Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)

Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Jumaat, Mac 31, 2006
Menyedari Kewujudanku Dihargai

Bagaimana, jika cuma aku yang dipinggirkan? Kerana satu kelemahan yang tidak aku pinta. Aku harus pastikan kewujudanku ini dihargai.

Melihat kegembiraan orang lain, terkenangkan saat ketika teman-teman masih ada. Rakan-rakan sebaya kini sudah mula mengharungi kehidupan sebagai manusia dewasa. Tidak lagi menjadi bebanan orang, sebaliknya terus memberi sumbangan. Aku masih di sini, rasa terhina kerana masih menjadi biawak hidup. Maruahku... Kewujudanku... Berhargakah?

Cuma mampu merancang dan melaksanakannya...

Label:

posted by Romantis Selatan @ 6:43 PTG   0 comments
Aku, Basikal dan Seekor Ular Tedung

Aku teringat semasa aku masih kecil, aku begitu bersusah payah untuk mempelajari cara-cara menunggang basikal. Basikal pertama yang pernah kubawa ialah basikal mini kepunyaan ibu saudaraku. Kemudian diikuti dengan basikal BMX semasa darjah lima. Aku cukup sayang basikal itu. Warnanya krom. Aku tidak menyedari basikal itu begitu bernilai sehinggalah kawan-kawanku memujinya. Cukup naif.

Setiap petang aku akan menunggang basikal itu, mengelilingi kawasan perumahan, hutan belantara, jalan-jalan besar dan ke pasar tani. Aku masih ingat satu ketika, aku melalui satu kawasan di pinggir hutan. Ketika itulah seekor ular tedung berwarna hitam melintas jalan. Aku mengayuh basikal dengan agak laju, sehingga tidak sempat untuk membrek. Ular tedung berwarna hitam itu memiliki corak berbentuk huruf V di lehernya. Panjang badannya sekurang-kurangnya 1 meter.

Ular itu berhenti melintas dan menunggu basikalku menuju dengan laju ke arahnya. Sudah sedia membuka kepaknya untuk memagutku. Aku tidak sempat untuk menukar haluan basikalku. Terus menuju ke arah ulat tersebut. Sebaik sahaja basikalku merapati ular tersebut. Aku dengan segera mengangkat kakiku ke atas. Kletang. Ular itu gagal mematuk betisku. Kepalanya nyaris-nyaris dipatahkan oleh putaran rantai basikal dan rod-rod tayar basikalku. Aku terselamat!

Berapa tahunkah usiaku ketika itu? Sekitar 11 tahun. Setiap kali aku melalui jalan itu, aku akan teringatkan peristiwa tersebut. Aku dan basikal memang dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Sehingga kini basikal masih menjadi kenderaan utamaku. Jika tidak berbasikal, aku mungkin bergerak dengan bas, teksi, kereta sewa atau berjalan kaki.

Namun, basikal itu sudah tidak ada lagi. Beberapa tahun kemudian, adikku mendapat hadiah basikal Mountain Bike berwarna hijau. Aku pula ketika itu sudah jarang merayau-rayau dengan basikal ketika di Sekolah Menengah. Aku ketika itu lebih memberi tumpuan kepada subjek Matematik. Subjek ini sangat penting. Kata guruku. Seringkali aku berjalan kaki ke sekolah. Kemudian basikal BMX itu dijual kepada seorang kawan ibuku.

Suatu ketika aku melihat basikal itu ditunggang ke sekolah. Barulah aku tahu salah seorang daripada pelajar di sekolah itu, adalah anak kepada kawan ibuku. Melihatkan basikal itu... kadangkala aku terasa agak sayu dan kesal. Namun basikal itu bukan lagi basikalku.

Aku terselamat daripada patukan ular tedung tempoh hari. Bermaksud, Tuhan mahu aku melalui hidup ini lagi. Bagaimana jika hari itu aku dipatuk ular. Adakah aku akan melalui penderitaan hidup pada hari ini? Ular tedung hitam dengan tanda V berwarna kuning di lehernya... mungkin hari ini sudah tidak ada lagi. Tetapi aku masih ada di sini, meneruskan kehidupan...

Harus tegas dan garang mengharungi cabaran... berjiwa naga...

Label:

posted by Romantis Selatan @ 1:06 PG   1 comments
Khamis, Mac 30, 2006
Papa, Mama: Anakmu Ini Memiliki Suatu Rahsia

Tidak ramai orang yang tahu, bahawa aku memiliki satu rahsia. Aku memiliki kebolehan yang aku kira agak luar biasa. Ini adalah kuasa mental untuk melihat masa depan. Kebiasaannya, apa yang aku lihat di dalam mimpi akan menjadi kenyataan. Aku tidak boleh mengawalnya. Tidak dapat dibuktikan. Ia akan datang bila-bila masa yang ia mahu. Pakar dalam bidang psikik dan paranormal yang pernah kuhubungi memanggilnya sebagai "premonition" atau firasat. Aku pasti, tentu ada orang lain yang turut memiliki hal-hal seperti ini. Sebab aku pernah berkenalan dengan mereka juga di alam siber.

Contohnya apabila kakakku ingin melahirkan anak lelaki suatu ketika dahulu. Sehari sebelum itu aku bermimpi melihat anak saudara lelaki. Maka aku rasa kakakku akan bersalin pada bila-bila masa sahaja. Esok harinya, aku menerima mesej daripada Abang Iparku yang masih belajar di sebuah IPT juga, kakakku kini berada di wad, baru selamat melahirkan anak lelaki. Adakalanya hidup ini cukup membosankan jika kita mampu mengagak masa depan. Namun aku sendiri masih kabur dengan masa depan aku. Tidak ada klu yang jelas. Apa yang aku nampak ialah kegelapan yang aku tafsirkan sebagai kematian.

Ada sebabnya aku ceritakan mengenai hal ini. Pada masa depan aku ingin ceritakan bagaimana kebolehan ini dikatakan suatu faktor kenapa aku tidak pandai matematik oleh salah seorang kaunselor yang pernah aku temui suatu ketika dahulu. Pertemuanku dengan kaunselor ini setahun yang lalu menimbulkan percanggahan persepsi terhadap kebolehanku ini. Sesuatu yang menakutkan. Akan kuceritakan apabila tiba masanya.

Malam tadi aku bermimpi, aku melalui satu tempat yang cukup tinggi. Bangunan-bangunannya cukup canggih. Bangunan pejabat dan rumah (barangkali sebuah apartmen) digabungkan sekali. Aku tidak pasti sama ada itu sebuah rumah atau cuma kediaman untuk tetamu atau orang-orang penting. Aku bermimpi menaiki lif yang direka begitu hebat dan sangat moden. Menuju ke tingkat yang sangat tinggi. Memasuki dewan-dewan pejabat yang hebat dan canggih. Bilik mesyuarat dan sebagainya.

Aku teringat malam tadi aku bermimpi aku memenangi sesuatu seperti cabutan bertuah. Aku bermimpi aku memenangi hadiah wang tunai sebanyak tiga ratus ringgit. Kemudian aku diberi sekeping kad. Aku rasa aku kenal kad itu. Itu adalah kad Bank Bumiputera Commerce. Are? Apakah kaitannya kad BCB dengan duit RM300?

