Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Isnin, Mei 22, 2006
Pada Suatu Ketika Dahulu
Dunia Melayu Barat
Ini mungkin suatu penamatan untuk bahagian pertama blog ini...
Hampir tiga minggu, aku tinggal di Setapak. Di sini aku melihat budak-budak usianya sebaya anak-anak muridku dalam proses persediaan ke Jepun. Hari ini aku juga mendengar berita salah seorang anak muridku kehilangan sebelah kakinya... sebagai satu tanda hilangnya kebolehannya dalam suatu permainan sukan. Ia seperti satu petunjuk daripada Tuhan.
Sehari sebelum itu, aku mengumumkan `persaraanku` dari menerokai dunia penulisan. Mungkin perkataan yang lebih tepat lagi ialah, berehat panjang.
Aku menghantar SMS yang berbunyi lebih kurang begini kepada seorang pensyarah: "Starting from today, I am a mathematician. No more literature exploration. I will start to think realistic and logistic." 21 Mei 2006.
Setapak adalah tapak permulaan bagi ibu bapaku dalam kerjayanya. Mereka berpindah beberapa kali sebelum menetap di suatu tempat yang aku kira sebagai destinasi terakhir untuk institusi keluarga kami. Di sini, aku sempat menjengah ke sebuah rumah kepunyaan keluargaku. Rumah itu disewa kepada orang lain. Rumah pada ketika aku belum dilahirkan. Berdekatan dengan sebuah padang permainan, antara sebuah surau dengan sebuah masjid.
Mengenang kembali bagaimana susahnya hidup keluargaku. Ini sebuah rumah dua tingkat yang sangat kecil, ruang tamunya sangat kecil, lebih kurang ruang bilik di kolejku. Sewa yang ditetapkan oleh ibu bapaku untuk rumah itu ialah RM350 sebulan. Penyewa rumah itu tinggal di tempat lain, rumah itu diberi tinggal kepada adiknya.
Suasana di sini agak tenteram, aku rasa ibu bapaku telah memilih suatu penempatan yang agak selesa. Tidak ada anjing liar. Kemudahan yang serba lengkap.
Ada sesuatu yang hendak aku terangkan mengenai antara kerjaya ibu bapaku, cita-cita mereka, cita-cita aku dan takdir.
Pada ketika aku masih kebingungan antara takdir, keputusan kini dan masa depan, aku diberi beberapa petunjuk dalam masa dua minggu ini.
Aku Seorang Ahli Matematik
Pada hari aku tiba ke Barat, adalah pada hari yang sama En. JR dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Unit Bimbingan Dan Kaunseling di sebuah IPT di sini. Dia ditukarkan dari kampus induk di Selatan ke kampus Barat. Pada malam sebelumnya aku menghadapi suatu konflik, berkaitan masa depanku di universiti. Antara dua bidang kerjaya.
Malam itu, sekitar pukul 11 malam, aku keluar lambat. Makan di kafe kolej (tempat aku menginap di sini) yang dikuarantin kerana wabak denggi. Namun itu tidak mengganggu urusanku.
Pada malam itu, aku dan En. JR (bakal Dr. JR) makan bersama di kafe. En. JR terpaksa menangguhkan pengajian Ph.D untuk menumpukan tanggungjawabnya sebagai Timbalan Pengarah di kampus Barat ini. Dua jam kami berborak. En. JR seperti ditakdirkan untuk menemui aku pada masa yang sangat penting ini. Kami bercakap mengenai soal pegangan hidup, soal masa depanku, keputusanku pada masa depan.
Hasil perbincangan itu, aku memutuskan untuk berhentii menerokai bakatku dalam bidang penulisan, sastera dan kreatif. Seperti kolej yang dikuarantinkan kerana denggi, seperti aku kuarantinkan bakatku kerana matematik. Matematik adalah denggi buat masa ini, aku perlu mencipta vaksinnya.
Jangan lupa, bidang yang aku ambil adalah major matematik. Aku tak boleh lari. Adalah mustahil untuk aku mencari pensyarah yang sesuai dengan gaya belajarku. Itu tidak realistik. Menerusi pertemuan secara kebetulan dengan En. JR, di Setapak yang nostalgis, aku memahami erti pemikiran realistik dan seterusnya menjadi faktor untuk menjadi seorang ahli matematik.
Realiti Kehidupan Daria Sudut Pandangan Ibu Bapaku
Menurut En. JR, ibu bapaku mempunyai kekuatan/keazaman yang sangat tinggi. Benar, kedua-duanya mendapat kecemerlangan dalam kerjaya. Kedua-duanya sering mendapat anugerah pekerja cemerlang. Namun ada penghalangnya. Pengiktirafan akademik. Sehebat mana pun idea mereka, akan tetap dikongkong oleh orang yang mempunyai pengiktirafan akademik.
Idea seorang individu yang memiliki Ijazah akan lebih diterima berbanding idea seorang yang memiliki Diploma. Kata-kata seorang Jurutera mampu menundukkan berpuluh-puluh pembantu teknik (jawatan ibu bapaku). Sebab itu mereka mengharap aku menjadi seorang jurutera, sebab itu konflik itu berlaku apabila aku memutuskan untuk mengambil bidang yang lain daripada apa yang mereka kehendaki. Dalam kekaburan itu, aku terlontar ke dunia matematik. Cerita Romantis Selatan bermula dan masih belum tamat...
