Pagi ini tamat satu lagi subjek peperiksaan. Hampir dua hari dua malam aku berkampung di kolej kediaman junior-juniorku (tahun satu). Jarak kolej mereka agak jauh dari kolej aku. Aku menggunakan peluang ini untuk belajar bersama mereka, mengkaji cara orang yang bijak Matematik ini. Hasilnya aku dapati, junior-junior aku ini terdiri daripada dua spesies:
1. Spesies Suka Main Video Game 2. Spesies Kaki Tidur dan Kaki Lalak (Siap ada Band Muzik sendiri)
Kesemua sampel yang diambil adalah lelaki. Sebab mustahil aku akan menceroboh asrama siswi dan tidak ada siswi yang akan sukarela untuk menjadi Pembantu Penyelidik (tak ada peruntukan :p ). Spesies-spesies junior bijak Matematik, berdasarkan pemerhatianku adalah seperti berikut:
SPESIES 1: Spesies Suka Main Video Game
Aku mengambil dua sampel. Sampel pertama, V1, berusia 20 tahun (kemasukan matrik). Sampel kedua V2, berusia 22 tahun (kemasukan diploma). Aku mengkaji persamaan sifat pada kedua-duanya. Hasil pemerhatian adalah seperti berikut:
1. Kedua-duanya suka main video game. Mereka belajar sekejap-sekejap sahaja.
2. Kedua-duanya mendapat Anugerah Dekan (CPA sekitar 3.5#) kerana keputusan cemerlang semester lepas. 3. Menguasai subjek-subjek Matematik dengan cemerlang. Jumlah kredit subjek Matematik yang tinggi membantu mereka untuk mencapai keputusan akademik bertaraf Anugerah Dekan. Keputusan bagi subjek-subjek bukan matematik tidak begitu menyerlah. 4. Kedua-duanya memakai teknik menyembunyi kerajinan diri. Mereka cuma akan fokus pada pembelajaran pada malam hari. Kadangkala mereka kata, baru nak mula ulangkaji, padahal mereka dah habis ulangkaji: berdasarkan saksi-saksi yang boleh dipercayai dan bukti-bukti yang sahih oleh pengkaji sendiri). 5. Kedua-duanya tidur tak tentu masa. Kadangkala berjaga sampai pukul 3-4 pagi. 6. Kedua-duanya jarang ziarah menziarahi, selalu berkurung di dalam bilik. 7. Sampel V1, yang berusia 20 tahun aktif dalam kegiatan ko-kurikulum. 8. Sampel V1 kerap bermain FIFA (bola sepak, ala-ala Playstation), Sampel V2 pula suka bermain Need For Speed (simulasi kereta lumba). 9. Ada sedikit tak kena dari aspek sosial. Lebih mudah dikatakan sebagai mangsa buli (tidak serius) dan lebih suka mengalah. Ada sampel-sampel dari Spesies 2 kurang puas hati (konflik kecil: masih boleh bergaul antara spesies) dengan Spesies 1. Mungkin sebab Spesies 1 sering menyembunyikan kebenaran (rajin belajar). Kadangkala mereka boleh disalah anggap sebagai sombong dan berpusatkan kendiri. Hakikat itu didapati hanya separuh benar. Spesies 1 akan membantu apabila ada orang meminta bantuan selagi mereka tidak menyusahkan diri mereka. Tingkahlaku pasif. 10. Rekod menunjukkan mereka pernah gagal dalam mengatur program aktiviti pelajar. Kesimpulannya, Spesies 1 akan tamat pengajian dan mendapat Ijazah dengan selamat dan senang-lenang. SPESIES 2: Spesies Kaki Tidur dan Kaki Lalak (Siap ada Band Muzik sendiri) Terdapat banyak sampel untuk dipilih. Aku cuma fokuskan kepada dua sampel juga. Sampel pertama, B1, berusia 20 tahun, sampel kedua, B2, berusia 22 tahun. Sampel B1 adalah lepasan matrikulasi. Sampel B2 adalah lulusan diploma. Berbanding Spesies 1. Spesies 2 ini mempunyai variasi dan trait pembolehubah tertentu berdasarkan individu. Namun kedua-duanya amat meminati muzik. Mereka kini dalam proses menggenapkan kumpulan band muzik mereka. Hasil pemerhatian mendapati: 1. Bermain gitar dan keyboard antara hobi utama mereka. 