Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Ahad, Disember 04, 2011
Tersedar Dalam Rintik Hujan Bulan Disember
Setiap kali hujan turun, seringkali mengingatkan aku pada tangisan. Kerana pada bulan Disember ini, selalu sekali berlaku peristiwa yang mencengkam jiwa, menggusar hati dan pintu tawa pun tertutup. Pada bulan ini, kurang muncul sinar matahari, suasana mendung kurang ceria.
Tetapi rintik-rintik hujan selalu sekali membuat aku tersedar, betapa tenangnya hari yang dipenuhi air-air dari langit tinggi. Rupa-rupanya titis-titis dari angkasa ini, bisa mewujudkan sejenis ketenangan yang tidak dapat dirasai pada lain-lain musimnya.
Hari itu, 19 November 2011, ketika itu kenderaan bergerak perlahan ke Selatan, dan kemudian keretaku dirempuh dari belakang oleh seorang lelaki India. Lelaki India yang budiman ini tidak melarikan diri, sebaliknya bergegas mendapatkan aku. Aku pun berjabat tangan dengannya. Lelaki India ini berjanji akan membayar ganti rugi kerana telah merempuh bumper keretaku. Aku bersetuju. Ini kali pertama keretaku terlibat dalam kemalangan. Kemalangan ini pun bukan kerana salahku.
Kami berangkat menuju ke sebuah bengkel kereta yang dimiliki oleh seorang anggota kongsi gelap Cina. Selepas lelaki India membayar wang pada seorang tauke bengkel berbangsa Cina, aku pun mendapat bumper kereta yang baru. Pada petang itu lelaki India itu menelefon aku, memberitahu aku bahawa dia mahu membeli nombor ekor. Katanya nombor plat kereta aku mungkin bertuah. Aku tergelak kecil. Begitulah kisah bumper ekor dan nombor ekor.
SURAT UNTUK TAKDIR 2011 - Era Baru Romantis Selatan
Lama sudah aku meninggalkan kantor penulisan ini. Hari ini, 20.11.2011, aku kembali ke ruangan ini untuk menulis sepatah dua kata. Mungkin beratus-ratus kata, perkataan. Kali ini aku menulis tentang satu dunia asing yang bukan lagi dunia yang biasa aku lalui suatu ketika dahulu. Ini adalah dunia selepas graduasi. Selepas aku berjaya mencapai kejayaan dalam kerjayaku. Apa pun masih tetap ada satu persamaan, aku tetap merendah diri seperti dahulu. Tidak ada catatan yang boleh dibanggakan. Cuma beberapa kisah kejayaan.
Sekembalinya aku ke sini, aku mengingati berkali-kali, semua memori ketika aku masih di universiti. Aku mengingati rangkaian-rangkaian cerita dahulu, semuanya sudah berlalu. Aku masih tidak lupa untuk menghubungi guru-guru, pengajar-pengajarku yang dahulu. Bagaikan masa itu tidak pernah berhenti menunggu, supaya aku kembali ke sisinya. Seperti masa itu masih tetap terus merindui aku, yang dulu. Atau barangkali... masa itu sungguh terharu melihat aku kini datang menjenguknya.
Sayang sekali, masa itu tidak bernyawa, tidak berperasaan seperti kita-kita semua. Adakah sesiapa di sini yang akan mengalu-alukan aku? Aku tidak pasti, aku tidak mengharap apa-apa pun. Aku cuma mahu mencatat apa yang aku rasa kini. Tentang pekerjaanku barangkali, atau tentang kisah-kisah hidup manusia di sampingku barangkali?
Sebelum Bercita-cita Menjadi Sasterawan, Cita-citaku Adalah Seorang Saintis
Selama beberapa minggu itu, aku hinggap di rumah kakak dan abang iparku. Namun kehadiranku tidak disenangi abang iparku. Soal privasi barangkali? Satu lagi, soal kewangan. Aku tahu, dengan status manusia tidak bekerja, aku cuma akan membebankan kewangan keluarga ini. Selepas menyelesaikan beberapa tugasan berkaitan pendaftaran akademik, aku memutuskan untuk pulang juga.
Aku terpaksa pulang juga, dengan berat hati. Aku tahu, hati aku bakal disakiti ibuku. Juga aku tahu betapa kesalnya ayahku apabila kawan-kawan aku menegurku di masjid, dengan kisah-kisah kegemilangan mereka hari ini. Sebentar tadi, di masjid, aku menemui seorang sahabat lama. Dia telah bekerja sejak tiga tahun lalu.
Cerita mengenai kawan aku ini, menyebabkan kekesalan ayahku. Kesal kerana suatu ketika dahulu, dia dan ibuku yang menyebabkan aku terpaksa melalui kegelapan selama beberapa tahun.
Dahulu, keluarga ini berlagak. Menghina diploma dan bidang-bidang mudah. Aku dijadikan ayam sabung. Simbolik kemegahan keluarga. Sekarang mereka kesal dan sering berkonflik, malah pernah melalui perceraian. Mujurlah perceraian itu cuma seketika.
Sejak itu, aku tidak suka lagi pulang ke rumah. Kehadiranku bagaikan tidak lagi diterima. Ibuku sering menyakiti hatiku. Berbanding adik beradikku yang lain, aku sering dianak-tirikan.
Dalam keluarga ini, penderhakaan itu satu kemestian. Ibu aku menyalahkan aku kerana taat, mengikut telunjuknya semasa membuat pilihan ke universiti. Sedangkan sebelum itu aku memberontak menentangnya. Kakak dan abangku dijadikan contoh, kerana mereka sering mengingkari arahan ibuku. Mereka berjaya kerana mereka tidak menurut telunjuk ibuku. Sedangkan sebelum itu, mereka dimarahi berkali-kali.
Adakah ibuku sukakan penderhakaan? Atau tidak mahu mengakui kesalahannya?
Apa pun kesalahan pasti akan dijatuhkan kepadaku. Kegeraman di pejabat juga akan dilepaskan kepada aku. Sejak aku kanak-kanak hingga sekarang. Barangkali benar kata ibu aku. Dia jahat. Kalau orang kata dia jahat, maka dia adalah lebih jahat daripada itu.
Aku pulang ke rumah beberapa hari lalu. Mengemas bilikku yang sudah bersawang. Tapak kakiku hitam memijak debu-debu. Nyamuk, labah-labah sudah bersarang dalam bilikku. Di atas meja, hadiah-hadiah penghargaan yang diberikan kepadaku oleh rakan-rakan sekerja dahulu, sudah berdebu. Aku mencuci satu persatu.
Aku juga menemui kad jemputan kahwin dan, oh ya, kad hari raya daripada Kak Aina Emir. Tidak pula aku dimaklumkan akan kad ini semasa keluargaku pulang ke rumah nenek tempoh hari. Buku Kau Laksana Bulan dengar khabarnya sudah 8 kali diulang cetak. Judul klasik yang mencatat jualan yang sungguh memeranjatkan, ulas sebuah akhbar tempatan.
