Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)

Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Sabtu, Julai 29, 2006
Saya Tidak Takut Nombor Itu

1A,2B, 3C, 4D, 5E, 6F, 7G, 8H, 9I, 10J, 11K, 12L, 13M, 14N, 15O, 16P, 17Q, 18R, 19S, 20T, 21U, 22V, 23W, 24X, 25Y, 26Z

19,1,25,1 + 20,9,4,1,11 + 20,1,11,21,20 + 4,5,14,7,1,14 + 13,1,20,5,13,1,20,9,11

Apakah yang cuba saya sampaikan dalam ayat diatas?

Apakah kesilapan dalam ayat di atas?

RS: Memasang perangkap. Kita lihat siapa yang kena.
posted by Romantis Selatan @ 12:58 PTG   11 comments
Jumaat, Julai 28, 2006
Mengira Kambing Biri-biri Di Dalam Monorel

Saya menemui junior saya yang menyambung pengajian di peringkat Sarjana. Sebetulnya dia adalah junior saya. Namun dia kini di peringkat yang lebih tinggi daripada saya. Saya mencadangkan dia untuk menjadi Tutor supaya kelak dia boleh mengajar saya secara rasminya.

Hari ini saya ingin mengutarakan satu persoalan yang cukup aneh. Baru-baru ini sudah ada berita untuk membina landasan monorel di Selatan tanah air. Berita ini cukup menggembirakan bagi sesiapa yang tidak mempunyai kenderaan tetap. Kemudahan ini sudah pasti akan memudahkan pergerakan para penduduk di Selatan.

Tertarik dengan Esis dan perniagaan kambing bebiri, saya pula begitu berminat untuk mengira kambing biri-biri yang menaiki monorel. Berikut adalah persoalan yang menghantui pemikiran saya:

Soalan Satu:
Berapa ekorkah kambing biri-biri yang dapat dimuatkan di dalam sebuah monorel?

Soalan Dua:
Berapa kalikah secara puratanya, seekor kambing bebiri akan mengembek semasa monorel bergerak?

Soalan Tiga:
Adakah suara kambing biri-biri akan dapat mengatasi bunyi bising monorel semasa bergerak?

Soalan Empat:
Layakkah kambing bebiri menaiki monorel?

Label:

posted by Romantis Selatan @ 7:54 PTG   11 comments
Rabu, Julai 26, 2006
Pensyarah Sebagai Pelakon

Skrip Yang Dihafal Untuk Sebuah Buku

Ada buku untuk suatu subjek matematik, boleh dikatakan setiap tahun isi kandungannya akan diubahsuai dan setiap tahun akan ada kesilapan. Apabila kesilapan itu ditemui, pensyarah akan berkata, "Buku ini baru diterbitkan. Sebab itu ada kesilapan."

Begitulah setiap tahun, "Buku ini baru diterbitkan. Sebab itu ada kesilapan." Ia bagaikan skrip yang sudah dihafal. Kita boleh lihat peningkatan dalam kemahiran membentuk mimik muka, dan melontar suara oleh pensyarah untuk mengucapkan ayat tersebut.

Isi buku tersebut sebenarnya tidak begitu banyak berubah. Namun kesilapan pada tahun-tahun sebelumnya dikekalkan.



Lakonan Pensyarah Di Dalam Kelas

Sebetulnya, adalah baik jika pensyarah itu mengubahsuai cara pengajarannya. Maksud saya, pensyarah yang biasa bercakap dengan papan putih (tidak memandang langsung kepada pelajar) perlu mengubah lakonannya supaya sekali-sekala 'membenci' papan putih dan 'menaruh hati' kepada para pelajarnya. Mengucapkan 'kata-kata cinta' kepada pelajarnya.

Ada juga sesetengah pensyarah yang tiba-tiba naik emosional apabila ada pelajar yang menyoal di dalam kelas. Saya berpendapat, pensyarah ini tersalah aksi. Lakonan yang sepatutnya ditonjolkan adalah sebagai seorang pemimpin yang 'romantis' dalam menjawab persoalan pelajar.



Berlakon Sebagai Mak Leter/Pak Leter

Ada pula pensyarah yang berlakon sebagai 'mak leter' atau 'pak leter' di dalam kelas. Setiap kali masuk ke kelas, dia akan mengajar, kemudian berleter, kemudian mengajar, kemudian berleter. Seperti suatu bentuk janjang, pensyarah itu akan mengulanginya sehingga tamat pengajaran.

Mereka lupa bahawa setiap kali mereka berleter, para pelajar semakin letih. Yang sedia letih, terus tertidur. Leteran adalah seperti debu yang memadamkan api. Seperti ubat bius dan ubat tidur yang disuntik. Menyakitkan, meletihkan.



Pensyarah Sebagai Seorang Antagonis

Menakutkan, menyeramkan, mengejutkan dan menyayat hati apabila ada pensyarah yang mahu memegang watak sebagai penjahat. Sudah tersebar khabar angin mengenai pensyarah yang tidak memulangkan kertas ujian kepada pelajar selepas diperiksa, adalah pensyarah yang tidak menanda kertas soalan. Pensyarah yang kencing tugas seperti ini memang ada.

Ini diceritakan sendiri oleh pensyarah yang lain. Sebabnya, pensyarah tersebut memegang terlalu banyak kelas. Dia pening, dia sibuk dan dia membuat keputusan untuk tidak menanda kertas ujian. Lalu akhirnya dia mengeluarkan gred yang tidak baik kepada pelajarnya. Biasanya gred maut.



