Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Rabu, Mac 29, 2006
Pertemuan Dengan Dr. Tahir Ahmad
Nota: Nukilan blog pada hari ini (29 Mac 2006) telah disiapkan awal-awal oleh penulis pada 6.45 petang, 28 Mac 2006 untuk menjimatkan masa. Hari ini penulis memberi tumpuan untuk nota-nota pelajarannya.
Belajar matematik sebenarnya adalah suatu istilah yang cukup global. Definisi belajar matematik berubah mengikut pemikiran, pendirian, sikap dan pengetahuan seseorang pelajar. Masalahnya, apakah definisi yang paling tepat untuk mewakili istilah belajar matematik? Definisi yang tepat, aku kira, adalah satu langkah permulaan untuk belajar matematik dengan betul. Aku ada kelemahan dari segi ini.
Hari ini (28 Mac 2006), aku mengulangkaji subjek Analisis Nyata. Namun ada sedikit masalah, aku kira contoh-contoh yang ada tidak cukup untuk menjadikan aku seorang pelajar yang mahir dengan matematik. Dalam kebuntuan itu, aku melangkah ke bilik pensyarah subjek itu. Dr. Tahir Ahmad. Sebenarnya pada hari itu, sekitar pukul 2.00 hingga 4.50 petang, akan ada kelas untuk Subjek Analisis Nyata. Walau bagaimana pun, Dr. Tahir Ahmad begitu memahami keadaan pelajar, maka dia memberi peluang untuk pelajar menggunakan masa ini untuk mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi ujian pada hari esok (29 Mac 2006). Tidak ada gunanya mengajar ilmu-ilmu baru jika minda pelajar dalam keadaan tidak bersedia. Pada hari ini, Dr. Tahir Ahmad memberi peluang kepada semua pelajar untuk menemuinya bagi bertanyakan apa-apa perkara yang berkaitan dengan Analisis Nyata. Aku merebut peluang ini. Dr. Tahir Ahmad adalah salah seorang pensyarah yang aku anggap sebagai pensyarah emas di universiti ini. Selalunya aku akan berikan markah penuh bagi borang penilaian pensyarah kepada beliau. Dia pernah mengajar subjek Aljabar Linear suatu ketika dahulu. Aku telah lulus subjek tersebut.
Dr. Tahir Ahmad adalah cukup fleksibel dan berdaya pemimpin. Walaupun dari segi "face to face" aku agak sedikit segan dengan wajahnya yang kelihatan agak garang dan serius, tetapi beliau sebenarnya memiliki keupayaan untuk mencipta humor dengan baik di dalam kelas, untuk meredakan stres belajar.
Pada hari ini (28 Mac 2006) aku bertemu beliau, dengan harapan akan mendapat skema-skema jawapan untuk ujian-ujian yang lalu. Malangnya tidak ada skema-skema tersebut. Aku meneliti satu kertas kerja yang cukup menarik. Berkaitan dengan otak, untuk merawat sejenis penyakit.
Fungsi otak; membangkitkan nostalgia kajian yang pernah aku buat suatu ketika dahulu. Aku berminat untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut. Aku kemudiannya menceritakan sedikit sebanyak mengenai kajian yang pernah aku buat dahulu kepada beliau. Kemudian kami berbincang pelbagai perkara, kebanyakannya berfokus kepada masalah akademik dan peribadi yang aku hadapi di IPT ini.
Dr. Tahir Ahmad menceritakan mengenai kisah Thierry Henry, pemain bola sepak Juventus yang kemudiannya mencipta zaman gemilangnya di Arsenal. Aku adalah seperti Thierry Henry. Dalam kes Thierry Henry, beliau bernasib baik kerana potensinya disedari selepas menyertai Arsenal. Posisi yang dipegangnya semasa di Juventus merupakan punca Thierry Henry tidak dapat cemerlang. Semasa bermain bersama Arsenal, Thierry Henry memegang peranan dalam posisi yang baru. Dari situlah dia muncul sebagai seorang bintang bola sepak.
Menurut Dr. Tahir. Aku adalah mangsa "ignorant". Bakat aku diabaikan. Ini mengimbas kembali kisah 7 tahun yang lepas. Aku mahu bangkit semula. Dr. Tahir mencadangkan pertemuan antara aku dengan beberapa orang pakar kaunseling profesional di universiti ini. Jika aku tidak silap, ialah Dr. TJ dan Dr. SS. Dr. Tahir membantu untuk mengadakan pertemuan. Hari Jumaat ini.Mungkin aku akan ceritakan apa yang akan berlaku pada hari Jumaat itu.
Sebelum ini aku pernah mendapatkan khidmat kaunseling. Aku harap kali ini akan ada perubahan dari segi pelaksanaannya. Aku ingin cepat tamat pengajian dan mendapat apa yang ibu bapa aku mahukan. Segulung Ijazah.
Malam ini (28 Mac 2006) aku akan kembali belajar. Jika dua minggu yang sudah, fokusku terhadap subjek Statistik II. Cuma beberapa hari telah kukorbankan untuk membantu junior membaiki tugasannya iaitu subjek Psikologi. Minggu ini adalah untuk Analisis Nyata.
Sebenarnya apa yang membuatkan perbincangan aku dengan Dr. Tahir Ahmad lebih berkait dengan masalah pembelajaran dan peribadi aku. Adalah disebabkan konvokesyen beberapa hari lepas. Aku sepatutnya pulang ke kampung dan menganggap ia tidak pernah wujud. Kewujudannya, kehadirannya, menimbulkan rasa bersalah, terhina sebagai bebanan orang, terhapusnya cita-cita, ketidak adilan dan... kematian. Mengingatkan hari konvo, di mana para pelajar mendapat ijazahnya, menyebabkan aku semakin bimbang tidak akan dapat tamat pengajian pada masa yang aku rancangkan. Seperti yang telah aku janjikan kepada ibu bapaku. Janji... ada suatu kisah mengenainya.
Aku perlu cuba melakukan sesuatu. Agar aku dapat menunaikan janji itu. Pertemuanku hari ini (28 Mac 2006) adalah salah satu tindakan yang aku lakukan untuk membantu aku mencari jalan untuk... itu.
Tidak semua pelajar yang tamat pengajian tepat pada masanya itu adalah pelajar yang benar-benar menguasai apa yang mereka pelajari. Tidak semua pelajar yang tamat pengajian itu menggunakan apa yang mereka pelajari. Ada yang menumpang. Ada yang malas, tetapi mereka berbakat dalam matematik. Itu faktor utama mereka berjaya tamat pengajian.
Aku rasa cukup hari ini (28 Mac 2006) aku menulis. Aku akan rehatkan diri untuk memberi tumpuan untuk subjek Analisis Nyata. Ujian pada malam esok (29 Mac 2006). Setelah melaksanakan usaha-usaha yang sewajarnya, aku hanya mampu memandang langit.
Nama: Romantis Selatan Lokasi: Malaysia Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini.
Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya...
Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang.
Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan. Maklumat Lanjut