Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)

Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Isnin, November 20, 2006
Terbang Ke Angkasa

Kalian semua, patut sudah tidak berebut-rebut lagi. Aku sudah mahu meninggalkan ruangan penulisan ini pada hari ini. Jadi, tidak perlu kalian bersusah payah lagi berfikir siapa yang sepatutnya menjadi watak utama.

"Kami tidak kisah lagi." Safar dan Syawal menjawab. Sayap Tunggal dan Pheonix mendiamkan diri.

Sekarang, kamu berdua bebas menulis kisah-kisah kamu di dalam blog ini, sepanjang aku tidak ada.

"Eh? Berapa lama Tuan mahu meninggalkan blog ini?"

"Barangkali dalam empat kali purnama penuh silih berganti."

Tuan punya blog ini terus berjalan, meninggalkan Surat Untuk Takdir. Namun jiwa naga itu tetap dibawanya. Dan, tiba-tiba sepasang sayap berwarna emas muncul di belakang orang yang dipanggil penulis blog itu. Dia memandang ke langit, kemudian mendepakan kedua-dua belah sayapnya. Lalu terbang tinggi, tidak berpaling paling lagi, dan guruh pun berbunyi.

"Garuda Bersayap Emas?" Pheonix kelihatan terperanjat. "Jadi selama ini aku menyangka... aku telah tersilap orangkah?"

"Eh?" Sayap Tunggal bingung. Dia lantas melengkukkan Sayap Biru Peraknya ke hadapan. Merenungnya.

"Aku ini siapa pula?"

"Siapa aku sebenarnya?"

"Aku ini bukan dia?

Pheonix pula bertambah bingung...

bersambung...

Label:

posted by Romantis Selatan @ 9:26 PG   0 comments
Ahad, November 19, 2006
Watak Utama

Sayap Tunggal sudah beralah. Sudah tidak mahu lagi berebut tempat dalam blog ini dengan Pheonix. Pheonix juga sudah beralah.

"Sayap Tunggal. Aku tidak mahu apa-apa lagi."

"Aku juga tidak mahu apa-apa lagi. Jika kau mahu terus di sini, silakan."

Sebagai penulis blog. Aku juga pening kepala memikirkan kedua-dua watak utama ini mahu dicampak ke mana.

"Kami? Kami?" Safar dan Syawal pula bertanya. Status kedua-dua watak picisan ini masih belum diketahui. Namun aku rasa kedudukan kalian berdua adalah selamat. Oleh itu, tidak perlu berasa risau.

Barangkali, kalian berdua pula akan menjadi watak utama.

"Apa?" Sayap Tunggal dan Pheonix terkejut besar!

Ho! Ho! Ho! Aku cuma bergurau. Bagaimana aku mahu menyisihkan kalian berdua. Bukankah kalian berdua watak utama menggantikan tempat aku ini.

"Eh, jadinya tuan ini Romantis Selatan?"

Eh? Baru ketahuan kamu? Kerana kata-kata itu, hari ini, aku sudah hilang minat untuk menulis. Aku mahu meninggalkan kantor ini, mencari makan malam yang enak.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 8:58 PTG   0 comments
Konflik Sementara

"Tunggu, aku ini Pheonix, baru saja muncul dalam blog ini." Pheonix tiba-tiba berasa tidak puas hati. "Cuba baca entri sebelumnya, baru sahaja bermula prolog untuk aku bermain peranan."

"Tetapi bukankah kau ialah Bayu?" Sayap Tunggal juga tidak berpuas hati. Kedua-duanya berebut untuk terus kekal sebagai watak utama dalam jiwanaga.blogspot.com.

"Oh, tidak. Aku ialah Pheonix. Bayu itu lain. Lain dahulu, lain sekarang." Pheonix berpeluk tubuh, sambil mendengus marah. Hidungnya ditinggikan sambil matanya memandang ke sisi. Benar-benar tidak puas hati. Padahal, sempat lagi dia menjaga keayuaannya.

"Oh, kalau begitu aku juga mahu menjelma. Menjelma. Menjelmalah!" Tidak ada apa-apa berlaku. "Oh, tidak menjadi. Kalau begitu, bertukar! Bertukarlah!"

"Bunyinya seperti Pahlawan Bertopeng." Ujar Pheonix, menyindir.

Tiba-tiba Safar dan Syawal bersuara. "Kami pun mahu kekal juga sebagai watak-watak dalam jiwanaga.blogspot.com."

