Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)

Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Rabu, Januari 31, 2007
Tangisan Hati

Dia menangis tersedu-sedu. Air matanya terus mengalir tidak berhenti-henti. Itu Jenab. Jenab menangis lagi. Siapa sangka wanita ini sentiasa mengisi masa lapangnya dengan kesedihan.

"Jenab..." aku memangil Jenab. Lembut. "Kenapa menangis?"

"Hamba teringatkan sesuatu..."

"Adakah sesuatu yang menganggu dirimu?"

"Maafkan hamba. Perkara ini terlalu peribadi... tidak dapat hamba ceritakan kepada Tuan."

"Mengenai apa itu?"

"Kehilangan. Kematian." Jenab diam. Sambil duduk mencangkung, tangannya memeluk lutut dan betis.

"Kematian..." Mendengar perkataan ini. Hatiku turut tersentuh. "Siapa yang telah pergi itu?"

Jenab diam. Tidak bersuara.

"Hamba..." Jenab teragak-agak untuk menjawab. Bibirnya sekejap terbuka, sekejap terkatup. Tangannya menggeletar seolah-olah kesejukan. "Hamba lupa apa yang hamba hilang..."

"Kenapa?"

"Hamba takut untuk mengingatinya kembali...." Jenab menekap telinganya. "Hentikan semua ini!!!"

Jenab menangis teresak-esak. Terus menangis. Air matanya makin banyak mengalir.

"Waaaaaaaaaaaaaaaaaaaa
aaaaaaaaaaaaaaaaa
aaaaaaaaaaa
aaaaaaaaaaaaaaa
aaaaaaaaaaaaaaaaaaaa
aaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa
aaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa
aaaaaaaaah!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!"

Jenab sudah gila!!!!

"Kenapa Jenab? Kenapa?"

..... .... ....

Aku... aku tidak dapat meneruskan entri ini...
Itu rahsia. Rahsiakannya ya?

Sayap Tunggal dan Pheonix mengangguk. Safar dan Syawal hilang entah ke mana.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 12:59 PG   0 comments
Selasa, Januari 30, 2007
Jangan Pujuk Aku

Ketika itu Sayap Tunggal baru pulang dari berterbangan di angkasa ria. Dia melihat sang Pheonix, memandang jauh ke lautan emas. Dengan rambut panjang yang melayang-layang ditiup angin. Safar dan Syawal pula asyik menari-nari mengikut riak-riak ombak.

"Kenapa termenung jauh di sini?" Sayap Tunggal langsung berdiri di samping Pheonix. Berlatarkan pemandangan yang serba keemasan itu, kedua-dua lembaga itu menghadap memandang matahari jatuh.

"Aku rasa, diri ini telah disisihkan."

"Bagaimana pula?" Sayap Tunggal menoleh ke kiri, ke arah Pheonix.

"Jenab... adakah kewujudan dia semata-mata untuk mengambil alih kedudukan aku?" Pheonix bercakap sambil memandang terus ke laut.

"Jika Jenab dicipta oleh Tuan untuk mengambil alih kedudukan kau, maka entri ini pasti tidak wujud."

"Hm... ya." Pheonix mengangguk. Air matanya mengalir. Dia bersetuju. "Kalau begitu, ada satu perkataan yang ingin aku sampaikan kepada Tuan. Boleh kau tolong sampaikannya untuk aku?"

"Apa dia?"

"Katakan kepada Tuan. Selamat mencari pekerjaan yang baru." Pheonix mendongak ke langit. Angin petang terus bertiup. Baju kebaya yang dipakainya bergerak-gerak disapa angin.

"Tuan pasti sudah mendengarnya." Sayap Tunggal menjawab yakin. "Namun... aku tetap akan menyampaikan kata-katamu itu untuk Tuan."

"Janji?"

"Ya..."

Pheonix tersenyum.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 8:32 PG   0 comments
Isnin, Januari 29, 2007
Jenab

Aku masih tidak tahu, kenapa Jenab boleh muncul secara tiba-tiba. Adakah wanita ini wujud ketika aku meninggalkan blog ini beberapa purnama yang lalu? Atau, apakah wanita ini mempunyai perkaitan dengan sesuatu, masa silam aku?

