Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)

Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Selasa, Januari 01, 2008
Carikan Penawar Untuk Emak

Salam lagi Destiny,

Hari ini sahaja sudah tiga kali kita bertemu. Hari ini saya tidak puas hati. Kenapa emak masih marahkan saya?

Emak tidak pernah mahu mengaku salah. Jika dia mengaku salah pun, dia akan kata saya yang bersalah kerana membiarkan dia bersalah. Saya salah sebab ikut cakap dia.

Destiny, tidakkah perkara ini sungguh pelik? Kenapa adik-beradik saya yang lain semuanya tidak mahu mendengar cakap emak lagi? Emak saya sakitkah?

Barangkali emak saya sakit. Sebab itu, adik-beradik yang lain tidak mahu mengikut cakap emak. Kalau begitu selama ini saya pun sakit sebab ikut cakap emak. Saya ikut cakap emak yang tidak betul arahannya. Patutlah adik-beradik yang lain pun melawan cakap emak.

Destiny, saya harap saya akan temui penawar untuk emak. Sudah bertahun-tahun saya menderita kerana sikap emak. Emak asyik mengugut mengenai soal wang kepada saya, pada masa yang sama tidak benarkan saya bekerja.

Emak kata selepas bulan Februari tahun ini, maka terpulanglah kepada saya sama ada mahu terus belajar atau berhenti belajar. Emak tidak mahu peduli lagi. Emak tidak kisah lagi. Dia mahu gunakan duit itu untuk dirinya sendiri. Itu duit dia.

Destiny, sungguh menghairankan bukan? Abang saya yang sulung diberikan kereta, adik saya yang bongsu juga diberikan kereta, tetapi saya pula tidak diberikan apa-apa pun. Malah saya juga dilarang memandu kereta atau motosikal. Sehingga saya lupa kesemuanya. Kemudian satu hari emak meminta saya pergi membeli barang di bandar kerana ketika itu tidak ada orang yang boleh pergi membeli barang. Saya sudah lupa cara-cara memandu. Emak salahkan saya sebab tidak tahu memandu. Sedangkan dia lupa, dahulu semasa saya cuba hendak menyegarkan kembali kemahiran memandu, dialah yang paling kuat menegah dan melarang saya. Pelikkan?

Adik beradik saya yang lain memiliki barangan yang mahal-mahal, tidak pernah pula emak saya mengungkit. Emak marahkan saya kerana memiliki telefon bimbit. Adik saya membeli telefon bimbit bernilai 900 ringgit tidak pula dimarahi. Saya membeli telefon bimbit yang separuh harga lebih murah pula dimarahi.

Semasa kecil saya cuma mendapat pakaian abang-abang saya. Abang-abang, kakak-kakak dan adik saya mendapat pakaian baru. Saya tidak.

Saya pernah diejek oleh rakan-rakan sekolah kerana pakaian sekolah saya yang tidak seperti pakaian sekolah. Saya memakai seluar yang berwarna biru, tetapi seluar itu bukan seluar sekolah. Rakan-rakan sekolah kata, cikgu akan marah saya nanti tetapi cikgu-cikgu tidak pernah marahkan saya sebab pakai seluar tersebut ke sekolah.

Semasa sekolah rendah, saya berjalan kaki ke sekolah, berjalan kaki pulang ke sekolah. Saya melihat abang-abang dan kakak-kakak dihantar ke sekolah dengan kereta. Mereka semua turun dengan gembira menuju ke kelas masing-masing. Seolah-olah mereka bukan keluarga saya.

Adik saya pun bukan main bergaya. Kasutnya beberapa pasang. Malah ada yang tidak dipakai sebab terlalu mahal untuk dipakai, katanya. Emak tidak pernah bising-bising. Saya memakai pakaian yang sudah berbelas-belas tahun. Seluar sudah koyak dan dijahit semula. Sandal murah. Kasut pemberian ayah.

Abang saya pernah mencucuk saya dengan besi sehingga berdarah-darah. Menyebat saya dengan ekor pari yang dijemur di tengah panas. Emak tidak ambil peduli apabila saya mengadu kepada emak. Seolah-olah luka itu semuanya luka biasa.