Ini adalah sebuah cerita, di mana seorang ibu dan seorang bapa. Kedua-duanya adalah tokoh terbilang dalam bidang kerjaya mereka, namun ketokohan itu dikaburi oleh pengiktirafan akademik. Walau berapa hebat pun sumbangan mereka, akan tetap ditenggelamkan oleh kehebatan oleh orang yang lebih tinggi kelayakan akademiknya.
Jika seorang yang memiliki Diploma bekerja untuk orang yang memiliki Ijazah, kehebatan mereka sekadar berada di bawah tempurung ciptaan orang yang berijazah. Sebab itu, mereka menaruh impian untuk melihat salah seorang anak mereka, menjayakan cita-cita itu.
"Kalau tak ada ijazah, orang takkan pandang kita... kita... kita..."
Aku rasa aku sudah memahami sepenuhnya perkataan ini. Aku menterjemahkan ayat-ayat yang pernah diucapkan oleh ibuku, oleh Dr. Z, dalam konsep pendirianku.
"Untuk berjuang, kamu harus mencipta pengiktirafan. Itu adalah strategi yang paling mudah dalam dunia yang serba songsang ini... serba zalim ini. Pengiktirafan itu mesti dalam bentuk pencapaian akademik. Dunia kini, manusia cuma pandang dua perkara sahaja. Jika yang pertama itu adalah pencapaian akademik, yang kedua itu mestilah wang. Dengan dua perkara ini, manusia boleh memperalatkan manusia yang berbakat. Kau juga, Romantis Selatan, harus ingat, kau hari ini adalah manusia berbakat. Namun tanpa kelayakan akademik dan wang, kau akan dipergunakan kelak." Pesan Dragonizer kepadaku, menerusi mesej peribadinya webnya.
"Dan ingatlah, orang yang akan mempergunakan bakat dan sumbangan kau itu adalah orang yang sama ada memiliki wang, atau memiliki pencapaian akademik yang tinggi, atau kedua-duanya."
Kesimpulan Untuk Takdir
Sepanjang aku berada di Barat ini, dalam tempoh hampir tiga minggu ini, terlalu banyak peristiwa telah membantu aku untuk membuat kesimpulan. Setelah meneliti semua perkara itu, aku membuat keputusan...
Dan perlahan-lahan... Romantis Selatan menyimpan impian dan bakatnya ke dalam suatu sirkel kaca... dalam sirkel itu, bercahaya impian dan masa depan yang tidak dapat dicapainya dalam tempoh terdekat ini. Sirkel kaca itu ditenggelamkan dalam dasar kehidupan realistik Maka lumpuhlah dia
Seperti rama-rama dalam suatu kepompong sutera, menguis dan cuba memecahkan kepompong itu, rama-rama itu berusaha sedaya upaya untuk terbang sebagai rama-rama...
Walau pada dasarnya rama-rama itu adalah jelmaan garuda emas dari angkasa namun dia memutuskan untuk menjadi sekecil rama-rama apabila mengepakkan sayapnya... tiada taufan apabila berbunyi... tiada gegendang yang pecah apabila terlihat kelibatnya... tiada hati yang kecut...
rama-rama itu terbang mencari bunga-bunga di taman di taman itu terdapat sungai yang mengalir tidak berhenti-henti
di sungai itu ada beribu-ribu ikan salmon yang pulang dari laut kembali ke muara
Saat rama-rama itu berjaya memecahkan kepompong, adalah saat rama-rama itu mengepakkan sayapnya yang bercahaya dan rama-rama itu menimbulkan kagumnya orang ramai menilai dirinya dengan harga yang tinggi hingga dianggap sebagai spesies yang jarang dan unik serangga yang tinggi nilainya... dikehendaki
dan ramai orang lupa, rama-rama itu adalah jelmaan garuda emas rama-rama yang berjiwa naga...
lama kamu tidak menulis. ya, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. apapun saya doakan kamu cukup kuat menghadapi apa-apa pun halangan dan rintangan di hadapan. tapi percayalah, walaupun orang seolah-olah 'merampas' apa-apa yang kita mahukan, mereka hanya boleh merampas sesuatu yang kita relakan. dan sesuatu yang tidak mungkin dapat dirampas daripada kita ialah impian. simpan impian kamu, jangan lepaskan. pegang, dan cubalah untuk mencapainya. ingat, ini hidup kamu, dan kamu hanya punya satu kehidupan.
Nama: Romantis Selatan Lokasi: Malaysia Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini.
Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya...
Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang.
Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan. Maklumat Lanjut
Salam Romantis Selatan.
lama kamu tidak menulis.
ya, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
apapun saya doakan kamu cukup kuat menghadapi apa-apa pun halangan dan rintangan di hadapan. tapi percayalah, walaupun orang seolah-olah 'merampas' apa-apa yang kita mahukan, mereka hanya boleh merampas sesuatu yang kita relakan. dan sesuatu yang tidak mungkin dapat dirampas daripada kita ialah impian. simpan impian kamu, jangan lepaskan. pegang, dan cubalah untuk mencapainya. ingat, ini hidup kamu, dan kamu hanya punya satu kehidupan.