"Diam!" Jerit Sayap Tunggal dan Pheonix.

Nampaknya status Sayap Tunggal dan Pheonix barangkali sudah terjejas. Sejak Romantis Selatan tidak lagi mahu menceritakan kisah hidupnya menerusi Blog Surat Untuk Takdir ini, populariti jiwanaga.blogspot.com sudah pun merosot.

Barangkali orang ramai lebih suka membaca kisah benar berbanding fiksyen. Oh, kalau begitu lebih baik aku mengarang jibunsyi.

"Err... siapa pula kamu?" Sayap Tunggal dan Pheonix menyoal penulis pula.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 12:05 PG   0 comments
Sabtu, November 18, 2006
Sayap Tunggal dan Pheonix

Dua nama ini, Sayap Tunggal dan Pheonix secara tiba-tiba telah menggemparkan alam itu. Sayap Tunggal, seorang manusia aneh, mampu mengeluarkan sebelah sayap dari bahu kanannya. Sayap yang berwarna biru perak, dingin, tajam dan bersinar-sinar. Gunanya menamatkan jiwa makhluk yang zalim.

Pheonix, gadis misteri yang berasal daripada abu Sang Bayu, membantu Sayap Tunggal dalam usahanya untuk menghapuskan ketidakadilan dalam dunia, dan seterusnya membuktikan bahawa takdir itu pada akhirnya akan berpihak pada kebenaran. Tubuhnya sentiasa memancarkan cahaya keemasan, dan dua ekor makhluk kecil berupa mutiara biru, Syawal, dan putih, Safar, sentiasa mengiringinya.

"Pheonix, pernahkah kau mendengar nama ini?" Suatu ketika Sayap Tunggal bertanya.

"Siapa?"

"Romantis... Romantis Selatan."

"Seperti pernah mendengarnya, tetapi aku lupa di mana." Pheonix sambil merenung jauh ke arah mentari terbenam.

"Kita berdua sudah terlalu lama menjadi watak utama dalam blog beliau." Sayap Tunggal menggaru-garu belakang kepalanya.

"Oh, yakah?" Pheonix wajahnya berubah menjadi merah jambu. Dia menutup hidung dan mulutnya sambil ketawa ayu.

Sayap Tunggal tersengih.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 7:32 PTG   0 comments
Hilang Bayu Berganti Pheonix

Sayap Tunggal hilang hakikat. Kepercayaannya terhadap takdir terus lenyap. Jasad Bayu terus terpaku. Wajah sayunya seolah-olah beremosi, memahami perasaan manusia di sisinya.

"Janganlah engkau menghukum takdir." Tiba-tiba jasad Bayu terus berlerai menjadi debu-debu, runtuh, jatuh bertimbun di atas tanah.

"Sudah kau fahami mesejku, dalam erti kehidupan, tidak pernah wujud perkataan mati. Hidup ini berpindah randah. Dari satu alam ke satu alam yang lain." Abu-abu itu terus menyala dengan warna keemasan.

Sayap Tunggal berganjak sedikit. Sinar cahaya terik daripada timbunan abu tersebut bagaikan suria, sungguh menyilaukan mata.

Kemudian dari abu tersebut, melonjaknya seekor burung pheonix, mendepakan sayapnya, dengan jurai-jurai ekor bersimpul-simpul, terus menjulang ke angkasa. Kemudian dengan pantas unggas keramat itu menjunam ke bumi, mendarat dan perlahan-lahan berubah rupanya menjadi manusia, seiras Bayu.

"Bayu?" Sayap Tunggal dalam kehairanan bercampur gembira. Melihat perubahan Bayu. Wajahnya tidak lagi biru pucat dan sedingin dulu. Kini bersinar-sinar keemasan.

"Tidak, aku ini Pheonix, yang bangkit dari abu."

Label:

posted by Romantis Selatan @ 1:02 PG   2 comments
Jumaat, November 17, 2006
Mio Nemico - Fantaghiro


The Cave Of The Golden Rose
posted by Romantis Selatan @ 4:24 PTG   0 comments
Kematian Bayu

Hujan sudah berhenti. Sayap Tunggal melihat ada satu jasad manusia, berdiri teguh di atas sebuah bukit. Itu Bayu?

"Sudah beberapa hari kau menghilangkan diri. Ke mana kau pergi selama ini?" Tidak ada tindak balas.

"Cuma bisikan angin yang mengantara mesejmu kepadaku." Bayu masih lagi mendiamkan diri. Wajahnya tersayat keharuan.