Esok paginya, kira-kira jam 9.00 pagi aku menerima satu SMS daripada ayahandaku. "Papa dah masukkan duit RM300 ke dalam bank BCB." Ringkas ayatnya. Tiba-tiba aku berasa sayu membacanya. Ayahku penat-penat mengirimkan wang... tetapi aku sendiri masih belum dapat menghabiskan pengajianku. Bila agaknya aku akan tamat pengajian. Wajah ayah dan ibuku saling di mataku. Aku tidak lagi begitu menyalahkan ayah dan ibuku kerana kesilapan tujuh tahun lalu. Mereka cuma mahukan yang terbaik untukku. Kesan kegawatan ekonomi, selain tekanan daripada masyarakat persekitaran menyebabkan mereka menjadi defensif dan inginkan aku menjadi yang terbaik.

Lebih melukakan hati apabila aku melihat mereka menyesal kerana tidak membenarkan aku membuat pilihanku sendiri sebebas-bebasnya. Masa silam tidak lagi boleh diubah. Pandangan menghina daripada orang-orang di sekitar, saudara mara, rakan-rakan sekampung... aku cuba menjaga maruahku sebaik-baiknya. Aku ingin beritahu mereka, walaupun aku belum tamat pengajian, tetapi aku sudah pun memberi sumbangan kepada masyarakat. Melalui program-program motivasi, aku selalu membantu pelajar-pelajar mencari bidang yang sesuai dalam pengajiannya. Supaya mereka tidak menjadi seperti aku. Kisah aku adalah suatu pengajaran... jadikan sebagai sempadan.

Kisah seorang siswi Cina yang membunuh diri di sebuah IPT beberapa tahun lalu masih berlegar-legar di fikiranku. Matanya terbeliak, lidahnya terjelir keluar. Gadis malang itu menggantung dirinya dengan menggunakan tali leher di dalam almari. Selepas itu, blok itu dikosongkan. Teman sebilik siswi itu pula telah bertukar ke sebuah IPT yang lain kerana berasa tertekan dengan peristiwa itu. Tidak disangkai, teman sebiliknya nekad membunuh diri. Berdasarkan kisah yang aku dengar, si gadis itu membunuh diri kerana tertekan tidak mendapat pencapaian yang baik dalam pelajarannya. Tertekan kerana usianya jauh lebih tua jika dibandingkan dengan rakan-rakan sekelasnya. Rasa terhina, rendah diri, kecewa, malu... menyebabkan dia membunuh diri. Gadis ini melalui penderitaan yang sama seperti aku.

Semasa cuti sebulan yang lalu. Sebelum bermulanya semester pengajian pada tahun ini. Aku bergaduh dengan ibuku secara diam-diam. Ketika itu ayahku mengikuti kursus di suatu tempat. Ibuku tidak puas hati dengan jawapanku. Apabila ibuku bertanya bilakah masa yang betul-betul aku akan tamat. Aku cuma memberitahu, mungkin tahun 2007. Mungkin tahun 2008. Kalau tak ada masalah boleh habis awal. Mungkin... mungkin... mungkin... Ibuku cukup marah mendengar jawapan ini.

Di pejabat, ibuku terkenal dengan gelaran Iron Lady. Dia dan bapaku sama-sama pekerja cemerlang di pejabat. Setiap tahun sering mendapat anugerah. Ibuku marah kerana melihat aku dalam keadaan teragak-agak memberi jawapan. Panjang juga leteran yang aku terima pada malam itu. Adakalanya Ibuku kelihatan seperti orang meracau. Aku bimbang, apabila melihat ibuku marah-marah dalam nafas dan suara yang tersekat-sekat. Seperti menanggung penderitaan, penghinaan, kekecewaan yang mendalam. Aku takut... takut kalau apa-apa berlaku kepada ibuku, kesihatannya. Dalam kebimbangan itu, aku memutuskan untuk mendapat A untuk semua subjek matematik pada semester ini.

Itu kata-kata yang paling berat. Aku menyusun ayat. Aku cuba menyakinkan ibuku. Aku mahu dia berasa gembira. Aku mahu dia tidak bimbang lagi. Sambil meyakinkan ibuku. Air mataku mengalir. Aku rasa aku seperti anak derhaka. Dipaksa menjadi anak derhaka. Ibuku juga mengalirkan air mata. Kemudian dia tersenyum selepas mendengar jawapanku.

Dapat semua A. Itu pertaruhan yang aku kira sangat berat. Berdasarkan keupayaan aku yang aku kenali, peluang untuk aku mendapat A sangat tipis. Benar... berdasarkan ujian 1. Cuma satu subjek sahaja mendapat keputusan yang memungkinkan untuk aku mengutip satu A. Yang lain... merudum...Selepas itu... sejak hari itu... hubungan aku dan ibuku kembali pulih. Tidak ada lagi pergaduhan. Boleh kata, dalam masa tujuh tahun ini, itulah kali pertama konflik berkaitan dengan akademik berakhir. Aku mahu menjaga hubungan ini. Aku tidak mahu ibuku terluka lagi. Sayang sekali, aku tidak diberikan kebolehan yang luar biasa dalam matematik. Keupayaanku dalam bidang matematik hanya tahap sekolah menengah, bukan peringkat universiti.

Aku teringat lagu Cina yang pernah didendangkan oleh salah seorang anak gadis dalam drama Fei Mao. Drama mengenai seorang lelaki terencat akal yang jujur dan baik hati, memiliki adik beradik, emak, nenek dan rakan-rakan yang baik. Lagu itu didendangkan oleh gadis itu semasa Hospital tempat salah seorang saudara kandung Fei Mao. Lagu itu ditujukan oleh gadis itu kepada ibu bapanya. Senikatanya, ritma lagunya... memang menyentuh hati. Aku tidak begitu ingat akan lirik lagu itu. Namun aku memahaminya seperti ini:

"Ibu dan ayah. Aku tidak memahamimu, aku tidak memahami isi hatimu... tetapi aku tahu kalian begitu menyayangiku. Aku juga sangat-sangat menyayangimu. Namun aku tetap tidak dapat memahamimu."

Lirik lagu ini seakan-akan kena dengan aku dan ibubapaku. Aku tidak tahu bagaimana aku mahu mengucapkan sayangku kepada ayah dan ibuku. Setiap kali hari raya, aku akan mencium dahi ibu dan ayahku. Ketika itu air mataku bagaikan hendak gugur, namun kutahan begitu sahaja. Setiap kali hari raya, ini sahajalah rayaku. Memohon ampun dengan ibu dan ayah. Itulah hari rayaku. Selepas itu aku akan 'melarikan diri'. Aku tidak mahu orang bertanya kenapa aku belum tamat pengajian. Aku tidak mahu soalan-soalan ini menyakitkan hati ibu dan ayahku. Aku rasa mereka boleh memahamiku; kenapa aku tidak gemar menziarahi rumah orang sejak beberapa tahun kebelakangan ini? Aku mungkin pergi beraya, tetapi cuma beberapa buah rumah sahaja, iaitu rumah saudara-saudara terdekat, yang sudah sedia maklum keadaan diriku. Selepas itu aku akan merayau... ke mana aku suka... setiap kali tiba hari raya...

Aku masih ingat pada hari raya yang terbaru. Selepas hari raya, aku mencium dahi ayahku seperti biasa. Kemudian ayahku tiba-tiba memelukku dengan seerat-eratnya. Aku tahu, ayahku rasa cukup bersalah... jika pensyarah di tempatku juga mampu menitiskan air mata mengenangkan penderitaanku sebagai seorang pelajar... apatah lagi ibu bapaku...

Papa... Mama... anakmu ini memiliki suatu rahsia... suatu hari nanti... anakmu ini terpaksa pergi... pergi jauh... tetapi sebelum itu... ada budi yang harus dibalas... ada jasa yang harus dicipta... ada maruah yang harus dikembalikan... supaya dapat pergi dengan hati yang tenang...

