Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Rabu, April 19, 2006
Amoi Misteri & Dia Ingin Belajar, Aku Ingin Belajar
Hari ini ada dua cerita. Cerita pada waktu pagi dan cerita pada waktu petang. Takdir, kau mahu baca cerita pagi atau cerita petang? Takdir senyap seolah-olah berkata, "Kau telah ditakdirkan untuk menulis cerita waktu pagi dahulu."
Baiklah Takdir. Dengarkan ceritaku ini:
Cerita Waktu Pagi: Dia Ingin Belajar
Sebenarnya di kafe tempat aku selalu bersarapan pagi (sebenarnya baru pagi ini aku bersarapan pagi), ada seorang budak berusia 17 tahun. Sudah 2-3 tahun dia bekerja di sini, dari zaman dia budak sehingga ke zaman dia remaja. Aku tidak pernah menegurnya, tetapi dia selalu menegurku untuk mengambil pesanan minuman.
Dahulu aku selalu minum air suam (sudah tiga bulan berterusan aku minum air suam di kafe ini). Namun sekarang tidak lagi, sebab tidak ada banyak alatan tulis yang perlu dibeli. Lagi pun aku perlu minum air selain daripada air suam untuk menambahkan glukosa di dalam otak selain menghilangkan lesu belajar.
Seperti biasa, dia akan 'menyergah' dan 'menepuk meja sehingga aku tercekik di meja makan. Entah apa kenan budak ni?
Hari ini dia menegur aku. Bertanya aku macam-macam soalan berkaitan dengan hidup seorang pelajar. Kemudian tiba-tiba sahaja dia meluahkan masalahnya kepada aku. Ini bukan kali pertama, setiap bulan atau tahun, pasti akan ada orang yang tidak dikenali akan datang berbual dan meluahkan masalahnya kepada aku. Tidak kira pak cik, mak cik, kakak, remaja atau budak. Aku tidak tahu kenapa, namun aku anggap ini sebagai satu petunjuk daripada Tuhan, untuk memberitahu aku, setiap manusia di dunia ini ada masalah dan cabarannya.
Latar belakang hidupnya: Dia diberhentikan sekolah awal tahun ini kerana didapati sering tidak hadir ke sekolah walaupun telah diberi surat amaran. Puncanya, dia dipaksa oleh ayahnya untuk bekerja pada malam lagi. Di mana lagi jika bukan di kafe ini. Keluarganya miskin. Adik beradik ada dua. Kakaknya pula sedang menunggu tawaran masuk ke IPT. Keputusan SPM bagus, 7A atau 8A.
Budak ini budak lelaki. Dia rasa dirinya tidak diadili. Kakaknya lebih mendapat perhatian. "Kakak asyik belajar sahaja. Saya kena kerja. Ayah lebihkan kakak."
Budak ini suka belajar Matematik. Matematik? Ya, Matematik. Dia juga memberitahu dia bagus dalam bidang sukan dan selalu mewakili sekolah dalam acara lompat jauh. Prestasi akademik dan sukannya mula merosot apabila dia mula bersekolah menengah. Ikut kawan.
"Dulu saya selalu belajar Matematik dengan kawan-kawan."
"Saya nak jadi Polis."
Tiba-tiba seorang pak cik yang bekerja di situ memanggilnya. Orang ramai nak pesan minuman. Aku tidak sempat bertanya namanya. Cuma tahu nama sekolahnya. Cuma aku tahu, dia masih berminat untuk ke sekolah. Untuk belajar. Dia ingin belajar, tetapi keputusan ayahnya... Namun aku tahu dia ingin belajar. Anak yang taat?
Cerita Waktu Petang: Aku Ingin Belajar (Panggilan Telefon daripada Amoi Misteri)
Pada waktu petang, selepas solat Zohor berjemaah di Masjid. Aku menemui seorang sahabat junior, dua tahun lebih muda daripadaku. Ini semester terakhirnya. Semester depan dia sudah bebas, merdeka dari dunia kampus. Sahabat datang dan pergi.
Imbas Kembali: Aku masih ingat semasa aku mula-mula mengenalinya beberapa tahun lalu. Aku menunggu di depan pintu biliknya selama satu jam untuk menunggunya membuka pintu. Waktu itu dia sedang khusyuk belajar. Tiba-tiba dia tutup lampu dan tidur. Aku pulang dengan rendah diri. Pensyarah sibuk. Pelajar sibuk. Aku... penyibuk...
