Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)

Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Sabtu, Disember 08, 2007
Sebelum Bercita-cita Menjadi Sasterawan, Cita-citaku Adalah Seorang Saintis

Selama beberapa minggu itu, aku hinggap di rumah kakak dan abang iparku. Namun kehadiranku tidak disenangi abang iparku. Soal privasi barangkali? Satu lagi, soal kewangan. Aku tahu, dengan status manusia tidak bekerja, aku cuma akan membebankan kewangan keluarga ini. Selepas menyelesaikan beberapa tugasan berkaitan pendaftaran akademik, aku memutuskan untuk pulang juga.

Aku terpaksa pulang juga, dengan berat hati. Aku tahu, hati aku bakal disakiti ibuku. Juga aku tahu betapa kesalnya ayahku apabila kawan-kawan aku menegurku di masjid, dengan kisah-kisah kegemilangan mereka hari ini. Sebentar tadi, di masjid, aku menemui seorang sahabat lama. Dia telah bekerja sejak tiga tahun lalu.

Cerita mengenai kawan aku ini, menyebabkan kekesalan ayahku. Kesal kerana suatu ketika dahulu, dia dan ibuku yang menyebabkan aku terpaksa melalui kegelapan selama beberapa tahun.

Dahulu, keluarga ini berlagak. Menghina diploma dan bidang-bidang mudah. Aku dijadikan ayam sabung. Simbolik kemegahan keluarga. Sekarang mereka kesal dan sering berkonflik, malah pernah melalui perceraian. Mujurlah perceraian itu cuma seketika.

Sejak itu, aku tidak suka lagi pulang ke rumah. Kehadiranku bagaikan tidak lagi diterima. Ibuku sering menyakiti hatiku. Berbanding adik beradikku yang lain, aku sering dianak-tirikan.

Dalam keluarga ini, penderhakaan itu satu kemestian. Ibu aku menyalahkan aku kerana taat, mengikut telunjuknya semasa membuat pilihan ke universiti. Sedangkan sebelum itu aku memberontak menentangnya. Kakak dan abangku dijadikan contoh, kerana mereka sering mengingkari arahan ibuku. Mereka berjaya kerana mereka tidak menurut telunjuk ibuku. Sedangkan sebelum itu, mereka dimarahi berkali-kali.

Adakah ibuku sukakan penderhakaan? Atau tidak mahu mengakui kesalahannya?

Apa pun kesalahan pasti akan dijatuhkan kepadaku. Kegeraman di pejabat juga akan dilepaskan kepada aku. Sejak aku kanak-kanak hingga sekarang. Barangkali benar kata ibu aku. Dia jahat. Kalau orang kata dia jahat, maka dia adalah lebih jahat daripada itu.

Aku pulang ke rumah beberapa hari lalu. Mengemas bilikku yang sudah bersawang. Tapak kakiku hitam memijak debu-debu. Nyamuk, labah-labah sudah bersarang dalam bilikku. Di atas meja, hadiah-hadiah penghargaan yang diberikan kepadaku oleh rakan-rakan sekerja dahulu, sudah berdebu. Aku mencuci satu persatu.

Aku juga menemui kad jemputan kahwin dan, oh ya, kad hari raya daripada Kak Aina Emir. Tidak pula aku dimaklumkan akan kad ini semasa keluargaku pulang ke rumah nenek tempoh hari. Buku Kau Laksana Bulan dengar khabarnya sudah 8 kali diulang cetak. Judul klasik yang mencatat jualan yang sungguh memeranjatkan, ulas sebuah akhbar tempatan.

Aku semester ini, berjaya mencatat satu pencapaian yang paling baik dalam hidupku. Semua ini adalah kerana bantuan seorang sahabat. Namanya, Dragonizer. Dia adalah menulis di sebuah blog. Kami belajar menulis bersama-sama. Salah seorang guru kami adalah Haji Sasman bin Yasir, seorang bekas editor di Dewan Bahasa dan Pustaka. Dia menggunakan nama pena Duke Amiene Rev. Sibuk benar dia menguruskan soal-soal akademik.

Aku tahu dia hendak membantu aku. Terima kasih, Amiene Rev. Aku mendapat keputusan yang paling baik dalam sejarah hidupku untuk satu subjek matematik. Ada dua subjek. Satu lulus dan satu gagal. Namun gred yang baik untuk satu subjek itu, barangkali adalah perkara yang paling menggembirakan dalam hidup aku. Belum pernah aku merasai keputusan sebaik itu. Sahabatku ini, mengalami depresi kerana menguruskan program ini. Dia sebenarnya bukan sahaja ingin membantu aku, tetapi pelajar-pelajar yang lain juga. Tugas ini amat berat dan mencabar. Lebih-lebih lagi beliau turut terlibat dalam projek penulisan tesis untuk mengajar orang dewasa. Sekarang aku pasti dia sangat sibuk. Aku mengunjungi blognya, tidak ada update terkini. Entri terakhirnya berbaur depresi. Pasti program ini memberi impaks yang besar terhadap emosinya.