Aku semester ini, berjaya mencatat satu pencapaian yang paling baik dalam hidupku. Semua ini adalah kerana bantuan seorang sahabat. Namanya, Dragonizer. Dia adalah menulis di sebuah blog. Kami belajar menulis bersama-sama. Salah seorang guru kami adalah Haji Sasman bin Yasir, seorang bekas editor di Dewan Bahasa dan Pustaka. Dia menggunakan nama pena Duke Amiene Rev. Sibuk benar dia menguruskan soal-soal akademik.
Aku tahu dia hendak membantu aku. Terima kasih, Amiene Rev. Aku mendapat keputusan yang paling baik dalam sejarah hidupku untuk satu subjek matematik. Ada dua subjek. Satu lulus dan satu gagal. Namun gred yang baik untuk satu subjek itu, barangkali adalah perkara yang paling menggembirakan dalam hidup aku. Belum pernah aku merasai keputusan sebaik itu. Sahabatku ini, mengalami depresi kerana menguruskan program ini. Dia sebenarnya bukan sahaja ingin membantu aku, tetapi pelajar-pelajar yang lain juga. Tugas ini amat berat dan mencabar. Lebih-lebih lagi beliau turut terlibat dalam projek penulisan tesis untuk mengajar orang dewasa. Sekarang aku pasti dia sangat sibuk. Aku mengunjungi blognya, tidak ada update terkini. Entri terakhirnya berbaur depresi. Pasti program ini memberi impaks yang besar terhadap emosinya.
Tetapi, dia telah berjaya. Biarpun satu lulus dan satu gagal untuk aku, tetapi yang lulus itu sangat berharga, kerana grednya. Bermakna aku sudah melakukan lompatan saujana dalam pencapaian akademikku.
Tetapi, yang gagal itu, amat menyakitkan hati. Kerana itu, aku tidak berani pulang. Ibuku tidak menyenangi satu gred yang gagal itu. Bermaksud aku harus menambah satu semester lagi. Lalu di rumah ini tidak ada ketenangan lagi.
Bilik yang bersawang itu, aku mengambil beberapa hari mengemasnya. Terlalu berat debunya. Aku masih penat selepas perjalanan jauh dari selatan. Balik saja, terus mengemas bilik. Sempat solat subuh di masjid bersama ayahku. Seorang pakcik kelihatan serius mukanya ketika bersalaman denganku. Pasti dia menyoal di dalam hati, "Awak ni bila nak habis belajar?"
Suasana di kampung tidak begitu ceria lagi. Aku rasa seolah-olah tidak diterima lagi. Kampung ini bukan tempat untuk aku menenangkan fikiran. Jeritan ibuku apabila memarahiku, kedengaran sampai ke rumah jiran. Memalukan aku. Semuanya gara-gara berita buruk mengenai keputusan akademik. Kecemerlangan yang kuperolehi dalam subjek selain matematik tidak pernah disebut-sebut lagi. Tidak bermakna apa-apa lagi.
Aku mengemas bilik seperti orang yang sudah hilang ingatan. Kebencian dan dendam terhadap masa silam hingga kini, seolah-olah meragut segala memori. Aku bagaikan tidak ingat apa-apa lagi. Sudah lupa dengan segala penderitaan. Barangkali aku sudah lali, pasrah dengan apa yang berlaku. Barangkali aku sudah jemu mengingati dendam-dendam lama ini. Dendam terhadap kegelapan selama lebih tujuh tahun ini. Aku sangat berdendam dengan tujuh tahun yang sia-sia ini.
Aku terus mengemas bilikku. Membersihkan barang-barang yang masih baik dan yang sudah rosak. Menghalau serangga-serangga keluar dari bilik.
Aku membuka laci. Membuang barang-barang yang sudah rosak. Buku-buku yang sudah tidak boleh dibaca lagi. Lama sangatkah aku tinggalkan bilik ini?
Kemudian aku menemui sesuatu. Buku yang dibalut dengan kemas. Tersorok antara buku-buku yang lain. Berkeadaan baik. Tahun 1995. Buku itu tertulis:
"Kajian Mengenai Matematik" - Penulisnya adalah aku!
Aku membelek-belek lagi. Tiba-tiba aku rasa diri ini seolah-olah Adiputra. Buku ini ditulis semasa zaman kanak-kanakku. Aku juga melihat beberapa lukisan mekanikal yang aku lukis sendiri. Cita-cita, saintis!
Rupa-rupanya, aku pernah bercita-cita untuk menjadi seorang saintis! Buku ini sudah amat lama tersimpan. Sudah lebih 12 tahun. Aku meneliti lagi. Ah, ini...
Aku terkejut. Rasa gementar, gembira dan terharu. Sebuah buku...
kerana buku ini, aku ingin jadi seorang sasterawan, kerana buku ini, aku bercita-cita mahu menjadi penulis, ini semua, adalah karya-karya yang terselamat.
Aku masih menyimpannya, aku tidak sangka! Kenapa baru sekarang aku menemuinya? Rupa-rupanya buku-buku ini semuanya disorok! Tidak dimusnahkan! Kerana sudah cukup lama aku meninggalkan bilik ini, dan apabila berlaku kerosakan pada barang-barang di bilik ini, maka segala harta cita-cita yang telah kukunci di dalam peti seolah-olah hilang.
Seorang saintis dan kemudian seorang penulis. Kajian tentang Matematik, aku yang mengkajinya.
Petang ini, hari ini, kelmarin, semalam dan sebelumnya. Aku rasa kesunyian. Sejak akhir-akhir ini, aku sering mengalami sakit kepala. Aku seolah-olah tidak dapat membezakan kebenaran lagi. Wujud kepercayaan yang membezakan dunia nyata dan palsu. Seakan-akan delusi.
Semalam, aku bermimpi, seorang pensyarah Matematik, telah meluluskan satu subjek yang menjadi kebimbanganku. Dia menukar markahku dan ini menjadikan aku lulus subjek tersebut. Kemudian aku tersedar, dan mendapati, itu cuma mimpi.
Aku ingin keluar dari bilik yang gelap ini. Aku ingin mencari cahaya. Semua orang pasti membenci aku. Aku adalah bebanan semua orang. Aku adalah orang yang mengecewakan semua orang. Orang yang tidak dapat membuat keputusan yang betul untuk diri sendiri.
Aku adalah orang yang rugi. Selalu merugikan diri sendiri. Sifat lembut hati adalah puncanya. Semua orang yang pernah meminta tolong kepadaku sudah pergi jauh. Mereka tidak mengenali diri aku lagi.
Apabila mereka mendapat berita kejayaan. Mereka akan datang merisik. Cuma mahu berkongsi yang baik-baik sahaja, yang bahagia sahaja. Cuma itu. Kesedihanku, kesusahanku, mereka lontarkan jauh-jauh dari minda dan hati mereka. Tak kurang juga yang menyalahkan aku. Itu masalah aku, bukan masalah mereka.
Aku berdendam dengan mereka ini. Aku pasti, mereka suatu hari nanti akan diberi pengajaran. Kemudian mereka akan sedar, betapa mereka ini golongan yang mementingkan diri sendiri. Aku yang menolong mereka dan mereka cuma rasa, mereka WAJIB ditolong, tetapi apabila aku yang memerlukan pertolongan, mereka berpura-pura tidak nampak.
