Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Ahad, November 12, 2006
Jelmaan Manusia itu adalah...
"Suatu ketika dahulu. Ada seorang manusia. Dia begitu bencikan takdir. Dia memusuhi takdir. Lalu, saban hari dia mengutus surat kepada takdir. Namun dia rasa tidak bebas." Ucap Bayu.
"Kenapa?" Jelmaan Manusia bertanya lagi.
"Sebab, takdir itu tidak pernah berubah. Dia lalu ingin bebas. Dia memohon sepasang sayap. Kemudian dia berubah menjadi seekor garuda. Garuda bersayap emas."
"Garuda Bersayap Emas..." Jelmaan Manusia mengingati sebelah sayap biru perak yang pernah tumbuh di bahu kanannya.
"Garuda Bersayap Emas itu inginkan keadilan. Namun suatu hari dia dapati keadilan itu telah dinodai. Lalu dia berubah menjadi dingin. Lalu memilih untuk mencipta takdir itu dengan sendirinya. Dia ingin mengawal hidup dan mati. Dia ingin mencipta dunianya sendiri."
"Siapakah Garuda Bersayap Emas itu?" Jelmaan Manusia sudah tidak sabar lagi.
"Hatinya menjadi dingin dan mati. Dalam hatinya cuma wujud perasaan dendam dan kebencian terhadap kezaliman dan kesombongan manusia. Dia begitu sayu, sedih kerana takdir tidak mahu juga menyebelahinya. Lalu suatu hari perlahan-lahan seluruh tubuh Garuda Emas itu bertukar menjadi sejuk dan dingin seperti ais. Daripada warna emas, terus bertukar kepada warna biru dan perak."
"Maksudmu aku ini..." Jelmaan Manusia berdiri. Matanya dibuka luas-luas.
"Sejak itu, Garuda itu dikenali sebagai Garuda Dwi-Kutub. Sebarang ketidakadilan adalah musuhnya. Dia akan menghukum ketidakadilan itu. Hukuman cuma satu. Bunuh!"
"Aku ini..." Jelmaan Manusia sudah faham. Dia menggenggam kedua-dua belah tangannya. Tangannya kuat menggigil.
"Kau ini adalah Jelmaan Garuda. Kau bukan Jelmaan Manusia!" Bayu berdiri tegak. Memandang tepat ke arah Jelmaan Manusia.
"Kau sekarang akan dikenali sebagai, Sayap Tunggal." Perlahan-lahan, zat-zat di badan Bayu bercerai-cerai menjadi serbuk abu yang bersinar-sinar.
"Sampai jumpa lagi..." Seluruh tubuh Bayu bertukar menjadi abu. Lalu tiba-tiba muncul angin kencang. Angin kencang itu membawa abu-abu yang bersinar itu pergi.
Nama: Romantis Selatan Lokasi: Malaysia Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini.
Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya...
Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang.
Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan. Maklumat Lanjut