Pensyarah Sebagai Pelukis Seni Abstrak

Ini kategori pensyarah yang sukar difahami walaupun oleh orang yang berjiwa seni. Mungkin revolusi seni logik telah ditemui secara tidak sengaja oleh sesetengah pensyarah.

Biasanya pensyarah ini suka mencatat nota secara berterabur di papan putih. Sekejap di kiri, sekejap di kanan sehingga pelajar tidak dapat menyalin apa yang tertulis di papan putih. Ditambah pula dengan 'sajak sindiran dan puisi leteran' yang memanaskan telinga dan menghauskan minyak untuk api belajar, hasil pengajaran menjadi kabur.

Apa kata jika pensyarah itu berlakon sebagai pensyarah yang strategis. Seperti Sun Tzu, Zhu Geliang, Napoleon Bonaparte atau mana-mana ahli strategis terbilang. Membentuk pengajaran secara tersusun dan berstruktur. Menggunakan masa secara optimistik. Bukan dipenuhi oleh leteran yang meletihkan dan lukisan abstrak yang mencerminkan 'kemelut hati seorang yang putus cinta.'

Sepatutnya membuat garis pembahagi secara menegak pada papan putih sebelum menulis. Ini memudahkan jalan kira dibuat. Sebabnya, ada pelajar yang mungkin telah letih dengan sesi pembelajaran sebelumnya pada hari yang sama dan memerlukan sesuatu yang 'menangkap' untuk memperbaiki daya tumpuan.

Hal ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah membantu meningkatkan kualiti pengajaran, menjimatkan masa mengajar, meningkatkan kefahaman pelajar, menyenangkan hati pensyarah dan melegakan semua pihak.

Lupakan kaedah pensyarah tradisional dan spontan. Mulakan kaedah pengajaran yang profesional dan strategis. Inilah baru dipanggil pensyarah zaman milenium.



Pensyarah Yang Berlakon Sebagai Hero/Heroin

Ya, inilah pensyarah yang kita cari! Pensyarah ini menyebabkan pelajar-pelajar sentiasa berasa selamat untuk berada di kelasnya. Pensyarah hero sentiasa mengambil berat, dan membuatkan para pelajarnya teruja.

Ada pensyarah yang menelefon kepada pelajar yang ponteng/tidak hadir kelas semasa kelas kuliah. "Kau, apasal tak datang kelas hari ni Mat? Kawan-kawan kau semua dah tunggu dalam kelas ni."

Ada pensyarah yang prihatin terhadap pelajar yang bermasalah. Dengan 'deria superhero' yang dimilikinya, dia mendekati pelajar yang bermasalah dan membantu dengan memberi panduan kepada tersebut. "Din, jom saya belanja awak makan hari ni. Saya nak berborak-borak dengan awak sikit."

Tidak lupa pula slogan dan kata-kata motivasi yang sentiasa diserlahkan di dalam kelas. Pelajar sentiasa bermotivasi dan bersemangat waja.

Kebanyakan 'superhero' mempunyai alat, kuasa, kostum atau senjata khas. Begitu juga dengan pensyarah. Mereka mempunyai kuasa persediaan mengajar, mereka mempunyai alat bantu mengajar, kaedah menulis di papan putih secara tersusun, mereka mempunyai kuasa x-ray untuk mendiagnosis masalah pelajar, mereka mempunyai kuasa psikik untuk membaca jiwa pelajar, mereka memiliki kekuatan untuk menghancurkan raksasa yang memerangkap keyakinan pelajar, mereka mempunyai pesona untuk memimpin pelajar.

Bak kata, seperti Batman dan James Bond, mereka mempunyai perancangan yang sangat teliti dalam setiap sesi pengajaran mereka. Saya kaguuuuuummmm dengan pensyarah ini.

Bak kata sekali lagi, pensyarah adalah 'role model'. Bukan 'role' yang berguling-guling macam dalam Gitu-gitu Apek di Astro, tetapi contoh teladan. Pensyarah harus memaparkan keprihatinan mereka dan kesediaan mereka sebagai pensyarah. Bukan mengajar secara spontan, bercakap laju, tidak prihatin, bercakar ayam di dalam kelas. Mereka harus jadi hero/heroin di dalam kelas.


RS: Sesiapa yang bingung dengan entri saya yang berjudul "Perhimpunan Siber Saudara Naga" harap-harap akan menemui jawapannya dalam entri ini. "Dalam, sungguh dalam." begitulah kata salah seorang pengunjung dalam peti jerit saya. Saya tahu pengunjung itu 'menangkap' sesuatu dalam entri saya itu.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 10:20 PTG   1 comments
Isnin, Julai 24, 2006
Novel Dan Brown Yang Berharga 5 Ringgit

Pada suatu hari, saya menemui sebuah buku karya Dan Brown. Buku itu masih baru, tetapi dijual pada harga RM5.00 (lima ringgit sahaja... tunai). Saya tidak membeli buku itu.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 7:57 PTG   2 comments
Pensyarah Yang Merendah Diri

Ada seorang pensyarah yang unik dan merendah diri. Apa lagi jika bukan pensyarah pencen itu. Namun pensyarah ini patut dipuji. Seperti satu bentuk motivasi kepada pelajar-pelajar yang tidak dianugerahkan bakat dalam bidang ini.