Saya selalu lari ke hutan. Bermain dengan serangga dan binatang-binatang. Kucing. Musang pulut. Ayam. Arnab. Apabila melihat saya suka dengan arnab, ayah saya pun memelihara arnab. Arnab membiak dengan pantas. Kandang yang kecil tidak muat lagi. Apabila sudah besar arnab-arnab itu boleh dijual atau dimakan.

Apabila melihat saya suka ikan keli, ayah saya pun menternak ikan keli dengan banyaknya di dalam tangki di belakang rumah. Apabila ikan-ikan keli itu sudah besar, ikan keli itu pun sudah boleh dimakan. Semasa kecil tiga puluh sen seekor, apabila besar, harganya boleh mencapai beringgit-ringgit.

Saya suka menanam pokok tumbuhan. Apabila besar, pokok-pokok itu tumbuh dengan subur. Saya sukakan suasana alam semulajadi. Destiny, hutan, haiwan dan tumbuh-tumbuhan memberikan perasaan yang sungguh menarik. Kedamaian.

Abang gelakkan saya kerana sering bermain di dalam hutan. Saya paling suka dengan kucing. Semasa zaman kanak-kanak dulu, kalau kucing saya mati, saya akan berkabung. Tidak ada kucing bermaksud tidak ada lagi kawan di rumah.

Sekarang saya sedar ayah orang yang paling menyayangi saya berbanding emak. Kadangkala ayah tanya apa yang saya mahu, tetapi saya tidak mahu. Kadangkala saya cuma minta belikan puyuh goreng atau nasi beriani. Lain-lainnya saya bernasib baik sebab apabila bertemu dengan kawan-kawan ayah, kadang-kadang mereka akan berikan saya peralatan sukan yang tidak digunakan lagi.

Saya tidak pernah meminta apa-apa yang tidak berkenaan dalam hidup saya. Apa-apa yang tidak melibatkan akademik atau untuk kegunaan akademik. Dalam keluarga saya, saya seorang yang tidak memiliki kereta. Adik beradik yang lain semua ada kereta. Saya tidak pun minta emak belikan kereta atau apa-apa. Saya terkejut, ketika emak sering mengugut saya mengenai soal ketiadaan wang, adik saya pula dibenarkan memiliki kereta. Sedangkan saya, jam tangan pun saya jahit sendiri talinya. Ayah saya pernah bertanya, kenapa tidak pakai jam tangan? Ada jam tangan atau tidak? Saya cuma pakai jam tangan apabila hendak ke dewan peperiksaan. Sebab ketika itu telefon bimbit tidak dibenarkan dibawa masuk ke dewan.

Kenapa, emak sering salahkan saya? Kenapa semasa kecil dulu, semasa masih bayi, saya dicampakkan ke lantai?

Benci benarkah emak kepada saya? Kenapa?

Destiny, bagaimana rupanya masa depan itu? Masa depan itu semuanya akan bertukar menjadi masa kini, dan masa kini itu semuanya akan bertukar menjadi masa silam.

Saya ingin sekali mengetahui, apakah rupa masa depan itu? Destiny... bagaimana rupa masa depan itu?

Saya ingin melihat masa depan, di mana, ketika itu saya membawa penawar, mengubati emak saya. Biarpun dengan nyawa saya, saya mahu mengubati emak. Supaya emak tidak benci saya lagi. Supaya emak tidak marah saya lagi...

Destiny, adakah masa depan semacam itu untuk saya?

Label:

posted by Romantis Selatan @ 11:21 PTG  
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home
 

© 2006 Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)
Main title designed by Amiene Rev from Brotherhood of The Dragon
No part of the content or the blog may be reproduced without permission.
Original Blogger Templates by GeckoandFly.

 


 

 



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Novel Kesayangan Saya


Web This
Profil Penulis


Nama: Romantis Selatan
Lokasi: Malaysia
Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini. Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya... Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang. Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan.
Maklumat Lanjut

Yang Sudah-sudah
Arkib
Jaringan Blogger
Mesej Pengunjung

Affiliates

Powered by Blogger
make money online blogger templates
Best Malaysian Sites