Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Selasa, April 25, 2006
Kisah Buaya Legenda (Bahagian 3)
TERATAK PUTIH DANAU HIJAU (Sansi Orp Lea ) Oleh: Romantis Selatan Hak Cipta Terpelihara (C) 2006
Buaya Legenda Orp Lea
Malam itu, terjadilah suatu peristiwa yang tidak disangka-sangka. Dari dalam tasik, kelihatan sepasang mata bersinar memerhatikan Shinlap-shinlap yang sedang lena.Dengan perlahan-lahan, sepasang mata ini mendekati tebing danau, maka air pun bergelora... dalam sekelip mata, seekor Shinlap kepunyaan Orang Kaya Kailai telah ditelannya. Rupa-rupanya, sepasang mata ini adalah milik kepada buaya legenda Orp Lea! Saiznya jauh lebih besar daripada dua puluh ekor Shinlap! Shinlap-shinlap berteriak ketakutan dan terus lari ke dalam hutan. Buaya Legenda tidak melepaskannya dengan begitu sahaja, dengan menarik nafas, dengan sekali sedut sahaja, dua ekor Shinlap dan beberapa batang pokok tertarik dan termasuk ke dalam mulutnya yang sangat besar. Bunyi kekecohan itu telah menyebabkan Ma Shagou dan anak-anaknya tersedar dari tidur. Alangkah terkejutnya mereka melihat seekor buaya gergasi sedang memerhati mereka bertiga dengan sepasang mata yang merenung ganas! Buaya itu perlahan-lahan naik ke tebing danau, setiap gerakan kakinya menggegarkan persekitaran danau, dan setiap kali tanah dipijak maka akan terbentuklah kesan tapak kaki yang sangat besar.
“Braahhhhh!!!!” Buaya Legenda Orp Lea meraung marah! “Shinlap-shinlap kamu telah mencemari Orp Lea! Air danau telah keruh dan ini menyakitkan hatiku! Sebagai balasan, aku telah menelan tiga ekor Shinlap kepunyaan kamu!” kata Buaya Legenda Orp Lea.
“Tunggu, Shinlap-shinlap yang kamu telan itu bukan kepunyaan kami, ia adalah Shinlap kepunyaan Orang Kaya Kailai. Habislah kami jika perkara ini diketahuinya!” ujar Ma Shagou.
“Hmmmm..... kalau begitu, aku akan mengeluarkannya kembali!” Buaya Legenda Orp Lea terus meludahkan tulang-tulang putih yang masih sempurna keluar dari mulutnya. Tulang-tulang yang bertimbun itu jelas adalah kepunyaan ketiga-tiga ekor Shinlap.
“Sekarang aku telah mengembalikan Shinlap-shinlap kamu, sekarang berikan aku Shinlap kamu atau kalian bertiga menjadi makananku!” ujar Buaya Legenda Orp Lea.
“Tidak, kami tidak dapat memberikan kamu Shinlap-shinlap kami kerana semuanya sudah lari, tetapi kami akan binakan kamu sebuah mahkota di atas kepala kamu, sebagai tanda kamu adalah Tuan Punya Danau Hijau ini. Bolehkah?” kata Ma Shagou.
Setelah berfikir seketika, Buaya Legenda Orp Lea pun bersetuju. Maka, Ma Shagou dan kedua-dua orang anaknya pun bertungkus-lumus menyusun dan mengikat tulang-tulang untuk membina sebuah mahkota yang berbentuk seperti sebuah teratak di atas kepala Buaya Legenda Orp Lea. Setelah beberapa hari, akhirnya mahkota itu pun siap. Buaya Legenda Orp Lea sangat tertarik dengan kecantikan mahkota putih tersebut dan melepaskan Ma Shagou dan anak-anaknya.
Nama: Romantis Selatan Lokasi: Malaysia Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini.
Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya...
Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang.
Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan. Maklumat Lanjut