"Saya lemah dalam kamiran. Sebab itu saya ajar awak guna kalkulator untuk buat kamiran."

Trauma terhadap matematik beransur-ansur reda. Seolah-olah ada suatu suara berkata. Lihat! Orang yang lemah kamiran pun boleh jadi pensyarah matematik. Dia mengajar pun lebih jelas daripada pensyarah matematik yang mahir matematik.

Namun saya dapat lihat satu elemen yang khusus menyebabkan pensyarah ini dapat mengajar subjek-subjek matematik. Persefahaman. Rendah diri. Dia dapat mengajar pelajar pada tahap yang setara dengan kebolehan pelajar.

Berbeza dengan pensyarah yang sedia berkebolehan dalam matematik. Mereka tercari-cari tahap yang sesuai untuk digunakan dalam pengajaran. Malah ada sesetengah pensyarah berbakat matematik yang saya lihat, mengajar dengan adanya pancaran sifat riak dan bangga diri. Seringkali mereka kelihatan kelam kabut dan hampir (atau terus hilang) sabar dalam pengajaran apabila apa yang mereka ajar tidak difahami. Kegagalan mengawal emosi. Kegagalan untuk membendung sifat-sifat ini menyebabkan ramai pensyarah berbakat matematik gagal untuk mengajar subjek-subjek matematik dengan berkesan.

Dilihat dari segi keyakinan diri. Kedua-dua jenis pensyarah didapati yakin mampu mengajar. Bezanya, pensyarah yang lemah matematik lebih hidup, lebih mampu mencari jalan penyelesaian, lebih kreatif, lebih bersifat memimpin, lebih berkarisma dalam pengajarannya berbanding dengan pensyarah yang berbakat matematik. Fleksibiliti dalam mengatur proses pengajaran bagi pensyarah jenis lemah matematik ini lebih terserlah.

Pendek kata, pensyarah yang lemah matematik adalah lebih baik dan lebih sesuai untuk mengajar matematik berbanding dengan pensyarah yang berbakat dalam matematik.

Ini cuma kesimpulan yang agak awal. Berdasarkan pemerhatian majoriti dan pengalaman peribadi.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 10:28 PG   2 comments
Ahad, Julai 23, 2006
Lapan

Hari ini semua orang pening kepala apabila seorang pensyarah pencen minta para pelajarnya membuat kiraan kamiran dengan menggunakan kalkulator saintifik. Tidak ada infiniti.

Cuba tolak lapan. Ada pelajar yang menurut. Ada pula yang berfikir, agaknya kalau tekan tolak lapan, secara automatik akan bertukar menjadi infiniti.

Pensyarah menambah, cuba awak tolak nombor lapan, bila nombor lapan terbalik, macam rupa apa?

Para pelajar tergelak.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 9:02 PTG   0 comments
Sabtu, Julai 22, 2006
Video Rakaman Hantu

Pertama kali, dengan serius dan tegas saya nasihatkan sesiapa yang menghidap penyakit jantung atau hamil atau apa-apa jenis penyakit yang tidak membolehkan anda terkejut, sila jangan lihat rakaman video ini. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang risiko kesan-kesan buruk yang akan dialami oleh penonton seperti kematian, pengsan, keguguran, trauma, geram, marah dan sebagainya.

Rakaman video ini adalah untuk menunjukkan betapa suspen dan cemas itu boleh disampaikan dengan mengacau fokus individu terhadap sesuatu objek yang ditunggu-tunggu.

posted by Romantis Selatan @ 10:20 PTG   1 comments
Khamis, Julai 20, 2006
Budaya Pekerja - Benar-benar Marah!!!

Berita semalam langsung tiada minat untuk saya belek dan baca. Hari ini baru saya berpeluang untuk membacanya. Tajuk muka depan sebuah akhbar tempatan, cukup memanaskan hati.

Ketika orang lain berhempas pulas untuk mendapatkan suatu pengiktirafan, ada pula yang cuba menyelinap dengan kaedah mudah penuh berhelah. Bayaran serendah RM200 membuahkan ijazah.

Nampaknya syarikat dan majikan tempatan harus lebih peka, setiap calon temuduga harus disemak rekodnya di peringkat IPT. Sepatutnya ada rekod. Bekas pelajar atau alumni.

Kenapalah pada zaman berinformasi ni masih ada manusia yang begitu ______ dan _______ ? Begitu juga dengan kes pengangguran di kalangan lepasan IPT baru-baru ini. Jika ada rekod tempat bekerja dan sekolah, takkan ada masalah.

Perkara macam ni pun tak boleh fikir? ______ !!!

Contohnya macam graduan pelajar pendidikan yang menganggur. Kalau pihak dari Pusat Pendidikan sama ada Daerah atau Negeri ada membuat rekod, contohnya sekolah mana yang belum cukup guru subjek itu ini, sekolah mana yang perlukan penambahan guru dan sebagainya. Masalah ini akan selesai dengan mudah. Saya hairan kenapa sudah 30 tahun masalah rekod ni masih belum selesai.

Ini zaman teknologi maklumat. Ciptalah satu sistem rekod untuk para graduan. Itu pun tak boleh fikirkah? _______ !!!

Saya benar-benar marah sejak beberapa hari ini. Ya, sudah beberapa hari.

