Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Sabtu, April 01, 2006
Keluarga Angkat Di Kota Tinggi
Sepanjang pagi ini, seperti biasa... cukup sunyi. Aku paling pantang hari cuti. Sebab cukup sunyi. Aku lebih suka hari-hari kuliah. Tidak ada sesiapa yang boleh aku temui pada hari ini. Cuti semester cukup membosankan. Aku tak mahu pulang ke kampung, walaupun aku rindu juga untuk melihat keluarga...
Sepanjang hidup aku, aku cuma memiliki dua keluarga angkat. Hari ini aku ingin serba sedikit membongkar kisah keluarga angkatku di Kota Tinggi, Johor. Ayah angkatku terkenal sebagai bomoh Al-Quran. Jika namanya disebut, pasti orang tahu. Mudah sahaja kalau aku hendak ke sana. Menaiki dua atau tiga bas.
Dahulu aku pergi juga ke sana. Sekarang, aku rasa tidak begitu sesuai. Mesti ibu bapa angkatku bertanya, kenapa belum habis lagi? Orang-orang FELDA juga akan bertanya. Mahu pergi ke sana, tetapi... aku harus tamat pengajian dahulu, dengan jayanya. Sudah lama tidak bertanya khabar. Sekali-sekala apabila pulang, seronok juga dapat menyertai aktiviti orang FELDA. Gotong royong, makan berkat, pecal dan sebagainya. Ayah angkatku suka makan ikan bakar yang dicicah dengan budu. Orang Jawa pun suka makan budu. Ramai orang Jawa di sana.
Aku cukup suka dengan budaya orang Jawa yang peramah. Perkataan-perkataan Jawa mereka tidak aku fahami. Aku cuma belajar beberapa patah sahaja. Semangat kerjasama memang jelas. Kawasan FELDA membangun dengan indah dan terancang. Deretan rumah-rumah disusun rapi. Jalan-jalan dibahagi dengan sekata. Pokok-pokok hiasan dari pelbagai jenis menyambut kedatanganku ke FELDA itu. Sekitar awal pagi, kadangkala kelihatan ibu babi hutan dan anak-anaknya seperti kancil melintas jalan. Waktu petang hari, anak-anak FELDA suka menunggang motosikal bertemu sesama mereka. Padang-padang bola dan Astaka penuh dengan anak-anak belia bersukan, bermain bola dan sepak takraw.
Ke mana-mana sahaja aku pergi, semua orang akan bertegur sapa. Cukup ramah. Cukup prihatin. Rata-rata rumah FELDA dihias dengan penuh kreativiti. Gabungan rumah batu dan rumah kayu. Kadangkala pada waktu petang sebelum senja, aku akan menggunting daun-daun lebihan pokok hiasan di halaman rumah keluarga angkatku. Di belakang rumah penuh dengan pokok buah-buahan; belimbing, limau bali, betik, jambu dan sebagainya.
Waktu malam hari, ramai orang akan berkunjung ke rumah ayah angkatku. Masing-masing ingin dengan hajatnya; berubat, meminta air doa dan sebagainya. Aku kadang-kala melayan mereka, berbual-bual sambil mereka menunggu giliran.
Aku masih ingat, pada suatu hari, aku menemui sebutir batu cantik di dalam perut ikan. Ayah angkat aku menyuruhku menyimpannya. Boleh dijadikan batu cincin. Sehingga ke hari ini aku masih menyimpannya, tetapi aku sudah lupa di mana. Aku tidak suka memakai cincin, atau apa-apa barang perhiasan. Jam tangan cukuplah.
Agak-agaknya bagaimana Bandar Kota tinggi hari ini? Bagaimana rupa FELDA itu sekarang? Aku harap setelah mendapat ijazah nanti, aku akan berkunjung ke sana semula.
Ah, tiba-tiba bising-bising di bawah sana. Sekumpulan siswa Cina dengan sebuah kereta. Tayar kereta pancit rupanya. Kawan-kawan. Apabila ada kawan-kawan, tayar pancit pun masih boleh bergembira...
Aku teringat tiga tahun yang lepas, aku dan kawan-kawanku mengunjungi keluarga angkatku. Kami merancang untuk membawa mereka pergi ke Air Terjun Kota Tinggi. Namun, ibu bapa angkatku menolak kerana mereka sudah terlalu tua untuk ke sana. Kata mereka, sepanjang mereka berada di FELDA ini, cuma sekali sahaja mereka ke sana. Ketika muda-muda dahulu.
Teman-teman... hari-hari cuti begini memang selalu teringatkan mereka. Sebab itu aku lebih menyukai hari kuliah. Sekurang-kurangnya dapat bertemu dengan orang...
Nama: Romantis Selatan Lokasi: Malaysia Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini.
Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya...
Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang.
Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan. Maklumat Lanjut