Mereka mempunyai alasan, mereka sibuk. Mereka ada kehidupan sendiri yang perlu mereka uruskan. Kalau begitu! Baiklah ...
... aku akan mengingati perkara ini sampai bila-bila. Kehidupan mereka akan musnah dengan sifat pentingkan diri sendiri mereka. Mereka ingat ini adalah permainan. Kalau begitu biarlah kebinasaan menjadi permainan hidup mereka... sampai MATI!
Manusia mengenal erti kematangan, apabila umur meningkat di lapangan pengalaman. Hidup aku dipenuhi dengan dendam. Dendam dan kebencian. Aku hanyut, dibawa arus lautan darah yang bermegah dengan niat perjuanganku sendiri.
Apabila keranda dibawa, segala kesal pasti dibawa pergi menuju ke neraka. Semalam aku sempat berkunjung ke sebuah toko. Buku-buku keagamaan. Bukan Islam tetapi Kristian.
Aku menilik Bible. Membaca petikan-petikan suci. Tekanan. Aku meneliti doa-doa kudus itu, serta merta darahku terasa panas. Aku menghayati bahang 'neraka'.
Badanku, darahku tergesa-gesa berlari-lari di dalam badanku, menolak aku. "Keluar! Keluar! Keluar!"
"Lari! Lari! Lari!" Seperti hilang nyawa, hilang akal, hilang pemikiran, aku bergegas keluar meninggalkan dunia Bible itu. Dan, badanku tiba-tiba sejuk semula.
Jangan sekali-kali engkau membelek kitab-kitab itu lagi! Aku meninggalkan bandaraya selatan itu. Sudah lama aku tidak bertemu dengan orang. Kesunyian. Kedinginan. Jiwa aku beku.
Beberapa tahun dulu, aku bertanya kepada ibu aku, bagaimana keadaan dia semasa mengandungkan aku. Ibu aku kata, semasa dia mengandungkan aku, dia tidak senang hati. Ibuku tidak lalu makan. Susah hati.
Beberapa tahun dulu, pengasuhku (ibu saudaraku), pernah menceritakan. Semasa aku kecil, aku pernah dicampak ke lantai. Ibu bapa aku bergaduh, sebabnya aku tidak tahu. Bibi, tidak pernah menceritakannya. Bibiku juga tidak menceritakan, siapa yang mencampakkan aku ke lantai, ibuku atau ayahku...
Apabila aku membesar, aku tidak mendapat layanan dan kebebasan sebagaimana adik beradikku yang lain. Aku hairan kenapa adik-beradik aku dapat apa yang mereka mahu. Bebas. Adik-beradik aku yang lain, sering berpakaian serba baru. Aku pula selalu diberikan baju milik abang-abangku.
Abang-abang aku sering merampas barang-barang aku. Barang-barang yang diberikan kepada aku. Termasuk kebolehanku. Buku sekolahku pernah diconteng, buku latihan Bahasa Inggerisku. Aku juga dipaksa belajar Matematik, sedangkan pada ketika itu aku perlu menyiapkan kerja rumah Bahasa Inggeris. Setiap kali aku mula hendak menulis dan menjawab soalan, abang aku akan mengeluarkan ekor ikan pari untuk menyebat aku. Parut-parut ini kekal di belakang badan. Guru Bahasa Inggeris memarahi aku kerana tidak siap kerja rumah. Aku tidak tahu sama ada kerana ini, punca aku takut untuk belajar Matematik.
Dia sudah menjemur ekor ikan pari itu awal-awal. Katanya untuk menyebat aku. Bibi tidak bersetuju, namun abang sulung tidak mendengar kata. Aku tidak tahu, kenapa bibi aku takut benar dengan abang sulung aku. Aku juga pernah ditikam dengan jarum besi jangka lukis, sehingga timbul lubang-lubang di tangan, peha dan badanku yang kelihatan isinya. Aku mengadu kepada ibu aku, tetapi ibu aku tidak begitu mengambil berat. Selalu orang akan bertanya, kenapa di belakang badan aku ada banyak parut... ... ... Aku bersyukur parut-parut itu tidak begitu jelas lagi sekarang.
Suatu ketika, aku mendapat kuih dengan coklat di atas. Abang sulung aku merampasnya, mengotorkannya, dan memaksa aku memakannya. Aku tidak mahu makan, tetapi dia mengugut aku. Aku terpaksa makan. Barangkali, dia jadi gila sekarang, kerana dosa-dosa dia kepada aku dulu. Tetapi dia tidak insaf-insaf lagi. Adik-beradik aku yang lain sekarang sering bergaduh dengannya. Dia juga sudah tidak boleh membuli aku lagi. Badan aku lebih besar dan tegap berbanding dia. Satu penumbuk aku boleh menumbangkan dia, tetapi aku tidak pernah berbuat demikian. Sebab, dia abang aku.
Adik-beradik aku yang lain selalu dapat peluang menumpang kereta ayahku ke sekolah. Aku tidak pernah. Aku berjalan kaki ke sekolah.
Apabila aku mendapat sesuatu, kadangkala sampai aku mengamuk, baru boleh dapat. Abang-abang aku akan merebutnya daripada aku. Sedangkan barang-barangnya tertulis nama mereka, tidak boleh dipinjamkan. Barang aku, barang mereka. Barang mereka, barang mereka.
Nenek aku meninggal dunia semasa aku masuk ke universiti. Ketika itu aku tidak ada, berita sampai lambat 3 hari kepadaku. Aku tidak ada handset. Adik-beradikku yang lain sempat pulang. Aku tidak...
Nenek pernah memelukku suatu ketika. Dia kata, aku ini 'anak'nya. Sebab aku dibela oleh nenek semasa kecil, semasa masih bayi. Nenek aku meninggal kerana sakit jantung. Tarikh kematiannya aku masih ingat. Ketika nenek meninggal dunia, pada masa yang sama aku sempat melihat sebutir cirit bintang jatuh dari langit. Hati aku sayu ketika itu... tapi aku tidak tahu nenek sudah meninggal dunia.
Adik sepupu aku tinggal dengan nenek selepas ibunya meninggal akibat suatu penyakit. Selepas nenek meninggal, adik sepupu aku tinggal dengan keluargaku. Dia dilayan sama seperti aku. Namun pada ketika itu keluarga aku sudah berubah. Gaji ayah dan ibuku sudah naik. Jadi adik-adik aku agak beruntung.
Adik sepupu aku tidak suka tinggal di rumah aku, sebab abang sulung aku yang gila itu. Selepas tamat SPM, dia meninggalkan rumah, tinggal di rumah ibu saudara aku yang lain. Aku dan ayahku menghantarnya ke stesen bas. Ayah aku menitis air mata kerana itu.
Aku kadang-kadang terfikir, siapa aku... tapi aku harap aku benar-benar anak mereka... biarpun sekadar bayi yang pernah dicampakkan ke lantai, oleh ibu bapanya.
Dengan tertulisnya kisah hidup ini... maka aku akan lebih sunyi. Meluahkan suatu perkara, bermaksud, aku harus lebih menyembunyikan identiti aku yang sebenarnya.
