna terkenal dengan cara penulisan yang langsung dan tajam, jika Novelis Norhayati Berahim terkenal dengan gaya penulisan yang tenang dan berisi, Novelis Aina Emir pula dengan penulisan yang ringkas dan puitis.



Panduan dan Tips Menulis dalam novel Kau Laksana Bulan.

Saya belum habis membaca novel ini, tetapi sudah terpikat dengan ayat pertama, kedua dan seterusnya. Novel ini juga ada menyediakan panduan untuk mencari calon suami, panduan untuk mencari ilham menulis novel. Para pembaca akan melihat bagaimana Adrianna menyelesaian masalah dalam penulisan novel. Bagaimana cara mencipta hero, bagaimana cara memburu ilham secara tak langsung.

Selepas tamat minggu ujian nanti, saya akan membaca novel ini dengan teliti untuk ulasan selanjutnya.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 9:53 PTG   9 comments
Khamis, Ogos 10, 2006
Ujian

Minggu depan, saya akan dilanda ujian untuk suatu subjek Matematik. Ada sesuatu yang masih saya rasa tidak kena, tetapi saya rasa saya boleh menghadapinya.

Sehingga kini masih belum hilang rasa terkilan dan kecil hati. Kesannya begitu kuat. Apalagi apabila ucapan itu diucapkan oleh pensyarah tersebut di hadapan pelajar-pelajar junior. Pada hari kedua. Saya rasa agak malu dengan tindakan pensyarah tersebut. Seperti kali pertama saya mengambil subjek matematik tersebut. Seorang pensyarah yang memarahi pelajar lain yang tidak hadir ke kelas, dia memarahi pelajar tersebut yang tidak hadir, tetapi memandang ke arah saya. Ramai orang menganggap saya yang dimarahi. Bukankah itu memalukan! Perbuatannya menimbulkan salah faham orang ramai.

Saya tidak lagi berani bercakap dengan junior-junior di dalam kelas. Saya rasa terasing dan malu. Setiap kali saya masuk ke kelas, setiap kali itu juga saya mendiamkan diri. Apabila ada perkara-perkara penting, barulah saya akan bertanya. Itu pun, kepada sesiapa yang berada di sebelah saya. Jika tidak ada, saya diamkan diri.

Dan pada semester ini. Perkara itu akan berulang lagi. Ya, telah berulang lagi. Pada hari kedua, sebulan yang lalu. Ketika itu saya belum lagi menulis blog. Blog Jiwanaga - Surat Untuk Takdir belum lagi wujud.

"Awak, kenapa masih masuk ke kelas saya? Awakkan tahu bagaimana orangnya saya ini."

Cuba memadamkan rasa kecil hati itu. Tidak berjaya. Perasaan itu akan terus menghantui saya setiap kali membelek buku dan mempelajari pelajaran itu. Perasaannya seperti kesunyian dan keseorangan. Pensyarah itu...

kenapa?
Kenapa mesti ada?
Orang seperti ini...

kenapa boleh jadi...

... dan saya akan terus menghadiri kelas itu. Walaupun kelas itu berbahang neraka. Ini adalah suatu ujian. Saya pernah gagal ujian matematik, tetapi saya tidak pernah gagal ujian yang lagi satu ini. Sebab saya tahu...

Saya adalah orang yang ditunggu-tunggu untuk berjuang bersama-sama dengan matematik.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 10:46 PG   11 comments
Rabu, Ogos 09, 2006
Adakah Aku Benar-benar Gembira?

Sebenarnya sudah lama lagu tema saya dilenyapkan oleh laluan trafik yang tidak stabil. Tidak tahu di mana silapnya, lagu tema blog saya "Sadness and Sorrow" itu tidak lagi berfungsi. Blog ini tidak lagi dibuai oleh emosi dalaman saya. Cuma tertera kegembiraan pada tulisan-tulisan harian. Itu pun jika diiktiraf oleh para pembaca.

