Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Khamis, Mac 30, 2006
Papa, Mama: Anakmu Ini Memiliki Suatu Rahsia
Tidak ramai orang yang tahu, bahawa aku memiliki satu rahsia. Aku memiliki kebolehan yang aku kira agak luar biasa. Ini adalah kuasa mental untuk melihat masa depan. Kebiasaannya, apa yang aku lihat di dalam mimpi akan menjadi kenyataan. Aku tidak boleh mengawalnya. Tidak dapat dibuktikan. Ia akan datang bila-bila masa yang ia mahu. Pakar dalam bidang psikik dan paranormal yang pernah kuhubungi memanggilnya sebagai "premonition" atau firasat. Aku pasti, tentu ada orang lain yang turut memiliki hal-hal seperti ini. Sebab aku pernah berkenalan dengan mereka juga di alam siber. Contohnya apabila kakakku ingin melahirkan anak lelaki suatu ketika dahulu. Sehari sebelum itu aku bermimpi melihat anak saudara lelaki. Maka aku rasa kakakku akan bersalin pada bila-bila masa sahaja. Esok harinya, aku menerima mesej daripada Abang Iparku yang masih belajar di sebuah IPT juga, kakakku kini berada di wad, baru selamat melahirkan anak lelaki. Adakalanya hidup ini cukup membosankan jika kita mampu mengagak masa depan. Namun aku sendiri masih kabur dengan masa depan aku. Tidak ada klu yang jelas. Apa yang aku nampak ialah kegelapan yang aku tafsirkan sebagai kematian.
Ada sebabnya aku ceritakan mengenai hal ini. Pada masa depan aku ingin ceritakan bagaimana kebolehan ini dikatakan suatu faktor kenapa aku tidak pandai matematik oleh salah seorang kaunselor yang pernah aku temui suatu ketika dahulu. Pertemuanku dengan kaunselor ini setahun yang lalu menimbulkan percanggahan persepsi terhadap kebolehanku ini. Sesuatu yang menakutkan. Akan kuceritakan apabila tiba masanya.
Malam tadi aku bermimpi, aku melalui satu tempat yang cukup tinggi. Bangunan-bangunannya cukup canggih. Bangunan pejabat dan rumah (barangkali sebuah apartmen) digabungkan sekali. Aku tidak pasti sama ada itu sebuah rumah atau cuma kediaman untuk tetamu atau orang-orang penting. Aku bermimpi menaiki lif yang direka begitu hebat dan sangat moden. Menuju ke tingkat yang sangat tinggi. Memasuki dewan-dewan pejabat yang hebat dan canggih. Bilik mesyuarat dan sebagainya.
Aku teringat malam tadi aku bermimpi aku memenangi sesuatu seperti cabutan bertuah. Aku bermimpi aku memenangi hadiah wang tunai sebanyak tiga ratus ringgit. Kemudian aku diberi sekeping kad. Aku rasa aku kenal kad itu. Itu adalah kad Bank Bumiputera Commerce. Are? Apakah kaitannya kad BCB dengan duit RM300?
Esok paginya, kira-kira jam 9.00 pagi aku menerima satu SMS daripada ayahandaku. "Papa dah masukkan duit RM300 ke dalam bank BCB." Ringkas ayatnya. Tiba-tiba aku berasa sayu membacanya. Ayahku penat-penat mengirimkan wang... tetapi aku sendiri masih belum dapat menghabiskan pengajianku. Bila agaknya aku akan tamat pengajian. Wajah ayah dan ibuku saling di mataku. Aku tidak lagi begitu menyalahkan ayah dan ibuku kerana kesilapan tujuh tahun lalu. Mereka cuma mahukan yang terbaik untukku. Kesan kegawatan ekonomi, selain tekanan daripada masyarakat persekitaran menyebabkan mereka menjadi defensif dan inginkan aku menjadi yang terbaik.
Lebih melukakan hati apabila aku melihat mereka menyesal kerana tidak membenarkan aku membuat pilihanku sendiri sebebas-bebasnya. Masa silam tidak lagi boleh diubah. Pandangan menghina daripada orang-orang di sekitar, saudara mara, rakan-rakan sekampung... aku cuba menjaga maruahku sebaik-baiknya. Aku ingin beritahu mereka, walaupun aku belum tamat pengajian, tetapi aku sudah pun memberi sumbangan kepada masyarakat. Melalui program-program motivasi, aku selalu membantu pelajar-pelajar mencari bidang yang sesuai dalam pengajiannya. Supaya mereka tidak menjadi seperti aku. Kisah aku adalah suatu pengajaran... jadikan sebagai sempadan.
Kisah seorang siswi Cina yang membunuh diri di sebuah IPT beberapa tahun lalu masih berlegar-legar di fikiranku. Matanya terbeliak, lidahnya terjelir keluar. Gadis malang itu menggantung dirinya dengan menggunakan tali leher di dalam almari. Selepas itu, blok itu dikosongkan. Teman sebilik siswi itu pula telah bertukar ke sebuah IPT yang lain kerana berasa tertekan dengan peristiwa itu. Tidak disangkai, teman sebiliknya nekad membunuh diri. Berdasarkan kisah yang aku dengar, si gadis itu membunuh diri kerana tertekan tidak mendapat pencapaian yang baik dalam pelajarannya. Tertekan kerana usianya jauh lebih tua jika dibandingkan dengan rakan-rakan sekelasnya. Rasa terhina, rendah diri, kecewa, malu... menyebabkan dia membunuh diri. Gadis ini melalui penderitaan yang sama seperti aku.
