Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Selasa, April 11, 2006
Berjalan Kaki Pergi Ke Sekolah
Semasa aku mula bersekolah rendah, darjah satu, aku selalu bangun awal pagi. Makan roti atau maggi. Kemudian ibuku sediakan bekal, kadangkala roti keping dengan telur mata kerbau (banjo). Kadangkala makan maggi. Kadangkala makan nasi goreng ikan sardin. Kadangkala makan nasi goreng ikan bilis. Air, selalunya nescafe atau milo.
Selalunya aku berjalan kaki ke sekolah. Apabila sampai ke sekolah, aku meletakkan beg. Embun pagi masih kuat. Padang rumput berkabus. Aktiviti harian pada waktu pagi ialah mengutip sampah. Selalunya dedaun kering. Daun-daun kering yang berembun selalunya membuat tanganku kurang selesa. Pelajar-pelajar senior (darjah enam) selalunya jarang mengutip sampah. Adakalanya mereka meminta sampah, dedaun kering daripada pelajar-pelajar yang lebih junior sebab jika guru atau pengawas tidak nampak mereka memegang sampah, tidak akan dibenarkan masuk ke kelas. Sebelum masuk ke kelas, mesti buang sampah ke dalam tong sampah. Bilik darjah kayu. Dimakan anai-anai.
Kemudian, aku ternampak sebuah kereta. Kereta buruk berwarna biru. Toyota model lama. Dari kereta itu keluarlah kakak-kakakku, abang-abangku. Aku? Aku sudah sampai di sekolah. Ayah dan Ibuku berada di dalam kereta. Itulah fenomena setiap minggu. Aku rasa seolah-olah terabai dan tersisih.
Suatu hari Ibuku memujiku, antara adik-beradikku yang lain, aku yang paling rajin pergi ke sekolah berjalan kaki. Hari itu, aku tersenyum. Rupa-rupanya Ibuku mengambil berat tentangku...
Nama: Romantis Selatan Lokasi: Malaysia Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini.
Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya...
Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang.
Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan. Maklumat Lanjut