Label:

posted by Romantis Selatan @ 10:28 PG   1 comments
Rabu, Mac 29, 2006
Pertemuan Dengan Dr. Tahir Ahmad

Nota: Nukilan blog pada hari ini (29 Mac 2006) telah disiapkan awal-awal oleh penulis pada 6.45 petang, 28 Mac 2006 untuk menjimatkan masa. Hari ini penulis memberi tumpuan untuk nota-nota pelajarannya.

Belajar matematik sebenarnya adalah suatu istilah yang cukup global. Definisi belajar matematik berubah mengikut pemikiran, pendirian, sikap dan pengetahuan seseorang pelajar. Masalahnya, apakah definisi yang paling tepat untuk mewakili istilah belajar matematik? Definisi yang tepat, aku kira, adalah satu langkah permulaan untuk belajar matematik dengan betul. Aku ada kelemahan dari segi ini.

Hari ini (28 Mac 2006), aku mengulangkaji subjek Analisis Nyata. Namun ada sedikit masalah, aku kira contoh-contoh yang ada tidak cukup untuk menjadikan aku seorang pelajar yang mahir dengan matematik. Dalam kebuntuan itu, aku melangkah ke bilik pensyarah subjek itu. Dr. Tahir Ahmad.

Sebenarnya pada hari itu, sekitar pukul 2.00 hingga 4.50 petang, akan ada kelas untuk Subjek Analisis Nyata. Walau bagaimana pun, Dr. Tahir Ahmad begitu memahami keadaan pelajar, maka dia memberi peluang untuk pelajar menggunakan masa ini untuk mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi ujian pada hari esok (29 Mac 2006). Tidak ada gunanya mengajar ilmu-ilmu baru jika minda pelajar dalam keadaan tidak bersedia. Pada hari ini, Dr. Tahir Ahmad memberi peluang kepada semua pelajar untuk menemuinya bagi bertanyakan apa-apa perkara yang berkaitan dengan Analisis Nyata. Aku merebut peluang ini.
Dr. Tahir Ahmad adalah salah seorang pensyarah yang aku anggap sebagai pensyarah emas di universiti ini. Selalunya aku akan berikan markah penuh bagi borang penilaian pensyarah kepada beliau. Dia pernah mengajar subjek Aljabar Linear suatu ketika dahulu. Aku telah lulus subjek tersebut.

Dr. Tahir Ahmad adalah cukup fleksibel dan berdaya pemimpin. Walaupun dari segi "face to face" aku agak sedikit segan dengan wajahnya yang kelihatan agak garang dan serius, tetapi beliau sebenarnya memiliki keupayaan untuk mencipta humor dengan baik di dalam kelas, untuk meredakan stres belajar.

Pada hari ini (28 Mac 2006) aku bertemu beliau, dengan harapan akan mendapat skema-skema jawapan untuk ujian-ujian yang lalu. Malangnya tidak ada skema-skema tersebut. Aku meneliti satu kertas kerja yang cukup menarik. Berkaitan dengan otak, untuk merawat sejenis penyakit.

Fungsi otak; membangkitkan nostalgia kajian yang pernah aku buat suatu ketika dahulu. Aku berminat untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut. Aku kemudiannya menceritakan sedikit sebanyak mengenai kajian yang pernah aku buat dahulu kepada beliau. Kemudian kami berbincang pelbagai perkara, kebanyakannya berfokus kepada masalah akademik dan peribadi yang aku hadapi di IPT ini.

Dr. Tahir Ahmad menceritakan mengenai kisah Thierry Henry, pemain bola sepak Juventus yang kemudiannya mencipta zaman gemilangnya di Arsenal. Aku adalah seperti Thierry Henry. Dalam kes Thierry Henry, beliau bernasib baik kerana potensinya disedari selepas menyertai Arsenal. Posisi yang dipegangnya semasa di Juventus merupakan punca Thierry Henry tidak dapat cemerlang. Semasa bermain bersama Arsenal, Thierry Henry memegang peranan dalam posisi yang baru. Dari situlah dia muncul sebagai seorang bintang bola sepak.

Menurut Dr. Tahir. Aku adalah mangsa "ignorant". Bakat aku diabaikan. Ini mengimbas kembali kisah 7 tahun yang lepas. Aku mahu bangkit semula.
Dr. Tahir mencadangkan pertemuan antara aku dengan beberapa orang pakar kaunseling profesional di universiti ini. Jika aku tidak silap, ialah Dr. TJ dan Dr. SS. Dr. Tahir membantu untuk mengadakan pertemuan. Hari Jumaat ini.Mungkin aku akan ceritakan apa yang akan berlaku pada hari Jumaat itu.

Sebelum ini aku pernah mendapatkan khidmat kaunseling. Aku harap kali ini akan ada perubahan dari segi pelaksanaannya. Aku ingin cepat tamat pengajian dan mendapat apa yang ibu bapa aku mahukan. Segulung Ijazah.

Malam ini (28 Mac 2006) aku akan kembali belajar. Jika dua minggu yang sudah, fokusku terhadap subjek Statistik II. Cuma beberapa hari telah kukorbankan untuk membantu junior membaiki tugasannya iaitu subjek Psikologi. Minggu ini adalah untuk Analisis Nyata.

Sebenarnya apa yang membuatkan perbincangan aku dengan Dr. Tahir Ahmad lebih berkait dengan masalah pembelajaran dan peribadi aku. Adalah disebabkan konvokesyen beberapa hari lepas. Aku sepatutnya pulang ke kampung dan menganggap ia tidak pernah wujud. Kewujudannya, kehadirannya, menimbulkan rasa bersalah, terhina sebagai bebanan orang, terhapusnya cita-cita, ketidak adilan dan... kematian. Mengingatkan hari konvo, di mana para pelajar mendapat ijazahnya, menyebabkan aku semakin bimbang tidak akan dapat tamat pengajian pada masa yang aku rancangkan. Seperti yang telah aku janjikan kepada ibu bapaku. Janji... ada suatu kisah mengenainya.

Aku perlu cuba melakukan sesuatu. Agar aku dapat menunaikan janji itu. Pertemuanku hari ini (28 Mac 2006) adalah salah satu tindakan yang aku lakukan untuk membantu aku mencari jalan untuk... itu.

Tidak semua pelajar yang tamat pengajian tepat pada masanya itu adalah pelajar yang benar-benar menguasai apa yang mereka pelajari. Tidak semua pelajar yang tamat pengajian itu menggunakan apa yang mereka pelajari. Ada yang menumpang. Ada yang malas, tetapi mereka berbakat dalam matematik. Itu faktor utama mereka berjaya tamat pengajian.

Aku rasa cukup hari ini (28 Mac 2006) aku menulis. Aku akan rehatkan diri untuk memberi tumpuan untuk subjek Analisis Nyata. Ujian pada malam esok (29 Mac 2006). Setelah melaksanakan usaha-usaha yang sewajarnya, aku hanya mampu memandang langit.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 8:46 PG   0 comments
Selasa, Mac 28, 2006
Dia bukan lagi kawanku - Parasitisme

Apa yang aku ingin ceritakan hari ini adalah mengenai seorang manusia yang aku pernah anggap sebagai seorang kawan. Aku berulang-ulang kali menolongnya, tetapi dia seringkali memalukan aku, memburuk-burukkan aku. Seolah-olah dirinya lebih baik dan benar. Sedangkan dia seorang yang berpendirian parasitisme. Apa maksud seorang kawan?