23 Mac 2007, genap satu tahun aku membuka blog ini. Ini tahun ke-8, aku terperangkap di sini. Semalam ayah aku ke Barat, untuk urusan pencen. Dia menghantar SMS 4 kali kepadaku, apabila aku bertanya ada apa di sana.
Jawapan yang sama:
"Urusan Pencen."
"Urusan Pencen."
"Urusan Pencen."
"Urusan Pencen."
Tidak ada lagi sumber kewangan dari keluarga aku. Aku, harus berdikari, mencari wang sendiri. Sebenarnya, pada semester ini, kesihatan aku tidak lagi begitu baik. Barangkali, ajal sudah dekat...
Sepanjang semester ini, kekecewaan aku semakin bertambah. Aku sembunyikannya dalam-dalam. Sebab aku tahu, tidak ada siapa lagi, yang boleh menolong aku. Aku mesti bergerak atas kaki sendiri. Seperti, seperti Dragonizer... tegas dan garang!
Aku mendapat tahu, Dragonizer sekarang telah memulakan perjuangannya. Dalam keadaan sakit, dia tetap boleh berjuang! Maka aku pun patut boleh! Dia mempengerusikan mesyuarat dalam keadaan urat-urat mata yang merah, lingkaran-lingkaran otak yang terbakar, menahan kesakitan. Aku juga patut boleh! Patut boleh berdepan dengan Matematik!
Aku mendapat tahu, tahun lepas, Dragonizer menghadapi satu kemalangan. Amnesia. Hilang sebahagian kecil memorinya. Patutlah, sudah lama aku tak mendengar khabar berita dia.
Namun hari ini dia telah menjadi pemimpin. Sesudah bertahun-tahun dia meninggalkan orang ramai, hari ini dia kembali berjejak ke dunia yang sepatutnya menjadi miliknya. Menghadapi generasi muda yang terkenal dengan biadabnya. Penuh kesabaran, memimpin mereka. Dia berjaya!
Aku juga boleh... Aku juga sepatutnya boleh!
Jangan musuhi aku lagi... Matematik... kesunyian... aku tahu sepatutnya aku mendapat pendidikan khas... tetapi aku tidak mendapat hak tersebut...
Kebebasan. Kali ini aku bukan bercakap soal penderhakaan lagi. Sebab aku sudah faham, ibu bapa tidak semestinya betul. Adakalanya aku perlu membuat keputusan sendiri. Namun aku rasa, dalam banyak hal, aku harus membuat keputusan sendiri.
Sejarah silam aku, membuktikan aku sering diabaikan dalam keluarga aku. Kebahagiaan ternyata wujud dalam masyarakat yang aku hadapi, tetapi tidak wujud dalam masyarakat kecil. Sekiranya aku terus melibatkan diri dalam masyarakat kecil (keluarga aku), terus membiarkan diri aku dikongkong oleh keluarga aku, maka kesudahannya aku akan menjadi, seorang bodoh dan tidak berguna.
Sehingga sekarang aku kurang kemahiran dalam banyak hal-hal yang tak penting. Gara-gara kongkongan ibu bapa. Namun orang lain menganggapnya penting. Apabila orang meminta aku memandu kereta, aku tidak dapat. Sekarang aku faham, kadangkala aku harus menganggap ibu bapa aku sebagai 'MUSUH'. Mereka akan memusnahkan hidup aku pada jangka masa panjang dengan keputusan-keputusan mereka. Tidak boleh patuh pada arahan mereka.
Mungkin ini adalah penderhakaan? Tidak. Kalau benar ini adalah penderhakaan, maka kalau ibu bapa aku suruh aku merompak, patutkah aku pergi merompak? Masalah ibu bapa aku tidak tahu membuat keputusan yang betul.
Sepanjang masa, mereka memandang rendah aku. Menghalang aku daripada menerokai hidup aku. Aku ingat semasa dahulu, aku ingin mengisi borang ke asrama penuh. Mereka menghalang. Aku ingin pergi ke tempat jauh daripada keluarga aku. Sebab mereka mengongkong. Aku lihat abang-abang aku dan kakak-kakak aku semuanya membesar di tempat lain, di sekolah berasrama. Mereka bebas daripada kongkongan ibu bapa, mereka mencipta keputusan sendiri.
Dalam keluarga, barangkali, aku seorang yang paling jarang membantah arahan keluarga. Paling kerap disisihkan. Kadangkala ibu bapa aku tidak menyedari kewujudan aku. Semasa kecil, baju-baju aku semuanya baju-baju yang sudah dipakai, baju-baju abang-abang aku. Abang-abang aku bergembira mendapat baju baru. Aku mewarisi baju-baju mereka. Semasa kecil, abang-abang dan kakak-kakak aku sering menumpang kereta ibu bapa aku untuk ke sekolah, aku berjalan kaki sendiri ke sekolah.
Aku berbeza dengan adik-beradik aku yang lain. Abang-abang aku sering mencemburui aku kalau aku mendapat biar satu pun kelebihan. Aku cuma mendiamkan diri apabila melihat abang-abang aku mendapat sesuatu daripada ibu bapa aku.
Aku berbeza daripada adik-beradik aku yang lain. Adik-beradik aku sering memandang rendah aku sebab mereka belajar di di tempat yang lebih baik. Aku pula tidak dibenarkan meninggalkan rumah. Aku cuma ada seorang adik perempuan. Adik aku ini paling beruntung. Kakak-kakak aku juga beruntung. Mereka dapat apa yang mereka mahu. Aku... tidak.
Sekarang, aku sudah bebas, tinggal jauh daripada keluarga aku. Namun sebelum itu, ibu bapa aku telah meninggalkan kunci rantai yang telah mengongkong hidup aku. Kunci masa depan.
Sekarang masa depan aku terpadam... walaupun aku sudah berjauhan, ibu bapa aku masih mengongkong aku menerusi cita-cita aku.
Aku bernasib baik tidak berkesudahan seperti abang sulung aku. Gila.
Aku mahu buat keputusan sendiri. Mereka tidak boleh mengongkong hidup aku lagi.
Garuda yang memberontak, terbang bebas di angkasa. Raya...
Aku, Romantis Selatan, tidak dapat lagi menulis mengenai kehidupan aku. Sekarang aku sudah buka mata aku, mengetahui, betapa aku ini tidak berbakat dalam bidang penulisan.
Kalau benar aku ini orang yang berbakat, sudah lama aku disambar oleh mana-mana syarikat penerbitan, bersungguh-sungguh mahu menerbitkan hasil tulisan aku.
Jadi, sekarang. Aku sedar, aku tidak ada bakat seperti itu. Membaca semula semua tulisan aku, betapa banyak cacat cela yang aku sendiri rasa, inikah aku? Kenapa, kenapa begitu teruk sekali hasil tulisan aku. Lemah. Tidak bermaya. Layu.
Ini.... biar dia, dan hanya dia sahaja, yang menulisnya untuk aku.
Ini.... biar dia, dan hanya dia sahaja, yang menulisnya untuk aku.
