Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)

Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Jumaat, Januari 04, 2008
Menjelang Epilog: South - Sebelum Blog Ini Dibukukan

Assalamualaikum dan salam hormat,

Buat semua pembaca dan pengunjung. Jika ini kali pertama anda berkunjung ke blog saya, maka pastikan anda membaca pengumuman ini. Jika ini kali kedua, ketiga atau berkali-kali sudah, anda berkunjung ke blog saya, maka ini juga catatan yang paling penting di dalam blog ini.

Biar saya perkenalkan siapa saya. Nama saya Romantis Selatan. Juga dipanggil orang sebagai South. Pak Sinaganaga memanggil saya Roman. Kebanyakan blogger memanggil saya RS. Saya mengumumkan, blog ini sudah hampir tamat kisahnya. Berdasarkan perjanjian yang telah kami buat buat suatu ketika dahulu: segala isi kandungan di dalam blog ini akan disunting dan disatukan ke dalam sebuah novel, suatu hari nanti.

Sebelum novel itu terbit, akan ada 10 orang terpilih dari kalangan orang terdekat, yang akan meneliti isi kandungannya, gaya bahasanya, mesejnya dan sebagainya. 10 orang ini sama ada penilai secara sukarela atau penilai yang saya bayar kerana mencuri masanya. Mereka juga adalah orang-orang terpelajar, yang pernah memberi sokongan kepada saya sepanjang saya berada di dalam kesusahan. Mereka bukan sahaja orang Melayu, malah ada juga India dan Cina.

Mereka akan menilai tahap penulisan saya dan saya akan mengubahnya menjadi sebuah karya teragung pernah lahir dalam sejarah Melayu. Ini doa, doa orang yang teraniaya.

Dahulu saya tercari-cari dan tertanya-tanya, "Siapakah agaknya penulis yang paling layak untuk menulis buku ini?"

Kemudian, pada akhirnya, saya memutuskan bahawa orang yang paling layak untuk menulis buku ini pastilah seorang sahabat yang paling mengenali diri saya. Rakan seguru saya. Orang itu ialah Amiene Rev, seorang savant dalam bidang psikologi, yang juga dikenali sebagai Dragonizer. Pengasas Forum Akademik - Dragonizer's Forum yang kini sudah mencatat lebih 1 juta pengunjung.

Saya memilih Amiene Rev, kerana sepanjang tempoh ini, menerusi nama Dragonizer yang digunakannya, dia telah banyak membantu saya memulihkan semula semangat, memulihkan semula nilai-nilai kemanusiaan dan harga diri saya sebagai seorang anak, seorang manusia, seorang yang cuba untuk terus selamat dalam menghadapi bencana mental.

Mengenai penerbit pula, saya tidak mahu menunggu siapa pula yang patut menerbitkan buku ini. Bak kata, apa guna menaruh harapan, seolah-olah penerbit-penerbit itu Tuhan kepada penulis. Tidak kira syarikat apa pun, buku ini pasti akan diterbitkan juga. Terpulang kepada penerbit mana yang cepat menyatakan kesudiannya. Bak kata, sesiapa yang tahu menghargai, maka dialah yang akan mendapat. Siapa yang memandang rendah dan picisan, melambat-lambatkan balasan persetujuan, maka tertutuplah pintu untuknya.

Novel itu nanti bukan sahaja mengandungi kisah-kisah di dalam blog ini, tetapi, ada beberapa kisah lain yang tidak pernah saya ungkit di dalam blog ini. Kisah-kisah itu mengandungi rahsia-rahsia yang bergelumang antara keindahan dan kepahitan hidup, penuh teladan.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 2:35 PTG   0 comments
Carikan Penawar Untuk Emak 2

Salam Destiny,

Sejak semalam, saya dapati ada perubahan yang berlaku terhadap emak. Beberapa minggu lepas, emak melarang saya menyertai satu pekerjaan internet. Adik saya dan ayah turut menyertai pekerjaan tersebut. Emak menyuruh saya memberi tumpuan terhadap pelajaran. Maka saya menghabiskan kebanyakan masa saya dengan membaca dan mengkaji.

Namun, malam tadi, emak tiba-tiba bertanya kenapa saya tidak menyertai pekerjaan tersebut. Emak memberitahu saya, sekiranya saya berminat atau mahu mencuba pekerjaan tersebut, cuba sajalah. Lihat bukan? Inilah keanehan yang wujud pada ibu saya.

Destiny, apa pandangan awak mengenai perkara ini? Bagi saya, ini sudah tentu menguatkan lagi kepercayaan saya, bahawa emak saya sebenarnya sakit. Ada sesuatu yang tidak kena dengan emak. Penyakit emak inilah yang telah menyebabkan saya menderita dan serba salah.

Sekarang saya semakin memahami emak. Tulisan-tulisan saya di dalam blog ini seolah-olah sudah membentuk satu jalinan kehidupan. Seperti sebuah kisah yang membawa saya kepada jawapan yang sebenarnya. Siapakah emak yang sebenarnya?