Tidak ada sesiapa yang tahu, dalam diam saya masih menderita kesakitan. Namun begitu hati saya kini masih terasa bahagia. Kehidupan hari ini sudah menjadi semakin lali. Saya tidak lagi begitu asyik untuk bertemu dengan pensyarah. Segala urusan seolah-olah boleh diselesaikan sendiri. Adakah ini bermaksud, saya telah memiliki kekuatan Matematik? Saya sendiri tidak pasti.

Sebenarnya pada semester ini, saya rasa agak kecil hati. Beberapa semester lepas, ada satu subjek yang saya tidak lepas. Pada semester ini, baru saya berpeluang untuk menebusnya dan kelas yang saya hadiri itu diajar oleh pensyarah yang sama. Pensyarah yang pernah mengajar saya beberapa semester yang lalu. Pensyarah itu masih mengenali saya dan pada hari kedua pengajaran, dia memandang ke arah saya. Kemudian dia memulakan ucapannya:

"Saya ingin tahu, beberapa orangkah di dalam kelas ini yang ambil kursus pengajian ini bukan kerana pilihan pertama? Berapa orang yang terpaksa masuk ke kursus ini atau tersalah pilih..."

Belum sempat pensyarah menghabiskan kata-katanya, saya terus berdiri dan meluru ke meja pensyarah itu. Saya letakkan tugasan di atas meja. Pensyarah itu melihat saya dan berkata:

"Awak, kenapa masih masuk ke kelas saya? Awakkan tahu bagaimana orangnya saya ini."

Kata-kata itu menyebabkan saya kecil hati dengan pensyarah itu sehingga sekarang. Saya tidak bercakap dengannya, tidak lagi pergi ke biliknya. Tidak bersemangat untuk berada di dalam kelas itu. Namun saya tidak ada pilihan, harus meneruskan pengajian saya di dalam kelas itu.

Minat saya terhadap matematik luntur kerana seorang pensyarah tujuh tahun yang lepas. Dia memarahi saya kerana saya suka bertanya dan pergi ke biliknya untuk berbincang mengenai pelajaran.

"Saya sibuk ni!" Pada masa yang sama, suatu hari ketika saya dijemput oleh tukang cuci fakulti untuk makan mee goreng bersama-sama, saya terdengar tukang-tukang cuci itu mengumpat pensyarah tersebut. Kata mereka, pensyarah tersebut suka benar memarahi pelajar yang hendak menemuinya. Sibuk memanjang.

Itu kisah lepas. Ini pensyarah yang lain pula. Pensyarah ini pensyarah baru, masih agak muda. Umurnya sudah tentu belum mencecah 40. Mungkin belum mencecah 35 tahun. Baru berkahwin. Kadangkala di dalam kelas dia memerhatikan saya, dengan jelingan matanya. Saya mengelakkan diri dari bertentang mata dengannya. Saya tidak mahu tahu sama ada dia suka atau tidak suka saya berada di dalam kelas itu. Ada sebabnya kenapa pensyarah itu bersikap begitu, saya pasti ada sebabnya. Akan saya ceritakan pada entri yang akan datang. Itu pun jika saya pasti, itu adalah puncanya.

Sekarang sudah kira-kira tiga minggu saya menghadiri kelasnya. Namun saya tidak mahu dipengaruhi oleh kisah silam tujuh tahun lepas. Seorang pensyarah tua yang pernah membunuh semangat saya. Seperti watak Ibu Mertua dalam kisah Kassim Selamat. Membunuh semangat saya untuk meminati matematik. Lalu saya harus cuba sekali lagi untuk menerapkan kata-kata ini, sebelum tidur:

