Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)

Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Sabtu, April 22, 2006
Kredit I: Adik-adik seperguruanku... Selamat Bekerja!

Hari ini, selepas tamat peperiksaan, aku bergegas berjalan kaki ke kolej kediaman junior-juniorku. Dengan membawa bersama skema-skema peperiksaan untuk suatu subjek Matematik, aku menjejaki mereka. Jarak antara kolej mereka dengan kolej tempat aku tinggal agak jauh. Sejak basikalku rosak, aku jarang pergi untuk belajar bersama mereka.

Hari ini memandangkan dewan peperiksaan itu berdekatan dengan kolej mereka, jadi aku telah membawa bersama apa-apa yang berkaitan dengan subjek Matematik untuk kukongsikan bersama mereka. Harapan aku nanti, aku dapat belajar bersama-sama dengan mereka.

Terkejut aku! Apabila aku lihat budak-budak ini di bilik. Permainan bola sepak ala-ala Playstation sedang ligat dimainkan di bilik. Tiga empat orang budak bergembira, ketawa, bersaing antara satu sama lain. Komputer telah berubah fungsinya menjadi permainan video game. Budak-budak ini...

Aku tidak tahu bagaimana patut aku tegur. Aku dah tegur mereka dahulu dengan bahasa paling halus. Budak-budak ini lebih bijak matematik berbanding dengan aku. Menegur mereka? Keputusan aku jauh lebih teruk... tidak setanding dengan mereka. Ya, Tuhanku... apakah dengan bermain video game akan menjadikan aku bijak matematik? Aku dimaklumkan mereka bermain permainan video ini sejak malam tadi lagi. Sehingga pukul 3-4 pagi. Pagi ini disambung balik. Mereka lebih bijak... aku terlalu risaukan mereka berbanding diri aku sendiri? Mereka takkan ada masalah... takkan ada...

Aku teringatkan junior-junior Tahun 5. Senior kepada budak-budak ini yang juga merupakan junior aku. Tahun terakhir mereka. Semester terakhir mereka. Mujurlah aku tidak dikenali di dalam blog ini. Oleh itu aku bebas memberi perhargaan kepada orang-orang tertentu. Hari ini ada bebera[a orang junior Tahun Akhir yang ingin aku beri kredit atau ingatan:

Hisyam (Tahun 5 - Kelantan)

Budak ini aku kenal semasa dia masih Tahun Satu menerusi satu program khas untuk mengeratkan silaturrahim antara pelajar kanan dan pelajar baru. Semasa masih tahun satu, dia kerap datang menemuiku dan aku kerap mengunjungi bilik junior-juniorku atas tujuan akademik. Aku memberi atau meminjamkannya buku-buku akademik. Berbincang soal matematik dan lain-lain perkara berkaitan akademik. Beberapa tahun kemudian aku selalu juga mempelajari matematik daripadanya...


Ilfi (Tahun 5 - Sarawak)

Rakan sebilik kepada Hisyam. Ketika itu aku mempelajari Aljabar Linear. Kelas Dr. Tahir Ahmad. Semasa di dalam kelas, dia sering bertanya soalan berkaitan Aljabar Linear kepadaku. Pertama kali, aku rasa aku diberi penghormatan oleh seorang pelajar seguru denganku di universiti ini. Aku dianggap paling lemah dalam matematik walaupun aku merajai hampir semua bidang subjek yang lain (bukan matematik). Jika dikira dari segi CPA, aku akan mendapat Kelas Satu sekiranya subjek-subjek matematik dibuang.

Kerana dia seorang junior. Aku sebagai senior harus menunjukkan teladan. Aku cuba mengajarnya. Balik ke bilik. Aku tidak tenang, tidak lena tidur. Aku cuba mencari jawapan, cuba mencari penyelesaian untuk soalan-soalan yang ditanya. Aku juga cuba meramalkan soalan-soalan baru yang bakal ditanya. Aku cacat matematik... garis retak pada tulang tengkorak kiriku masih jelas ketika itu. Satu kemalangan pada suatu pagi (sebelum subuh aku kira). Itukah sebabnya? Tidak ada pengesahan.