Ini.... biar dia, dan hanya dia sahaja, yang menulisnya untuk aku.
Ini.... biar dia, dan hanya dia sahaja, yang menulisnya untuk aku.
Ini.... biar dia, dan hanya dia sahaja, yang menulisnya untuk aku.
Ini.... biar dia, dan hanya dia sahaja, yang menulisnya untuk aku.
Ini.... biar dia, dan hanya dia sahaja, yang menulisnya untuk aku.
Kulit buku... ... boleh dibuat sendiri atau minta bantuan sahabat setia aku itu.
Tema... sedia ada
Bilangan muka surat... sedang dirancang
Saiz buku... sudah ditetapkan
Jumlah sekuel... dua atau tiga
Bahasa... Melayu, Inggeris
Penerbit... Sendirian Berhad
Promosi... Diri sendiri dan Sahabat setiakawan
Edaran... Diri sendiri dan Sahabat setiakawan
Kewangan... Diri sendiri dan Sahabat setiakawan
Aku patut belajar daripada penulis-penulis blog yang sudah menerbitkan buku-bukunya sendiri. Barangkali sudah sampai masanya untuk aku ke sekolah lama aku, melihat kalau-kalau masih ada guru-guru yang pernah mengajar aku.
Biarlah tidak ada penerbit atau pengedar sekali pun, aku pasti akan mampu mengedarkan buku-buku ini sendiri. Bukankah penulis-penulis blog yang lain-lain itu pun berusaha sendiri? Mungkin lambat sedikit, tapi sekurang-kurangnya suatu ketika nanti, aku akan berpeluang memiliki mesin cetak sendiri dan syarikat sendiri.
Rakan-rakan setiawan sekalian... aku mahu menguji kalian, sama ada kalian benar-benar kawan atau pun lawan. Jika kalian mahu menjadi lawan, maka, marilah! Mari kita lihat siapa yang akan kekal! Aku akan 'membunuh diri' kalau aku kalah! Setuju? Bagus!
Aku mahu bermula dari bawah, menulis dan menerbitkan buku sendiri... jadi sokonglah aku, sekiranya kalian sahabat-sahabat aku (biarpun kalian tidak pernah membaca blog ini, tapi aku harap suara hati aku ini akan sampai kepada kalian semua!).
Dalam api yang menyala-nyala, Satu jasad akan hilang nyawa..
Memandangkan kesihatan Romantis Selatan yang semakin merosot sejak beberapa minggu lalu, akibatcontinuous depression (atas sebab-sebab tertentu yang sangat sulit untuk diterangkan), blog ini akan sunyi tanpa tulisan-tulisan beliau.
Sekian, terima kasih kerana membaca. Jika ada hayat yang panjang, pasti akan ada kesinambungannya.
Dalam api yang menyala-nyala... Satu jasad akan hilang nyawa...
Aku masih tidak tahu, kenapa Jenab boleh muncul secara tiba-tiba. Adakah wanita ini wujud ketika aku meninggalkan blog ini beberapa purnama yang lalu? Atau, apakah wanita ini mempunyai perkaitan dengan sesuatu, masa silam aku?
Wanita ini cukup misteri. Adakah dia seorang gadis atau nenek tua? Mungkin seorang ibu. Pun begitu, dia tetap telah wujud dalam catatanku.
"Tuan Romantis Selatan. Adakah, tuan ingin tahu kenapa hamba boleh wujud dalam dunia ini?" Jenab seakan-akan tahu apa yang bermain di fikiran aku.
"Kalau begitu, baik juga saya mengetahuinya."
"Saya mendapat khabar, yang Tuan ingin bekerja di sebuah pusat membeli belah. Kan begitu?"
"Sementara sahaja."
"Jadi..." Aku masih bingung. Aku tidak tahu apa patut aku katakan kepada wanita ini.
"Apa perkaitannya dengan pusat membeli belah itu?"
"Nama tempat itu, dan nama hamba, bermula dengan huruf yang sama. Adakah kerana itu, saya memiliki nama ini?" Sekarang aku semakin bingung, siapa yang bertanya kepada siapa?
Aku rasa aku patut tamatkan catatan aku hari ini. Aku makin bingung. Barangkali aku tidak patut menulis pada hari ini.
Dan Jenab akan terus wujud sebagai watak yang abstrak...
Pst... Pst... Tunggu...
Jenab adalah watak eksperimentalis untuk Teknik Surah Yusuf. Bisik suara hati aku. Sekarang semua sudah faham bukan?
Oleh itu, jangan bertanya bagaimana rupa Jenab, jangan bertanya bagaimana suara Jenab, jangan bertanya apa yang Jenab pakai dan jangan bertanya kepadaku...
Aku rasa aku merindui sesuatu. Jauh nun di suatu tempat. Barangkali, belum sampai masa untuk aku pergi ke sana, menemui orang-orang yang telah lama aku tidak temui.
Dan ketika aku pejamkan mata ini, terasa seperti sepasang sayap tumbuh, bersinar-sinar keemasan. Lalu tiba-tiba badan ini terasa ringan, perlahan-lahan melonjak ke langit...
Melihat dunia, dari suatu sudut yang berbeza. Dari langit, aku terpaku sejenak. Aku dapati, malam ini, tidak ada bintang. Cuma aku yang terang benderang, disapa cahaya bulan terang.
Dua minggu yang lalu aku telah berjaya mendapatkan satu pekerjaan sambilan. Jaraknya yang jauh menyebabkan aku harus minta bantuan pengangkutan daripada abang iparku, memandangkan dia tidak bekerja tetap, selain urusan Multi-Level Marketingnya. Kakak aku yang bekerja sebagai guru boleh dikatakan sebagai pencarian utama dalam keluarga.
Sekitar RM200 telah kugunakan sebagai modal untuk memulakan pekerjaan ini. Pekerjaan ini berkaitan dengan komponen plastik. Aku meminta bantuan abang iparku untuk membawa aku ke gudang. Ini kerana jika aku pergi sendiri dengan teksi untuk menghantar kotak barang-barang, sudah pasti habis duit upahku digunakan untuk tujuan membayar tambang teksi. Kereta itu adalah milik kakakku.
Namun begitu, abang iparku itu tidak dapat memberi kerjasama. Seringkali dia berjanji, kemudian setelah aku lama menunggu, dia membatalkan janjinya. Pelbagai alasan diberikan. Aku bertanya lagi kalau-kalau dia sudah bekerja, dia mempersoalkan balik pertanyaanku. Abang iparku memilih pekerjaan, dia lebih suka bersenang lenang di rumah. Aku cukup sakit hati bila berkunjung ke rumahnya. Dia mempunyai masa lapang yang banyak untuk mengemas rumah tetapi rumah dibiarkan begitu sahaja. Apabila dia berjanji dengan orang, selalunya dia lambat sehingga kawan-kawannya tertunggu-tunggu.
Kadangkala semasa di rumahnya, aku menolong mengemas rumah dan membersihkan pinggan mangkuk. Kakakku jarang-jarang dapat mengemas rumah kerana sibuk dengan kerja-kerja di sekolah. Siapa kata menjadi guru ada masa lapang yang banyak?