Saya cintakan matematik.
Saya mengasihani matematik.
Saya suka matematik.
Saya yang paling hebat dalam matematik dalam hidup saya.
Pada masa depan, matematik akan menyelesaikan banyak masalah saya.
Matematik satu permainan.
Matematik adalah apa yang saya cari selama ini.
Matematik semakin hari semakin mudah untuk difahami.
Matematik sahabat saya.
Matematik teman kesunyian saya.
Pada masa lapang, apabila kesunyian, saya akan berbicara dengan matematik.
Saya akan memahami matematik.
Memahami permasalahan matematik.
Menyelesaikan masalah bersama matematik.
Meminta pendapat matematik.
Saya mempermudahkan matematik.
Saya mencipta kefahaman baru terhadap matematik yang lebih mudah.
Saya genius matematik.
Saya menerangkan matematik kepada orang ramai.
Saya menjelaskan siapa sebenarnya matematik kepada orang ramai.
Saya memberitahu orang ramai betapa ruginya mereka mengabaikan matematik.
Saya menyelamatkan matematik.
Saya mengagungkan matematik Saya bersama matematik.
Saya setia terhadap matematik.
Saya bangga dapat bersama matematik.
Saya sahabat terbaik matematik.
Saya akan berjuang bersama-sama matematik dengan tegas dan garang.
Kenangan manis saya bersama matematik akan terus tercipta dan menjadi rujukan generasi-generasi akan datang.
Matematik dalam hati saya.
Matematik dalam jiwa saya.
Matematik tersenyum memandang saya.
Matematik berjabat tangan dengan saya.
Matematik menemani kehidupan saya.

Matematik telah menunggu kelahiran saya, dan mendekati saya sepanjang hidup saya kerana dia tahu, saya adalah insan terpilih untuk berjuang bersama-sama matematik....

Label:

posted by Romantis Selatan @ 12:13 PG   7 comments
Selasa, Ogos 08, 2006
Black Purple dan Kucing Indigonya.

Hari ini baru saya terperasan, ada satu kotak makanan dekat dengan kucing ungu itu. Ada sejenis makanan pula di dalamnya. Rupa-rupanya kucing Black Purple itu boleh diberi makan.

Saya cuba memusing-musingkan kucing itu supaya kepalanya teleng, tetapi kucing itu begitu bersemangat dan lincah.

RS: Pst.... jangan beritahu BlackPurple, saya telah buli kucing Indigonya itu.
posted by Romantis Selatan @ 6:38 PTG   4 comments
Antara Berniaga Dengan Action Kamen

Suatu hari di dalam kelas, saya meneliti pensyarah mengajar di depan. Dia mengajar suatu teknik dalam ilmu pengiraan bagi suatu subjek matematik. Teknik itu menggunakan simbol Alfa. Kemudian saya mengingati sesuatu, lalu berlakulah dialog seperti berikutnya:

Saya: Puan, kenapa kita kena cari nilai Alfa?

Puan Pensyarah: Oh, ya sebab nilai Alfa itu akan menentukan jawapannya nanti. Kita perlukan Alfa untuk mencari nilai Z.

Saya: Oh, bagaimana pula dengan Z Beta?

Puan Pensyarah: Oh, itu saya belum ajar lagi.

Saya: Oh, begitu rupanya. Bagaimana pula dengan Delta?

Puan Pensyarah: Oh, tidak ada perkara sebegitu.

Saya: Bagaimana pula dengan Theta?

Puan Pensyarah: Tidak ada juga.

Saya: Bagaimana pula dengan Action Kamen?

Puan Pensyarah: SUDAHH!!!!!!!

Itu adalah catatan misteri yang ditulis oleh Sin Chan di dalam blognya. Itu pun kalaulah Sin Chan menulis blog. Persoalannya, adakah Sin Chan menulis blog?



Berniaga! Berniaga! Berniaga!

Suatu ketika dahulu pernah saya ceritakan di dalam blog ini, bagaimana saya menuju ke Taman Shamelin Perkasa untuk membeli majalah Al Islam. Kemudiannya, si Editor memberikan saya majalah itu secara percuma. Persoalannya, apakah keistimewaan isi yang terkandung dalam majalah tersebut sehingga saya sanggup menaiki bas, LRT dan teksi (kerana tersesat seketika) untuk mendapatkan majalah tersebut.

Ya, perniagaan menerusi blog. Itulah faktor utamanya.