Beberapa hari lepas, datang beberapa orang junior meminta saya mengajar mereka subjek-subjek bukan matematik. Sebabnya, pelajar-pelajar yang belajar dengan saya sebelum ini mencipta kejutan dengan mendapat A untuk subjek-subjek tersebut.

Malah ada yang menghantar mesej yang mengatakan, mereka mahu dapat A, sebab itu mereka mahu jumpa saya. Seolah-olah saya ini pensyarah yang dapat memberi mereka A. Saya membalas dengan mengatakan saya cuma membantu, mereka mesti berusaha dan Tuhan akan menentukan.

Namun saya masih marah melihat sikap ada segelintir pelajar dalam kumpulan tersebut, datang dengan pelbagai alasan. Ada yang kata dia sangat sibuk dan letih. Semasa menetapkan pertemuan pada masa akan datang ada yang minta saya korbankan masa saya, kebebasan saya, sebab mereka mahu belajar matematik pada waktu tersebut. Habis, saya? Saya tak perlu belajar matematiklah? Ini siapa punya tugasan? Saya dah lama ambil subjek ni. Dah lama lepas! Ini masalah awak! Kenapa saya kena korbankan masa saya?

Sebenarnya, saya cukup marah! Sebabnya, saya sudah mengajar mereka dari perkara asas hinggalah ke perkara yang paling akhir. Saya sudah berikan contoh. Mereka faham, tetapi masih malas untuk berusaha. Contohnya dalam hal-hal mencari maklumat. Patutkah saya yang cari semua tu. Itu kerja mereka. Mereka perlu ingat, saya pengajar, mereka belajar dengan saya. Jangan minta saya carikan itu ini. Benda tu awak boleh cari sendiri. Senang saja.

Saya boleh bagikan skema atau contoh ayat. Saya dah berikan banyak. Mereka faham dan mereka cuba. Saya suruh mereka cuba buat ayat. Mereka buat. Mereka boleh. Tetapi kenapa mesti saya berperanan seolah-olah saya adalah ahli kumpulan mereka. Kena turut serta cari maklumat itu dan ini. Mereka kata susah nak cari buku rujukan. Mereka kata mereka letih dan sibuk. Saya? Saya juga ada hal saya sendiri. Kalau saya ada buku rujukan, saya akan beri. Kalau saya ada skema, saya akan tunjukkan. Tetapi saya tak ada itu semua. Sebab dah bertahun-tahun berlalu. Buat apa saya nak bebankan diri saya dengan semua tu. Tercari-cari asrama dan bilik kosong untuk disewa sambil bawa benda-benda yang dah selesai. Patutkah?

Tetapi saya dah berikan mereka contoh. Dari awal hingga akhir. Mereka cuma tak yakin dengan kebolehan mereka sebenarnya. Sebab tugasan mereka pernah ditolak oleh pensyarah kerana terlalu ______.

Buat sendiri! Cari sendiri! Dah siap nanti tunjukkan kepada saya. Biar saya semak. Kalau ada salah biar saya betulkan. Kalau dah siap, teruskan dengan kerja yang seterusnya. Itu kata-kata terakhir saya. Saya rasa mereka sangat beruntung. Saya lihat buku rujukan yang mereka dapat, keluaran terbaru dan lebih lengkap dan mudah berbanding buku-buku lama.

Paling saya marah, bila ada pelajar yang buka cerita lain masa mereka datang ke bilik saya. Maksud saya cerita yang tak ada kaitan dengan diri mereka. Mengumpatlah, apa lagi? Mereka kata kawan mereka yang sekumpulan dengan kawan mereka yang satu lagi. Seorang tu langsung tak buat kerja. Budaya malas. Budaya parasit.

Kalau awak ketua kumpulan. Awak kena tegas. Cari kerja untuk ahli-ahli kumpulan awak. Bukannya jadi hamba tak bergaji. Seorang pelajar memberi alasan, dia tak bawa laptop, jadi dia tak dapat menaip. Apa dia buat? Dia main SMS. Saya tegur. Kalau awak tak dapat menaip, tulislah! Kalau tak dapat tulis, buat kerangka dahulu! Itu pun tak boleh fikir! Awak jangan ingat bila saya ajar, awak akan terus dapat A. Bukan saya yang periksa kertas awak nanti. Bukan saya yang bagi markah.

Bila sebut soal saya hendak pergi berjumpa mereka untuk matematik, semua bagi alasan itu dan ini. Saya sibuk malam ni. Saya ada hal. Jarang-jarang saya dapat berjumpa mereka. Tetapi kalau soal mereka nak datang jumpa saya. Korbankanlah masa saya. Mereka sibuk. Mereka nak belajar waktu tu. Saya kena korbankan masa saya, kata mereka.

Tidak. Kalau saya kata saya sibuk. Saya takkan berurusan dengan mereka. Tegas dan garang. Siapa yang tolong saya masa saya cari bilik asrama yang kosong untuk disewa? Tidak ada! Bila saya susah, siapa yang tinggalkan saya. Saya seperti angin pada pandangan mereka.

Apabila mereka susah, mereka akan datang cari saya. Korbankan saya? Jangan harap. Tegas dan garang. Asertif. Saya tahu hak saya. Saya tahu had yang saya boleh beri kepada mereka.

