Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)

Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Selasa, April 04, 2006
Pertama kali menulis buku: Jalan Seorang Penulis

Pertama kali aku menulis buku adalah semasa aku berusia 7 atau 8 tahun. Buku mengenai warna. Fungsi warna. Kesan penggunaan warna. Kesesuaian warna. Buku itu kutulis sendiri, hasil cantuman kertas-kertas buku latihan sekolah terpakai. Kemudian dengan menggunakan stapler atau tali. Aku mengikatnya menjadi buku. Itulah buku pertama yang kuterbitkan.

Pada masa kecil, aku sudah mula membaca surat khabar. Seawal usia tiga atau empat tahun. Aku sudah pandai mengeja. B.O.L.A = BOLA. Aku tidak tahu bagaimana aku boleh mengeja. Aku cuma tahu ejaannya begitu.

Setiap kali pergi ke rumah orang, aku akan merapati almari buku. Ketika budak-budak lain sibuk bermain bunga api dan mengutip duit raya, aku sibuk membaca pelbagai jenis buku. Pernah kubaca sebuah buku berjudul Dilema Melayu. Tulisan Dr. Mahathir.

Aku seorang kanak-kanak yang aku kira pelik. Aku suka membaca kamus. Bentuk kamus empat segi. Kamus bersaiz kecil, paling aku suka. Kamus dan buku-buku kecil aku anggap sebagai sebuah buku ajaib. Memiliki kuasa ajaib. Fakta-faktanya mengagumkan. Banyak perkara yang aku tidak pernah lihat, aku cuma membacanya. Aku anggap buku seperti roti. Sehingga sekarang, perasaan itu masih ada. Buku-buku berbentuk empat segi. Semakin tebal, semakin gila aku melihatnya. Faktanya menarik.

Hari ini adalah permulaan... barangkali, sebagai seorang penulis. Jadual baru dalam kehidupanku. Nampaknya tidak lama lagi, aku patut menukar Desktop PC yang telah kugunakan selama ini, kepada Laptop atau Notebook.

Aku masih seorang perantis muda dalam dunia penulisan. Terlalu banyak perkara yang perlu aku pelajari. Asas-asas seorang penulis tidak pernah kupelajari sebelum ini. Cuma bergantung kepada kemahiran PMR dan SPM yang kian luput dalam ingatan. Aku cuma berlandaskan teori-teori yang kuciptakan sendiri dengan akalku... teori-teori yang ketemui sepanjang aku cuba-cuba menulis kira-kira hampir satu dekad yang lalu. Ada juga teknik yang kupelajari hasil pembacaanku. Aripin Said, Othman Puteh, Azizi Haji Abdullah, Fatimah Busu, Faisal Tehrani, Mohd Ismail Sarbini, Khairuddin Ayip dan ramai lagi...


Sunyi Sepi
sajak ini pernah disiarkan dalam Dewan Siswa beberapa tahun yang lalu


Di taman sepi,
bangku kosong,
aku duduki
lantas kutatapi lukisan alam...

Aku berasa sunyi,
aku menjerit... di jiwa
gemanya hanya di dalam hati

Aku berlawak
tiada yang bertepuk tangan...
sang misai terus diam... lena di sisi

Aku bertanya
tiada yang menjawab
sang sengat asyik pada puspa... menghirup pati

Aku ketawa
tiada yang peduli...
sang merah tetap tekun... memikul rezeki

Aku berlawak,.
aku bertanya,.
aku ketawa!!!!!


Aku masih sepi.....







Label:

posted by Romantis Selatan @ 11:05 PTG  
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home
 

© 2006 Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)
Main title designed by Amiene Rev from Brotherhood of The Dragon
No part of the content or the blog may be reproduced without permission.
Original Blogger Templates by GeckoandFly.

 


 

 



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Novel Kesayangan Saya


Web This
Profil Penulis


Nama: Romantis Selatan
Lokasi: Malaysia
Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini. Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya... Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang. Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan.
Maklumat Lanjut

Yang Sudah-sudah
Arkib
Jaringan Blogger
Mesej Pengunjung

Affiliates

Powered by Blogger
make money online blogger templates
Best Malaysian Sites