"Bayu, kau ini kenapa?" Sayap Tunggal berjalan menghadap Bayu. Tidak ada sebarang reaksi. Mata Bayu merenung jauh, seperti sedang mengelamun.

"Tuan Puteri sudah disumpah." Tiba-tiba muncul pula Syawal. Seperti cirit bintang yang bersinar-sinar kebiruan.

"Tuan Puteri takkan kembali lagi." Kemudian, muncul pula Safar. Bersinar-sinar dengan warna putih mutiara. Kedua-dua makhluk yang menjadi teman setia Bayu itu berpusing-pusing mengelilingi Bayu, selaju lebah mencari bunga.

"Kenapa?"

"Tuan Puteri sudah mati. Jiwanya sudah tiada." Safar dan Syawal terus mengelilingi Bayu. Seolah-olah menjaga jasad itu.

"Bohong!"

"Bagaimana takdir boleh berbohong?" Angin bersiul-siul. Suara Bayu bergema dalam siulan angin.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 3:49 PTG   0 comments
Jika Hari Tidak Hujan...

Hujan semakin lebat. Guruh masih kuat berdentum. Langit terus menghitam. Angin diselangi taufan terus-menerus mengembara serantau dunia. Titisan-titisan hujan itu seperti jarum-jarum tajam yang ditembakkan ke bumi.

Di atas tanah, kelihatan satu lembaga manusia terbaring di atas tanah yang dilapisi cermin air, kelam dalam warna hitam seperti di langit. Hujan terus membasahi tubuhnya. Sayap tunggal yang berwarna biru perak itu tidak lagi kelihatan.

Sayap Tunggal telah hilang upayanya. Sudah berkali-kali dia terhempas ke bumi. Jika sebelum ini, ketika cuaca masih baik, dia masih berupaya untuk terbang ke langit, biarpun secara berpusing-pusing. Sekarang, hujan telah memberatkan sayapnya, taufan telah menghilangkan panduannya, kilat dan guruh telah mengusirnya daripada terus mencecah langit.

"Jika hari tidak hujan. Aku sudah pasti mampu terbang ke langit itu." Sayap Tunggal mengeluh.

Tiba-tiba angin kencang yang aneh, bersiul-siul muncul di persekitarannya.

"Adakah, kau masih mahu menyalahkan kejadian alam? Ini ialah takdir..." Satu suara bergema. "Sudah takdirnya, bahawa hujan itu akan turun pada hari ini."

"Bayu?" Sayap Tunggal bersuara perlahan. Keletihan.

"Kesilapanmu ialah tidak membuat persediaan untuk menghadapinya..." Siulan angin itu terus pergi mengekori gema suara yang semakin menghilang.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 12:17 PG   0 comments
Khamis, November 16, 2006
Langit Sudah Runtuh

Dia terbang lagi. Kali ini dengan sebelah sayap juga.

Tiba-tiba dia jatuh lagi. Lalu dia bangkit lagi. Cuba terbang sedaya upaya lagi. Hujan terus turun. Kilat ungu terus sabung menyabung. Awan gelap sesekali berbara putih.

Dia terus berusaha untuk terbang. Setiap kali dia melayang, hujan dan ribut begitu kuat menerpa. Baru sahaja dia dapat melayang tinggi ke angkasa, cuaca tiba-tiba sudah berubah.

"Sebelah sayap sahaja mana boleh terbang!" Satu suara berbisik lantang.

"Kau sudah hilang akal! Kau perlu sebelah sayap lagi jika mahu terbang!" Guruh berdentum.

"Ha! Ha! Ha! Kau takkan berjaya!" Ketawa mengilai berterusan. Bergema antara retakan langit dan pancaran kilat.

Sayap Tunggal tidak putus asa. Dia pernah terapung-apung di angkasa sebelum ini. Dia pernah berjaya terbang tinggi sebelum ini, tetapi semua orang tidak mahu percaya.

Dia mahu cuba lagi. Sedaya upaya. Terbang lagi. Mengepakkan sayap yang sebelah itu.

Sampai mati!

Label:

posted by Romantis Selatan @ 4:53 PTG   0 comments
Rabu, November 15, 2006
Darjat Di Angkasa

Ada sebelah sayap tidak bermakna tiada upaya mencapai langit. Sayap Tunggal kini telah terbang di angkasa raya. Dari suatu tempat yang cukup tinggi itu, dia dapat melihat dunia ini. Dari angkasa itu dia melihat segala-galanya lebih luas. Lebih kecil. Lalu Sayap Tunggal itu berfikir sejenak:

"Dan, apabila semakin tinggi darjatmu, semakin kecil dan remeh sesuatu perkara itu pada pandanganmu. Maka tiada bergunalah pemandangan yang luas itu, jika kau mengabaikannya begitu saja..."