Bermulanya persahabatan: Namun selepas itu, ketika aku sudah mula 'merajuk' dan berdikari untuk belajar sendiri, suatu hari dia memberikan aku koleksi soalan dan penyelesaian untuk satu subjek Matematik. Aku rasa dia mungkin sudah menyesali perbuatannya dahulu. Ketika itu dia tidak tahu masalah aku. Sebab aku selalunya kelihatan ceria dan tenang walaupun dibelenggu masalah. Sebab aku jarang menceritakan kisah hidup aku kepada orang. Melainkan di dalam tulisan untuk tatapan peribadi. Aku juga tidak suka dikenali. (Aku rasa aku memahami kehendak "Sera - Honeybiru" sebagai penulis blog. Biarlah, aku ditakdirkan untuk tidak dapat mengenalinya secara tulisan.)
Dia cuma tahu aku ada masalah melalui pensyarah yang cuba mencungkil rahsiaku. Antara Cacat Matematik, Cita-cita dengan menjadi seorang Anak Yang Taat. Tamat imbas kembali.
Amoi Misteri Aku cuba belajar petang itu. Tiba-tiba telefonku bergegar. Aku sudah tetapkan mod telefon ke mod senyap sejak awal-awal lagi. (Pernah baca entri di dalam blog ini berjudul: Parasitisme - Dia Bukan Lagi Kawanku?). Aku mengangkat telefon. Tidak kelihatan nombor telefon pemanggil. Siapa ni?
Suara seorang amoi dalam pelat Cina yang pekat menyebut nama penuhku.
"Awak mahu kerja tak? Kita ada banyak kerja kosong...." Tak berapa jelas. Aku ragu-ragu. Sindiketkah? Betulkah? Macam mana dia tahu nama aku?
"Minta nombor telefon awak." Kata Amoi Misteri itu lagi. Habis, macam mana dia boleh telefon aku ni? Peliklah Amoi Misteri ni.
"Maaf, saya di dalam perpustakaan sekarang. Saya sedang belajar." Aku tidak mahu mengganggu siswa-siswi lain yang sedang belajar.
Tiba-tiba terpapar, "Bateri Empty!" Paparan skrin gelap. Bateri sudah dua tahun tidak tukar. Aku perlu tukar sebelum bulan Mei ini.
Panggilan terputus begitu sahaja. Amoi Misteri terus jadi misteri. Siapa agaknya dia? Mungkin sebab seminggu dua yang dahulu aku pernah mencari kerja untuk cuti panjang ini. Atau ada kawan-kawan yang mengesyorkan nama aku? Siapa Amoi ni.
Aku menghidupkan kembali telefon bimbitku. Aku lihat pada Senarai Panggilan. Nombor +60000 terpapar. Aku menyimpan kembali telefonku lalu berkata kepada diriku: Aku Ingin Belajar.
Kepada Saudara Jimadie: Perkataan "Matematik" itu ada banyak sebab itu ada kaitan dengan tema utama blog ini, kena baca isi blog saya dari awal lagi. Selalunya setiap entri berkait-kait.
Kepada saudari nile: Agaknya kita mungkin pernah berselisih. Bulan depan sudah mula cuti semester tiga bulan. Kalau ada sesiapa yang ambil semester Mei. Saya akan ke City Campus jika tidak ada apa-apa kesulitan.
Kepada op: Agaknya... tetapi bergantung kepada pekerja itu jika dia utamakan kerja, maka dia pekerja yang belajar... atau jika dia pelajar yang utamakan belajar... maka dia pelajar yang bekerja... jika... itu bla.. bla.. bla.. jika... pening.. zzzz...
Kepada sf: Ya! Kalau Ingin Belajar nanti jadi Ingin Belajar! Belajar Ingin! Kalau Terus Belajar akan jadi Terus Belajar! Belajar Terus!
hm... nampaknya budak tu dah terpikat dengan seorang gadis lebih kurang sebaya dengannya. Juga bekerja di sana. Gadis itu walau bagaimana pun buat tak peduli aje. Sekarang saya masih mencari apa-apa akta atau undang-undang berkaitan dengan Pendidikan untuk Anak-anak di bawah usia 17 tahun.
Kalau mahu menyelesaikan masalah dia, saya perlu bertemu bapanya. Untuk mengetahui perkara sebenarnya. Tidak boleh membuat keputusan berdasarkan satu pihak sahaja (si anak sahaja). Namun kesuntukan waktu.
Mungkin ada kisah lain atau sebab-sebab tertentu yang budak itu tidak ceritakan. Saya rasa strategi bapanya ialah biar kakak berjaya. Nanti kakak dapat tolong adik.
Nama: Romantis Selatan Lokasi: Malaysia Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini.
Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya...
Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang.
Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan. Maklumat Lanjut
aku tekanan. kenapa ada banyak perkataan "matematik" dalam blog ni?