Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)

Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Selasa, Januari 01, 2008
Mulut Emak

Salam Destiny,

Kali ini aku atau saya? Saya? Baiklah saya. Hari ini, saya rasa saya telah buat satu kesalahan. Saya tidak patut memaklumkan mengenai hal akademik kepada emak saya. Entah kenapa, hari ini saya memberithau emak saya, mengenai jadual kelas kuliah saya.

Emak saya membebel lagi. Dia tidak pandang pun kebaikan atau apa-apa hasil yang baik, yang telah saya capai. Barangkali hari ini saya kelihatan agak gembira, jadi dia mengambil peluang ini untuk menyerang emosi saya lagi.

Saya berasa sangat sedih kerana emak saya mengungkit hal-hal silam. Saya tidak suka mengingati masa silam itu. Emak saya seolah-olah memekakkan telinga dengan segala perubahan baik yang telah saya capai pada masa kini. Emak saya marahkan saya kerana saya memintanya supaya tidak mengungkit hal-hal silam. Dia kata saya melawan cakapnya.

Ya, memang benar. Bagaimana seorang anak yang telah berusaha untuk menunaikan hasrat ibunya, berusaha untuk menjadi lebih baik, dan kemudian apabila sudah menunjukkan hasil yang baik, tetapi masih tidak dihargai ibunya?

Sejak zaman kanak-kanak lagi, hingga sekarang, saya selalu dijadikan mangsa seperti ini. Emak saya tidak pernah menghargai bakat saya. Dia akan melontarkan kritikan yang tidak membina, melemahkan semangat saya. Dia ingin menunjukkan bahawa dia tidak pernah menyokong apa-apa perkara baik yang saya capai. Benarkah saya ini dahulu bayi yang dicampakkan ke lantai seperti kata pengasuh saya dahulu? Destiny, adakah awak menyaksikan kisah itu dahulu?

Ayah saya cuma mendiamkan diri. Pergaduhan ini tidak pernah selesai, dan selalunya emaklah yang mencetuskannya. Setiap saat gembira dan bahagia akan dimusnahkan sekelip mata.

Destiny, sampai begitu benci dia kepada saya? Atau adakah segala-gala ini adalah dirancang. Masa depan saya, cita-cita saya bukan saya yang tentukan. Ini semua adalah kehendak emak. Dia yang mahu saya mengambil bidang ini. Sedangkan kaunselor sekolah tidak menggalakkan, malah pernah memberi cadangan supaya jangan ambil bidang seperti ini. Emak saya marahkan kaunselor itu.

Baru-baru ini seorang tokoh motivasi yang sangat terkenal bercakap sesuatu di televisyen. Kalau disebut nama tokoh motivasi itu pasti semua orang kenal. Kata-kata itu kena benar dengan emak saya. Emak saya tidak senang hati dengan kata-kata tokoh motivasi itu. Seperti kata orang, siapa yang termakan cili, dialah yang terasa pedasnya. Emak saya berlalu pergi sambil marah-marah. Marah dengan kaunselor tersebut. Mengutuknya. Saya cuma dapat tersenyum pahit.

Destiny, kenapa ya, kenapa ya emak saya bersikap begitu? Dia menafikan kepandaian orang lain. Dia mahu orang dengar cakapnya saja biarpun kata-kata itu tidak benar. Saya sudah puas melihat pergaduhan dalam keluarga ini. Namun sekarang ayah saya sudah bijak mengawal diri. Dia tidak akan melibatkan diri dalam pergaduhan yang tidak bermakna lagi. Apabila emak saya memanaskan telinga setiap ahli keluarga, dia akan mendiamkan diri.

Emak saya satu-satunya yang masih bekerja. Dia akan berpencen tidak lama lagi. Dia sangat tertekan kerana saya belum tamat pengajian lagi. Dia asyik bercerita mengenai kata-kata orang lain kepada saya. Segala kesalahan semuanya dilontarkan kepada saya.

Kesalahannya kerana dia yang menetapkan cita-cita saya dulu juga dicampak kepada saya. Dia kata, kenapa dulu ikut cakap dia. Kenapa tak jadi macam adik-beradik yang lain. Mereka semua melawan. Mereka semua tak ikut cakap dia. Saya disalahkan kerana ikut cakap emak. Emak saya memang suka bergaduh. Saya tidak faham kenapa boleh ada manusia yang aneh seperti ini.

Destiny, bagaimana agaknya rupa masa depan? Apakah yang akan berlaku antara saya dengan emak saya pada masa depan?

Emak saya asyik mengugut saya. Mengugut tidak dapat menanggung saya. Pada masa yang sama dia melarang saya daripada bekerja sebab dia mahu saya tamat pengajian. Ugutan jenis apakah ini? Walau pun ada peningkatan sekali pun, dia akan tetap mengugut saya.

