Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Jumaat, Ogos 04, 2006
Blog dan SMS
Sejak akhir-akhir ini, manusia semakin suka menulis blog. Tidak kurang juga seekor harimau dan seekor naga. Oh ya, ada lagi seekor dugong yang sentiasa senyum. Selain itu daun juga boleh menulis. Begitu juga tuan punya tanah pusaka. Ada lagi profesor dan pensyarah. Juga tidak lupa kepada seorang pelajar yang tidak habis-habis belajar di sebuah IPT di Selatan Tanah Air. Ehem!
Kita dapat lihat bagaimana blog dan sms mencetus era penulisan yang serba baru. Bahasa dirojakkan, juga diringkaskan. Seperti baju-baju anak gadis yang makin singkat; dan rambut yang berwarna merah, biru dan ungu; juga bersubang dan bertindik, huruf-huruf dan simbol-simbol tertentu digabungkan untuk menunjukkan emosi seperti tersenyum, marah, bingung dan lain-lain.
Tujuan penyingkatan bahasa dalam SMS suatu ketika dahulu menimbulkan kebimbangan ramai pihak betapa fenomena ini boleh merosakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Alasan meringkaskan bahasa dalam SMS boleh diterima memandangkan ruang SMS bagi sesetengah telefon bimbit adalah terhad.
Persoalannya, kenapa di dalam blog, masih ada penggunaan bahasa singkatan dan rojak? Ini adalah suatu isu yang menarik untuk dikupas. Budaya menulis blog kini berkembang pesat di Malaysia sehingga dapat menarik perhatian pihak kerajaan. Blog bukan sahaja sebagai jurnal peribadi atau meluahkan pandangan, malah juga boleh menjadi medan hasutan dan fitnah yang berupaya menggugat kedudukan seseorang dalam pelbagai bidang seperti politik, hiburan, ekonomi dan sebagainya.
Blog adalah suatu bentuk penulisan yang bebas. Boleh jadi puisi, boleh jadi diari, boleh jadi jurnal intelektual, rencana atau artikel. Bebas, sebebasnya. Blog tidak mempunyai format yang tetap.
Blog adalah medan komunikasi untuk berkongsi pandangan dalam realiti maya. Manusia bebas membicarakan sesuatu yang dirasakan benar. Ini adalah medan kebebasan manusia untuk meluahkan apa yang terpendam di dalam jiwa. Menerusi blog, manusia dapat membina keyakinan diri, keberanian untuk bersuara, mendisiplinkan diri dan
memahami erti kesunyian dan penderitaan orang lain.
Pembaca blog adalah orang yan prihatin. Mereka mengisi ruang-ruang komen dengan kata-kata semangat. Menghidupkan kembali hati yang telah mati. Oleh itu, blog merupakan satu cara untuk merawat jiwa seseorang.
Tidak lupa juga, blog boleh menjadi medan perniagaan dan menjana sumber kewangan. Betapa luasnya potensi blog.
RS: Mengantuk dan ingin tidur. Ada pertemuan dengan pensyarah pencen pada esok hari.
Nama: Romantis Selatan Lokasi: Malaysia Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini.
Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya...
Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang.
Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan. Maklumat Lanjut
gunakan blog sebaik mungkin. hohohohooo