Ini prinsip Jiwa Naga yang saya pelajari. Sila hormat.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 10:31 PG   2 comments
Selasa, Julai 18, 2006
Perhimpunan Siber Saudara Naga

Hari ini saya berpeluang untuk mengikuti satu lagi sesi khas bersama ahli-ahli Brotherhood Of The Dragon. Tidak pasti jumlah sebenar yang mengikuti sesi latihan khas ini. Namun setiap ahli adalah unik. Ahli-ahli dari serata dunia termasuk dari Jerman, Rusia, Pakistan, China, India, Amerika, New Zealand, Taiwan, Australia, Korea, Brunei, Malaysia, Thailand, Indonesia, Singapura, Britain, Ghana dan banyak lagi.

Saya adalah Garuda Bersayap Emas yang bersahabat dengan berpuluh-puluh ekor naga. Itu adalah panggilan khusus untuk diri saya. Tertarik saya mendengar setiap ahli menceritakan pencapaian terbaru mereka. Daripada intelektual kepada spiritual dan supernatural. Setiap ahli memiliki kebolehan dan masalah tersendiri. Kebanyakannya mendakwa memiliki kuasa-kuasa super natural seperti premonition, telekinetic, psikometer, genius origin, arachi, santuari, starsaga, magnetica, trancetica, beastripod, naturalis independence, electro-psychic, medusa, telepathic, elementalist, sensorians, far vision, geo-psychic, visni, divinity, theta-practice dan banyak lagi.

Perbezaan agama, budaya dan fahaman tidak menjadi masalah bagi ahli-ahli Brotherhood of The Dragon. Setiap ahli memiliki masalah untuk hidup dengan manusia biasa. Seperti saya yang mengalami masalah untuk hidup dengan orang-orang matematik. Sering merasa terpinggir, keseorangan dan kesunyian. Pertemuan dengan mereka memberi nafas baru. Setiap ahli diberi pendedahan betapa istimewa mereka hidup dengan anugerah Tuhan.

Misalnya kuasa untuk menyembuhkan seseorang, melakukan pembedahan ghaib, kuasa melihat terus mata, kuasa berhubung secara hati ke hati, kuasa untuk merasai kesakitan orang lain, kuasa untuk memukau, kuasa untuk membaca fikiran, kuasa untuk menggerakkan sesuatu, kuasa untuk melihat dengan hujung jari, itu adalah sebahagian kecil daripada kebolehan yang boleh digunakan untuk membantu dalam dunia perubatan, penyelesaian terhadap kes-kes jenayah, mencari penyelesaian terhadap peperangan, mencipta kedamaian, menghormati agama dan saling faham-memahami dan sayang menyayangi sesama manusia.

Ada juga ahli-ahli yang sebelum ini ditakuti kerana kuasa luar biasa ini, contohnya seorang yang boleh melihat masa depan orang lain, dijauhi kerana dikatakan anak syaitan. Dia dituduh memiliki mulut sumpahan. Padahal takdir itu adalah ketentuan Tuhan. Brotherhood of The Dragon membantu ahli seperti ini untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan masyarakat. Mereka wujud di mana-mana secara rahsia, menyembunyikan kebolehan masing-masing.

Pada akhir pertemuan, Dragonizer mengirimkan beberapa potong ayat kepada saya untuk saya hayati sepanjang masa. Ayat yang berbunyi:

"Saya cintakan matematik. Saya mengasihani matematik. Saya suka matematik. Saya yang paling hebat dalam matematik dalam hidup saya. Pada masa depan, matematik akan menyelesaikan banyak masalah saya. Matematik satu permainan. Matematik adalah apa yang saya cari selama ini. Matematik semakin hari semakin mudah untuk difahami. Matematik sahabat saya. Matematik teman kesunyian saya. Pada masa lapang, apabila kesunyian, saya akan berbicara dengan matematik. Saya akan memahami matematik. Memahami permasalahan matematik. Menyelesaikan masalah bersama matematik. Meminta pendapat matematik. Saya mempermudahkan matematik. Saya mencipta kefahaman baru terhadap matematik yang lebih mudah. Saya genius matematik. Saya menerangkan matematik kepada orang ramai. Saya menjelaskan siapa sebenarnya matematik kepada orang ramai. Saya memberitahu orang ramai betapa ruginya mereka mengabaikan matematik. Saya menyelamatkan matematik. Saya mengagungkan matematik Saya bersama matematik. Saya setia terhadap matematik. Saya bangga dapat bersama matematik. Saya sahabat terbaik matematik. Saya akan berjuang bersama-sama matematik dengan tegas dan garang. Kenangan manis saya bersama matematik akan terus tercipta dan menjadi rujukan generasi-generasi akan datang. Matematik dalam hati saya. Matematik dalam jiwa saya. Matematik tersenyum memandang saya. Matematik berjabat tangan dengan saya. Matematik menemani kehidupan saya. Matematik telah menunggu kelahiran saya, dan mendekati saya sepanjang hidup saya kerana dia tahu, saya adalah insan terpilih untuk berjuang bersama-sama matematik...."
posted by Romantis Selatan @ 7:36 PTG   3 comments
Ahad, Julai 16, 2006
Drama dan Industri Pelancongan

Dalam jangkamasa seminggu ini, saya masih menetap di tempat yang sama. Di Selatan. Di suatu tempat yang sudah biasa saya jejaki. Menghabiskan sebahagian besar hidup saya di sini... dan pada masa yang sama sentiasa diulit masalah-masalah tertentu.