Dahulu aku fikir, setelah tujuh tahun berada di IPT, setelah tidak ada lagi subjek-subjek bukan matematik, maka akulah yang paling lemah. Tidak ada orang yang akan meminta tumpang atau bergantung kepada aku lagi. Rupa-rupanya aku silap. Ada manusia yang cukup malas, mereka menggunakan aku atas nama kawan. Tujuan mereka masuk ke universiti bagaikan tidak ada makna, mungkin sekadar mencari peluang berniaga, atau sebagai suatu cara menunjuk-nunjuk, atau semata-mata untuk mencari modal memikat gadis-gadis cantik. Aku tidak pasti. Tidak perlu aku terangkan semua peristiwa. Ini adalah kisah benar. Salah satu daripada punca kenapa aku rasa aku tidak boleh jadikan dia sebagai kawan lagi.

Manusia ini kurus kering orangnya. Berbadan rendah. Aku fikir dia adalah anak manja. Kerana semua perkara dia hendak senang. Tamak. Dia mampu datang ke kelas kuliah dengan menaiki motorsikal kepunyaannya. Juga kadangkala kereta milik abang iparnya. Semua itu aku tidak pernah miliki atau pinta. Aku cuma ada sepasang kaki, dan sebuah basikal pemberian senior kira-kira tujuh tahun yang lalu. Aku kira basikal itu kini usianya dalam sebelas tahun. Masih dalam jagaanku. Lain kalilah aku bercerita mengenai basikal ini.

Aku masih ingat kata-katanya apabila aku memberitahu aku perlu cepat tamat pengajian kerana ibu bapaku sedang bising-bising dan tertekan.

"Orang tua, begitulah... kita kena faham perasaan orang tua. Emak bapak aku pun macam tu."

Manakala aku pernah dengar dia meluahkan perasaan.

"Bila aku tengok-tengok balik diri aku ni. Dah separuh umur. Belum graduate lagi."

Aku rasa dia sendiri tidak faham apa yang dicakapkannya. Buktinya. Di dalam kelas dia suka menghabiskan masa bermain cuit-cuit kawan-kawan. Menulis mesej di atas kertas dan menyuruh aku membalasnya. Seperti berbual di dalam kelas tetapi secara menulis di atas kertas.

Selalunya dia ponteng kelas, dan kalau datang, akan lambat. Pelik, dia punyai begitu banyak masa lapang. Lagi memiliki motorsikal dan sesekali datang dengan kereta. Apa masalahnya?

"Hero datang lambat!"

Pada suatu hari dia tidak datang ke kelas. Waktu itu kelas malam. Aku datang awal. Singgah di masjid untuk maghrib. Kerana kelas bermula sekitar pukul 8.00 malam dan tamat sekitar pukul 10.00 malam. Berjalan kaki seperti biasa.

Habis kelas, aku terus ke bilik pelajar junior. Aku meluangkan masa sehingga sekitar pukul 1.00 pagi. Kemudian pulang. Menyemak nota-nota dan tidur sekitar pukul 2.30 pagi.

Pagi itu aku bangun awal. Aku ada kelas pada pukul 2.00 petang. Selepas sarapan pagi, aku terus bertolak ke perpustakaan awam. Berjalan kaki. Lebih kurang pukul 8.00 aku sampai di perpustakaan awam. Aku meluangkan masa sehingga sekitar pukul 10.00 atau 11.00. Kemudian makan tengah hari. Aku rasa cukup letih, jadi aku singgah di masjid untuk tidur sambil menanti waktu Zohor.

Telefon bimbitku telah kututup bunyinya sejak kelas pada malam tadi. Tidak pernah kubuka. Lagipun tidak ada kredit untuk aku membuat panggilan. Aku juga tidak menyangka akan dihubungi. Cuma sekadar menerima mesej.

Ketika aku tertidur itulah. Budak itu menelefonku. Berulang kali. Semata-mata untuk bertanya bila tarikh ujian. Aku tertidur. Aku tidak sedar. Aku cukup letih. Sejak malam tadi. Aku menghabiskan masa untuk matematik. Mengulangkaji pada waktu pagi hari. Kemudian perlu rehat untuk kelas pada pukul 2.00 petang itu.

Sekitar pukul 1.30pm, selepas solat Zohor. Aku terus pergi ke kelas. Kelas bermula pukul 2.00pm. Aku tiba ke kelas kira-kira pukul 1.40 petang. Aku pun memeriksa telefon bimbitku. Kutemui banyak panggilan "miss call". Semuanya daripada budak itu. Aku tidak ada kredit untuk membuat balasan. Maka aku biarkan sahaja. Aku menyemak sms.

"Bila ujian 2 Persamaan Pembeza?" - Budak itu.

Lambat lagi. Minggu ke 15. Sekarang baru minggu ke 10. Aku rasa tidak perlu aku menelefonnya dengan telefon awam. Kelas hampir bermula.

Kelas bermula. Kelibat budak itu masih belum kelihatan. Pensyarah datang tepat pada masanya. Kira-kira sepuluh minit kemudian, aku nampak dia datang ke kelas dengan seorang lagi kawan. Dia kelihatan marah-marah.

"Kalau ada telefon tapi tak nak angkat. Baik tak payah pakai telefon!" Marahnya.

Aku cuma kata aku tengah tidur. Dia tidak puas hati:

"Tidur! Aku telefon kau ulang kali dekat setengah jam! Tak angkat pun!"

Aku diam sahaja. Dalam hati aku berkata: Kenapa tak telefon pensyarah aja?

Kemudian aku membelek-belek nota malam tadi dan minggu lepas. Aku hulurkan kepadanya jika dia mahu menyalinnya. Sementara itu, aku menyalin nota yang diberikan oleh pensyarah di papan putih. Beberapa lama selepas itu, dia merungut-rungut lagi.

Kemudian aku tengok dia sudah siap menyalin nota. Aku berikan dia pula nota hari ni yang telah aku siap salin sebentar tadi. Nampaknya dia cuba cari masalah. Dia tidak mahu menyalin nota. Penat?

Sambil mendengar penerangan pensyarah. Aku fikir nota tadi ada kaitannya dan perlu aku fahami. Aku mengambil kembali nota tersebut untuk membuat analisis.

Kemudian dia memarahi aku:

"Apa ni! Aku belum salin lagi kau dah ambil! Potong gaji!"

Aku rasa cukup terhina dengan sikapnya. Bagai melepaskan anjing tersepit. Ini bukan kali pertama. Sebelum ini pun dia pernah berbuat begini. Memalukan aku di depan orang lain. Seolah-olah dia yang betul.

Dia fikir aku ini dijadikan Tuhan untuk memperhambakan diri kepada dia? Aku tidak dibayar gaji. Siapa dia...

Malas datang kelas. Dia kata kalau orang telefon tak nak angkat, baik tak payah pakai telefon. Aku pula ingin kata: Kalau malas nak datang kelas, baik tak payah ambil ujian. Baik tak payah masuk universiti. Kau dah mengkhianati amanah orang tua kau. Tapi aku diam sahaja.

Pensyarah yang mengajar kelas itu namanya Dr. Sharidan. Cukup baik orangnya. Sayang sekali dia memiliki pelajar seperti ni. Pelajar yang tidak menghormati dan menghargai pensyarah yang baik. Terima kasih Dr. Sharidan. Markah 32/40 itu memang sudah cukup baik untuk pelajar yang cacat matematik seperti aku.

Sebenarnya aku agak rapat dengan pensyarah-pensyarah. Ramai pensyarah di universiti yang mengenaliku. Ramai yang mengetahui kisah sedihku. Ramai yang memberi semangat untuk aku terus hidup dan menghadapi cabaran ini. Aku akan ceritakan mengenai mereka juga pada masa akan datang.

