Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)

Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Selasa, Mac 28, 2006
Dia bukan lagi kawanku - Parasitisme

Apa yang aku ingin ceritakan hari ini adalah mengenai seorang manusia yang aku pernah anggap sebagai seorang kawan. Aku berulang-ulang kali menolongnya, tetapi dia seringkali memalukan aku, memburuk-burukkan aku. Seolah-olah dirinya lebih baik dan benar. Sedangkan dia seorang yang berpendirian parasitisme. Apa maksud seorang kawan?

Dahulu aku fikir, setelah tujuh tahun berada di IPT, setelah tidak ada lagi subjek-subjek bukan matematik, maka akulah yang paling lemah. Tidak ada orang yang akan meminta tumpang atau bergantung kepada aku lagi. Rupa-rupanya aku silap. Ada manusia yang cukup malas, mereka menggunakan aku atas nama kawan. Tujuan mereka masuk ke universiti bagaikan tidak ada makna, mungkin sekadar mencari peluang berniaga, atau sebagai suatu cara menunjuk-nunjuk, atau semata-mata untuk mencari modal memikat gadis-gadis cantik. Aku tidak pasti. Tidak perlu aku terangkan semua peristiwa. Ini adalah kisah benar. Salah satu daripada punca kenapa aku rasa aku tidak boleh jadikan dia sebagai kawan lagi.

Manusia ini kurus kering orangnya. Berbadan rendah. Aku fikir dia adalah anak manja. Kerana semua perkara dia hendak senang. Tamak. Dia mampu datang ke kelas kuliah dengan menaiki motorsikal kepunyaannya. Juga kadangkala kereta milik abang iparnya. Semua itu aku tidak pernah miliki atau pinta. Aku cuma ada sepasang kaki, dan sebuah basikal pemberian senior kira-kira tujuh tahun yang lalu. Aku kira basikal itu kini usianya dalam sebelas tahun. Masih dalam jagaanku. Lain kalilah aku bercerita mengenai basikal ini.

Aku masih ingat kata-katanya apabila aku memberitahu aku perlu cepat tamat pengajian kerana ibu bapaku sedang bising-bising dan tertekan.

"Orang tua, begitulah... kita kena faham perasaan orang tua. Emak bapak aku pun macam tu."

Manakala aku pernah dengar dia meluahkan perasaan.

"Bila aku tengok-tengok balik diri aku ni. Dah separuh umur. Belum graduate lagi."

Aku rasa dia sendiri tidak faham apa yang dicakapkannya. Buktinya. Di dalam kelas dia suka menghabiskan masa bermain cuit-cuit kawan-kawan. Menulis mesej di atas kertas dan menyuruh aku membalasnya. Seperti berbual di dalam kelas tetapi secara menulis di atas kertas.

Selalunya dia ponteng kelas, dan kalau datang, akan lambat. Pelik, dia punyai begitu banyak masa lapang. Lagi memiliki motorsikal dan sesekali datang dengan kereta. Apa masalahnya?

"Hero datang lambat!"

Pada suatu hari dia tidak datang ke kelas. Waktu itu kelas malam. Aku datang awal. Singgah di masjid untuk maghrib. Kerana kelas bermula sekitar pukul 8.00 malam dan tamat sekitar pukul 10.00 malam. Berjalan kaki seperti biasa.

Habis kelas, aku terus ke bilik pelajar junior. Aku meluangkan masa sehingga sekitar pukul 1.00 pagi. Kemudian pulang. Menyemak nota-nota dan tidur sekitar pukul 2.30 pagi.

Pagi itu aku bangun awal. Aku ada kelas pada pukul 2.00 petang. Selepas sarapan pagi, aku terus bertolak ke perpustakaan awam. Berjalan kaki. Lebih kurang pukul 8.00 aku sampai di perpustakaan awam. Aku meluangkan masa sehingga sekitar pukul 10.00 atau 11.00. Kemudian makan tengah hari. Aku rasa cukup letih, jadi aku singgah di masjid untuk tidur sambil menanti waktu Zohor.

Telefon bimbitku telah kututup bunyinya sejak kelas pada malam tadi. Tidak pernah kubuka. Lagipun tidak ada kredit untuk aku membuat panggilan. Aku juga tidak menyangka akan dihubungi. Cuma sekadar menerima mesej.