Tetapi, dia telah berjaya. Biarpun satu lulus dan satu gagal untuk aku, tetapi yang lulus itu sangat berharga, kerana grednya. Bermakna aku sudah melakukan lompatan saujana dalam pencapaian akademikku.

Tetapi, yang gagal itu, amat menyakitkan hati. Kerana itu, aku tidak berani pulang. Ibuku tidak menyenangi satu gred yang gagal itu. Bermaksud aku harus menambah satu semester lagi. Lalu di rumah ini tidak ada ketenangan lagi.

Bilik yang bersawang itu, aku mengambil beberapa hari mengemasnya. Terlalu berat debunya. Aku masih penat selepas perjalanan jauh dari selatan. Balik saja, terus mengemas bilik. Sempat solat subuh di masjid bersama ayahku. Seorang pakcik kelihatan serius mukanya ketika bersalaman denganku. Pasti dia menyoal di dalam hati, "Awak ni bila nak habis belajar?"

Suasana di kampung tidak begitu ceria lagi. Aku rasa seolah-olah tidak diterima lagi. Kampung ini bukan tempat untuk aku menenangkan fikiran. Jeritan ibuku apabila memarahiku, kedengaran sampai ke rumah jiran. Memalukan aku. Semuanya gara-gara berita buruk mengenai keputusan akademik. Kecemerlangan yang kuperolehi dalam subjek selain matematik tidak pernah disebut-sebut lagi. Tidak bermakna apa-apa lagi.

Aku mengemas bilik seperti orang yang sudah hilang ingatan. Kebencian dan dendam terhadap masa silam hingga kini, seolah-olah meragut segala memori. Aku bagaikan tidak ingat apa-apa lagi. Sudah lupa dengan segala penderitaan. Barangkali aku sudah lali, pasrah dengan apa yang berlaku. Barangkali aku sudah jemu mengingati dendam-dendam lama ini. Dendam terhadap kegelapan selama lebih tujuh tahun ini. Aku sangat berdendam dengan tujuh tahun yang sia-sia ini.

Aku terus mengemas bilikku. Membersihkan barang-barang yang masih baik dan yang sudah rosak. Menghalau serangga-serangga keluar dari bilik.

Aku membuka laci. Membuang barang-barang yang sudah rosak. Buku-buku yang sudah tidak boleh dibaca lagi. Lama sangatkah aku tinggalkan bilik ini?

Kemudian aku menemui sesuatu. Buku yang dibalut dengan kemas. Tersorok antara buku-buku yang lain. Berkeadaan baik. Tahun 1995. Buku itu tertulis:

"Kajian Mengenai Matematik" - Penulisnya adalah aku!

Aku membelek-belek lagi. Tiba-tiba aku rasa diri ini seolah-olah Adiputra. Buku ini ditulis semasa zaman kanak-kanakku. Aku juga melihat beberapa lukisan mekanikal yang aku lukis sendiri. Cita-cita, saintis!

Rupa-rupanya, aku pernah bercita-cita untuk menjadi seorang saintis! Buku ini sudah amat lama tersimpan. Sudah lebih 12 tahun. Aku meneliti lagi. Ah, ini...

Aku terkejut. Rasa gementar, gembira dan terharu. Sebuah buku...

kerana buku ini, aku ingin jadi seorang sasterawan,
kerana buku ini, aku bercita-cita mahu menjadi penulis,
ini semua, adalah karya-karya yang terselamat.

Aku masih menyimpannya, aku tidak sangka! Kenapa baru sekarang aku menemuinya? Rupa-rupanya buku-buku ini semuanya disorok! Tidak dimusnahkan! Kerana sudah cukup lama aku meninggalkan bilik ini, dan apabila berlaku kerosakan pada barang-barang di bilik ini, maka segala harta cita-cita yang telah kukunci di dalam peti seolah-olah hilang.

Seorang saintis dan kemudian seorang penulis. Kajian tentang Matematik, aku yang mengkajinya.

Siapa aku sebenarnya?

Label:

posted by Romantis Selatan @ 12:51 PG  
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home
 

© 2006 Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)
Main title designed by Amiene Rev from Brotherhood of The Dragon
No part of the content or the blog may be reproduced without permission.
Original Blogger Templates by GeckoandFly.

 


 

 



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Novel Kesayangan Saya


Web This
Profil Penulis


Nama: Romantis Selatan
Lokasi: Malaysia
Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini. Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya... Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang. Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan.
Maklumat Lanjut

Yang Sudah-sudah
Arkib
Jaringan Blogger
Mesej Pengunjung

Affiliates

Powered by Blogger
make money online blogger templates
Best Malaysian Sites