Dan ketahuilah, ini ialah penyakit orang-orang ternama. Dahulu, mereka juga berasal daripada tanah, kemudian daripada bayi, kemudian daripada seorang yang tidak berilmu, lalu diberikan-Nya mereka ilmu. Cuma, beberapa orangkah yang masih menyedari hakikat ini? Mereka terus bersikap sombong, berbicara hanya dengan orang yang sedarjat mereka. Adakah Tuhan reda dengan sikap mereka ini?

Dan mereka terus berbangga dengan apa yang mereka lakukan. Seperti mereka telah memperjuangkan sesuatu kebenaran. Sedangkan mereka mengabaikan yang lainnya dan terus bersikap sombong di muka bumi. Mereka ini tidak ubah seperti anjing-anjing orang kaya yang menyalak di muka bumi.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 9:45 PTG   0 comments
Mesej dari Abu dan Debu

"Kenapa manusia selalu bercakap soal dunia? Apakah dunia itu makna kehidupan?" Sayap Tunggal kini semakin bosan menghadapi kehidupan yang sentiasa bergelumang kabus itu.

Kemudian datang Safar dan Syawal. Lalu mengirimkan mesej yang berbunyi:

"Sayap Tunggal. Dalam erti kehidupan, tidak pernah wujud perkataan mati. Hidup ini berpindah randah. Dari satu alam ke satu alam yang lain." - Bayu.

Safar dan Syawal bergegas pergi. Meninggalkan Sayap Tunggal. Mesej itu terus bergema, tiba-tiba datang angin, abu dan debu, membentuk rangkaian tulisan daripada abu biru hitam di atas lantai tanah.

Sayap Tunggal duduk bertinggung dengan lutut kanannya mencecah tanah. Tangan kanannya diletakkan di atas tulisan berbunyi ringkas itu. Menghayatinya. Memahaminya.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 11:37 PG   0 comments
Selasa, November 14, 2006
Sayap Tunggal

"Aku cuma memiliki sebelah sayap. Bagaimana aku mahu terbang?" Sayap Tunggal berbicara sendirian. Sudah dua hari dia tidak dikunjungi Bayu.

"Bayu, jika kau masih ada di sini, mungkinkah kau akan ajarkan aku cara-cara untuk terbang?" Senyap. Bayu tidak datang juga.

"Aku telah mencuba untuk terbang, seharian. Sehingga aku lupa untuk meninggalkan catatanku di jiwanaga.blogspot.com." Masih lagi senyap. Tanpa jawapan.

"Tahukah kau, Romantis Selatan sudah berganti orang?" Tiba-tiba angin berderu pantas. Abu dan debu berterbangan.

"Aku ini, Sayap Tunggal. Mulai hari ni kisah Romantis Selatan akan berganti dengan kisah hidupku." Sayap Tunggal lalu melebarkan sayapnya. Lalu sekali lagi cuba terbang. Dia berpusing-pusing melayang ke langit dengan sebelah sayap yang berwarna biru perak itu.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 11:53 PG   0 comments
Ahad, November 12, 2006
Jelmaan Manusia itu adalah...

"Suatu ketika dahulu. Ada seorang manusia. Dia begitu bencikan takdir. Dia memusuhi takdir. Lalu, saban hari dia mengutus surat kepada takdir. Namun dia rasa tidak bebas." Ucap Bayu.

"Kenapa?" Jelmaan Manusia bertanya lagi.

"Sebab, takdir itu tidak pernah berubah. Dia lalu ingin bebas. Dia memohon sepasang sayap. Kemudian dia berubah menjadi seekor garuda. Garuda bersayap emas."

"Garuda Bersayap Emas..." Jelmaan Manusia mengingati sebelah sayap biru perak yang pernah tumbuh di bahu kanannya.

"Garuda Bersayap Emas itu inginkan keadilan. Namun suatu hari dia dapati keadilan itu telah dinodai. Lalu dia berubah menjadi dingin. Lalu memilih untuk mencipta takdir itu dengan sendirinya. Dia ingin mengawal hidup dan mati. Dia ingin mencipta dunianya sendiri."

