Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Sabtu, April 01, 2006
Antara Cita-cita dan Faisal Tehrani
Nota: Untuk nukilan kali ini, penulis menggunakan perkataan "saya" untuk menggantikan "aku" sebagai tanda menghormati penulis idolanya - Faisal Tehrani.
Faisal Tehrani. Nama ini cukup dikenali. Saya mula mengenali karya-karya Faisal Tehrani sejak di bangku sekolah lagi. Pertama kali saya membaca karya cerpennya yang berjudul "Kerana Manisnya Epal" yang pernah tersiar dalam Dewan Siswa. (jika tidak silap saya, sebab karya itu telah saya baca lebih satu dekad yang lepas).
Nama sebenarnya ialah Mohd Faizal Musa. Tidak silap saya dia kini telah memiliki Ph.D. (Maafkan saya... betulkan jika saya tersilap). Umurnya mungkin 5-8 tahun lebih tua berbanding saya.
Kenapa saya tiba-tiba menyebut nama Faisal Tehrani. Hari ini saya berpeluang keluar ke Johor Bahru untuk membeli sebuah buku novel beliau. Harganya sekitar RM24 (berdasarkan belanjawan April 2006, mungkin ini satu-satunya buku yang mampu dibeli untuk bulan ini).
Saya tidak begitu berminat membaca novel cinta. Saya minat membaca novel-novel yang sarat dengan fiksyen sains, intelektual, semangat patriotik, wirawan dan seumpamanya. Saya tertarik dengan aplikasi ilmu pengetahuan ke dalam sastera. Faisal Tehrani menjadi idola saya atas faktor-faktor ini. Cerpen "Kerana Manisnya Epal" adalah titik permulaan, menarik minat saya untuk menceburi dunia penulisan.
Pernah suatu ketika dahulu sekitar tahun 2001 atau 2002, saya mengarang puisi pertama saya yang berjudul Sunyi Sepi. Itulah puisi pertama saya. Saya mengambil masa sekitar 3 minit untuk mengarangnya. Kemudian saya menghantarnya ke Dewan Siswa. Kira-kira sebulan kemudian puisi itu tersiar di satu muka penuh dalam ruangan khas, keluaran Februari! Saya cukup gembira. Rakan-rakan di universiti memanggil saya penyajak. Penyiaran puisi itu cukup menggembirakan saya; sebagai bukti kewujudan saya, bahawa saya bukannya sampah di universiti. Saya ada kebolehan, saya tidak lemah! Itu puisi pertama saya...
Dahulu, saya menanam hajat di dalam hati. Saya ingin menyaingi Faisal Tehrani. Saya juga mahu menyambung pengajian dalam bidang Sarjana dan Doktor Falsafah. Menulis novel-novel yang berbentuk ilmiah. Sehingga ke hari ini, saya masih memiliki cita-cita ini. Sayangnya.... malangnya... peristiwa tujuh tahun lepas mengheret saya, menjauhi jalan yang saya mahu ikuti.
Saya ketinggalan selama tujuh tahun untuk menuntut ilmu secara rasmi di universiti, ilmu berkaitan dengan bidang dan skop yang menepati cita-cita saya. Saya sendiri tidak tahu, kenapa saya mesti mempelajari subjek-subjek matematik dari moyang hingga ke cucu-cicitnya. Sedangkan cita-cita saya harus tertumpu; berasaskan bidang sastera dan psikologi. Seperti H.M Tuah Iskandar juga.
Nama-nama seperti Faisal Tehrani dan H.M Tuah Iskandar tersemat di dalam hati saya. Mereka adalah dua idola saya. Seorang lagi adalah Ainon Mohd. kerana penulisannya berkaitan pemikiran kreatif. Aha, kini saya berpeluang berinteraksi dengan Pn. Ainon Mohd. Walaupun tidak secara langsung, namun penglibatannya sedikit sebanyak mengubati hati saya, rindu saya kepada dunia penulisan.
Bakat saya dalam dunia penulisan sudah tertinggal selama 6-7 tahun. Saya perlu memulihkan asas-asas dalam penulisan. Begitu juga kemahiran berbahasa Inggeris saya. Merosot dengan teruk. Dunia saya dipenuhi dengan angka-angka dan teori, lemma dan rumus-rumus Matematik. Setiap tahun, setiap hari dibelenggu dengan Matematik. Saya kini menjadi mesin kira. Sukar untuk menyatakan kreativiti saya lagi. Melalui Matematik, semuanya harus berasaskan logik, bukannya imaginasi. Dua bidang yang cukup berbeza...
Saya cuma mampu memandang Faisal Tehrani dari jauh. Melihat kejayaannya. Melihat novel-novel intelektualnya. Saya rasa cukup tersisih. Dalam tujuh tahun ini, cuma sebuah puisi sahaja yang sempat saya hasilkan. Projek-projek novel dan buku-buku cerita tertangguh begitu sahaja kerana kesibukan mencabar Matematik.
Sejak itu, saya mula beralih kepada satu bidang baru. Penulisan buku cerita kanak-kanak. Saya tidak memiliki bahasa sehebat Faisal Tehrani. Istilah-istilah sastera dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka sudah lama, menjadi satu penyakit amnesia dalam ingatan saya. Saya tidak lagi mampu menggunakan perkataan-perkataan yang kreatif, segar untuk menulis. Tujuh tahun cukup lama untuk menjadikan saya nyanyuk dengan sastera.
Penulisan buku cerita kanak-kanak tidak membebankan penggunaan perkataan yang bernilai sastera. Cuma ini harapan saya dalam jangkamasa yang singkat ini.
Semoga Tuhan memberikan saya kekuatan untuk mencapai cita-cita saya. Semoga kelak saya mampu menjadi seorang pensyarah, atau profesor dalam bidang ini. Suatu masa nanti, pada masa hadapan.
aleykumsalam... saya mungkin menghadapi situasi seperti saudara... cuma aliran saya adalah sains... jauh sekali dari aliran pemikiran bebas dan kreatif... saya menagih ruang untuk terbang daripada penjara-penjara fakta sains yang mengikat...... saya juga mencintai karya-karya abang faisal tehrani.... kalau berkesudian.. lawat blog saya...janjilaxamana.blogspot
faisal tehrani.. hummm...selayaknya dia mmg pautu di jadikan idola... saya sering ternanti2 karyanya terbaru..the last novel i read is surat2 perempuan johor..agak2 siri cerpen sultan alaudin bila dia nak terbit kan yer?
Nama: Romantis Selatan Lokasi: Malaysia Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini.
Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya...
Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang.
Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan. Maklumat Lanjut
aleykumsalam...
saya mungkin menghadapi situasi seperti saudara... cuma aliran saya adalah sains... jauh sekali dari aliran pemikiran bebas dan kreatif... saya menagih ruang untuk terbang daripada penjara-penjara fakta sains yang mengikat...... saya juga mencintai karya-karya abang faisal tehrani.... kalau berkesudian.. lawat blog saya...janjilaxamana.blogspot