Sekarang saya telah membuka gerai di sini. Para pembaca sekalian, jenguk-jenguklah ya? Setiap pembelian, saya akan mendapat komisyen. Harap-harap boleh sara hidup untuk bulan ini. :)

RS: Sedang menunggu lebih ramai pembekal. Lebih banyak program 'affiliate' lebih bagus.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 6:07 PTG   2 comments
Ahad, Ogos 06, 2006
Jawapan untuk entri "Saya Tidak Takut Nombor Itu"

Merujuk kepada entri bertarikh 29 Julai 2006 yang berjudul "Saya Tidak Takut Nombor Itu" ramai orang masih tidak menemui jawapannya yang sebenar, sebaliknya terperangkap dengan jawapan: saya + tidak + takut + dengan + matematik.

Ada pula yang memutarbelitkan lagi soalan tersebut dengan jawapan yang aneh. Namun, saya memuji usaha para pembaca sekalian kerana mencuba.

Di sini, saya ingin memberitahu para pembaca bahawa jawapan tersebut tidak tepat. Ini kerana saya cuma menyatakan: 1A,2B, 3C, 4D, 5E, 6F, 7G, 8H, 9I, 10J, 11K, 12L, 13M, 14N, 15O, 16P, 17Q, 18R, 19S, 20T, 21U, 22V, 23W, 24X, 25Y, 26Z.

Tidak pula saya memberitahu bahawa 1=A atau 1 sama dengan A, 2=B, 3=C, 4=D, dan seterusnya.

Oleh yang demikian, 19,1,25,1 + 20,9,4,1,11 + 20,1,11,21,20 + 4,5,14,7,1,14 + 13,1,20,5,13,1,20,9,11 tidak membawa maksud saya tidak takut dengan matematik.

Renung-renungkan.


RS: Masih ada satu soalan belum terbongkar atau terjawab. Agaknya, adakah disebabkan ramai pembaca yang terperangkap dengan soalan pertama, maka soalan yang berikutnya seolah-olah tidak dapat dikesan?
posted by Romantis Selatan @ 9:12 PTG   2 comments
Jumaat, Ogos 04, 2006
Blog dan SMS

Sejak akhir-akhir ini, manusia semakin suka menulis blog. Tidak kurang juga seekor harimau dan seekor naga. Oh ya, ada lagi seekor dugong yang sentiasa senyum. Selain itu daun juga boleh menulis. Begitu juga tuan punya tanah pusaka. Ada lagi profesor dan pensyarah. Juga tidak lupa kepada seorang pelajar yang tidak habis-habis belajar di sebuah IPT di Selatan Tanah Air. Ehem!

Kita dapat lihat bagaimana blog dan sms mencetus era penulisan yang serba baru. Bahasa dirojakkan, juga diringkaskan. Seperti baju-baju anak gadis yang makin singkat; dan rambut yang berwarna merah, biru dan ungu; juga bersubang dan bertindik, huruf-huruf dan simbol-simbol tertentu digabungkan untuk menunjukkan emosi seperti tersenyum, marah, bingung dan lain-lain.

Tujuan penyingkatan bahasa dalam SMS suatu ketika dahulu menimbulkan kebimbangan ramai pihak betapa fenomena ini boleh merosakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Alasan meringkaskan bahasa dalam SMS boleh diterima memandangkan ruang SMS bagi sesetengah telefon bimbit adalah terhad.

Persoalannya, kenapa di dalam blog, masih ada penggunaan bahasa singkatan dan rojak? Ini adalah suatu isu yang menarik untuk dikupas. Budaya menulis blog kini berkembang pesat di Malaysia sehingga dapat menarik perhatian pihak kerajaan. Blog bukan sahaja sebagai jurnal peribadi atau meluahkan pandangan, malah juga boleh menjadi medan hasutan dan fitnah yang berupaya menggugat kedudukan seseorang dalam pelbagai bidang seperti politik, hiburan, ekonomi dan sebagainya.

Blog adalah suatu bentuk penulisan yang bebas. Boleh jadi puisi, boleh jadi diari, boleh jadi jurnal intelektual, rencana atau artikel. Bebas, sebebasnya. Blog tidak mempunyai format yang tetap.