"Siapakah Garuda Bersayap Emas itu?" Jelmaan Manusia sudah tidak sabar lagi.

"Hatinya menjadi dingin dan mati. Dalam hatinya cuma wujud perasaan dendam dan kebencian terhadap kezaliman dan kesombongan manusia. Dia begitu sayu, sedih kerana takdir tidak mahu juga menyebelahinya. Lalu suatu hari perlahan-lahan seluruh tubuh Garuda Emas itu bertukar menjadi sejuk dan dingin seperti ais. Daripada warna emas, terus bertukar kepada warna biru dan perak."

"Maksudmu aku ini..." Jelmaan Manusia berdiri. Matanya dibuka luas-luas.

"Sejak itu, Garuda itu dikenali sebagai Garuda Dwi-Kutub. Sebarang ketidakadilan adalah musuhnya. Dia akan menghukum ketidakadilan itu. Hukuman cuma satu. Bunuh!"

"Aku ini..." Jelmaan Manusia sudah faham. Dia menggenggam kedua-dua belah tangannya. Tangannya kuat menggigil.

"Kau ini adalah Jelmaan Garuda. Kau bukan Jelmaan Manusia!" Bayu berdiri tegak. Memandang tepat ke arah Jelmaan Manusia.

"Kau sekarang akan dikenali sebagai, Sayap Tunggal." Perlahan-lahan, zat-zat di badan Bayu bercerai-cerai menjadi serbuk abu yang bersinar-sinar.

"Sampai jumpa lagi..." Seluruh tubuh Bayu bertukar menjadi abu. Lalu tiba-tiba muncul angin kencang. Angin kencang itu membawa abu-abu yang bersinar itu pergi.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 5:42 PTG   0 comments
Sabtu, November 11, 2006
Asal Usul Bayu

"Aku seringkali mengingatkan diri aku ini, manusia. Kini aku sudah bertumbuh sebelah sayap. Aku ini bukan manusia. Barangkali aku juga bukan malaikat. Mungkin aku ini syaitan, tapi aku rasa tidak."

Jelmaan Manusia duduk termenung. Bayu lalu menghampirinya. Berdiri di sebelahnya. Kira-kira lima kaki darinya.

"Kau ingin tahu asal usulku?" Bayu berpaling ke arah Jelmaan Manusia.

"Aku bangkit dari abu-abu terbakar. Selepas itu angin menyapaku. Kemudian dengan angin itu, aku muncul seperti sekarang."

"Aku tidak tahu apa tujuan hidupku. Aku tidak ada cita-cita. Aku tidak ada matlamat." Bayu berjalan tiga langkah.

"Aku berjalan-jalan tanpa arah. Seperti angin yang sekejap bertiup kencang dan sekejap bertiup perlahan. Ke Utara, Selatan, Timur dan Barat." Bayu berpaling ke arah Jelmaan Manusia.

"Selepas itu aku menyedari kewujudan takdir. Sejak itu aku tahu takdir itu satu-satunya tujuan aku hidup di muka bumi ini." Bayu merenung jauh ke hadapan dari tempat dia berdiri. Lalu menyambung,"Aku cuma ingin pastikan kebenaran, apa yang dikatakan sebagai takdir itu."

"Jadi, aku ini pula siapa?" Jelmaan Manusia terus bertanya.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 8:36 PTG   0 comments
Jumaat, November 10, 2006
Siapa Aku? Siapa Aku?

Jelmaan Manusia berjalan di sekitar kampung misteri. Tiba-tiba abu-abu berterbangan melayang bersama angin kencang. "Berhati-hati, tidak lama lagi, engkau akan melihat sesuatu yang sudah pasti tidak engkau sukai."

Angin itu ialah Bayu. Bayu memberi amaran.

Kampung itu cukup sunyi. Di satu tempat, kelihatan penduduk kampung bermandikan darah. Sekumpulan manusia yang cukup aneh, tinggi dan besar seperti raksasa sedang menyeksa dan membunuh penduduk-penduduk kampung itu.

Jelmaan Manusia berdiri di antara manusia-manusia itu. Manusia-manusia yang bersifat bengis itu melihatnya, lalu berkejar ke arahnya. Menyerangnya dengan pedang, kapak dan belantan.

"Huh!" Jelmaan Manusia tidak berganjak. Matanya tiba-tiba bersinar. Sekejap biru. Sekejap perak. Dari bahu kanannya, tumbuh daun-daun sayap seperti burung, tersusun, berkembang dan terus melipat dan melindungi tubuhnya. Secepat itu juga sayap berwarna biru perak itu melibas semua penyerang-penyerang itu.