2. Pembelajaran Matematik diselang-selikan dengan bermain alatan muzik, menyanyi dan tidur. 3. Mereka sering juga ziarah-menziarahi antara satu sama lain dan keluar daripada universiti untuk berseronok. 4. Masalah tidur tak tentu masa agak serius di kalangan Spesies 2. Didapati rekod ponteng kelas lebih tinggi berbanding Spesies 1. 5. Purata CPA adalah sekitar 3.49 (menghampiri Anugerah Dekan). Keputusan Matematik sangat baik. Juga didapati tidak begitu menyerlah dalam subjek-subjek bukan matematik. Namun, jumlah kredit yang lebih banyak untuk subjek-subjek matematik berbanding dengan subjek-subjek bukan matematik membantu mereka mencatat nilai CPA atau CGPA dengan cemerlang. (Sebab itu aku tak dapat perlanjutan biasiswa). 6. Separuh daripada spesies ini bijak bercakap dan berkomunikasi. Ada rekod kejayaan dalam mengatur atau merancang program. Selalunya merekalah yang menyelamatkan kegagalan menjalankan program oleh Spesies 1. Ini salah satu punca konflik antara Spesies 1 dan Spesies 2 yang berjaya dikesan. 7. Tingkah laku sedikit agresif berbanding Spesies 1. Kesimpulannya, Spesies 2 juga tidak akan menghadapi masalah untuk menamatkan pengajian dengan senang-lenang.
Aspek moral dan agama (adakah banyak membantu?) Memetik kepada aspek ini, aku dapati salah satu sampel dari Spesies 2 bermasalah. Maksud aku masalah untuk bangun tidur. Waktu tidurnya seolah-olah sudah songsang. Siang dan malam ditafsir mengikut kehendak diri. Sampel B1, jika sudah tertidur, susah hendak dikejutkan. Sampel B1 sering tidur pada waktu siang, petang dan malam. Sekitar pukul 12 malam hingga 10 pagi dia akan berjaga. Salah satu punca mungkin kerana gangguan pelajar Diploma kursus lain (kursus Teknikal) yang sering berkunjung ke biliknya sekitar jam 1 pagi hingga ke pukul 3-4 pagi. Membuat bising pada waktu malam hari adalah budaya mereka. Pelajar-pelajar ini setahun lebih tua berbanding aku. Mereka datang dengan motosikal pada sekitar 1 pagi. Berborak kosong dan menceritakan 'kehebatan' mereka sebagai pelajar, dan pengalaman mereka semasa menjadi pelajar di peringkat Diploma. Mereka berbangga dengan ponteng kelas. Mereka berbangga dengan salah laku sebagai pelajar. Mereka berbangga dengan masalah sosial dan pelanggaran disiplin yang mereka lakukan. Saya anggap mereka ini sebagai golongan veteran yang destructive (pemusnah). Ilmu-ilmu yang mereka ajarkan kepada junior-juniorku itu tidak sesuai dengan status mereka sebagai bekas guru diploma. Aku hairan macam mana mereka boleh lepas masuk ke universiti! Usia mereka lebih tua, tetapi perangai gila-gila mereka sangat ekstrim. Memandangkan aku bukan tuan bilik, dan mereka pula lebih tua berbanding denganku, dan rapat dengan junior-juniorku, aku tidak dapat berbuat apa-apa. Aku kecewa dengan pelajar-pelajar ini. Lebih tua, tetapi tidak menunjukkan teladan. Melanggar disiplin, membuat bising, mengumpat, mengutuk dan memalukan sesama mereka. Terutama pelajar yang memiliki Diploma Dalam Jurusan Elektrik itu. Sikap lembutnya (ala-ala bapuk) membuatkan aku bertambah rimas. Suka mengumpat, mengutuk dan entah apa-apa lagi. Sesekali mereka bertepuk tampar (bergaduh tetapi ada unsur-unsur emosi dan marah juga sebab fitnah atau tuduhan sesama mereka: membuka pekong kawan sendiri - faham-fahamlah wahai pembaca). Aku cukup marah tetapi aku bukan tuan bilik. Aku bimbangkan junior-junior aku. Sebelum ini pun aku selalu