Blog adalah medan komunikasi untuk berkongsi pandangan dalam realiti maya. Manusia bebas membicarakan sesuatu yang dirasakan benar. Ini adalah medan kebebasan manusia untuk meluahkan apa yang terpendam di dalam jiwa. Menerusi blog, manusia dapat membina keyakinan diri, keberanian untuk bersuara, mendisiplinkan diri dan

memahami erti kesunyian dan penderitaan orang lain.

Pembaca blog adalah orang yan prihatin. Mereka mengisi ruang-ruang komen dengan kata-kata semangat. Menghidupkan kembali hati yang telah mati. Oleh itu, blog merupakan satu cara untuk merawat jiwa seseorang.

Tidak lupa juga, blog boleh menjadi medan perniagaan dan menjana sumber kewangan. Betapa luasnya potensi blog.

RS: Mengantuk dan ingin tidur. Ada pertemuan dengan pensyarah pencen pada esok hari.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 10:24 PTG   2 comments
Pensyarah Matematik Sebagai Ikon Pelajar Matematik

Hari ini, borang penilaian pensyarah diedarkan di kelas saya. Borang itu perlu diisi oleh para pelajar untuk menilai pensyarah. Antara perkara-perkara yang diuji ialah:

1. Isi kandungan pengajaran pensyarah.
2. Persediaan semasa mengajar termasuk peralatan yang digunakan pensyarah.
3. Cara pensyarah berkomunikasi dan menyampaikan pengajaran di dalam kelas.
4. Sikap dan tingkahlaku pensyarah di dalam kelas.
5. Hubungan pensyarah terhadap pelajar.

Kesemua itu diuji berdasarkan berpuluh-puluh sub elemen yang disenaraikan di dalam borang penilaian pensyarah. Berdebar pensyarah di hadapan pentas, melihat para pelajar mengisi borang tersebut. Nasib baik objektif yang akan dihantar kepada jabatan, manakala yang subjektifnya pula akan diserahkan terus kepada pensyarah. Tak dapat saya bayangkan kalaulah pensyarah yang mengajar itu teruk, dan komen para pelajar pula dihantar ke Ketua Jabatan atau Dekan Fakulti.



Kelas sebagai Medan Persembahan Teknik Mengajar Atau Kehebatan Individu?

Pensyarah. Bersyarah. Tugas yang kelihatan mudah. Namun sebenarnya, secara tersiratnya tidak begitu mudah.

Seperti seorang guru. Jika guru tradisional mengajar lebih berpusatkan guru. Guru zaman moden dan millenium lebih berpusatkan pelajar. Kita lihat hasil pembelajaran semakin lama semakin baik.

Seorang pensyarah, akan lebih berkarisma dan berkaliber, apabila turut menggunakan kaedah pengajaran yang lebih moden. Pensyarah yang menggunakan kaedah pengajaran yang betul akan lebih menyenangkan dirinya sendiri dan juga pelajar-pelajarnya. Lebih meyakinkan dan lebih dihormati oleh pelajar jika dibandingkan dengan pensyarah yang masuk ke kelas dan mengajar secara spontan.

Mungkin mereka rasa, "Aku hebat sebab dapat mengajar secara spontan. Conteng dinding sana sini. Menghadap papan putih. Sudah beres. Tentu ternganga para pelajar melihat kehebatanku ini. Semua dalam otakku saja. Heeeebattt bukannn?

Bagi saya, itu bukan hebat, tetapi "he's bad."



Perbezaan Peranan antara Ahli Matematik dengan Pensyarah Matematik

Mengajar bukan bermakna menunjuk-nunjuk kehebatan diri pensyarah terhadap ilmu yang diajarkan, tetapi mengajar itu sendiri sepatutnya adalah suatu tindakan yang dapat memudahkan pelajar untuk menyerap, mengingat dan memahami apa yang disampaikan oleh pengajar. Seorang pensyarah hebat kerana teknik mengajar dan bersyarahnya, bukan kerana dia hebat. Kalau dia mahu tunjuk dia hebat dalam bidang Matematik. Jadilah ahli Matematik sahaja. Tak perlu jadi pensyarah. Pelajar datang ke kelas untuk belajar, bukan untuk melihat kehebatan individu. Apabila dia menjadi pensyarah, perlu buktikan dia hebat sebagai pensyarah. Caranya? Perlu ada teknik mengajar.