Wanita ini cukup misteri. Adakah dia seorang gadis atau nenek tua? Mungkin seorang ibu. Pun begitu, dia tetap telah wujud dalam catatanku.

"Tuan Romantis Selatan. Adakah, tuan ingin tahu kenapa hamba boleh wujud dalam dunia ini?" Jenab seakan-akan tahu apa yang bermain di fikiran aku.

"Kalau begitu, baik juga saya mengetahuinya."

"Saya mendapat khabar, yang Tuan ingin bekerja di sebuah pusat membeli belah. Kan begitu?"

"Sementara sahaja."

"Jadi..." Aku masih bingung. Aku tidak tahu apa patut aku katakan kepada wanita ini.

"Apa perkaitannya dengan pusat membeli belah itu?"

"Nama tempat itu, dan nama hamba, bermula dengan huruf yang sama. Adakah kerana itu, saya memiliki nama ini?" Sekarang aku semakin bingung, siapa yang bertanya kepada siapa?

Aku rasa aku patut tamatkan catatan aku hari ini. Aku makin bingung. Barangkali aku tidak patut menulis pada hari ini.

Dan Jenab akan terus wujud sebagai watak yang abstrak...

Pst... Pst... Tunggu...

Jenab adalah watak eksperimentalis untuk Teknik Surah Yusuf. Bisik suara hati aku. Sekarang semua sudah faham bukan?

Oleh itu, jangan bertanya bagaimana rupa Jenab, jangan bertanya bagaimana suara Jenab, jangan bertanya apa yang Jenab pakai dan jangan bertanya kepadaku...

Jenab sudah berkahwin atau belum?

Label:

posted by Romantis Selatan @ 10:52 PG   1 comments
Ahad, Januari 28, 2007
Seorang Wanita Abstrak, Wujudnya Watak Baru

"Bangun!"

Aku membuka mataku. Kawasan itu terang benderang. Aku melihat di sisiku, ada Sayap Tunggal. Juga seorang lagi, wanita yang tidak dikenali.

"Di mana aku ini?"

"Tuan berada di suatu tempat yang kami pun tidak tahu." Tiba-tiba muncul Pheonix. Dia membawa sedulang herba, ada satu ros putih yang kelihatan sedingin salji.

"Bagaimana aku boleh berada di tempat ini?"

Kemudian wanita yang tidak aku kenali itu bersuara,"Mungkin tuan khususkan tempat ini bersempena dengan penciptaan hamba?"

Bersopan santun wanita ini.

"Maksudmu, kau juga watak ciptaan aku?"

"Benar Tuan Romantis Selatan."

"Kalau begitu biar aku namakan kau..."

Wanita itu yang belum sempurna ciptaannya berasa gembira. Aku sengaja tidak menceritakan bentuk fizikalnya, pemakaiannya, suaranya dan sebagainya kerana watak wanita ini sengaja mahu aku wujudkan sebagai abstrak.

"Nama yang paling sesuai itu ialah..."

Safar, Syawal melonjak-lonjak di sekeliling aku, berbisik-bisik. Sayap Tunggal pula terpaku seperti tunggul. Pheonix pula dengan gaya ayu dan sinar keemasannya. Wanita itu kelihatan tidak sabar-sabar lagi untuk mengetahui namanya.

"Aku namakan kau..."

Aku berhenti, sambil menarik nafas untuk meneruskan perkataan selanjutnya.

"Jenab."

"Jenab."

"Jenab."

Kehadiranmu, Jenab pasti akan menceriakan lagi suasana sunyi dan kelam yang semenjak ini menyelubungi hatiku.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 11:21 PTG   0 comments
Sabtu, Januari 27, 2007
Malam Ini Tiada Bintang

Aku rasa aku merindui sesuatu. Jauh nun di suatu tempat. Barangkali, belum sampai masa untuk aku pergi ke sana, menemui orang-orang yang telah lama aku tidak temui.

Dan ketika aku pejamkan mata ini, terasa seperti sepasang sayap tumbuh, bersinar-sinar keemasan. Lalu tiba-tiba badan ini terasa ringan, perlahan-lahan melonjak ke langit...

