Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Selasa, April 25, 2006
Patah Tumbuh Hilang Berganti Lebih Canggih
Dalam beberapa hari ini, aku rasa cukup sunyi... seolah-olah terpisah daripada dunia nyata. Aku masih terkenangkan junior-junior Tahun 5 yang bakal tamat pengajian pada semester ini.
Rasa seperti suatu kehilangan, walau pun aku kini jarang bertemu dengan mereka. Kesibukan dengan Projek Sarjana Muda dan peperiksaan akhir menyebabkan aku tidak dapat mengunjungi mereka. Kolej kediaman pula adalah sangat jauh, lebih jauh berbanding junior-junior Tahun 1. Tidak ada kemudahan bas yang membolehkan aku pergi dan pulang mengikut jadualku. Aku mengirimkan SMS sayonara kepada mereka.
Kehidupan di Kampus akan semakin sunyi dengan ketiadaan ramai pelajar yang aku kenal. Patah tumbuh hilang berganti. Kemasukan pelajar-pelajar baru mengubah suasana di universiti.
Budaya baru, pemikiran baru, sikap baru dan kepintaran yang tinggi. Aku saban tahun bakal menghadapi cabaran yang lebih besar. Salah satu cabaran ialah berdepan dengan pelajar-pelajar yang lebih muda dan pelbagai kerenahnya. Perbezaan umur dan budaya. Perbezaan taraf pendidikan. Pelajar-pelajar ini lahir daripada kaedah dan sistem pendidikan yang lebih baik.
Pada zaman aku tidak ada kemudahan dan teknologi seperti hari ini. Pelajar-pelajar hari ini ramai yang memiliki laptop. Aku masih dengan desktop kuno yang sudah ketinggalan zaman. Harganya kalau aku jual adalah lebih rendah daripada 700 ringgit. Pengetahuan pelajar-pelajar ini semakin meningkat dengan adanya teknologi IT.
Aku adalah pelajar yang berada dalam dua dunia. Seketika aku belajar bersama pelajar-pelajar yang lebih dewasa berbanding denganku dalam kelas kuliah separuh masa. Pada hari yang lain pula aku berdepan dengan pelajar-pelajar yang lebih muda berbanding denganku. Pelajar dewasa dengan Diplomanya, sudah bekerja, sudah memiliki kenderaan sendiri. Pelajar yang lebih muda pula dengan kepintarannya, dengan sifat keanak-anakkannya, dengan budaya barunya.
Aku berinteraksi dengan dua budaya, dua golongan peringkat usia yang berbeza. Dewasa dengan Remaja. Aku di tengah-tengah. Aku mempelajari semakin banyak benda. Benar seperti apa yang pernah dikatakan oleh Dragonizer.
Aku semakin mengerti.
"Matematik itu cuma perantaraan."
Apa yang aku sedang pelajari menerusi kesengsaraan dan penderitaan dalam menyelesaikan urusan dengan subjek-subjek Matematik ini... ialah erti kehidupan yang sebenarnya.
Perasaan apabila kehilangan orang-orang yang kita kenal. Perasaan apabila bertemu dengan gelombang muda dan gelombang dewasa. Pelbagai budaya. Hubunganku dengan kedua-dua gelombang ini setakat ini masih baik. Aku sedang belajar menghadapi kehidupan.
Bagaimanakah agaknya kehidupanku selepas aku tamat pengajian nanti?
Nama: Romantis Selatan Lokasi: Malaysia Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini.
Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya...
Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang.
Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan. Maklumat Lanjut