Kadangkala aku sering teringat zaman kakakku belum berkahwin. Segala-galanya senang. Bila mula berkahwin, aku rasa aku telah kehilangan kakakku. Namun begitu hal ini aku diamkan sahaja, sebab aku tidak mahu merosakkan kebahagiaan rumah tangga kakak aku.
Seorang pemalas yang pandai berlakon. Selalu apabila dia keluar dari rumah, dia akan mengenakan pakaian seolah-olah dia bekerja di pejabat. Apabila dia menemui kawan-kawannya, dia begitu menjaga maklumat dirinya, tetapi pada masa yang sama dia tidak segan silu untuk memberitahu status aku sebagai seorang pelajar, masa silam aku yang tidak menyenangkan kepada kawan-kawannya. Ini membuatkan kawan-kawannya sering memandang rendah diri aku. Atau mungkin dia rasa tercabar kerana aku sanggup melakukan pekerjaan yang berstatus kilang, jadi...
Aku semakin lama semakin tidak mahu mengiktiraf dia sebagai abang ipar aku. Bagaimana orang yang pemalas dan sanggup mengaibkan adik iparnya sendiri? Sudah banyak kali dia memalukan aku di depan kawan-kawannya. Kelemahan aku dalam Matematik. Status aku sebagai pelajar yang tidak bernasib baik. Adakah di matanya cuma memandang duit? Sekurang-kurangnya aku tahu, siapa dia kawan-kawan abang ipar aku. Sebelum mereka mengenali kisah silam aku, mereka seronok bercakap-cakap dengan aku. Apabila abang ipar aku menceritakan kisah silam aku, mereka tidak lagi mahu bercakap dengan aku. Pandangan sebelah mata mereka, dari situ aku tahu mereka menghina dan memandang rendah aku. Barangkali abang ipar aku menokok tambah cerita mengenai aku. Aku tidak tahu, aku betul-betul... hina?
Suatu hari nanti aku mahu memiliki pengangkutan sendiri supaya aku tidak perlu berurusan dengannya, biarpun kereta itu milik kakakku. Aku mahu berusaha sendiri. Apabila mengingati hal ini, kadangkala bara api menyala-nyala mengingat kembali hal masa depan aku dengan ibu bapaku.
Aku rasa aku harus mencari pekerjaan yang baru. Abang iparku tidak dapat memenuhi janjinya untuk membantu aku biarpun sekitar 30 minit seminggu.
Manusia pemalas akan tetap pemalas. Rumah sentiasa dilanda ribut. Barang-barang yang berguna pun jadi rosak. Dapur sentiasa dipenuhi pinggan mangkuk tak berbasuh dan dia akan terus berlakon seolah-olah...
Kuliah bermula tanpa sebarang masalah yang tidak rutin. Aku sudah mula menetap di asrama. Semester ini aku berhasrat mencari kerja sampingan. Ayahku sudah bersara. Tidak ada lagi pendapatan yang boleh digunakan untuk menampung pembelajaranku. Namun sumber kewangan untuk semester ini aku rasa mencukupi.
Aku berhasrat untuk pergi ke Singapura sekitar bulan Mei itu. Orang kata, berhati-hati dengan agen-agen yang mengambil pekerja dari Malaysia. Dikhuatiri menjadi mangsa penipuan. Namun aku sudah bulatkan hati untuk ke Singapura, biar apa risiko sekali pun aku tetap akan pergi ke sana.
Hari ini, semasa aku sedang menunggu bas, tiba-tiba muncul kawan lama aku. Dia datang dari Pontian. Mula-mula dia membunyikan hon, tetapi aku tidak sedar. Aku sekarang tidak lagi mempedulikan bunyi hon atau panggilan orang. Bukan untuk aku. Sebab aku sekarang keseorangan. Tiba-tiba dia turun dari kereta. Dia berdiri di tepi jalan. Aku memandang ke arah dia, melihat dan menggosok mataku berkali-kali. Oh, benar sekali. Dia rakan sekursus aku dulu.
Aku melaung namanya. Dia mengajak aku keluar minum di bandar. Belanja aku. Aku bertanya kehidupan barunya. Ternyata hidupnya sudah senang sekarang.
Aku, bagaimana? Semangatku makin kuat untuk ke Singapura. Tidak peduli lagi apa-apa risiko. Oh, ya. Hal ini perlu aku rahsiakan daripada pengetahuan kedua orang tuaku.
Kabus dan jerebu sudah menjengah, aku menelusuri ruang-ruang kafe di sebuah tempat di dalam kampus. Kelihatannya begitu banyak sampah sarap bertaburan di atas meja. Polisterine, beg plastik, kertas surat khabar, malah nota-nota kuliah. Lampu tidak tertutup, kipas masing berputar, tidak ada orang di situ. Lengang.
Inilah budak-budak zaman sekarang. Ilmu tinggi, kemahiran tinggi, namun moral dan akhlaknya kurang. Aku berjalan lagi, dan melihat seorang siswa dan siswi berdua-duaan di bahagian kaunter menghadap laptop. Terlalu rapat. Inilah biadabnya siswa dan siswi masa kini.
Aku teringat semalam, seorang junior. Usianya muda setahun daripadaku. Memintaku menterjemah dan menaip tugasan untuknya. Alasannya kerana esok dia ada ujian, dan tugasan itu perlu dihantar esok. Bodoh! Manja! Biadab!
Dan sebelum itu, dua minggu yang lalu. Seorang junior yang lain pula. Memintaku menyiapkan tugasan untuknya. Alasannya dia sibuk. Bodoh! Manja! Biadab! Sikap yang sama. Dia begitu tertarik dengan lokasi bilikku yang dikatakannya mendamaikan. Dengan kuasanya sebagai seorang atlit di peringkat kebangsaan, dia terus terang mengatakan pada semester hadapan dia ingin mengambil bilikku.
Oh, ya! Dan pada dua hari yang lalu seorang junior lagi, tiba-tiba bertanya kenapa aku tidak membeli motosikal. Aku bertanya balik, kenapa dia bertanya soalan ini? Alasannya, ada motosikal senang untuk ke sana dan ke mari. Itu saja? Sedangkan selama ini aku tidak ada masalah untuk ke sana ke mari, sebaliknya aku lihat dia dan rakan-rakannya yang banyak meminta pertolongan dariku. Orang yang bermotosikal lebih bermasalah. Malah sudah berkali-kali dia mengadu tidak cukup wang untuk makan. Bodoh! Manja! Biadab!
Ke mana pergi duit dia? Sedangkan aku, tanpa biasiswa, tanpa pinjaman. Dia dengan wang biasiswa, wang ibu bapa. Aku anggarkan dia mempunyai wang saku sekitar RM400-500. Dua kali ganda wang saku yang aku perolehi. Wang itu dihabiskan dengan bermain permainan komputer di siber kafe, membeli handset yang mahal-mahal dan entah apa-apa lagi. Bodoh! Manja! Biadab! Kalau sanggup menghabiskan wang untuk kelihatan mewah, mesti sanggup menahan lapar juga! Tetapi mereka tidak sanggup berlapar. Manja!