Pensyarah Matematik Sebagai Ikon Pelajar Matematik

Cuba kita lihat bagaimana para remaja mengikut cara pemikiran, cara bercakap, cara berpakaian artis pujaan mereka. Jika artis adalah ikon hiburan remaja. Pensyarah Matematik pula adalah "role model" atau ikon pelajar Matematik.

Pensyarah harus menunjukkan cara dia berfikir dalam matematik. Gaya sebagai seorang ahli Matematik. Sikap sebagai seorang ahli Matematik. Semua ini harus digabungkan dalam penyampaian pengajarannya. Bukan tunjukkan kehebatan, tetapi apa yang membuatkan dia boleh capai kehebatan sebagai seorang ahli Matematik.

Pensyarah boleh kongsikan pengalamannya semasa mula-mula meniti tangga Matematik, hinggalah sekarang. Suatu pengakuan. Jangan berahsia kisah-kisah zaman mudanya. Jangan pula kelentong untuk tutup kelemahannya semasa masih seorang pelajar baru dalam Matematik. Dia juga boleh beri panduan atau berkongsi pengalaman, bagaimana cara dia belajar semasa dia masih seorang pelajar, bagaimana dia berfikir untuk memahami suatu pengajaran. Berkongsi pemikiran dan pandangan, bukan menjadi aktor tunggal di dalam kelas. Pelajar juga ingin tahu, apa yang membuatkan dia, sebagai seorang pelajar suatu ketika dahulu dapat memahami Matematik.

Beri ruang kepada pelajar untuk bertanya. Dulu, macam mana pensyarah buat untuk faham konsep itu dan ini? Apa yang membuka pemikiran pensyarah ketika itu sehingga dapat faham konsep itu dan ini? Di sini, pelajar akan lebih berminat untuk mempelajari matematik. Secara tak langsung dapat memotivasikan pelajar untuk lebih berusaha untuk mencari kemahiran-kemahiran terpendam dalam diri untuk memantapkan teknik belajar Matematik.

Ingatlah para pensyarah Matematik. Anda bukan sekadar pensyarah, tetapi senior bagi pelajar-pelajar dalam bidang Matematik. Hidupkan kelas anda, sebagai seorang ikon pelajar Matematik.



Contoh Pensyarah Yang Tidak Baik: Memaparkan Kehebatan Individu

Saya begitu terkilan apabila melihat ada pensyarah matematik mengucapkan kata-kata seperti: "Kalau bagi saya, 10 minit pun boleh siap." Bila dia cuba buktikan, memang nampak dia tak boleh buat dalam 10 minit. Cakap saja. Salah juga. Sejak itu rasa hormat saya terhadap pensyarah seperti itu turun sebanyak 200%. Memanglah dia boleh buat sebab memang dia dah lama dalam bidang tu, dah 20-25 tahun dalam bidang Matematik tu. Cuba buat benda-benda yang bukan langsung bidang dia. Boleh buat dalam 10 minit?

Betul, memang hebat jika dia dapat menggunakan otaknya seratus peratus. Namun, ingat. Mengajar bukanlah persembahan individu, tetapi suatu proses secara berkumpulan. Ada pengajar dan ada pula pelajar. Dua pihak. Hasilnya pada pelajar. Berpusatkan pelajar.