Tidak ada semua masalah boleh diceritakan begitu sahaja. Mesti ada sebab untuk menceritakan sesuatu masalah itu, menulis sebagai satu terapi. Blog sebagai medan peribadi untuk dikunjungi oleh para pembaca, untuk meneliti permasalahan dan penyelesaiaannya.

Tidak lupa kepada para pembaca yang tidak putus-putus mengirimkan e-mel kepada saya. Terima kasih. Jika ada masa, saya akan ceritakan hal-hal yang lain pula. Tak sangka ramai yang memilih untuk menggunakan e-mel sebagai medan berbicara. Mungkinkah apa yang saya ceritakan agak peribadi untuk diselesaikan menerusi komen-komen umum?

Apa pun sekali lagi terima kasih. Sekarang saya sedar saya tidak begitu berseorangan.

Hari ini saya tertarik untuk mengulas peranan drama televisyen dalam mempromosikan tempat-tempat pelancongan tempatan. Korea menggunakan idea ini. Lokasi-lokasi menarik di negara mereka dijadikan lokasi penggambaran, juga untuk tarikan pelancong.

Para peminat drama tersebut, dari luar negara terus tertarik untuk menghayati sendiri pengalaman tersebut. Menghayati watak-watak drama. Seperti cerita Sherlock Holmes, yang mampu menarik pembaca pergi ke tempat-tempat yang tertulis dalam novel tersebut.

Inilah kehebatan drama Korea. Malaysia juga tidak kurang dengan keunikannya, cuma bagaimana agaknya penulis tempatan boleh cuba untuk meraih tarikan pelancong ke sesuatu tempat.

Kita lihat adegan bermain daun-daun kering, adegan salji dan berbasikal dalam drama-drama Korea. Itu satu bentuk tarikan pelancongan yang tersirat. Saya kira kaedah halus dan secara emotif untuk menarik perhatian penonton untuk berkunjung ke sana.

Kisah-kisah cinta memancing hati para penonton untuk berbulan madu di sana. Malah ada juga pakej-pakej seperti Pakej Pelancongan Winter Sonata diadakan. Lokasi-lokasi penggambaran pula dijadikan tempat untuk dikunjungi, supaya para pelancong dapat mengetahui kisah-kisah di sebalik tabir. Salah satu adalah kisah mengenai seorang gadis tukang masak yang menjadi doktor.

Malaysia juga memiliki kecantikan sendiri. Namun, sayang sekali kita harus menjadi orang asing untuk melihatnya. Syukurlah kerana ada juga yang dapat melihat kecantikan negara sendiri. Syabas dan penghormatan saya kepada mereka. Apakah tempat-tempat menarik di Malaysia yang boleh dikunjungi? Saya rasa ini jati diri orang Korea yang cukup kukuh. Menerusi skrip yang hebat, pelakon yang hebat dan arahan yang hebat, mereka menyumbang bukan sahaja kepada sektor hiburan malah pelancongan, ke arah sumber pendapatan ekonomi negara dengan lebih baik.

Bagi saya, para pelakon, juru kamera, penulis skrip, pengarah, penerbit, pengedar dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam pembikinan drama tersebut adalah orang yang berjasa terhadap penduduk tempatan negara tersebut. Tidak lupa kepada para penduduk yang rajin membersihkan kawasan daripada sampah sarap, serta kerjasama yang diberikan. Ini semangat yang kita mahu.

Selamat berjuang kepada penerbit, pengarah, penulis skrip, para pelakon, juru kamera dan semua yang terlibat dalan dunia penerbitan! Teruskan berjuang untuk mempromosikan jadi diri Malaysia!

Label:

posted by Romantis Selatan @ 11:44 PTG   3 comments
Berliku-liku

Berliku-liku

dan tetap akan terus berliku-liku.

Saya patut mencari sesuatu hari ini.

Cuaca terang cukup baik.

Awan terapung cukup cantik.

Langit biru juga kelihatan.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 4:39 PTG   0 comments
Khamis, Julai 13, 2006
1/4 DARIPADA KISAH HIDUP TELAH SELESAI

Kisah ini tidak pernah saya ceritakan di dalam blog saya ini, kerana telah dipesan oleh seorang genius psikologi - Dragonizer, supaya melupakannya. Tidak ada penyelesaian untuk mengingati orang yang telah mati. Namun pada hari itu, 8 Julai, saya tahu... selama ini mereka 'mati'.

Saya lupa memberitahu, pada 9 Julai 2006. Itu adalah satu tarikh, di mana saya menemui satu jawapan untuk satu perkara.

Sekitar jam 7.00 malam itu, satu persoalan yang telah menyelubungi diri saya, terjawab. Satu tempat yang sudah lama tidak saya kunjungi. Maaf, itu adalah tempat yang tidak dapat saya jejaki lagi. Tidak tertera pada peta alamat saya. Mereka telah hilang sejak... bertahun-tahun dahulu.

Hari itu, saya mendapat tahu, mereka belum meninggal dunia. Saya rasa hari itu cukup menggembirakan saya. Persoalannya, siapa yang membuat berita palsu itu? Berita yang cukup membuatkan hati saya sengsara selama beberapa tahun ini.

Namun hati saya tetap dapat merasai. Kewujudan mereka. Sebab itu adalah pertalian yang sudah tidak boleh diputuskan.

Nama-nama ini telah tersemat di dalam degupan jantung saya. Ketika sakit, saya berharap agar mereka hidup kembali, berada di sisi saya. Setiap malam, saya rindu untuk melihat mereka pada pagi esok...