Malah, selalu juga aku lihat junior-junior yang sengaja sendawa dengan kuat apabila berjalan melalui orang lain. Ada pula berjalan dengan bermatakan lubang hidung. Ada pula dengan yakinnya mengarah dan memerintah mak cik di kedai kooperasi. Mak cik itu mengatakan, budak-budak zaman ini sudah tidak sama dengan budak-budak zaman beberapa tahun yang lepas. Budak-budak sekarang terlalu biadab dan kurang ajar.
"Ehhh, berhenti!!!" jerit seorang siswi kepada pemandu bas. Dengan gaya suara yang ditarik-tarik manja dan seolah-olah mahu muntah seperti perempuan baru mengandung. Bukankah lebih baik kalau dia berkata, "Pak Cik, berhenti."
Kelas kuliah sudah menjadi bilik darjah. Kolej sudah menjadi asrama penuh. Bukan sahaja siswa siswi bersikap kurang ajar, malah sudah berjangkit kepada pekerja-pekerja kafe. Menjerit, memekik, melaung sesuka hati. Di mana-mana sahaja kelihatan manusia yang kurang ajar, tidak kira umur 10, 20 atau 30.
Begitu juga apabila pelayan membawa makanan. Makanan itu diletakkan di suatu sudut yang jauh. Pelanggan terpaksa bangun, berjalan dan mengambil sendiri makanan. Ada pula tukang gunting yang biadab memarahi dan menengking pelanggan sesuka hati. Ada pula penjual makanan yang mendahulukan pelanggan yang datang lambat, dan membiarkan pelanggan yang datang awal. Ada pula peniaga yang memandang pelanggan dengan muka masam dan gaya mengugut (beli, kalau tak nak beli boleh blah). Betapa biadabnya peniaga-peniaga ini.
Ada pula pemandu teksi yang dengan sengaja mencari untung menaikkan tambang teksi sewenang-wenangnya. Tidak memasang meter, meletakkan harga tambang sesuka hati. Tidak kurang pula pemandu bas yang panas baran sesuka hati. Malah memarahi pelancong asing yang sememangnya tidak tahu banyak perkara.
Semasa menunggu bas beberapa bulan yang lalu. Sekumpulan junior, bukan Melayu, dengan selamba menjejakkan kaki ke pondok menunggu bas dengan kasut-kasut berjenama mahal. Meninggalkan bekas-bekas tanah dan pasir. Mereka duduk mencangkung sambil bergurau sesama mereka. Tanpa rasa bersalah. Bodoh! Manja! Biadab!
Suatu hari seorang junior berlagak pandai. Aku meneliti banyak kesilapan pada tugasannya. Aku menegur kesalahannya dan membetulkannya. Dia menegakkan benang yang basah lagi. Aku lantas bertanya kepadanya prinsip-prinsip dan prosedur yang perlu diteliti dan dianalisis sebelum dia menulis benda-benda itu. Dia terpinga-pinga, tidak tahu, tapi segera dia mengagak-agak dan kemudian mempertahankan pendapatnya. Tidak hairanlah jika dulu budak ini pernah mengadu kepadaku, dia tak sekepala dengan kawan-kawannya. Sering disisih oleh kawan-kawannya. "Dah memang awak jenis kepala macam ni!" Aku mengetahui, dia nyaris-nyaris dibuang universiti kerana keputusan yang sangat teruk semester lepas. Tapi dia masih belum insaf.
Beberapa minggu lepas, aku lihat 5 orang pelajar junior disaman kerana berambut panjang. Pertama kali ada kes sebegini. Budak-budak junior itu ditegur oleh pengurus asrama seperti budak sekolah. Aku hairan. Umur mereka sekitar 20 tahun, tetapi perangai seperti budak berusia 14 tahun. Zaman aku dulu belum pernah aku lihat budak seusia itu ditegur sebegini. Barangkali budak-budak zaman sekarang terlalu diperbudakkan. Bodoh! Manja! Biadab!
Junior-junior zaman sekarang kebanyakannya berilmu tinggi, berkemahiran tinggi, namun tetap bodoh, manja dan biadab juga! Mereka sering menegakkan benang yang basah, kemudian menanggung akibatnya. Selepas itu tanpa rasa kesal, mereka datang meminta pertolonganku. Sedangkan sebelum ini beria-ria mereka mempertahankan pandangan mereka. Bodoh! Manja! Biadab! Identiti bagi kebanyakan mahasiswa Malaysia sekarang.
Ada pula yang memegang jawatan tinggi dalam persatuan dan kepimpinan pelajar, tetapi tidak bertanggung jawab, tidak prihatin, berlagak dan mementingkan diri sendiri. Inikah bakal-bakal pemimpin Malaysia akan datang? Aku cukup risau mengingati zaman akan datang.
Bulan Ramadhan ini. Seolah-olah... seolah-olah... menjelang hari kiamat. Tanpa matahari. Wilayah Selatan ini diterangi sinar senja, biarpun baru jam 2 petang. Matahari sudah malu. Malu pada kebiadaban muda mudi hari ini.
Aku sungguh malu, kerana aku ini warganegara yang hidup pada zaman ini. Zaman yang dihuni manusia yang pintar, berkepakaran tinggi, berpengetahuan tinggi. Namun moralnya rendah.
Kelas-kelas agama dihadiri, pandai mengaji, pandai menjadi imam, pandai baca Al-Quran, pandai membaca doa selepas sembahyang, pandai takbir, pandai qamat, pandai baca doa Qunut, pandai ambil air sembahyang, tahu baca buku-buku agama dan hukum-hukum agama... namun biadab juga. Tetap biadab juga.
Seorang itu, aku lihat buku agama sering dibacanya. Judul-judul bukunya menarik juga. Syurga di bawah tapak kaki ibu, panduan menjadi mukmin sejati dan lain-lain. Namun apabila bercakap, keluar juga perkataan-perkataan kesat. Contohnya suatu hari aku menunjukkan gambar-gambar rakan-rakan seangkatanku suatu ketika dahulu, dia berkata,"Ah, aku kenal menatang ni!"
Dan pada suatu hari dia tidak berpuas hati dengan seorang siswi sekelasnya, "Celaka budak perempuan ni." Adakah ini, kata-kata yang seharusnya keluar dari mulut seorang siswa yang menghadiri usrah di universiti? Malah tidak keberatan jika aku katakan, ada juga siswa-siwa yang memegang jawatan dalam persatuan-persatuan bertunjangkan Islam di universiti, bersikap sombong, tidak memberi salam apabila bertemu, berbuat baik apabila ingin meminta bantuan, bercakap kasar dan sebagainya...
Kalau begini, kalau yang tahu agama, yang rapat dengan agama, malah aku ini lebih jahil daripada mereka, mereka yang boleh dianggap ustaz, turut sama biadab.
