Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Khamis, Jun 15, 2006
Berita Semasa Untuk Takdir
Kurenung tinggi luasnya angkasa, ternampak banyak unggas dan burung; Hidup tak tahu berita semasa, umpama katak di bawah tempurung.
Bangun pagi gosoklah gigi, jangan Subuh diabaikan pula; Pak Lah menyeru pertanian berteknologi, tanamlah tebu banyaklah gula.
Sepanjang perjalanan awak berangan, sampai terlepas hingga ke Kluang; Ada hikmah gula berkurangan, penghidap diabetes ambillah peluang.
Diserbu lebah habislah disengat, kasihan sungguh si beruang koala; Penderma darah silalah beringat, Pusat Darah Negara tak terima kaki bola.
Kalau hidupmu penuh dosa, insaflah segera hati berlaga; Garam, gula, tepung dan serbuk perisa bentuk baru dadah silalah berjaga.
Sehari suntuk menahan lukah, mencari kelah di pinggir muara; Tan Fook dan Wah Wah terus melangkah pertahankan maruah Badminton negara.
Bila singa dan harimau mula diseru, bertemulah buku dengan ruas; Artis Amerika dipancing KRU, Phil Shapiro bukti empayar meluas.
Bila kaki terkena duri, Menjerit sudah melaung telah; Di tangga keempat negaraku berdiri, berkisar rakyat Malaysia ketagih beli-belah.
Teruna bersiul memikat dara, Segera merisik jangan sampai disuruh; Dua wanita Malaysia malukan negara, Piala Dunia jadi medan bertaruh.
Dibendang padi hendaklah diselia, pagar jangan dijadikan harapan; Rosnah Ali Muda serikandi mulia, anak-anak buta cerah masa depan.
Ikan air tawar baunya hanyir, carilah ikan laut gunakan kanu; Pulau Sah Kecil di Tasik Kenyir, Taman Herba kebanggaan Terengganu.
Saya berasal dari daerah Kapar, Awak pula menetap di Medan; Berita semasa sudah terhampar, Ambilah pengajaran dan juga teladan.
Nama: Romantis Selatan Lokasi: Malaysia Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini.
Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya...
Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang.
Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan. Maklumat Lanjut
Sana bola sini gula
Sammy pula terus mengata
Sana menteri sini kita
Durian dan mentimun manakan sama