Semasa cuti sebulan yang lalu. Sebelum bermulanya semester pengajian pada tahun ini. Aku bergaduh dengan ibuku secara diam-diam. Ketika itu ayahku mengikuti kursus di suatu tempat. Ibuku tidak puas hati dengan jawapanku. Apabila ibuku bertanya bilakah masa yang betul-betul aku akan tamat. Aku cuma memberitahu, mungkin tahun 2007. Mungkin tahun 2008. Kalau tak ada masalah boleh habis awal. Mungkin... mungkin... mungkin... Ibuku cukup marah mendengar jawapan ini.
Di pejabat, ibuku terkenal dengan gelaran Iron Lady. Dia dan bapaku sama-sama pekerja cemerlang di pejabat. Setiap tahun sering mendapat anugerah. Ibuku marah kerana melihat aku dalam keadaan teragak-agak memberi jawapan. Panjang juga leteran yang aku terima pada malam itu. Adakalanya Ibuku kelihatan seperti orang meracau. Aku bimbang, apabila melihat ibuku marah-marah dalam nafas dan suara yang tersekat-sekat. Seperti menanggung penderitaan, penghinaan, kekecewaan yang mendalam. Aku takut... takut kalau apa-apa berlaku kepada ibuku, kesihatannya. Dalam kebimbangan itu, aku memutuskan untuk mendapat A untuk semua subjek matematik pada semester ini.
Itu kata-kata yang paling berat. Aku menyusun ayat. Aku cuba menyakinkan ibuku. Aku mahu dia berasa gembira. Aku mahu dia tidak bimbang lagi. Sambil meyakinkan ibuku. Air mataku mengalir. Aku rasa aku seperti anak derhaka. Dipaksa menjadi anak derhaka. Ibuku juga mengalirkan air mata. Kemudian dia tersenyum selepas mendengar jawapanku.
Dapat semua A. Itu pertaruhan yang aku kira sangat berat. Berdasarkan keupayaan aku yang aku kenali, peluang untuk aku mendapat A sangat tipis. Benar... berdasarkan ujian 1. Cuma satu subjek sahaja mendapat keputusan yang memungkinkan untuk aku mengutip satu A. Yang lain... merudum...Selepas itu... sejak hari itu... hubungan aku dan ibuku kembali pulih. Tidak ada lagi pergaduhan. Boleh kata, dalam masa tujuh tahun ini, itulah kali pertama konflik berkaitan dengan akademik berakhir. Aku mahu menjaga hubungan ini. Aku tidak mahu ibuku terluka lagi. Sayang sekali, aku tidak diberikan kebolehan yang luar biasa dalam matematik. Keupayaanku dalam bidang matematik hanya tahap sekolah menengah, bukan peringkat universiti.
Aku teringat lagu Cina yang pernah didendangkan oleh salah seorang anak gadis dalam drama Fei Mao. Drama mengenai seorang lelaki terencat akal yang jujur dan baik hati, memiliki adik beradik, emak, nenek dan rakan-rakan yang baik. Lagu itu didendangkan oleh gadis itu semasa Hospital tempat salah seorang saudara kandung Fei Mao. Lagu itu ditujukan oleh gadis itu kepada ibu bapanya. Senikatanya, ritma lagunya... memang menyentuh hati. Aku tidak begitu ingat akan lirik lagu itu. Namun aku memahaminya seperti ini:
"Ibu dan ayah. Aku tidak memahamimu, aku tidak memahami isi hatimu... tetapi aku tahu kalian begitu menyayangiku. Aku juga sangat-sangat menyayangimu. Namun aku tetap tidak dapat memahamimu."
Lirik lagu ini seakan-akan kena dengan aku dan ibubapaku. Aku tidak tahu bagaimana aku mahu mengucapkan sayangku kepada ayah dan ibuku. Setiap kali hari raya, aku akan mencium dahi ibu dan ayahku. Ketika itu air mataku bagaikan hendak gugur, namun kutahan begitu sahaja. Setiap kali hari raya, ini sahajalah rayaku. Memohon ampun dengan ibu dan ayah. Itulah hari rayaku. Selepas itu aku akan 'melarikan diri'. Aku tidak mahu orang bertanya kenapa aku belum tamat pengajian. Aku tidak mahu soalan-soalan ini menyakitkan hati ibu dan ayahku. Aku rasa mereka boleh memahamiku; kenapa aku tidak gemar menziarahi rumah orang sejak beberapa tahun kebelakangan ini? Aku mungkin pergi beraya, tetapi cuma beberapa buah rumah sahaja, iaitu rumah saudara-saudara terdekat, yang sudah sedia maklum keadaan diriku. Selepas itu aku akan merayau... ke mana aku suka... setiap kali tiba hari raya...
Aku masih ingat pada hari raya yang terbaru. Selepas hari raya, aku mencium dahi ayahku seperti biasa. Kemudian ayahku tiba-tiba memelukku dengan seerat-eratnya. Aku tahu, ayahku rasa cukup bersalah... jika pensyarah di tempatku juga mampu menitiskan air mata mengenangkan penderitaanku sebagai seorang pelajar... apatah lagi ibu bapaku...
Papa... Mama... anakmu ini memiliki suatu rahsia... suatu hari nanti... anakmu ini terpaksa pergi... pergi jauh... tetapi sebelum itu... ada budi yang harus dibalas... ada jasa yang harus dicipta... ada maruah yang harus dikembalikan... supaya dapat pergi dengan hati yang tenang...
Nama: Romantis Selatan Lokasi: Malaysia Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini.
Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya...
Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang.
Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan. Maklumat Lanjut
mungkin itu dejavu namanya...jgn hirau sangat...