Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)

Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Jumaat, Ogos 04, 2006
Pensyarah Matematik Sebagai Ikon Pelajar Matematik

Hari ini, borang penilaian pensyarah diedarkan di kelas saya. Borang itu perlu diisi oleh para pelajar untuk menilai pensyarah. Antara perkara-perkara yang diuji ialah:

1. Isi kandungan pengajaran pensyarah.
2. Persediaan semasa mengajar termasuk peralatan yang digunakan pensyarah.
3. Cara pensyarah berkomunikasi dan menyampaikan pengajaran di dalam kelas.
4. Sikap dan tingkahlaku pensyarah di dalam kelas.
5. Hubungan pensyarah terhadap pelajar.

Kesemua itu diuji berdasarkan berpuluh-puluh sub elemen yang disenaraikan di dalam borang penilaian pensyarah. Berdebar pensyarah di hadapan pentas, melihat para pelajar mengisi borang tersebut. Nasib baik objektif yang akan dihantar kepada jabatan, manakala yang subjektifnya pula akan diserahkan terus kepada pensyarah. Tak dapat saya bayangkan kalaulah pensyarah yang mengajar itu teruk, dan komen para pelajar pula dihantar ke Ketua Jabatan atau Dekan Fakulti.



Kelas sebagai Medan Persembahan Teknik Mengajar Atau Kehebatan Individu?

Pensyarah. Bersyarah. Tugas yang kelihatan mudah. Namun sebenarnya, secara tersiratnya tidak begitu mudah.

Seperti seorang guru. Jika guru tradisional mengajar lebih berpusatkan guru. Guru zaman moden dan millenium lebih berpusatkan pelajar. Kita lihat hasil pembelajaran semakin lama semakin baik.

Seorang pensyarah, akan lebih berkarisma dan berkaliber, apabila turut menggunakan kaedah pengajaran yang lebih moden. Pensyarah yang menggunakan kaedah pengajaran yang betul akan lebih menyenangkan dirinya sendiri dan juga pelajar-pelajarnya. Lebih meyakinkan dan lebih dihormati oleh pelajar jika dibandingkan dengan pensyarah yang masuk ke kelas dan mengajar secara spontan.

Mungkin mereka rasa, "Aku hebat sebab dapat mengajar secara spontan. Conteng dinding sana sini. Menghadap papan putih. Sudah beres. Tentu ternganga para pelajar melihat kehebatanku ini. Semua dalam otakku saja. Heeeebattt bukannn?

Bagi saya, itu bukan hebat, tetapi "he's bad."



Perbezaan Peranan antara Ahli Matematik dengan Pensyarah Matematik

Mengajar bukan bermakna menunjuk-nunjuk kehebatan diri pensyarah terhadap ilmu yang diajarkan, tetapi mengajar itu sendiri sepatutnya adalah suatu tindakan yang dapat memudahkan pelajar untuk menyerap, mengingat dan memahami apa yang disampaikan oleh pengajar. Seorang pensyarah hebat kerana teknik mengajar dan bersyarahnya, bukan kerana dia hebat. Kalau dia mahu tunjuk dia hebat dalam bidang Matematik. Jadilah ahli Matematik sahaja. Tak perlu jadi pensyarah. Pelajar datang ke kelas untuk belajar, bukan untuk melihat kehebatan individu. Apabila dia menjadi pensyarah, perlu buktikan dia hebat sebagai pensyarah. Caranya? Perlu ada teknik mengajar.



Pensyarah Matematik Sebagai Ikon Pelajar Matematik

Cuba kita lihat bagaimana para remaja mengikut cara pemikiran, cara bercakap, cara berpakaian artis pujaan mereka. Jika artis adalah ikon hiburan remaja. Pensyarah Matematik pula adalah "role model" atau ikon pelajar Matematik.

Pensyarah harus menunjukkan cara dia berfikir dalam matematik. Gaya sebagai seorang ahli Matematik. Sikap sebagai seorang ahli Matematik. Semua ini harus digabungkan dalam penyampaian pengajarannya. Bukan tunjukkan kehebatan, tetapi apa yang membuatkan dia boleh capai kehebatan sebagai seorang ahli Matematik.

Pensyarah boleh kongsikan pengalamannya semasa mula-mula meniti tangga Matematik, hinggalah sekarang. Suatu pengakuan. Jangan berahsia kisah-kisah zaman mudanya. Jangan pula kelentong untuk tutup kelemahannya semasa masih seorang pelajar baru dalam Matematik. Dia juga boleh beri panduan atau berkongsi pengalaman, bagaimana cara dia belajar semasa dia masih seorang pelajar, bagaimana dia berfikir untuk memahami suatu pengajaran. Berkongsi pemikiran dan pandangan, bukan menjadi aktor tunggal di dalam kelas. Pelajar juga ingin tahu, apa yang membuatkan dia, sebagai seorang pelajar suatu ketika dahulu dapat memahami Matematik.

Beri ruang kepada pelajar untuk bertanya. Dulu, macam mana pensyarah buat untuk faham konsep itu dan ini? Apa yang membuka pemikiran pensyarah ketika itu sehingga dapat faham konsep itu dan ini? Di sini, pelajar akan lebih berminat untuk mempelajari matematik. Secara tak langsung dapat memotivasikan pelajar untuk lebih berusaha untuk mencari kemahiran-kemahiran terpendam dalam diri untuk memantapkan teknik belajar Matematik.