Aku masih ingat kata-kata Dr. Sutinah kepadaku. Dia salah seorang pensyarah matematik. Ketika itu aku memberitahu, bagaimana aku rasa ditindas oleh pelajar yang pandai matematik. Ketika mereka senang mereka lupa akan aku. Ketika susah mereka cari aku. Jika aku tidak dapat memenuhi permintaan mereka, seperti budak itu, aku akan disisih. Dr. Sutinah menasihati aku agar menjauhkan diri daripada budak-budak seperti ini:

"Jangan berkawan dengan orang yang negatif. Cari kawan yang berfikiran positif dan maju."

Betul. Seringkali pelajar yang bertelingkah denganku merupakan pelajar yang negatif. Mereka cuma tahu mempergunakan kebolehan aku, kesungguhan aku.

Aku masih ingat ketika aku berkunjung ke rumah sewa mereka. Aku katakan, kalau aku duduk di sini, dah lama aku buka tuisyen. Dapat juga dalam tiga empat ratus sebulan. Mereka kata, boleh juga, tetapi aku harus mengepalai mereka. Mereka tidak ada semangat untuk berbuat demikian. Mereka tertarik sebab aku pernah berdikari membuka tuisyen beberapa tahun lepas. Sambutan cukup baik, sehingga anak-anak murid yang lebih aku berikan kepada kawan-kawanku yang bermasalah dalam kewangan. Cukuplah rezekiku. Selebihnya untuk kawan-kawanku.

Sekarang aku tidak ada masalah kewangan. Untuk setahun ini mungkin. Tidak perlu fikir soal wang lagi. Buat masa ini.

Berbalik semula kepada budak parasit tadi. Aku hairan. Apa matlamatnya belajar di universiti. Yang seorang itu (bukan budak parasit aku kira, sebab dia tidak menyusahkan aku, jika dia bersalah, dia diam. Dia juga tidak marah bila aku kata aku tertidur). Cuma budak yang seorang ini. Cukup menyakitkan hati.

Aku rasa semua pertolonganku selama ini. Angin. Aku rasa sudah tiba masanya untuk aku katakan. Dia bukan lagi kawanku.

Kadangkala tercetus rasa kasihan. Sehingga ke hari ini, aku masih terasa. Aku rasa, rasa kasihanku ini bukan untuk budak parasit itu, tetapi untuk ibu bapanya. Untuk Dr. Sharidan juga, kerana ada pelajar yang malas seperti ini. Sedang budak parasit ini otak matematiknya jauh lebih baik daripada aku.

Dia ponteng kelas pun bukan kerana ada alasan yang wajar. Minggu lepas aku terserempak dengan dia. Sedang bertemu janji dengan seorang budak perempuan. Dia sendiri kata dia ingin ponteng kelas. Terang-terangan. Tanpa sebab yang wajar. Cuma untuk mengurat seorang gadis.

Aku. Aku tidak kisah mengenai cinta buat masa ini. Cita-cita. Itu paling utama. Selepas tamat pengajian nanti. Aku akan rancangkan balik mengenai cinta. Aku tiba-tiba rasa hairan kenapa aku masih menggunakan nama Romantis Selatan.

Aku rasa mungkin aku sedang berubah. Selepas menyertai Brotherhood of the Dragon. Jiwa romantis aku sedang berubah menjadi jiwa naga. Tegas dan garang mengharungi kehidupan.

Terima kasih Dragonizer.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 1:11 PG   3 comments
Isnin, Mac 27, 2006
Apabila Dipinggir Oleh Pelajar Bijak Matematik

Seperti lahirnya satu kesedaran setelah berulang-ulang kali aku mengalami situasi terhina apabila cuba mendekati pelajar-pelajar yang dianggap bijak matematik di tempatku. Bukan semua, cuma ada segelintir yang agak mengecewakan aku. Aku pula bukan suka menjadi bebanan orang.

Aku masih ingat ketika aku mula-mula masuk ke IPT ini dahulu. Umur aku sekitar 17-18 tahun ketika itu. Pada masa itu aku rasa agak tersisih kerana kekurangan. Namun aku bijak mencari kawan. Aku menjadi seorang yang agak nakal untuk menarik perhatian. Aku menjadi seorang pelajar yang agak popular. Namun itu tidak mampu mengubah aku menjadi pelajar yang bijak matematik. Aku menyertai "study group". Selalunya akulah yang paling ketinggalan dan paling banyak bertanya. Langkah seterusnya aku cuba menukar kursus. Tetapi gagal, atas sebab-sebab tertentu. Sistem universiti. Ibu bapa. Sikap aku sendiri pada masa itu. Aku masih berharap aku bukan betul-betul cacat matematik. Pada masa yang sama aku tidak mahu menjadi bebanan orang.


Aku cuba mendapat panduan daripada pelbagai pihak. Aku harap pada ketika itu aku akan menjadi pelajar yang bagus dalam matematik. Pernah aku dimarahi oleh seorang pensyarah kerana aku sering menemuinya. Dia memarahi aku kerana bertanya soalan-soalan yang dirasakannya aku patut faham.

"Awak tak baca nota yang saya bagi?"

"Itu pun awak tak faham?"

Dan aku masih ingat bagaimana aku disindir oleh pensyarah kerana gagal menjawab soalan di dalam ujian.

"Ada seorang pelajar tu, punyalah rajin dia belajar. Sampai tertukar rumus. Entah berapa banyak buku dia rujuk..."

Itu ayat yang dilontarkan kepada aku di dalam kelas semasa aku masih di Tahun Satu. Selepas itu aku tidak lagi berminat untuk menemui pensyarah, sekiranya aku lemah matematik. Aku takut untuk bertanya soalan-soalan yang aku kira cukup asas. Aku cuba membuat rujukan. Kemudian aku menemui satu idea baru mengenai rumus. Aku rasa cara ini lebih senang untuk dipelajari. Lalu aku menemui pensyarah tersebut lagi. Hasilnya... aku rasa semangatku dibunuh. Pensyarah nampaknya tidak senang melihat aku mengambil masa yang lama untuk memahami sesuatu yang asas.

Salah siapa? Bukan aku yang mahu meneruskan pengajian dalam bidang ini. Ini permintaan ibu bapa aku. Aku menjadi ayam laga. Kehebatan aku di sebut-sebut. Pelajar terbaik mesti ambil bidang yang hebat juga. Bidang yang aku mahu itu konon-kononnya tidak hebat. Mereka, ibu bapa aku cuma fikir pekerjaan yang hebat-hebat. Mereka tidak pernah berfikir masa depan aku. Kalau aku sambung ke peringkat yang lebih tinggi. Sarjana. Ph.D. Bidang yang tidak hebat itu akan jadi hebat juga.

Aku sebagai alat untuk mempamerkan kebanggaan mereka. Cita-cita mereka. Cita-cita aku? Aku sudah cuba yang terbaik. Apabila aku berjaya mendapat A dalam subjek-subjek bukan matematik. Mereka langsung tak menghargai aku. Sebaliknya mereka cuma bertanya: "Kenapa matematik dapat teruk!"

"Kalau orang tanya kenapa awak belum habis-habis lagi belajar, aku cakap sebab engkau main-main!" Sindir ibuku suatu ketika dahulu. Ketika itu konflik cukup kuat. Sudah berapa kali, aku sambut hari raya dengan rasa... sebuah percutian yang berakhir dengan bencana. Tidak ada hari raya untuk diriku.