Ketika aku tertidur itulah. Budak itu menelefonku. Berulang kali. Semata-mata untuk bertanya bila tarikh ujian. Aku tertidur. Aku tidak sedar. Aku cukup letih. Sejak malam tadi. Aku menghabiskan masa untuk matematik. Mengulangkaji pada waktu pagi hari. Kemudian perlu rehat untuk kelas pada pukul 2.00 petang itu.

Sekitar pukul 1.30pm, selepas solat Zohor. Aku terus pergi ke kelas. Kelas bermula pukul 2.00pm. Aku tiba ke kelas kira-kira pukul 1.40 petang. Aku pun memeriksa telefon bimbitku. Kutemui banyak panggilan "miss call". Semuanya daripada budak itu. Aku tidak ada kredit untuk membuat balasan. Maka aku biarkan sahaja. Aku menyemak sms.

"Bila ujian 2 Persamaan Pembeza?" - Budak itu.

Lambat lagi. Minggu ke 15. Sekarang baru minggu ke 10. Aku rasa tidak perlu aku menelefonnya dengan telefon awam. Kelas hampir bermula.

Kelas bermula. Kelibat budak itu masih belum kelihatan. Pensyarah datang tepat pada masanya. Kira-kira sepuluh minit kemudian, aku nampak dia datang ke kelas dengan seorang lagi kawan. Dia kelihatan marah-marah.

"Kalau ada telefon tapi tak nak angkat. Baik tak payah pakai telefon!" Marahnya.

Aku cuma kata aku tengah tidur. Dia tidak puas hati:

"Tidur! Aku telefon kau ulang kali dekat setengah jam! Tak angkat pun!"

Aku diam sahaja. Dalam hati aku berkata: Kenapa tak telefon pensyarah aja?

Kemudian aku membelek-belek nota malam tadi dan minggu lepas. Aku hulurkan kepadanya jika dia mahu menyalinnya. Sementara itu, aku menyalin nota yang diberikan oleh pensyarah di papan putih. Beberapa lama selepas itu, dia merungut-rungut lagi.

Kemudian aku tengok dia sudah siap menyalin nota. Aku berikan dia pula nota hari ni yang telah aku siap salin sebentar tadi. Nampaknya dia cuba cari masalah. Dia tidak mahu menyalin nota. Penat?

Sambil mendengar penerangan pensyarah. Aku fikir nota tadi ada kaitannya dan perlu aku fahami. Aku mengambil kembali nota tersebut untuk membuat analisis.

Kemudian dia memarahi aku:

"Apa ni! Aku belum salin lagi kau dah ambil! Potong gaji!"

Aku rasa cukup terhina dengan sikapnya. Bagai melepaskan anjing tersepit. Ini bukan kali pertama. Sebelum ini pun dia pernah berbuat begini. Memalukan aku di depan orang lain. Seolah-olah dia yang betul.

Dia fikir aku ini dijadikan Tuhan untuk memperhambakan diri kepada dia? Aku tidak dibayar gaji. Siapa dia...

Malas datang kelas. Dia kata kalau orang telefon tak nak angkat, baik tak payah pakai telefon. Aku pula ingin kata: Kalau malas nak datang kelas, baik tak payah ambil ujian. Baik tak payah masuk universiti. Kau dah mengkhianati amanah orang tua kau. Tapi aku diam sahaja.

Pensyarah yang mengajar kelas itu namanya Dr. Sharidan. Cukup baik orangnya. Sayang sekali dia memiliki pelajar seperti ni. Pelajar yang tidak menghormati dan menghargai pensyarah yang baik. Terima kasih Dr. Sharidan. Markah 32/40 itu memang sudah cukup baik untuk pelajar yang cacat matematik seperti aku.

Sebenarnya aku agak rapat dengan pensyarah-pensyarah. Ramai pensyarah di universiti yang mengenaliku. Ramai yang mengetahui kisah sedihku. Ramai yang memberi semangat untuk aku terus hidup dan menghadapi cabaran ini. Aku akan ceritakan mengenai mereka juga pada masa akan datang.

Aku masih ingat kata-kata Dr. Sutinah kepadaku. Dia salah seorang pensyarah matematik. Ketika itu aku memberitahu, bagaimana aku rasa ditindas oleh pelajar yang pandai matematik. Ketika mereka senang mereka lupa akan aku. Ketika susah mereka cari aku. Jika aku tidak dapat memenuhi permintaan mereka, seperti budak itu, aku akan disisih. Dr. Sutinah menasihati aku agar menjauhkan diri daripada budak-budak seperti ini:

"Jangan berkawan dengan orang yang negatif. Cari kawan yang berfikiran positif dan maju."