RS: Saya kena bersiap-siap untuk Solat Jumaat. Kita sambung perbincangan ini pada kemudian hari.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 1:04 PTG   3 comments
Selasa, Ogos 01, 2006
Seorang Junior, Seorang Sahabat

Sebenarnya, sudah lama saya tidak menemui junior saya yang seorang itu. Orangnya alim dan berbudi bahasa. Apabila hendak makan, akan membaca doa. Apabila melihat orang lain dalam kesusahan, dia akan memberi pertolongan. Mulutnya sentiasa tersenyum. Bahasanya cukup sopan dan menyejukkan hati sesiapa sahaja. Tidak pernah dia meninggikan suaranya, atau mempamerkan wajah masam atau marah. Sukar untuk ditemui sahabat seperti ini. Dua tahun yang lepas dia boleh dikatakan salah seorang sahabat yang paling rapat. Saya pernah belajar matematik bersama-sama dia.

Namun beberapa semester lepas, dia memutuskan untuk tidak tinggal di asrama. Dia mendapat tempat di asrama, tetapi dia tinggal di rumah sewa. Biliknya pula diberi kepada rakan-rakannya yang tidak mendapat tempat di asrama. Setahun yang lalu, ketika saya masih mencari-cari tempat penginapan, dia memberikan bilik tersebut kepada saya. Namun saya tidak mahu, saya mahu berusaha untuk mendapatkan bilik asrama dengan sendiri. Saya berjaya. Bermula pada tahun itu, dia tidak lagi tinggal di asrama. Sejak itu saya jarang-jarang bertemu dia. Rumah sewa dia jauh. Saya tidak dapat pergi dengan bas. Cuma sekali dua sahaja saya dapat berkunjung ke rumah sewanya.

Apabila bertemu di kampus. Kami akan berborak panjang. Gembira betul hati saya. Sempat juga saya memberi tunjuk ajar kepadanya untuk satu subjek bukan matematik. Oh ya, dia juga telah membaca buku blog Sinaganaga - Ayah Kita BOS.

Itu semua berlaku pada semester lepas. Namun daripada kabar berita yang saya terima, dia mengalami masalah dalam bidang akademik. Mungkin kerana dia suka bekerja. Namun, saya rasa dia mempunyai masalah kewangan. Atau... masalah yang sama seperti saya.

Sepanjang beberapa hari ini, saya mencari dia. Namun semua kawan-kawannya, walau pun kawan serumahnya sekali pun memberitahu tidak dapat menghubungi dia. Sudah lebih satu bulan dia tidak ke kelas kuliah, menurut rakan-rakan sekelasnya.

Sebelum itu saya ada melihat dia bekerja sampingan. Dia mempunyai masalah, namun dipendamkan. Itu masalah kewangan. Saya yakin.

Saya rasa dia mempunyai masalah kewangan. Berita terbaru hari ini, dia kini berada di kampung. Mungkin dia mencari wang kerana sesuatu? Ada sesiapa yang perlukan wangkah? Nombor telefonnya tidak lagi dapat digunakan.

Hari ini, menerusi blog ini, saya mendoakan agar dia akan dilimpahi rezeki dan dipermudahkan segala urusannya. Saya harap para pembaca akan turut mendoakan untuknya juga. Susah untuk ditemui sahabat yang seperti ini. Sesiapa sahaja akan senang dengannya.


RS: Nampaknya ramai yang belum dapat menjawab teka-teki yang saya paparkan dalam entri sebelum ini (29 Julai 2006). Saya akan bongkarkan rahsianya tidak lama lagi. Sebelum itu, biarlah kita lihat dulu siapa yang dapat membongkar perangkap tersebut. Sudah ada beberapa orang yang terperangkap setakat ini.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 11:06 PTG   4 comments

© 2006 Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)
Main title designed by Amiene Rev from Brotherhood of The Dragon
No part of the content or the blog may be reproduced without permission.
Original Blogger Templates by GeckoandFly.

 


 

 



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Novel Kesayangan Saya


Web This
Profil Penulis


Nama: Romantis Selatan
Lokasi: Malaysia
Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini. Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya... Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang. Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan.
Maklumat Lanjut

Yang Sudah-sudah
Arkib
Jaringan Blogger
Mesej Pengunjung

Affiliates

Powered by Blogger
make money online blogger templates
Best Malaysian Sites