Aku masih ingat suatu ketika aku bertemu dengan seorang pensyarah yang baik hati dan rasional. Aku suka pensyarah ini. Aku menganggapnya sebagai ibu. Suatu hari aku telah memohon kepadanya untuk mengadakan satu tarikh yang baik supaya aku dapat meluangkan masa belajar dengannya mengenai satu subjek. Aku rasa seronok kerana mendapat tunjuk ajar tetapi tidak lama kemudian datang seorang pelajar junior yang bijak matematik. Melihat kami sedang belajar, dia pun ingin turut serta. Kemudian dia bertanya pelbagai masalah-masalah tahap tinggi. Aku pun dipinggirkan begitu sahaja. Pensyarah lebih berminat untuk menjawab soalan-soalan pelajar tersebut. Aku cuba untuk turut serta. Cuma diketawakan sahaja. Dalam diam, aku tahu... aku cacat matematik.

Aku pernah belajar di bilik asrama pelajar-pelajar junior. Menaiki basikal. Itu satu-satu pengangkutan yang aku miliki. Mengharungi malam hari. Ditemani anjing-anjing liar. Embun dingin. Adakalanya malam hari, aku rasa cukup letih lalu tidur di atas lantai yang sejuk.

Pernah juga aku berjanji dengan seorang pelajar junior. Kemudian aku datang ke biliknya. Menunggunya seperti menunggu seorang pensyarah. Aku rasa aku sudah cukup merendah diri. Mengorbankan maruah untuk menjadi lebih baik. Seorang senior yang...

Aku cuma mahu jadi baik. Kemudian. Aku rasa aku perlu berubah. Kini aku telah gunakan satu pendekatan baru. Aku tidak mahu asyik bergantung kepada pelajar. Mereka tidak dibayar gaji untuk mengajarku. Mereka juga mahukan kebebasan untuk belajar.

Aku kini lebih kerap berusaha untuk mendapatkan bahan-bahan belajar sendiri. Walaupun hasilnya tetap sama. Aku sendiri tidak faham kenapa... aku masih cacat matematik. Sekurang-kurangnya aku telah berusaha. Aku cuba dapatkan skema jawapan untuk latihan. Aku cuba dapatkan lebih. Lebih banyak bahan.

Aku sering datang awal ke kelas. Adakalanya dua jam lebih awal. Untuk merebut tempat duduk. Tetapi pelajar-pelajar junior ada yang biadap. Dikriminasi. Mereka sering menyuruhku duduk di tempat lain. Sebab mereka mahu duduk bersama rakan-rakan mereka. Sedangkan rakan-rakan mereka datang lambat ke kelas. Aku sering duduk di bahagian tengah dan hadapan kelas untuk memudahkan konsentrasi. Adakalanya mereka menyindir aku.

"Hai, takkan asyik nak berkepit saja!"

"Awak tinggi, awak patut duduk di belakang."

"Bagilah kita orang duduk sebelah menyebelah. Awak duduklah dekat sana tu!"

Inilah sikap pelajar-pelajar hari ini. Pelajar dulu lebih menghormati senior. Pelajar kini, bukan senior sahaja, malah pensyarah pun nak diarah-arahkan.
Adakah semata-mata aku cacat matematik... aku ingin dapatkan maruah aku kembali. Pelajar kini begitu tinggi egonya.

Jika mereka jadi pemimpin pada masa akan datang. Aku rasa aku tidak perlu daftar mengundi. Tidak layak untuk jadi pemimpin. Tamadun manusia semakin musnah. Hancur. Roboh.

Namun masih ada beberapa orang pelajar junior yang bersopan dan baik hati. Pada masa depan, mungkin aku patut ceritakan mengenai mereka juga sebagai kredit.


Label:

posted by Romantis Selatan @ 11:04 PTG   0 comments
Battle Of The Band

Malam tadi, agak lambat aku ke Pesta Konvo. Sebenarnya aku rasa cukup sunyi, terutama apabila mengenangkan konvo. Kawan-kawan semua telah pergi menerokai dunia baru. Aku...

Malam tadi aku rasa cukup lapar. Malam ketiga... aku ingin makan sesuatu malam ini. Badanku sudah mula menggeletar dan terasa panas. Tekakku kering. Mungkin kerana kurang minum air dan tidak makan sepanjang hari.

Konvo menyebabkan aku hilang selera makan. Aku semakin tidak mahu diri aku dikenali. Aku sebenarnya ingin menyertai kawan-kawanku yang menjadi graduan pada hari ini. Namun, aku khuatir soalan-soalan yang bakal ditanya oleh orang-orang yang bakal aku temui.

Ini juga punca, kenapa aku mendiamkan diri sepanjang dua tiga tahun ini. Aku khuatir, aku akan dipandang rendah apabila ramai orang mengetahui hal yang sebenarnya... dan kehilangan peluang untuk mencari kawan baru. Cuma mereka yang aku rasa aku boleh percaya, maka kujadikan kawan.

Oh ya, malam tadi aku menonton Battle Of The Band di tapak pesta konvo. Aku tertarik dengan petikan gitar dan harmonika. Tergerak juga dalam hati untuk mencuba. Namun... bukan masanya untuk aku menonjolkan diri. Kegilaanku paling utama adalah pada keyboard, piano dan organ.

Aku pernah menonton wayang Rock tidak lama dahulu. Lagu-lagu yang dimuatkan di dalam filem itu mengembalikan nostalgia lama. Ketika aku masih anak kecil. Ingin aku kembali ke masa itu...

Kalau boleh aku ingin mengubah semula. Aku harap Dragonizer tidak akan tahu akan hal ini. Aku rasa aku keberatan untuk memaklumkan kepada dia aku telah menulis blog di sini. Diam-diam ya. Aku sebagai pesakit, agak degil juga.

Masa silam tidak boleh lagi diubah. Aku patut akur. "Kau tidak memiliki masa silam, cuma masa depan. Rancangkan masa depanmu itu." Ini kata-katanya.

"Kau harus yakin dengan diri sendiri. Jika kau tidak yakin pada diri sendiri, sia-sialah kau berusaha keras selama ini untuk mengubah takdir. Takdir yang tidak boleh diubah adalah kematian. Tidak ada jalan mati melainkan maut." Kupetik lagi tulisan Dragonizer kepadaku melalui mesej peribadinya.

Takdir... masihkah kau membaca tulisanku ini. Aku ingin mengubahmu.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 3:53 PG   0 comments
Ahad, Mac 26, 2006
Mengubati Diri Dengan Menulis Blog

Hari ini nampaknya begitu rancak aku menulis, mengisi blog dengan kata-kata jiwa. Mungkin kerana sepanjang hari ini aku berasa sangat-sangat sunyi.

Sepanjang hari ni... aku berasa berat di hati. Seperti ais yang tajam menikam jantung, hati dan paru-paru. Seolah-olah darah mengalir keluar dari jantung. Mungkin jantungku telah bocor. Itu cuma satu imaginasi...

Setiap kali aku menulis... seperti rembesan air hangat, mengalir keluar dari paru-paru. Seperti air batu yang ditekankan ke atas dada... semakin berkurangan. Aku hanyut dalam tulisan-tulisanku.

Masih dengan kisah hidupku yang lalu. Sebelum wujudnya blog ini. Aku cukup khuatir sama ada kebolehanku untuk menulis masih ada. Atau masih sehebat zaman persekolahan dahulu. Sudah lintang pukang, tatabahasa dan susunan ayatnya. Ini adalah simbolik terhadap jiwaku yang sentiasa di dalam dilema. Aku rasa bakat menulisku semakin jauh ketinggalan. Sudah lama aku tidak berdepan dengan skrin komputer untuk menulis. Dahulu aku banyak menulis. Namun semua catatanku berlalu begitu sahaja. Catatan masa lepas. Mungkin pada masa hadapan, jika sudah relevan, akan aku poskan ke dalam blog ini. Catatan mengenai kematian seorang adik, yang dirindui. Itu juga pernah menjadi satu punca, kehidupanku sentiasa mendung, dibasahi titisan hujan dari mata hati.

