Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)

Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Sabtu, Mei 06, 2006
Persediaan Menuju Ke Barat

Kampus tempat pengajianku ini masih belum tutup, perpustakaan masih menerima kehadiran orang ramai, walau pun pengunjungnya telah berkurangan lebih enam puluh peratus (jangkaanku). Semester Mei akan bermula seminggu lagi.

Hari ini aku ada masa terluang, sebelum aku membungkus komputerku. Semalam dan sebelumnya aku menyelesaikan masalah berkaitan dengan pendaftaran subjek untuk minggu hadapan. Statusku untuk semester akan datang masih belum diketahui, namun aku masih mencari-cari jalan mengenai dunia yang bergelar Pantai Barat. Ini kerana ada masalah dari segi pangkalan data, barangkali.

Di sana nanti aku akan di kelilingi gunung ganang, makhluk-makhluk aneh, cahaya yang tidak putus-putus siang dan malam. Aku akan merisik peluang pekerjaan di sana. Sekolah-sekolah yang berdekatan. Pusat-pusat tuisyen berdekatan. Kerja ini memang mencabar, tetapi aku sudah berpengalaman dan tahu apa yang patut aku buat. Aku tidak bermasalah untuk mengajar pelajar yang lembab matematik, kerana aku tahu apa yang orang cacat matematik perlu tahu berkaitan dengan konsep matematik. Pernah aku mengajar seorang pelajar yang tidak tahu membaca dan mengira di sebuah sekolah. Pelajar itu selalu gagal dan mendapat markah tercorot di dalam kelas. Namun selepas aku menggantikan tempat guru tersebut, aku mengajarnya dengan cara aku sendiri, pelajar tersebut yang selalu mendapat E tiba-tiba mendapat markah C. Orang yang makan cili tahu betapa pedasnya cili itu. Aku akan mencari pekerjaan yang aku sudah berpengalaman. Pekerjaan yang tidak akan menganggu pelajaranku.


Strategi Menakluki Dunia Melayu Barat

Bukan bermaksud aku tidak mahu mencuba sesuatu yang baru. Cuma aku bukan penganggur, matlamat utamaku adalah masih pada akademik. Sekiranya aku tamat pengajian atau bercuti sepenuh masa (tidak ada kuliah/ujian/peperiksaan), barulah aku akan mencuba sesuatu yang baru. Bukan kali pertama aku mencuba pekerjaan baru. Sebelum ini sudah banyak kerja yang aku lakukan. Kebanyakannya berkaitan dengan kebajikan masyarakat atau perniagaan. Pernah suatu ketika aku hendak dipilih menjadi presiden sebuah kelab, namun aku menolak kerana beban akademik sangat berat! Ada juga pelajar yang mengesyorkan aku menyertai Majis Perwakilan Mahasiswa, tetapi aku tetap menolak! Ini kerana dunia matematik akan memusnahkan aku sepenuhnya.

Namun itu kisah beberapa tahun lepas. Sudah dua ke tiga tahun aku hidup dalam kesunyian, ditemani dengan selonggok subjek Matematik yang belum selesai. Jika dahulu aku cuma perlu bawa satu sahaja bersesuaian dengan tahapku. Namun sekarang tiga subjek matematik, tidak ada masa luang yang cukup untuk aku menjalankan aktiviti sampingan yang melibatkan komitmen. Cuma pada semester Mei ini, cuma satu subjek sahaja. Maka sudah ada peluang untuk bekerja. Ada peluang mencipta komitmen. Mencari sedikit wang, bukan mengorbankan wang. Apa yang penting sahaja. Untuk menamatkan pengajian.

Buat sementara ini biar aku senaraikan apa perkara yang perlu kubuat:

1. Sahkan pendaftaran untuk semester Mei.
2. Tambang teksi.
3. Cari tempat tinggal sementara: Kolej.
4. Kemudahan sekitar kolej.
5. Lokasi Bilik kuliah.
6. Jadual kuliah sepanjang semester.
7. Senarai pekerjaan yang tidak membebankan tumpuan akademik.
8. Majikan.
9. Pengangkutan awam yang ada.