Betul. Seringkali pelajar yang bertelingkah denganku merupakan pelajar yang negatif. Mereka cuma tahu mempergunakan kebolehan aku, kesungguhan aku.

Aku masih ingat ketika aku berkunjung ke rumah sewa mereka. Aku katakan, kalau aku duduk di sini, dah lama aku buka tuisyen. Dapat juga dalam tiga empat ratus sebulan. Mereka kata, boleh juga, tetapi aku harus mengepalai mereka. Mereka tidak ada semangat untuk berbuat demikian. Mereka tertarik sebab aku pernah berdikari membuka tuisyen beberapa tahun lepas. Sambutan cukup baik, sehingga anak-anak murid yang lebih aku berikan kepada kawan-kawanku yang bermasalah dalam kewangan. Cukuplah rezekiku. Selebihnya untuk kawan-kawanku.

Sekarang aku tidak ada masalah kewangan. Untuk setahun ini mungkin. Tidak perlu fikir soal wang lagi. Buat masa ini.

Berbalik semula kepada budak parasit tadi. Aku hairan. Apa matlamatnya belajar di universiti. Yang seorang itu (bukan budak parasit aku kira, sebab dia tidak menyusahkan aku, jika dia bersalah, dia diam. Dia juga tidak marah bila aku kata aku tertidur). Cuma budak yang seorang ini. Cukup menyakitkan hati.

Aku rasa semua pertolonganku selama ini. Angin. Aku rasa sudah tiba masanya untuk aku katakan. Dia bukan lagi kawanku.

Kadangkala tercetus rasa kasihan. Sehingga ke hari ini, aku masih terasa. Aku rasa, rasa kasihanku ini bukan untuk budak parasit itu, tetapi untuk ibu bapanya. Untuk Dr. Sharidan juga, kerana ada pelajar yang malas seperti ini. Sedang budak parasit ini otak matematiknya jauh lebih baik daripada aku.

Dia ponteng kelas pun bukan kerana ada alasan yang wajar. Minggu lepas aku terserempak dengan dia. Sedang bertemu janji dengan seorang budak perempuan. Dia sendiri kata dia ingin ponteng kelas. Terang-terangan. Tanpa sebab yang wajar. Cuma untuk mengurat seorang gadis.

Aku. Aku tidak kisah mengenai cinta buat masa ini. Cita-cita. Itu paling utama. Selepas tamat pengajian nanti. Aku akan rancangkan balik mengenai cinta. Aku tiba-tiba rasa hairan kenapa aku masih menggunakan nama Romantis Selatan.

Aku rasa mungkin aku sedang berubah. Selepas menyertai Brotherhood of the Dragon. Jiwa romantis aku sedang berubah menjadi jiwa naga. Tegas dan garang mengharungi kehidupan.

Terima kasih Dragonizer.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 1:11 PG  
3 Comments:
  • At Sel Mac 28, 12:21:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama said…

    sedihnya..apa kata kau boikot je kawan kau tu..budak2 class aku pun sama je..main pas2 kertas la..tido la..nasib masing2 la..nak berjaya semuanya harus datang dari diri sendiri..
    salam perkenalan..

     
  • At Sel Mac 28, 05:16:00 PTG, Anonymous Tanpa Nama said…

    Bertindak tegaslah dgn "parasit" itu.

     
  • At Rab Mac 29, 05:54:00 PTG, Blogger Unknown said…

    jangan dibiarkan parasit itu menikmati zat di tubuhmu. Kelak kau juga yang tersiksa. Jangan lengah-lengah, sembur saja dengan api dari mulutmu.

     
Catat Ulasan
<< Home
 

© 2006 Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)
Main title designed by Amiene Rev from Brotherhood of The Dragon
No part of the content or the blog may be reproduced without permission.
Original Blogger Templates by GeckoandFly.

 


 

 



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Novel Kesayangan Saya


Web This
Profil Penulis


Nama: Romantis Selatan
Lokasi: Malaysia
Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini. Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya... Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang. Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan.
Maklumat Lanjut

Yang Sudah-sudah
Arkib
Jaringan Blogger
Mesej Pengunjung

Affiliates

Powered by Blogger
make money online blogger templates
Best Malaysian Sites