Saya meletakkan masa depan kepada anak-anak ini. Sehingga 'kematian' itu dipalsukan beberapa tahun lepas. Kematian itu adalah tidak benar, namun kehilangan itu adalah benar.

Sepanjang tempoh itu, saya adalah bukan saya.

Dan pada 9 Julai 2006. Saya anggap perkara itu telah selesai. Jawapannya ialah tidak ada jawapan.

Benarlah kata Dragonizer, tidak perlu ingat lagi perkara itu.

Mereka benar-benar telah mati.

Tidak ada lagi...

cuma sesekali terdengar suara mereka...

dan telefon itu tetap berdering...

tetapi rumah itu telah sunyi...

tidak ada lagi...

benar-benar sudah tidak ada lagi...

Saya terus membiarkan tingkap itu terbuka.

Dan kolej itu terus menghadap pokok-pokok yang menghijau dan angin yang begitu kuat menyapa dari ketinggian 100 meter.

Katanya dahulu ada penunggu di sini.

Sekarang mereka telah berpindah.

KISAH ITU BENAR-BENAR TELAH TAMAT?

IA TAMAT BUAT WAKTU INI. Tidak perlu diceritakan lagi.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 9:57 PTG   0 comments
Dedikasi Untuk Pensyarah Matematik Yang Berkenaan

Seorang pensyarah itu mengajar
dengan kebanggaannya memiliki taraf akademik yang tinggi
dengan megahnya kerana usianya tidak terlalu tua
tetapi masih ada datuk, pak cik dan mak cik
di bawah taraf pendidikan yang diterimanya.

Pensyarah itu bangga... terlalu bangga!
"Saya seorang sahaja yang boleh ajar subjek ini!"
"Kalau bagi orang lain... hancur!!!"

Seolah-olah dia sahaja yang terbaik.

Sedangkan tulisannya di papan putih
seperti budak baru belajar menulis.

Sekejap dia menulis ke kiri
dan sekejap dia menulis ke kanan
di mana ada ruang, di situ dia akan menyambung
kucar-kacir

Sepanjang masa dihabiskan dengan kata-kata menghina
"Soalan ujian ini kalau bagi saya buat, 10 minit dah cukup!"
"Awak buat 2 jam pun tak cukup!"
Terlalu bangga dia dengan ilmunya.

Dan dia cuba membuktikannya
dengan menjawab soalan-soalan itu secepat mungkin
namun ada banyak kesilapan juga?
Awakkan pensyarah yang hebat itu?
Pensyarah yang hebat itu pun salah juga?

Sedangkan pensyarah yang satu lagi
Tulisan di papan putih ditulis teratur
langkah demi langkah

Ada masa terluang dia memberi panduan dan teknik belajar
dia memotivasikan pelajar
menghilangkan rasa resah dan terhina
Pensyarah seperti ini yang kita semua mahu,
bukan seperti pensyarah yang berbangga diri itu
menghina kursus ijazah yang sedang diambil
seolah-olah pengiktirafan akademiknya itu terlalu hebat

dan pensyarah itu terus
memalukan secara halus
para pelajar yang datang dari jauh itu
memandang hina dan terus menghina
memalukan dan terus mengaibkan.

Adakalanya mulut pensyarah berucap
seolah-olah merekalah tuhan.

Pembunuhan itu terus berlaku
antara pensyarah-pensyarah itu.

Apakah ini dikatakan persaingan
saling membunuh antara pensyarah?

Kenapa harus ada saling musnah memusnah?

Adakalanya orang yang tinggi ilmunya
memiliki Master, memiliki Ph.D
lebih banyak melakukan kesilapan
berbanding orang
yang lebih rendah taraf akademiknya.

Kerana mereka
telah buta dengan pangkat
telah lemas dengan kehormatan
telah pekak dengan kekayaan
cuma mulut mereka masih boleh berkata-kata songsang
menyebar ajaran sesat dengan apa yang dipanggil role model.

Layakkah?


RS: Ditujukan buat segelintir pensyarah yang telah lupa akan sesuatu.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 9:21 PTG   0 comments
Selasa, Julai 11, 2006
Antara Gosip dengan Buli Mawi dan antara Kad Merah Zidane dengan Anugerah

Cerita Zidane Cerita Merah

Semua orang sedang sibuk bercakap mengenainya. Zidane menghantukkan kepalanya kepada salah seorang pemain lawan, dan dilayangkan kad merah. Merah simbolik kepada keberanian dan juga kemarahan. Kad merah simbolik keberanian Zidane, juga kemarahan Zidane. Perancis kalah, namun Zidane tetap terima anugerah. Maka merah juga lambang anugerah.

RS: Merah semakin banyak maknanya. Muka merah akibat naik darah.



Merah Warna Mentor

Satu lagi kisah mengenai merah, ialah rancangan Mentor beberapa hari lepas. Mentor memang satu rancangan yang cukup kuat aura membunuhnya. Dua protege yang sama-sama berbakat, sayang sekali cuma satu sahaja yang akan diterima. Sayang seribu kali sayang. Sayang lahir dari hati. Hati juga berwarna merah. Mentor itu soal hati?

RS: Kalau dalam TV3, mentor dengan protege. Kalau dengan Puan Ainon, mentor dengan mentee.



Gosip Satu Bentuk Buli?