Berdasarkan maklumat yang sedia ada, tindakan-tindakan berikut perlu dilaksanakan:

  1. Pendaftaran subjek yang telah kubuat belum lagi disahkan. Perlu mendapat pengesahan semula. Perlu segerakan pengesahan. Masalah dengan sistem pangkalan data.
  2. Cari tempat tinggal sementara.
  3. Rancang bayaran untuk pengangkutan dari Selatan ke Barat.
  4. Tambang teksi.
  5. Sebaik sahaja pendaftaran disahkan, segera berhubung dengan pejabat kolej untuk menyewa bilik. Berdasarkan maklumat, sewa satu hari sekitar enam ringgit.
  6. Kira anggaran minimum belanjawan sepanjang enam minggu dan yuran pengajian.

Setelah perkara di atas diselesaikan, tugas selanjutnya adalah mencari kerja sampingan yang tidak membebankan pengajian. Oleh sebab aku cuma mengambil satu subjek sahaja, dan kelasnya dijangka pada hari Sabtu dan Ahad sahaja, maka aku akan mencari kerja sampingan. Kerja-kerja tersebut mestilah memenuhi kriteria berikut:

  1. Majikan yang fleksibel, berpengetahuan tinggi dan berfikiran waras.
  2. Berdekatan dengan kolej.
  3. Keadaan sosial di tempat kerja terkawal (tidak ada gejala-gejala sosial seperti pekerja tidak solat atau bersembahyang Jumaat, pergaulan bebas lelaki perempuan, budaya melepak atau ponteng kerja dan sebagainya.)
  4. Tidak membebankan aktiviti fizikal dan meletihkan mental. Pekerjaan yang bersifat ringkas tetapi kreatif atau menjana minda.
  5. Masa bekerja adalah fleksibel dan boleh diatur oleh pekerja itu sendiri (untuk memudahkan urusan akademik seperti ujian, kelas gantian dan peperiksaan akhir).


Ini adalah kriteria-kriteria yang selalu aku ambil kira apabila mencari pekerjaan. Aku tidak mahu menjadi seperti pelajar-pelajar yang pernah aku kenali sebelum ini; ponteng kelas, tidak hadir ujian, tidak menghantar tugasan, datang lambat ke kelas, datang ke kelas dengan minda yang penat, lupa maklumat penting berkaitan akademik, hilang tumpuan belajar dan akhirnya ditendang dan pulang ke kampung dengan berlenggang. Dikutuk oleh selonggok kutu kampung, dimaki oleh para pendengki yang tak pernah merasa masuk universiti.


Customer Always Right

Selama ini aku berpegang pada pendirian, "jika berduit, makan, jika tidak berduit tak perlu makan." Pernah juga selama dua hari tidak makan, cuma minum air. Tidak ada masalah. Cuma akan mengganggu pengfokusan terhadap pelajaran jika terlalu kurang nutrien. Apabila hal ini berlaku, aku selalunya akan banyak berehat dan menyingkat masa belajar.

Namun disebabkan aku mengamalkan prinsip McDonald, "Customer Always Right". Aku tidak kisah untuk minum air suam, walaupun didatangi oleh pelayan yang agak bermuka masam atau peniaga makanan yang bermuka serius. Jika tidak ada duit tidak perlu makan makanan yang mahal. Ada juga peniaga yang bermasam muka apabila melihat aku jarang membeli di kedainya. Seperti satu kesalahan kalau aku tak membeli satu hari.

Customer Always Right. Aku berhak memutuskan untuk membeli atau tidak. Aku berhak memilih gerai yang makanannya murah. Aku berhak minum air suam. Air suam baik untuk kesihatan. Petua untuk awet muda dan kekal ceria.

Biar pun ada sesetengah orang mungkin berkata, "Budak itu tidak berduit. Tak perlu berikan dia layanan istimewa. Tak perlu senyum pun. Tak perlu ambil peduli tentang dia."

ROMANTIS SELATAN TAK KISAH.

Kemudian satu suara bertanya, "Habis kalau awak tak kisah, kenapa nak ceritakan juga?"
Lalu aku pun menjawab,"Kerana ini adalah kisah hidupku..."

Label:

posted by Romantis Selatan @ 7:46 PTG  
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home
 

© 2006 Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)
Main title designed by Amiene Rev from Brotherhood of The Dragon
No part of the content or the blog may be reproduced without permission.
Original Blogger Templates by GeckoandFly.

 


 

 



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Novel Kesayangan Saya


Web This
Profil Penulis


Nama: Romantis Selatan
Lokasi: Malaysia
Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini. Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya... Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang. Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan.
Maklumat Lanjut

Yang Sudah-sudah
Arkib
Jaringan Blogger
Mesej Pengunjung

Affiliates

Powered by Blogger
make money online blogger templates
Best Malaysian Sites