Biarku penuhi ruang masa yang ada ini untuk menceritakan kisah silam. Dikira dari saat ini, kira-kira 7 tahun yang lalu, aku telah diumumkan menjadi seorang pelajar cemerlang. Benar aku cemerlang, padahal aku masih kekurangan dalam matematik dan sains. Aku tidak pasti sama ada ini sudah ketentuan takdir. Aku lebih berkebolehan dalam bidang sastera.

Sudah banyak kejutan yang aku pernah buat, sejak zaman sekolah rendah, sejak tadika. Aku tidak perlu berbohong, pada saat aku mengenal huruf ketika usiaku 3-4 tahun. Aku sudah boleh mengeja. Perkataan pertama yang aku eja ialah... BOLA. Aku tidak tahu bagaimana aku boleh mengeja. Aku cuma mengetahui, aku mampu mengeja. Seperti anak itik yang mampu berenang tanpa diajar. Aku boleh mengeja.

Aku didaftarkan di sebuah tadika, ketika aku berusia kira-kira 4-5 tahun. Ketika itulah, aku mula melakukan pelbagai perkara yang mengagumkan. Aku rasa aku lebih berbakat dalam bidang sastera, seni dan kreativiti. Aku mungkin boleh menjadi seorang arkitek atau sasterawan. Mungkin juga doktor? Mengenai kebolehan mengingat; daya ingatakanku dikatakan cukup kuat, tetapi aku sendiri sampai sekarang tidak pasti kebenarannya.

Aku mahu lupa semua perkara pada masa silam. Namun, aku tidak tahu sama ada aku berupaya berbuat demikian. Aku mahu lihat kehidupan ini dari sudut pandangan yang baru, segar dan dengan daya inkuiri yang cukup kuat. Namun, ada antara orang di persekitaran yang tidak memahami niatku, tindakanku.
Bagi mereka, cukup seronok untuk mengenakan aku dengan kata-kata yang menghina. "Tak habis lagi. Ha, nanti kita konvo sekalilah." Kata-kata tajam dari junior satu fakulti. Apa mampu kukatakan selain... manusia sekarang semakin biadap. Budak-budak zaman sekarang makin bijak, ilmu pengetahuan dan kemahiran belajar juga lebih lengkap. Aku selalu juga berkunjung ke bilik mereka untuk 'mencuri' kemahiran-kemahiran itu. Ada junior yang baik hati, ada juga yang kurang ajar.

Aku masih ingat beberapa hari lepas, aku membantu seorang junior untuk memperbaiki tugasannya. Ini kerana tugasan yang dibuatnya secara berkumpulan itu telah ditolak (tidak diterima oleh pensyarah). Dari situ aku sedar, budaya perigi cari timba. Betul, aku sebagai seorang pengajar terpaksa berulang alik untuk mengajarnya. Terbalik bukan? Pada masa yang sama aku dihina secara halus, "Abang, kalau abang nak tengok tugasan (matematik), abang datang ke blilik saya. Malam semalam abang tak datang, kan saya dah suruh abang datang! Kalau abang nak, malam ni abang datang."

Sedangkan pada malam itu aku menderita sakit. Aku tidak mahu bergerak banyak. Aku mahu rehat. Dengan hinanya, semua keadaan menyerang kelemahanku. Aku tidak mahu menjadi beban orang. Malangnya. Malangnya. Aku akan cuba untuk mengubah nasib ini. Aku tidak akan menjadi beban lagi pada suatu hari nanti. Sebelum aku mati, maruah aku mesti aku pulihkan.

Semua perkara mesti aku juga yang pergi ke biliknya. Aku tidak ada apa-apa bakat yang boleh aku tonjolkan lagi di IPT ni. Cuma tinggal subjek-subjek matematik sahaja. Aku mendapat keputusan cemerlang untuk subjek-subjek bukan matematik. Ramai pelajar yang berebut-rebut untuk menyertai kumpulan tugasan bukan matematik yang aku kendalikan. Mereka ada yang menumpang, dan telah tamat pengajian. Bekerja, gaji hampir dua ribu sebulan. Aku? Masih menjadi bebanan orang. Dihina, dipandang rendah kerana tidak ada kebolehan dalam matematik. Sedangkan jika 7 tahun lepas, aku berkeras hati untuk mengambil bidang yang berkaitan dengan cita-cita sejak zaman sekolah dahulu. Mungkin sekarang aku sedang menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah. Kegawatan ekonomi. Kekangan ibu bapa.

Kerana sebab itu, sekarang. Aku terpaksa belajar dengan sekumpulan budak-budak yang agak biadap. Tidak semua, masih ada seorang dua yang aku kira agak bersopan, walaupun kebolehan mereka 5 hingga ke 8 kali ganda lebih baik dalam soal mempelajari matematik. Aku dapati mereka dengan sekali ajar sahaja sudah dapat memahami. Malah boleh menjawab soalan-soalan yang belum diajar oleh pensyarah.

Bercakap mengenai biadap. Mengingatkan aku mengenai derhaka dan taat. Aku ingin bercakap soal anak yang taat. Aku menyesal kerana aku menjadi anak yang 'taat'. Bukan... pada masa itu aku tidak memahami apa maksud anak yang taat. Definisi anak yang taat.

Aku harus mengubati diri. Menyesali diri kerana tidak memahami definisi tersebut. Anak yang taat, ialah anak yang mematuhi perintah ibu bapanya, arahan ibu bapanya selagi arahan tersebut adalah terbaik untuk dirinya, agamanya, keluarganya, masyarakat dan negara.

Lihatlah kesannya sekarang. Kerana gagal memahami maksud anak yang taat. Aku terpaksa menanggung penghinaan... Sudah 7 tahun...

Dalam tempoh ini... seorang mahasiswa mungkin telah berkahwin dan mempunyai satu, dua atau lebih anak. Seorang ayah sudah menjadi datuk... seorang ibu menjadi ibu mertua...

Seorang bayi... sudah pun boleh berlari... bercakap.. berhujah? Berbohong? Bergurau... Menjadi abang... atau kakak... menjaga adik..

Adik... Dahulu aku mempunyai seorang adik... satu kenangan silam... yang akan aku kongsikan dalam blog ini suatu ketika nanti... akan datang...

Label:

posted by Romantis Selatan @ 7:25 PTG   0 comments
Adakah aku anak yang taat?

Aku sudah 7 tahun berada di IPT, masih belum dapat menamatkan pengajianku. Hari ini tidak ada apa yang dapat aku lakukan selain berlapar.

Ya, berlapar. Aku tidak ada minat untuk menikmati apa-apa makanan. Sejak dua tiga hari yang lepas lagi. Tiga hari kelaparan tidak akan mati. Kalau aku rasa letih. Seteguk dua air sudah mencukupi. Pesta Konvo sudah lama bermula dan hampir tamat. Hari ini ada beberapa orang rakanku yang telah berjaya menamatkan pengajiannya di universiti. Seorang dalam sarjana muda bidang keislaman, beberapa orang lagi dalam bidang sarjana, matematik gunaan. Ada juga yang mengambil bidang kimia. Kejuruteraan dan sebagainya. Malam semalam aku bertemu dengan seorang kawan yang datang dengan keluarganya, sudah tamat pengajian. Katanya, cukup sunyi sebab dia agak lewat untuk konvo. Sudah tidak ada teman-teman yang boleh diajak sama untuk meraikan kejayaan masing-masing. Aku? Aku katakan kepada dia, aku tidak berminat untuk menghadiri konvo apabila aku telah selesai pengajianku di IPT ini. Sebab ini bukan cita-cita aku. Ini cuma... satu tugasan yang aku diarahkan untuk menyelesaikannya. Aku cuba... walaupun aku tahu aku berada dalam keadaan yang paling lemah. Namun aku tetapi mahu... berdikari, mencari jalan penamat yang cukup bahagia.