Suatu hari aku menziarahi seorang juniorku. Bertanyakan hal-hal pelajarannya. Datang seorang pelajar aliran agama, juga mengambil bidang pendidikan Islam di universiti. Memasang pen drive di komputer juniorku. Lagu-lagu irama rock berat berkumandang. Ini lagu baru. Ini mengenai itu ini dan begitu juga begini. 'Bakal Ustaz' yang dua tahun lebih muda daripadaku itu menerangkan kepada juniorku. Aku diam menggeleng kepala. Selepas 'bakal ustaz' itu pulang, juniorku berkata, "Pelikkan, ambil bidang pendidikan Islam, tetapi suka benda-benda macam ni."
"Biasalah ustaz zaman sekarang."
Dan aku tahu, cuma beberapa orang sahaja yang akan respon terhadap isu ini. Sebab bagi mereka yang lain... "Biasalah! Biasa-biasakan dirimu..."
Dan aku semakin yakin. Pada masa akan datang. akan munculnya golongan manusia yang berkemahiran tinggi, pakar, berpelajaran tinggi... namun tetap bodoh! Biadab! Manja! Cukup merisaukan...
Sekarang pun kita sudah lihat, banyak blogger cenderung meletakkan isu-isu lucah di dalam blognya. Seolah-olah tidak ada pengunjung wanita yang akan membaca blognya. Mencarut semahu-mahunya. Sedangkan bahasanya cukup menarik untuk dibaca.
Dan sajian seperti ini terus mengisi minda-minda para pembaca kita. Jahanamlah dunia akan datang. Angkara manusia-manusia seperti ini.
Ya Tuhanku! Kurniakan lebih ramai Faisal Tehrani untuk menulis kitab-kitab yang dapat menegur, menyindir dan menyedarkan bangsa kita, mengenai betapa biadabnya anak-anak muda hari ini. Betapa bodoh, manja dan biadabnya mereka.
Aku rasa, ilmu agama junior-junior ini lebih tinggi daripadaku. Sebab mereka menghadiri sekolah agama pada zaman sekolahnya, di sekolah agama mereka diteliti satu persatu, cara mengambil air sembahyang, cara bersolat, bacaan surah-surah Al-Quran. Aku tidak pernah ada zaman sekolah agama. Belajar sendiri dengan ibu bapa atau di dalam kelas. Tetapi budak-budak ini...
Ya, sungguh menakutkan dunia hari ni... kadangkala aku rasa menyesal kerana aku dilahirkan pada zaman moden ini. Namun, aku harus sedar dan bertapak di dunia nyata. Di sekeliling kita, terlalu ramai manusia biadab. Harap-harap aku akan dapat menyingkir keluar budaya ini dari terus menerus menyerap ke dalam diriku. Tak boleh ikut berdegil di kandang keldai! Tak boleh ikut ketawa mengekeh di dalam kandang dubuk! Tidak boleh ikut mendengus di dalam kandang khinzir!
Bagaimana lagi mahu kugambarkan situasi generasi zaman ini? Dapatkah sesiapa memahami perasaanku? Ramadhan ini cuaca terus berjerebu. Terus berjerebu. Tanda ramainya manusia biadab pada Ramadhan.
Hari ini kelas tamat sekitar jam 10 malam. Seorang pelajar telah meletup dengan pensyarah berjanggut penyapu itu.
Pada malam ini tidak ramai pelajar yang datang. Kebanyakannya sudah tarik diri untuk subjek ini. Cuma tinggal baki beberapa orang pelajar yang masih setia dan tabah untuk menghadiri kelas ini.
Pelajar itu, yang berasal dari Melaka merungut-rungut di dalam kelas. Dia bertanya kepada pensyarah macam mana hendak faham apa yang diajarnya.
Pensyarah bertanya: "Kenapa kamu tak faham, pelajar lain boleh faham?"
Pelajar-pelajar lain termasuk saya, ketawa. Sebenarnya semua pun tidak faham. Cuma tidak meletup sahaja.
Pensyarah mengulang-ngulang ayat: "Bukan senang... bla bla bla.... Belajar bukan senang... Kena rajin... bla bla bla. Kena tafsir. Bila kamu rajin berfikir Tuhan akan datangkan dalam mimpi kamu."
Pelajar itu bertanya: "Bagaimana cara hendak....?"
Pensyarah mengulang-ngulang ayat: "Bukan senang... bla bla bla.... Belajar bukan senang... Kena rajin... bla bla bla. Kena tafsir. Bila kamu rajin berfikir Tuhan akan datangkan dalam mimpi kamu."
Pelajar itu bertanya: "Bagaimana cara hendak....?"
Dan proses itu berterusan tanpa ada penyelesaian yang secara nyata sehingga ke jam 10 malam.
Pelajar itu terus meletup. Esok saya tahu akan ada pelajar yang tidak akan datang ke kelas. Itu boleh diduga menerusi pengalaman saya.
Hari ini saya rasa kurang sihat. Pagi tadi saya ke kelas seperti biasa. Oh, terlupa. Sudah ada satu entri pada siang tadi. Nampaknya, hari ini sudah dua entri tertulis di sini.
Topik saya hari ini masih berkisarkan kesunyian. Ya, kesunyian. Di kolej, program-program pelajar penuh setiap minggu. Boleh dikatakan tidak ada rehat. Saya pula sibuk dengan kelas hampir setiap hari dalam satu minggu. Tidak sempat mengikuti mana-mana program.
Terhalang dengan kelas. Terhalang dengan kelas. Kelas, kelas, kelas dan kelas.
Kelas, kelas, kelas dan kelas.
Sekali lagi, kelas, kelas kelas dan kelas.
Bosan.
Tidak menarik.
Paling saya tidak suka. Seorang pensyarah itu. Ya, pernah saya ceritakan sebelum ini mengenai seorang pensyarah yang suka bercakap dengan papan putih.
Pensyarah ini tidak berani bertentang mata dengan para pelajarnya. Jika dia berpaling menghadap pelajar, matanya akan melihat ke bawah. Saya sendiri tidak tahu kenapa.
Adakah dia rasa bersalah? Sebab dia telah memutarbelitkan jadual kelas pelajar. Kelas dibatalkan dan digantikan pada hari yang lain. Sabtu dan Ahad semakin padat dengan jadual.
Ramai pelajar merungut. Ada pelajar yang datang dari Batu Pahat, Kota Tinggi, Muar, Pahang dan lain-lain negeri tidak bersetuju dengan tindakan ini. Bukan senang hendak datang ke kelas dan balik pada malam hari. Jarak perjalanan yang jauh.
Pensyarah pula bila datang mengajar, terus mengajar tanpa menghiraukan pelajar. Tidak kisah pelajar faham atau tidak. Yang dia kisah, batalkan kelas dan tunda ke tarikh lain sehingga mengganggu jadual waktu pelajar. Bukan kelas dia sahaja yang ada pada hari itu.
Apa yang dia ajar, satu apa pun tak faham! Ramai pelajar pening. Ada pula yang selepas masa rehat, tidak masuk ke kelas. Perlu rehat untuk pandu kereta pulang ke rumah.
Cuba bayangkan satu hari ada 10 jam kelas. Kelas dia sahaja. Petang kelas dia, malam pun kelas dia. Pagi kelas dia, petang pun kelas dia.
Nama: Romantis Selatan Lokasi: Malaysia Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini.
Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya...
Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang.
Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan. Maklumat Lanjut