Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Rabu, April 05, 2006
Jiwa Naga - Lalui Kehidupan Dengan Tegas Dan Garang!
Baru malam tadi aku rasa sangat gembira kerana sudah ada peluang untuk memulakan jalan hidupku sebagai seorang penulis. Namun, kegembiraan itu cuma... cukup untuk membuatku tidur lena semalaman. Buat pertama kali barangkali. Malam tadi aku rasa aku bermimpi melihat budak kecil, anak-anak saudaraku barangkali...
Pagi ini, tiba-tiba aku berasa sayu. Betul, hari ini hari pendaftaran kolej... aku... aku terkecuali. Sebab aku bukannya sama seperti pelajar-pelajar di sini. Status aku... unik. Hari ini aku rasa terpinggir. Ignorant. Tersisih. Aku mendengar pelajar-pelajar junior berbual-bual mengenai bilik asrama yang telah mereka dapat. Aku tiba-tiba rasa bimbang...
Hari ini aku cukup gembira. Pelajar-pelajar junior yang aku ajar mengenai psikologi untuk tugasan mereka. Berjaya! Mereka gembira, sebab daripada tugasan yang telah ditolak. Mereka mendapat pujian. Tugasan itu bernilai A-.
Pensyarah mereka pernah berkata, "Baiki tugasan kamu. Saya harap kamu akan dapat B+." Hari ini mereka mendapat A-.
Aku bertanya lagi, "Apa komen pensyarah?"
Mereka berkata, "It's a successful work! (Tugasan yang berjaya!)".
Aku tersenyum. Tidak sia-sia aku menolong mereka, memberi tunjuk ajar kepada mereka cara-cara membuat tugasan. Mencari idea dan bahan penulisan. Rujukan utama yang aku suruh mereka cari ialah buku-buku Edward De Bono dan Ainon. Mohd. Lihatlah, adakah aku ini tidak layak untuk mendapat ijazah? Aku berjaya membimbing mereka... syukurlah.
"Dah daftar asrama? Ada banyak kosong tak?" Aku berharap akan ada kekosongan lagi. Kalau boleh kolej lingkaran dalam; sebab dekat dengan kampus. Tidaklah susah untuk aku berjalan kaki. Jadual kuliahku selalunya tujuh hari seminggu. Kadangkala lima hari seminggu. Terutama jika kelas pada hari Sabtu dan Ahad.
Aku pelajar Pengajian Separuh Masa tetapi belajar untuk semua kelas kuliah. Kelas untuk Pengajian Sepenuh Masa juga aku ikuti. Pelajar Pengajian Separuh Masa tidak layak untuk memohon asrama kecuali dengan kelulusan HEP. Bergantung pada kekosongan bilik. Jika ada, aku dapat. Jika tidak ada. Carilah rumah untuk disewa.
Aku dimaklumkan. Semua kolej lingkaran dalam sudah penuh. Kolej lingkaran luar juga semakin penuh. Nampaknya, aku terpaksa menyewa di luar rumah. Motosikal aku tidak ada. Bas... itulah masalahnya. Bermalam di masjidlah aku jika kelas lewat malam atau awal pagi.
Kelas hari ini. Aku rasa cukup lemah. Pagi ini sahaja aku tidak lalu makan lagi tapi aku paksa juga untuk minum air. Aku rasa cukup lemah, sedih, layu dan cair. Pelajar-pelajar junior ramai yang ponteng kelas hari ini. Aku rasa cukup sunyi.
Aku tidak suka hari cuti, aku harap ada kuliah. Biarpun penat, sekurang-kurangnya ada pelajar yang boleh berbicara. Bertukar pendapat. Bertanya soalan. Kenapa mereka ponteng? Kelas aku tidak ada pensyarah yang tetap. Pensyarah ganti. Empat orang semuanya. Kelas untuk subjek Statistik II. Pensyarah yang mengajar pukul 11 pagi sudah habis silibusnya. Jadi pensyarah ganti yang seorang lagi akan masuk pada pukul 12. Kenapa aku masih di sini, belum kerja lagi? Sunyi...
Pukul 12. Pensyarah masuk ke kelas. Aku melihat pelajar-pelajar junior di depan, di belakang, kiri dan kanan. Ada yang telah ponteng. Mereka tidak dapat menolong aku. Pensyarah? Pensyarah aku masuk wad, masih belum keluar-keluar lagi. Pensyarah yang ada sekarang, pensyarah ganti. Kadangkala aku duduk berdiri atau duduk di hadapan pintu pensyarah yang masuk wad itu. Aku harap ada keajaiban untuk subjek tersebut. Aku mahu bertanya banyak soalan. Kadangkala aku berbicara di dalam hati. Seolah-olah berbicara dengan pensyarah. Tiba-tiba aku rasa rapat... tidak sunyi lagi. Tapi itu cuma rekaanku.
Tersisih, terpinggir... Aku harap ada kenalan yang boleh aku duduk di sebelah. Tak perlu bersuara. Duduk sahaja cukup. Tuhan... Malaikat... di sisi kamu bukan? Terdengar suara berbisik. Itu suara hati.
Pelajar-pelajar junior semuanya gembira dapat bilik. Dapat duduk kolej. Aku... kolej sudah penuh untuk semester hadapan. Aku... sewa di luarlah. Motosikal. Ya... perlu beli. Perlu cari motosikal. Perlu kerja sambilan. Kelas tujuh hari seminggu. Kerja? Bila?
Maaf Puan Ainon. Jadualku pasti sibuk semester hadapan. Aku belum dapat jadi penulis lagi. Kerja sambilan, aku perlu cari kerja yang segera dapat gaji. Untuk bayar sewa rumah. Untuk beli motosikal atau tumpang teksi. Kalau kelas pukul 8 pagi bagaimana? Kalau kelas habis pukul 11 malam bagaimana? Mana ada bas? Teksi pula ada yang ambil peluang naikkan harga waktu malam. Motosikal? Bagaimana aku nak berkunjung ke bilik junior untuk ulangkaji pada waktu malam kalau tidak ada pengangkutan?
Dragonizer! Ya! Tegas dan garang! Tidur masjid? Ya! Surau? Ya! Tegas dan garang! Kehidupan tidak akan menaruh belas kasihan kepada kita. Kita harus menghadapi cabaran hidup dengan tegas dan garang. Ini kata-kata Dragonizer.
Tiba-tiba seperti hembusan api! Aku tiba-tiba jadi nekad. Brotherhood of The Dragon. Saudara Naga. Jiwa Naga.
Tidak ada sesiapa pun yang dapat tolong aku, sekarang! Aku tidak boleh lemah, harus menghadapi hidup. Tidak ada guna berfikir untuk berhenti belajar semata-mata aku menjadi beban orang, beban ibubapa.
Jiwa Naga - Tegas dan garang!
Marilah masa depan! Terus mara!
Nota: Word Verification untuk blog kali ini agak menarik. Aku perlu menaip: Yoshh (Yoshh! Blog ini seakan-akan memberi semangat kepadaku pula...)
Nama: Romantis Selatan Lokasi: Malaysia Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini.
Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya...
Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang.
Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan. Maklumat Lanjut