Melihat dunia, dari suatu sudut yang berbeza. Dari langit, aku terpaku sejenak. Aku dapati, malam ini, tidak ada bintang. Cuma aku yang terang benderang, disapa cahaya bulan terang.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 5:30 PG   0 comments
Khamis, Januari 25, 2007
Abang Ipar Yang Pemalas

Dua minggu yang lalu aku telah berjaya mendapatkan satu pekerjaan sambilan. Jaraknya yang jauh menyebabkan aku harus minta bantuan pengangkutan daripada abang iparku, memandangkan dia tidak bekerja tetap, selain urusan Multi-Level Marketingnya. Kakak aku yang bekerja sebagai guru boleh dikatakan sebagai pencarian utama dalam keluarga.

Sekitar RM200 telah kugunakan sebagai modal untuk memulakan pekerjaan ini. Pekerjaan ini berkaitan dengan komponen plastik. Aku meminta bantuan abang iparku untuk membawa aku ke gudang. Ini kerana jika aku pergi sendiri dengan teksi untuk menghantar kotak barang-barang, sudah pasti habis duit upahku digunakan untuk tujuan membayar tambang teksi. Kereta itu adalah milik kakakku.

Namun begitu, abang iparku itu tidak dapat memberi kerjasama. Seringkali dia berjanji, kemudian setelah aku lama menunggu, dia membatalkan janjinya. Pelbagai alasan diberikan. Aku bertanya lagi kalau-kalau dia sudah bekerja, dia mempersoalkan balik pertanyaanku. Abang iparku memilih pekerjaan, dia lebih suka bersenang lenang di rumah. Aku cukup sakit hati bila berkunjung ke rumahnya. Dia mempunyai masa lapang yang banyak untuk mengemas rumah tetapi rumah dibiarkan begitu sahaja. Apabila dia berjanji dengan orang, selalunya dia lambat sehingga kawan-kawannya tertunggu-tunggu.

Kadangkala semasa di rumahnya, aku menolong mengemas rumah dan membersihkan pinggan mangkuk. Kakakku jarang-jarang dapat mengemas rumah kerana sibuk dengan kerja-kerja di sekolah. Siapa kata menjadi guru ada masa lapang yang banyak?

Kadangkala aku sering teringat zaman kakakku belum berkahwin. Segala-galanya senang. Bila mula berkahwin, aku rasa aku telah kehilangan kakakku. Namun begitu hal ini aku diamkan sahaja, sebab aku tidak mahu merosakkan kebahagiaan rumah tangga kakak aku.

Seorang pemalas yang pandai berlakon. Selalu apabila dia keluar dari rumah, dia akan mengenakan pakaian seolah-olah dia bekerja di pejabat. Apabila dia menemui kawan-kawannya, dia begitu menjaga maklumat dirinya, tetapi pada masa yang sama dia tidak segan silu untuk memberitahu status aku sebagai seorang pelajar, masa silam aku yang tidak menyenangkan kepada kawan-kawannya. Ini membuatkan kawan-kawannya sering memandang rendah diri aku. Atau mungkin dia rasa tercabar kerana aku sanggup melakukan pekerjaan yang berstatus kilang, jadi...

Aku semakin lama semakin tidak mahu mengiktiraf dia sebagai abang ipar aku. Bagaimana orang yang pemalas dan sanggup mengaibkan adik iparnya sendiri? Sudah banyak kali dia memalukan aku di depan kawan-kawannya. Kelemahan aku dalam Matematik. Status aku sebagai pelajar yang tidak bernasib baik. Adakah di matanya cuma memandang duit? Sekurang-kurangnya aku tahu, siapa dia kawan-kawan abang ipar aku. Sebelum mereka mengenali kisah silam aku, mereka seronok bercakap-cakap dengan aku. Apabila abang ipar aku menceritakan kisah silam aku, mereka tidak lagi mahu bercakap dengan aku. Pandangan sebelah mata mereka, dari situ aku tahu mereka menghina dan memandang rendah aku. Barangkali abang ipar aku menokok tambah cerita mengenai aku. Aku tidak tahu, aku betul-betul... hina?