Akhirnya terbongkar juga. Aku cacat matematik. Maafkan aku, aku tidak dapat membantu. Aku selaku abang seguru dalam bidang matematik, tidak dapat menunjukkan teladan kepada adik-adik seguru. Ilfi adalah antara junior yang paling aku hormati. Dia rajin dalam segala segi. Ibu bapanya berpisah ketika dia... (lupakan)... Boleh kata dia paling banyak mengajar dan meluangkan masa untuk matematik. Sehingga aku mengkaji cara pembelajarannya. Mengkaji salasilah keluarganya. Mengkaji zaman persekolahannya. Supaya aku mengetahui bagaimana untuk menjadi seorang yang bijak matematik. Apakah rahsianya?

Aku adalah raja dalam bidang bukan matematik. Namun aku tetap menderita kerana bidang ini adalah bidang matematik. Tidak dapat perlanjutan biasiswa. Walaupun bilangan A aku jauh lebih banyak berbanding pelajar-pelajar lain dalam pengajian ini. Satu subjek matematik bernilai 3 kredit. 10 subjek bukan matematik bernilai 20 kredit. 10 subjek matematik bernilai 30 kredit. Bezanya 10 kredit. 30 subjek bukan matematik bernilai 60 kredit. 30 subjek matematik bernilai 90 kredit. Bezanya 30 kredit!

Jurang semakin tinggi sekiranya aku gagal menguasai matematik! Zaman silam terus berlalu menjadi takdir.


Hananie (Tahun 5 - Johor)

Aku tak tahu kenapa budak ini kuberikan kredit. Dalam satu kelas, untuk siswa nama aku paling kerap disebut pensyarah. Pensyarah suka sebut nama aku. Sebab dia tahu kisah aku. Budak ini pula adalah siswi yang sering disebut. Suatu hari pensyarah itu belanja aku makan. Ah, lupakan...

Budak perempuan ini sering menegur aku. Muka dia cukup manis. Dia menghormati aku dalam banyak segi. Manis dengan senyuman dan sengihan. Tenang aku melihat dia. Oh, ya...

Suatu hari, setahun yang lepas, aku nekad untuk tukar kursus. Aku mahu tinggalkan dunia matematik tetapi kemudiannya mendapat halangan dari segi polisi universiti. Semasa aku sedang fotostat bahan-bahan untuk tukar kursus. Gadis ini kebetulan datang untuk fotostat juga. Cepat-cepat aku menyorokkan surat-surat dan dokumen penting. Aku tak mahu dia tanya apa yang aku tengah buat.

"Macam mana exam? Tentu carrymark Abang tinggikan?" tanya Hananie.

"Ah... " Aku tak tahu nak kata apa. Aku membalas soalan, "Macam Hananie, semua subjek OK?"

"Cukup-cukup makan aja, bang." ujarnya, tersipu-sipu malu.

Tiba-tiba aku rasa sayang untuk tukar kursus. Tidak! Aku akan terus cuba! Ini demi masa depan! Perhubungan dan persahabatan takkan terputus biarpun bertukar kursus. Ada masa boleh bertemu lagi! Hari ini... aku kesunyian. Permohonan aku ditolak atas sebab perubahan polisi. Selepas itu, aku bertukar ke Pengajian Separuh Masa dan bermulalah kehidupan baru... seperti hari ini.

Selamat Bekerja! Adik-adik seguruku... Hampir 5 tahun kita berkenalan. Walau pun kalian makin sibuk. Abang seguru kalian masih sendirian di sini. Kalian teruskan perjuangan, demi negara tercinta, demi anak bangsa kita!









Label:

posted by Romantis Selatan @ 12:59 PTG  
2 Comments:
Catat Ulasan
<< Home
 

© 2006 Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)
Main title designed by Amiene Rev from Brotherhood of The Dragon
No part of the content or the blog may be reproduced without permission.
Original Blogger Templates by GeckoandFly.

 


 

 



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Novel Kesayangan Saya


Web This
Profil Penulis


Nama: Romantis Selatan
Lokasi: Malaysia
Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini. Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya... Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang. Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan.
Maklumat Lanjut

Yang Sudah-sudah
Arkib
Jaringan Blogger
Mesej Pengunjung

Affiliates

Powered by Blogger
make money online blogger templates
Best Malaysian Sites