"Kau ini, manusia bersayap tunggal?" Seorang manusia bengis terperanjat.

"Manusia apa kau ini?" Seorang lagi berteriak.

Dengan wajah yang dingin, tidak berperasaan dan mata yang terus bersinar-sinar dengan warna biru perak, Jelmaan Manusia terus berjalan merapati manusia-manusia bengis itu.

"Aku pun tidak tahu, siapa aku ini?" Serentak dengan itu, Jelmaan Manusia terus melebarkan sayapnya dan daun-daun sayapnya berbunyi seperti pedang diasah. "Beritahulah aku, siapa aku ini?"

"Kau... kau ini... Garuda Perak?" Manusia-manusia bengis itu menggeletar.

"Ah, ya. Aku ini? Garuda?" Jelmaan Manusia terus menggerakkan sayap biru peraknya lalu memancung semua manusia bengis itu. Kemudian dia berteriak! Sayapnya terus bercahaya, makin terang, makin terang sehingga seluruh tempat itu diterangi cahaya berwarna putih.

"Siapa aku?"

"Siapa aku?"

Label:

posted by Romantis Selatan @ 6:17 PTG   0 comments
Khamis, November 09, 2006
Kewujudan Bayu

Jelmaan manusia itu terus berjalan-jalan tanpa tujuan. Dia masih memikirkan apa maksud manusia akhir zaman itu.

"Kau masih terfikirkan hal itu."

Tiba-tiba angin berderu pantas. Kabus bersemarak rakus. Satu bentuk tubuh wanita berbaju kebaya tiba-tiba terpapar pada skrin mata. Berbaju kebaya biru, putih dan hitam.

"Ya."

"Usah difikirkan lagi. Ia akan menghantuimu." Gadis itu perlahan-lahan mendekati Jelmaan Manusia. "Alam ini suatu ketika nanti pasti akan binasa, itu sudah ketentuannya."

"Kau masih bercakap soal takdir?" Jelmaan Manusia tiba-tiba cemburu.

"Kenapa? Sudah jadi kekasih aku." Gadis itu berhenti berjalan. Berdiri di tengah-tengah Safar dan Syawal. "Seperti mutiara-mutiara ini."

"Bayu, kau begitu pentingkan takdir. Takdir itu takkan mengubah apa-apa pun. Kematianmu, bisakah kau mengubahnya juga?"

"Aku sanggup mati demi takdir." Bayu berlalu pergi. Safar dan Syawal menyusul kemudian.

Jelmaan Manusia terus berjalan-jalan tanpa makna.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 12:34 PG   0 comments
Rabu, November 08, 2006
Siapa Aku Siapa?

Jelmaan baru itu, bangkit dan mendapati dirinya tidak lagi memiliki sepasang sayap. Dia telah menjadi... manusia?

"Sekarang sudahkah kau sedar?"

Manusia yang baru terjelma itu memerhati sekeliling. Namun, tidak ada satu rupa pun yang kelihatan.

"Kau adalah manusia akhir zaman."

Label:

posted by Romantis Selatan @ 5:58 PTG   1 comments
Isnin, November 06, 2006
Siapa Aku?

Sedang Sang Garuda terbang di udara, tiba-tiba pemandangannya kelam. Garuda itu berpusing-pusing jatuh ke bawah. Menghempas ke bumi.

Permukaan bumi merekah. Lalu keluar cahaya-cahaya dari jasad Garuda itu. Perlahan-lahan, Garuda itu berubah...

Kemudian kepingan-kepingan emas bertaburan di sekeliling garuda itu. Garuda itu menjelma. Menjadi sesuatu yang baru.

Siapa aku?

Tiba-tiba aku lupa siapa aku...

Aku ini siapa?

?

Label:

posted by Romantis Selatan @ 8:49 PTG   0 comments

© 2006 Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)
Main title designed by Amiene Rev from Brotherhood of The Dragon
No part of the content or the blog may be reproduced without permission.
Original Blogger Templates by GeckoandFly.

 


 

 



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Novel Kesayangan Saya


Web This
Profil Penulis


Nama: Romantis Selatan
Lokasi: Malaysia
Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini. Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya... Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang. Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan.
Maklumat Lanjut

Yang Sudah-sudah
Arkib
Jaringan Blogger
Mesej Pengunjung

Affiliates

Powered by Blogger
make money online blogger templates
Best Malaysian Sites