Suatu hari nanti aku mahu memiliki pengangkutan sendiri supaya aku tidak perlu berurusan dengannya, biarpun kereta itu milik kakakku. Aku mahu berusaha sendiri. Apabila mengingati hal ini, kadangkala bara api menyala-nyala mengingat kembali hal masa depan aku dengan ibu bapaku.

Aku rasa aku harus mencari pekerjaan yang baru. Abang iparku tidak dapat memenuhi janjinya untuk membantu aku biarpun sekitar 30 minit seminggu.

Manusia pemalas akan tetap pemalas. Rumah sentiasa dilanda ribut. Barang-barang yang berguna pun jadi rosak. Dapur sentiasa dipenuhi pinggan mangkuk tak berbasuh dan dia akan terus berlakon seolah-olah...

sampai bila?

Label: ,

posted by Romantis Selatan @ 12:25 PTG   1 comments
Ahad, Januari 21, 2007
Sumpahan Ahli Sihir Matematik

Sayap Tunggal tidak lagi dapat bangkit. Dia telah rebah. Setelah terbaca suatu kertas misteri. Dalam surat itu terkandung soalan-soalan yang memerlukan pengiraan dan pemikiran matematik yang sungguh unik.

"Ho! Ho! Ho!" Ahli Sihir Matematik ketawa kejahatan. "Aku telah mencampurkan ramuan tindakbalas kimia dengan rumus ini. Sesiapa yang membaca surat yang kutulis ini pasti akan tercedera jiwanya."

Label:

posted by Romantis Selatan @ 9:58 PTG   0 comments
Ahad, Januari 14, 2007
Mulakan Kuliah Dengan Tangisan Langit

Kuliah bermula tanpa sebarang masalah yang tidak rutin. Aku sudah mula menetap di asrama. Semester ini aku berhasrat mencari kerja sampingan. Ayahku sudah bersara. Tidak ada lagi pendapatan yang boleh digunakan untuk menampung pembelajaranku. Namun sumber kewangan untuk semester ini aku rasa mencukupi.

Aku berhasrat untuk pergi ke Singapura sekitar bulan Mei itu. Orang kata, berhati-hati dengan agen-agen yang mengambil pekerja dari Malaysia. Dikhuatiri menjadi mangsa penipuan. Namun aku sudah bulatkan hati untuk ke Singapura, biar apa risiko sekali pun aku tetap akan pergi ke sana.

Hari ini, semasa aku sedang menunggu bas, tiba-tiba muncul kawan lama aku. Dia datang dari Pontian. Mula-mula dia membunyikan hon, tetapi aku tidak sedar. Aku sekarang tidak lagi mempedulikan bunyi hon atau panggilan orang. Bukan untuk aku. Sebab aku sekarang keseorangan. Tiba-tiba dia turun dari kereta. Dia berdiri di tepi jalan. Aku memandang ke arah dia, melihat dan menggosok mataku berkali-kali. Oh, benar sekali. Dia rakan sekursus aku dulu.

Aku melaung namanya. Dia mengajak aku keluar minum di bandar. Belanja aku. Aku bertanya kehidupan barunya. Ternyata hidupnya sudah senang sekarang.

Aku, bagaimana? Semangatku makin kuat untuk ke Singapura. Tidak peduli lagi apa-apa risiko. Oh, ya. Hal ini perlu aku rahsiakan daripada pengetahuan kedua orang tuaku.

Rahsia, ya?

Label:

posted by Romantis Selatan @ 11:17 PTG   6 comments

© 2006 Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)
Main title designed by Amiene Rev from Brotherhood of The Dragon
No part of the content or the blog may be reproduced without permission.
Original Blogger Templates by GeckoandFly.

 


 

 



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Novel Kesayangan Saya


Web This
Profil Penulis


Nama: Romantis Selatan
Lokasi: Malaysia
Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini. Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya... Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang. Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan.
Maklumat Lanjut

Yang Sudah-sudah
Arkib
Jaringan Blogger
Mesej Pengunjung

Affiliates

Powered by Blogger
make money online blogger templates
Best Malaysian Sites