Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Jumaat, April 07, 2006
Program Manusia VS Program Tuhan
Sebentar lagi akan ada suatu program di hadapan kolej. Aku tidak dapat belajar pada malam ini. Semua penghuni kolej diwajibkan untuk turun.
Seketika kemudian, kedengaran bunyi guruh. Hujankah? Majlis malam ini, ada disediakan makan minum. Hidangan sate. Kedengarannya cukup enak.
Aku sering sekali berpakaian kasual apabila berjalan ke mana-mana. Kecuali jika ada majlis-majlis rasmi. Majlis pada malam ini agak pelik, lokasinya tidak begitu strategik. Berdasarkan pengumuman yang dibuat. Sekadar turun untuk makan-makan dan bergambar.
Aku rasa makanan itu cuma umpan. Supaya pelajar-pelajar tidak melarikan diri. Supaya senang untuk mengambil gambar. Betul atau tidak? Kita lihat sebentar lagi. Mungkin semester ini, semester terakhir aku menginap di kolej.
Semester hadapan, terpaksa cari jalan lain. Pengangkutan. Aku mesti mengurus baik-baik. Agihan masa semester depan lebih padat. Aku rasa, tidak perlu untuk membawa komputer pada semester hadapan. Segala penulisan perlu ditulis di dalam minda. Tahun hadapan baru mula menaip.
Sebelum itu. Masa yang ada untuk aku menulis sinopsis baru cukup singkat. Aku akan cuba gunakan masa ini untuk menulis karya-karya pendek. Aku akan gunakan Teknik Surah Yusuf sebagai asasnya.
Pekerjaan yang segera dapat gaji. Sepatutnya tak ada masalah kewangan tahun ini. Betul, semester Mei ini pula aku ke Kuala Lumpur. Kalkulus Vektor. Tak dapat cari duit untuk semester hadapan. Apa agaknya kerja yang hendak aku cuba kali ini? Agak-agaknya bagaimana suasana di Kuala Lumpur. Penginapan belum ada, makan minum tak tahu di mana. Aku tidak suka Kuala Lumpur. Suasananya tidak sesuai dengan jiwa aku. Namun, aku akan menimba pengalaman kali ini. Sebenarnya aku pernah ke Kuala Lumpur untuk mencari duit setahun yang lalu. Namun tidak sempat mengelilingi Kuala Lumpur. Selain tempat kerja dan asrama pekerja, aku hanya beredar di sekitar kawasan perumahan. Sempat juga berkenalan dengan penduduk sekitar. Anjing-anjing liar berkeliaran. Gejala sosial... aduh. Jauh bezanya. Kejutan budaya. Aku semakin tidak suka Kuala Lumpur.
Angin sudah bertiup kencang. Program pada malam ini sudah pasti bersaling titisan hujan. Sudah masuk waktu Isyak. Aku perlu solat dahulu. Kemudian pergi ke program. Hujan sudah turun, semakin lama semakin lebat. Guruh berdehem-dehem.
Manusia merancang program. Tuhan juga yang menentukan.
Nama: Romantis Selatan Lokasi: Malaysia Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini.
Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya...
Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang.
Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan. Maklumat Lanjut