bertanya sebab apa B1 sering ponteng kelas. Tertidur. Susah nak bangun. Dah kejut berkali-kali pun dia tidur balik. Ini adalah salah satu punca utama. Petang pada keesokkan harinya, sekitar jam 2 petang, B1 tidur lagi. Kali ini agak teruk. Aku mengejutkannya berkali-kali supaya sembahyang asar. Dia tidak bangun. Berkali-kali aku kejutkan, dia masih tidur. Apabila aku tanya dah sembahyang belum, dia jawab tak. Selepas itu dia tidur balik. Terlepas waktu asar. Aku ni menumpang bilik mereka. Aku datang ke sini atas kehendak aku, bukan mereka. Jika aku berlaku kasar, ekstrimkah aku? Kawan-kawan yang lain juga mengalah. B1 memang susah nak dikejutkan. Waktu maghrib hampir habis. Aku cuba kejutkannya lagi dengan membuat panggilan "miss call". Dia bangun dan menyemak senarai pada telefon. Aku minta dia sembahyang maghrib. Dia diam, kemudian melelapkan mata semula. Aku "miss call" lagi. Dia bangun dan menyemak lagi. Kemudian tidur. Kali ketiga, dia kata, "Karang saya baling handset ni...." Patutkah aku simbah air? Aku mencari gaduh kalau aku berbuat begitu, rakan-rakannya yang lain juga sudah lama mengalah. Aku datang ke sini tidak diundang. Sebabnya jarak antara dua kolej adalah jauh. Mereka memberitahuku, pada waktu itu, walaupun aku kejutkan dia beberapa kali, B1 tetap tidak akan sedar. Dia bangun dan boleh menjawab soalan, tetapi secara separa sedar. Apabila dia betul-betul sedar, kalau kita tanya dia ingat tak apa yang dia buat, dia kata tak tahu. Aku syak ini sejenis penyakit yang serius. B1 kerap ponteng kelas. Adakah kerana sebab kehadiran budak-budak diploma yang pernah bergelar guru sekolah rendah itu menyebabkan budaya tidurnya berubah? Aku marah, tetapi siapa aku untuk mengambil tindakan jika tuan punya badan yang sudah berusa 20 tahun tidak membuat keputusan. Aku akan dipanggil penyibuk. B1 pernah mengadu kepadaku, matanya ada semacam kerosakan, tidak selesa. Ada masalah. Dia juga mengalami masalah botak. Rambut gugur. Ada sesuatu yang tak kena. Aku tak pasti. Namun B1 tetapi pelajar yang cemerlang Matematik. Sangat bijak! Jumlah markah terkumpul untuk Ujian 1 dan Ujian 2 bagi subjek matematiknya lebih tinggi berbanding V1. Pelajar yang seorang lagi juga begitu. Aku dapati budaya tinggal sembahyang di kalangan junior agak serius. Kebijaksanaan Matematik mereka tidak terjejas. Malah jauh lebih hebat berbanding generasi seangkatan aku. Cuma aku dapati kemahiran dan kematangan mereka agak kurang. Sekarang apa yang aku dapat simpulkan? Adakah semata-mata untuk pandai Matematik, aku harus mengikuti budaya mereka? Tidak. Kalau ini harganya untuk jadi bijak matematik, "Selamat Tinggal Matematik. Aku berhenti terus daripada pengajian ini. Biarlah hutang dan denda itu datang kepadaku." Cuma aku dapat buat satu rumusan: Mereka ada budaya 'Belajar Matematik' tetapi tidak secara konsisten. Maksud aku, mereka belajar matematik apabila mereka mahu. Selain itu, mereka disokong kuat oleh latar belakang akademik semasa pengajian di matrikulasi. Ini adalah apa yang aku tidak miliki: Asas matematik pra-universiti. Minat terhadap matematik. Cinta terhadap matematik. Pemikiran secara matematik. Aku tidak miliki semua ini... Aku terperangkap dalam sistem akademik dan sistem pendidikan yang lebih maju. Aku tidak ada ciri-ciri survival dalam bidang matematik seperti yang dimiliki oleh junior-juniorku. Jadi, bagaimana? Label: Diari |
ko bercakap tentang matematik?
oh.