Ingatlah para pensyarah Matematik. Anda bukan sekadar pensyarah, tetapi senior bagi pelajar-pelajar dalam bidang Matematik. Hidupkan kelas anda, sebagai seorang ikon pelajar Matematik.



Contoh Pensyarah Yang Tidak Baik: Memaparkan Kehebatan Individu

Saya begitu terkilan apabila melihat ada pensyarah matematik mengucapkan kata-kata seperti: "Kalau bagi saya, 10 minit pun boleh siap." Bila dia cuba buktikan, memang nampak dia tak boleh buat dalam 10 minit. Cakap saja. Salah juga. Sejak itu rasa hormat saya terhadap pensyarah seperti itu turun sebanyak 200%. Memanglah dia boleh buat sebab memang dia dah lama dalam bidang tu, dah 20-25 tahun dalam bidang Matematik tu. Cuba buat benda-benda yang bukan langsung bidang dia. Boleh buat dalam 10 minit?

Betul, memang hebat jika dia dapat menggunakan otaknya seratus peratus. Namun, ingat. Mengajar bukanlah persembahan individu, tetapi suatu proses secara berkumpulan. Ada pengajar dan ada pula pelajar. Dua pihak. Hasilnya pada pelajar. Berpusatkan pelajar.



RS: Saya kena bersiap-siap untuk Solat Jumaat. Kita sambung perbincangan ini pada kemudian hari.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 1:04 PTG  
3 Comments:
  • At Jum Ogo 04, 10:28:00 PTG, Blogger tumismenumis said…

    Saya setuju dengan RS tentang pensyarah yang ingin nampak hebat.
    5 tahun mengajar subjek yang sama (bukan matematik), saya selalu beranggapan yang saya tahu tentang semua benda yg saya nak ajar.
    Yer betul, kalau sekadar nak habiskan silibus, memang dah 10 kali katam dah.

    Tapi apa yang berbeza ialah generasi pelajar kita. Cara berfikir pelajar saya 5 tahun dulu tak sama dengan cara berfikir pelajar saya sekarang.

    Kaedah pengajaran yang berpusatkan pelajar adalah cara yang terbaik. Input dari pelajar membuatkan kita rasa ada lagi benda yang kita tak tahu.

    Panjang sangat ni.

     
  • At Sab Ogo 05, 02:04:00 PTG, Blogger Romantis Selatan said…

    Saya bersetuju dengan pendapat Sdr. Mazudi. Pelajar adalah input utama untuk membantu pensyarah mengkaji dan meningkatkan lagi kebolehannya sebagai pensyarah. Proses yang melibatkan dua pihak, tetapi berpusatkan pelajar.

    Atas kesedaran tersebut, saya menyatakan pandangan saya di dalam blog ini. Pelajar zaman sekarang terdedah kepada banyak perkara dan maklumat. Mereka bukan tertakluk kepada satu kelas sahaja. Mereka akan mengambil tahu mengenai cara penyampaian pensyarah di kelas atau IPT lain untuk
    subjek yang sama.

    Dari situ mereka mengetahui teknik apa yang kurang dan kaedah apa yang boleh dipraktikkan oleh pensyarah untuk meningkatkan mutu penyampaian dalam kelas. Atas sebab ini, mereka rasa pensyarah boleh menjadi lebih baik, apabila mendapati adanya pensyarah yang berbeza keupayaannya. Kuncinya adalah pada teknik dan kaedah penyampaian bahan pengajaran serta persediaan sebelum masuk ke kelas.

     
  • At Ahd Ogo 06, 11:46:00 PTG, Blogger Unknown said…

    saya nak cerita pengalaman saya sikit.

    saya antara pelajar yang lemah matematik masa zaman sekolah dulu,sungguh saya berasa matematik amat payah, tetapi saya suka...dan mmg saya sendiri terpengaruh dgn kata-kata yang kata matematik itu susah,

    tetapi bila menjejak ke universiti, saya berasa amat beruntung sebab semasa mengambil matapelajaran matematik asas saya mendapat lecturer yang sangat hebat, (pada saya). Kehebatan bukan saja dari segi ajarannya tetapi dari segi kata-kata, dia tanamkan kepada anak-anak muridnya bahawa matematik itu senang, matematik itu menyeronokkan...
    selepas itu, walaupun subjek matematik yang saya belajar semakin kompleks tetapi saya sangat seronok untuk belajar....

    dan sehingga sekarang saya pula menggalas tanggungjawab mengajar subjek itu di sekolah.

     
Catat Ulasan
<< Home
 

© 2006 Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)
Main title designed by Amiene Rev from Brotherhood of The Dragon
No part of the content or the blog may be reproduced without permission.
Original Blogger Templates by GeckoandFly.

 


 

 



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Novel Kesayangan Saya


Web This
Profil Penulis


Nama: Romantis Selatan
Lokasi: Malaysia
Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini. Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya... Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang. Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan.
Maklumat Lanjut

Yang Sudah-sudah
Arkib
Jaringan Blogger
Mesej Pengunjung

Affiliates

Powered by Blogger
make money online blogger templates
Best Malaysian Sites