Emak saya pandai melakukan provokasi. Pandai mencari konflik. Apa-apa perkara yang boleh mencetuskan pergaduhan itulah yang akan diungkitnya, biarpun perkara itu telah berlalu. Seperti melepaskan geramnya kepada saya. Melepaskan tekanannya kepada saya.

Destiny, kalau boleh saya tidak mahu bercakap atau berdepan dengan ibu saya lagi. Nilai kemanusiaan dalam diri saya semakin merosot apabila berdepan dengan emak. Seolah-olah benar dan salah itu tidak ada batasnya lagi. Bercampur aduk. Seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul.

Abang-abang dan kakak-kakak saya dahulu bernasib baik kerana dapat mengelakkan diri dari hal ini. Mereka semua berakhir dengan satu keputusan yang sama. Melawan arahan emak saya, mencipta jalan hidup sendiri. Sekarang mereka semua sudah bekerja dan ada wang sendiri, walau pun ada yang tidak puas hati dengan sikap emak. Sejak ada wang sendiri, mereka sudah boleh menetapkan hal-hal sendiri, walau pun kadangkala emak ada cuba untuk masuk campur.

Kalau saya mempunyai wang, dan pekerjaan, dan boleh menanggung pengajian saya sendiri, pasti saya juga akan dapat menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa lepas geram emak. Emak saya kalah dengan kakak saya. Kakak saya yang sudah bekerja itu menegurnya supaya berfikir positif sebelum mengatakan sesuatu yang tidak baik. Emak saya tidak dapat berkata-kata lagi untuk memenangkan dirinya.

Kalau saya ada duit, pasti saya juga boleh melepaskan diri dari kongkongan emak, tetapi emak tidak benarkan saya bekerja. Jadi, adakah emak saya sengaja melarang saya daripada bekerja dan pada masa yang sama mengugut saya dengan soal-soal kewangan? Dia mahu saya melawan cakapnya. Bukankah begitu, Destiny?

"Kalau orang kata aku jahat, aku lebih jahat lagi." Emak saya selalu mengulang percakapan ini dahulu.

"Aku yang tanggung engkau. Bukan kaunselor tu yang tanggung engkau. Dia yang keluarkan duit. Kenapa engkau nak ikut cakap dia, bukan cakap aku?" Emak saya lupa, dia bukannya kaunselor yang tahu selok belok kerjaya dan kecemerlangan akademik.

Emak saya juga marah dengan Penasihat Akademik yang membantu saya. Apa yang betulnya mengenai emak? Dia sekejap-sekejap menyesal, tetapi lama kemudian dia kembali ke watak asalnya.

Apakah emak saya suka bermain watak jahat, Destiny? Kenapa dia suka berlagak seperti antagonis? Dia mahu saya melawan cakap diakah? Dia mahu saya mengikut jejak abang-abang dan kakak-kakak sayakah? Barangkali, abang-abang dan kakak-kakak saya mengambil tindakan yang betul apabila melawan cakap emak. Saya dapati, kakak saya yang paling tua itulah yang paling senang lenang hidupnya kini, sebab dialah yang paling kuat melawan cakap emak. Dia tidak mahu emak mengatur masa depan hidupnya, keputusannya.

Apa yang paling saya ingat ialah bagaimana kakak saya itu menangis semasa tidak dibenarkan masuk ke sebuah sekolah elit, kerana ibu bapa saya tidak yakin dia dapat masuk. Borang itu tidak diluluskan biarpun kakak saya sebelum itu dengan gembiranya membawa borang itu pulang. Kesedaran itu melahirkan pemberontakan. Dan sejak itu kakak saya tidak mengikut kata-kata emak lagi, dan dia paling berjaya kini.

Apa yang perlu saya putuskan, Destiny? Apakah tindakan yang sewajarnya? Saya perlu mendapatkan wang dengan kadar segera. Supaya, apabila ibu saya berpencen nanti, saya tidak akan perlu berhenti belajar. Senyap-senyap. Senyap-senyap tanpa diketahui emak, saya perlu mencari duit sendiri mulai saat ini.

Tanpa duit untuk memiliki motosikal. Tanpa duit untuk memulakan modal perniagaan. Terikat dengan jadual belajar. Pekerjaan yang tidak boleh diheboh-hebohkan atau tidak boleh dilihat oleh orang lain. Supaya tidak ada satu pun berita akan sampai kepada emak.

Pekerjaan apakah itu, Destiny?

Label:

posted by Romantis Selatan @ 7:17 PTG  
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home
 

© 2006 Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)
Main title designed by Amiene Rev from Brotherhood of The Dragon
No part of the content or the blog may be reproduced without permission.
Original Blogger Templates by GeckoandFly.

 


 

 



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Novel Kesayangan Saya


Web This
Profil Penulis


Nama: Romantis Selatan
Lokasi: Malaysia
Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini. Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya... Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang. Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan.
Maklumat Lanjut

Yang Sudah-sudah
Arkib
Jaringan Blogger
Mesej Pengunjung

Affiliates

Powered by Blogger
make money online blogger templates
Best Malaysian Sites