Ramai kawan-kawanku sudah bekerja, cuma 5 orang sahaja termasuk diriku yang masih berada di IPT, belum tamat pengajian. Semua ini gara-gara peristiwa 7 tahun yang lalu... aku sekarang sering mempersoalkan definisi anak yang taat. Aku rasa aku faham, aku telah berjaya mencipta definisi untuk itu. Definisi yang sepatutnya.

Seperti padamnya harapan... aku hidup seperti tidak pasti apa matlamatku. Namun akhirnya aku cuma menetapkan satu matlamat. Sudah padam cita-citaku. Sudah padam masa depanku. Aku cuma ingin menamatkan pengajian secepat mungkin. Aku khuatir, aku akan mati sebelum itu. Masa sudah semakin suntuk. Sakitku makin kerap berulang.

Aku rasa... tidak perlu kuberitahu keluargaku mengenai hal ini. Mereka sudah cukup rasa bersalah kerana peristiwa 7 tahun yang lalu. Aku tidak mahu, hati mereka terluka kerana mengetahui perkara ini. Biarkan, aku lenyap apabila tiba masanya. Aku harap ketika itu, aku tidak menjadi beban kepada sesiapa. Itu cukup menghina. Bagiku sekarang, mati dan hidup tidak ada bezanya. Cuma aku khuatir, adakah aku ini anak yang taat? Benarkah definisiku mengenai ketaatan? Masa semakin suntuk...

Label:

posted by Romantis Selatan @ 2:10 PTG   0 comments
Hari Minggu Yang Sunyi

Hari minggu, seperti biasa, hari ini aku rasa aku ingin keluar bersiar-siar. Namun tidak ada teman. Sunyi... sunyi itu umpama racun...

Ketabahan... setiap manusia punya cita-cita. Aku bukan manusia yang dilahirkan sempurna dari segala segi. Aku memiliki kecacatan. Mindaku tidak sempurna. Dahulu aku fikir, mungkin aku seorang yang memiliki rasa kekurangan seperti ini. Namun tidak.

Kisahku sebelum pertemuan dengan Dragonizer adalah lebih sunyi. Namun setelah aku mengenali Dragonizer, walaupun cuma menerusi alam siber, aku baru dapat menerima konsep hidup di dunia ini jauh lebih senang dari apa yang aku sangkakan sebelum ini. Maka dia, Dragonizer adalah teman dalam dunia siber, yang aku akan pikul atas tanda nama "sahabat".

Aku mungkin harus mengaku, aku dilahirkan cacat matematik. Pelik bukan? Ini adalah sejenis kecacatan intelektual yang mungkin belum pernah ditemui oleh mana-mana ahli psikologi. Tidak aku silap... menurut tulisan yang kuterima daripada Dragonizer, ada penemunya... orang itu dikenali sebagai Howard Gardner. Aku tidak begitu memahami tetapi aku merestui, ada 7 jenis kecerdasan manusia... mungkin lebih lagi, yang belum diterokai oleh manusia.

Katanya aku ini kekurangan dari segi kecerdasan logik matematika. Maka aku tidak begitu handal dalam bidang ini. Lalu menuntut diri aku melalui tahun-tahun yang lalu dan sekarang, dalam kehinaan. Seperti Dragonizer, aku yakin aku juga punya bakat dalam bidang penulisan... cuma laluan hidup aku, aku ketinggalan selama 7 tahun mungkin, untuk mengembangkan bakat aku dalam kecerdasan verbal. Lalu kuputuskan untuk menulis blog ini sebagai, penerimaan terhadap kebolehan yang telah lama kutinggalkan.

Aku ingin menjadi manusia yang berguna, dengan bakat yang kumiliki ini. Aku masih tidak memahami sejauh mana bakatku mampu kuperluaskan, namun aku fikir ini harapanku. Cuma pada bakat ini. Biarpun aku ketinggalan 7 tahun atau mungkin lebih, untuk memajukan lagi bakatku... aku... cukup sunyi... untuk menenggelamkannya.

Bakat ini cukup nostalgia... mengembalikan kenanganku... pada silamku... ketika itu... aku cukup gah...

Namun 7 tahun itu tidak akan berulang. Dragonizer menegaskan, "Hadapi kehidupan ini dengan tegas dan garang."

Maka aku juga memilih cara itu... kini, tetapi jiwaku masih... diselubungi kekecewaan lampau... mengenai kehinaan yang kuterima. Apa itu kehinaaan yang kutanggung selama ini? Mungkin belum cukup masa untuk aku jelaskan pada hari ni.

Aku menyertai Brotherhood of the Dragon... sebab aku yakin, aku juga mampu mengharungi hidup ini dengan tegas dan garang.

NOTA: Brotherhood of The Dragon adalah Organisasi Sulit Alam Siber untuk membantu mereka yang mengalami masalah yang sangat kritikal dalam kehidupan, tetapi masih mampu untuk mencari jalan penyelesaian untuk meneruskan hidup.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 1:01 PTG   0 comments
Prolog - Kepada siapa...

Malam ini, aku memutuskan untuk menulis sesuatu untuk mengisi kekosongan di selatan. Jiwaku tidak pernah kosong, cuma terlalu penuh untuk menyimpan sesuatu di dalam hati. Adakalanya manusia perlu berbicara tetapi peluang itu tidak selalunya datang. Ia muncul dan berlalu dengan begitu pantas, cuma kita harus bertindak cepat untuk menghindari peluang itu pergi dengan begitu sahaja.
Bagaimana kuputuskan untuk menulis di blog? Kesunyian... kehilangan... kematian... begitu sinonim dengan kehidupanku. Maka aku perlu berbicara. Menulis kata-kata dengan hati, menjadi surat-surat misteri. Ya, surat-surat ini sudah begitu lama tersimpan di dalam jiwa. Aku patut menulis sesuatu, mengirimkan sesuatu kepada... kepada siapa? Takdir. Takdir?

Ya... Takdir. Sebab apa yang aku telah lalui sebelum ini, aku sendiri tidak pasti sama ada ia adalah sebahagian daripada takdir atau pun bukan. Sekarang, buat masa ini, aku cuma mengirimkan surat-surat yang lahir dari lubuk jiwaku kepada sang Takdir. Walaupun tulisan ini ditujukan kepada orang-orang tertentu, namun... mustahil. Tidak dapat dibaca lagi... maka takdir... aku memutuskan untuk mengirimkan surat ini kepadamu...

Label:

posted by Romantis Selatan @ 1:36 PG   0 comments

© 2006 Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)
Main title designed by Amiene Rev from Brotherhood of The Dragon
No part of the content or the blog may be reproduced without permission.
Original Blogger Templates by GeckoandFly.

 


 

 



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Novel Kesayangan Saya


Web This
Profil Penulis


Nama: Romantis Selatan
Lokasi: Malaysia
Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini. Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya... Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang. Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan.
Maklumat Lanjut

Yang Sudah-sudah
Arkib
Jaringan Blogger
Mesej Pengunjung

Affiliates

Powered by Blogger
make money online blogger templates
Best Malaysian Sites