Semalam ada satu rancangan tv bercakap fasal buli. Afdlin Shauki pernah keluarkan cerita fasal buli. Hari ini Romantis Selatan juga bercakap soal buli. Kadangkala membuli boleh juga dilakukan secara bertulis. Gosip-gosip itu boleh jadi satu bentuk buli juga. Mendera perasaan artis. Seorang artis yang botak kepalanya pernah memberitahu, bangun pagi-pagi ingatkan dapat cari ketenangan, tetapi bila lihat berita fasal dirinya di muka depan akhbar, terus hilang minat dan rasa tertekan.

RS: Dibuli Matematik?

Label:

posted by Romantis Selatan @ 1:20 PTG   4 comments
Rabu, Julai 05, 2006
Zinedine Yazid Zidane

Ruangan hari ini didedikasikan kepada saudara Yazid yang gigih bermain bola sepak. Saya menemui laman web peminatnya dalam Bahasa Perancis.

http://www.zidane.fr/homepage.html

Real Madrid CF : Centrocampista
Altura: 1.85m.
Peso: 80.00kg.
Nacionalidad: Francia
Nacido: 23/Jun/1972 en Marsella (Francia)

"I have won many awards and I am very happy about this, but I am not the best player in the world." — Zinedine Zidane
"It doesn't matter how many times you win an award, it is always very special." — Zinedine Zidane
"When we don't know what to do, we just give the ball to Zizou and he works something out." —
Bixente Lizarazu

Born in Marseilles, France, of Algerian parents
Scored his first goal professionally in 1991; the president of the Cannes football club gifted him with a car.
In his first international game (playing for France against the Czech Republic) in 1994, he scored two goals in 17 minutes.
Won Golden Ball -- European MVP award for leading France to victory in 1998 World Cup
FIFA Player of the Year in 1998, 2000, 2003.
Became football's most expensive player in 2001, when Real Madrid acquired him for £46 million (roughly $66 million).
Christian Dior's first male model.
After being sidelined several times with injuries, he announced he would retire after 2006 World Cup games in Germany.
Is featured as a LEGO minifigure, included in some of the soccer playsets.

Banyak lagi mengenai kerjaya Yazid Zizou ni boleh diperolehi menerusi: http://www.answers.com/topic/zinedine-zidane

Apa pun semangat ala-ala jiwa naga yang ada pada Zizou ini sangat dipuji.

RS: Teringin nak bagi komen macam Cik Mat Poi aka AC Mizal.

GO! GO! GO! FRANCE! GO! GO! GO! YAZID ZIZOU!

Label:

posted by Romantis Selatan @ 3:10 PTG   6 comments
Isnin, Julai 03, 2006
Perlu Ada Akta Berkaitan Gosip Artis

Kadangkala saya kecewa melihat bagaimana cara sesetengah wartawan atau media mengupas kisah-kisah artis tempatan. Malah ada tulisan mereka yang boleh menjadi punca yang mengeruhkan lagi keadaan. Bukan sekadar tulisan, tindakan mereka dalam usaha untuk mendapatkan berita juga perlu dipertikaikan. Untuk memanaskan jualan surat khabar?

Saya berpendapat perlu ada akta yang melarang media dan artis daripada menyiarkan berita atau kenyataan gosip yang berkaitan dengan artis yang telah bertunang atau yang telah berumah tangga.

Seseorang artis perlu dinilai pada kebolehan dan bakatnya sebagai seorang artis, bukan kehebatan atau keindahan konflik rumah tangga atau percintaannya. Kenapa mesti heboh satu dunia apabila artis itu keluar dengan orang itu, orang ini? Kenapa mesti bising-bising bila artis tu dirisik oleh orang itu atau ini.

Memang berita itu sedap dan seronok untuk dibaca, namun kesannya?

Saya beranggapan, apabila seorang jurnalis itu mengupas menggosip artis yang telah berkahwin dengan artis lain, adalah cara paling murah, hina dan amatur dalam meningkatkan jualan akhbar, tabloid atau majalahnya.

Maksud saya, penulis itu kurang kemahiran menulis, maka dia mencari jalan pintas untuk naik. Penulisannya tidak kritis, membina atau tajam, atau dalam erti kata lain, tak layak untuk menjadi penulis dalam ruangan akhbar.

Banyak cara lagi yang boleh dilakukan untuk menaikkan nama artis dan membantu meningkatkan industri hiburan. Bukan gosip sahaja. Harap pihak media akan lebih kreatif. Lebih bijak. Lebih pandai berdikari.

Cipta identiti sendiri...

RS: Oh, ya? Setakat ini belum ada gosip mengenai penulis ruangan gosip dengan orang itu ini dibuat. Apa kata kita gosipkan pula penggosip-penggosip yang suka menggosip tu? =p

Label:

posted by Romantis Selatan @ 1:29 PTG   1 comments

© 2006 Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)
Main title designed by Amiene Rev from Brotherhood of The Dragon
No part of the content or the blog may be reproduced without permission.
Original Blogger Templates by GeckoandFly.

 


 

 



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Novel Kesayangan Saya


Web This
Profil Penulis


Nama: Romantis Selatan
Lokasi: Malaysia
Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini. Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya... Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang. Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan.
Maklumat Lanjut

Yang Sudah-sudah
Arkib
Jaringan Blogger
Mesej Pengunjung

Affiliates

Powered by Blogger
make money online blogger templates
Best Malaysian Sites