Destiny, saya pernah beritahu awak, dahulu emak menyalahkan saya kerana saya mengikut cakap emak. Sebelum itu emak betul-betul berkeras mahu saya mengikut cakapnya. Saya sudah faham apakah penyakit emak saya. Saya benar-benar telah faham.

Jika ada satu soalan yang ingin saya tanya, saya ingin tanya kenapa semasa bayi saya dicampakkan ke lantai? Sekarang jawapan itu sudah hampir saya ketahui. Emak sakit. Emak pernah memberitahu dia susah hati semasa melahirkan saya, tidak lalu makan dan minum. Saya sudah faham sekarang, apakah penyakit yang sedang emak deritai. Sehingga saya selalu merasakan emak melayan saya tidak sama seperti adik-beradik yang lain.

Emak sedang sakit, dan saya pasti berharap saya akan dapat mengubati emak. Destiny, masa depan saya, di mana saya berjaya mengubati emak, adakah masa depan seperti itu?

Destiny, jika masa depan seperti itu tidak wujud, maka saya akan menciptanya! Suatu hari nanti, saya pasti akan menemui penawar untuk emak!

Label:

posted by Romantis Selatan @ 2:45 PG   0 comments
Selasa, Januari 01, 2008
Carikan Penawar Untuk Emak

Salam lagi Destiny,

Hari ini sahaja sudah tiga kali kita bertemu. Hari ini saya tidak puas hati. Kenapa emak masih marahkan saya?

Emak tidak pernah mahu mengaku salah. Jika dia mengaku salah pun, dia akan kata saya yang bersalah kerana membiarkan dia bersalah. Saya salah sebab ikut cakap dia.

Destiny, tidakkah perkara ini sungguh pelik? Kenapa adik-beradik saya yang lain semuanya tidak mahu mendengar cakap emak lagi? Emak saya sakitkah?

Barangkali emak saya sakit. Sebab itu, adik-beradik yang lain tidak mahu mengikut cakap emak. Kalau begitu selama ini saya pun sakit sebab ikut cakap emak. Saya ikut cakap emak yang tidak betul arahannya. Patutlah adik-beradik yang lain pun melawan cakap emak.

Destiny, saya harap saya akan temui penawar untuk emak. Sudah bertahun-tahun saya menderita kerana sikap emak. Emak asyik mengugut mengenai soal wang kepada saya, pada masa yang sama tidak benarkan saya bekerja.

Emak kata selepas bulan Februari tahun ini, maka terpulanglah kepada saya sama ada mahu terus belajar atau berhenti belajar. Emak tidak mahu peduli lagi. Emak tidak kisah lagi. Dia mahu gunakan duit itu untuk dirinya sendiri. Itu duit dia.

Destiny, sungguh menghairankan bukan? Abang saya yang sulung diberikan kereta, adik saya yang bongsu juga diberikan kereta, tetapi saya pula tidak diberikan apa-apa pun. Malah saya juga dilarang memandu kereta atau motosikal. Sehingga saya lupa kesemuanya. Kemudian satu hari emak meminta saya pergi membeli barang di bandar kerana ketika itu tidak ada orang yang boleh pergi membeli barang. Saya sudah lupa cara-cara memandu. Emak salahkan saya sebab tidak tahu memandu. Sedangkan dia lupa, dahulu semasa saya cuba hendak menyegarkan kembali kemahiran memandu, dialah yang paling kuat menegah dan melarang saya. Pelikkan?

Adik beradik saya yang lain memiliki barangan yang mahal-mahal, tidak pernah pula emak saya mengungkit. Emak marahkan saya kerana memiliki telefon bimbit. Adik saya membeli telefon bimbit bernilai 900 ringgit tidak pula dimarahi. Saya membeli telefon bimbit yang separuh harga lebih murah pula dimarahi.

Semasa kecil saya cuma mendapat pakaian abang-abang saya. Abang-abang, kakak-kakak dan adik saya mendapat pakaian baru. Saya tidak.

Saya pernah diejek oleh rakan-rakan sekolah kerana pakaian sekolah saya yang tidak seperti pakaian sekolah. Saya memakai seluar yang berwarna biru, tetapi seluar itu bukan seluar sekolah. Rakan-rakan sekolah kata, cikgu akan marah saya nanti tetapi cikgu-cikgu tidak pernah marahkan saya sebab pakai seluar tersebut ke sekolah.

Semasa sekolah rendah, saya berjalan kaki ke sekolah, berjalan kaki pulang ke sekolah. Saya melihat abang-abang dan kakak-kakak dihantar ke sekolah dengan kereta. Mereka semua turun dengan gembira menuju ke kelas masing-masing. Seolah-olah mereka bukan keluarga saya.

Adik saya pun bukan main bergaya. Kasutnya beberapa pasang. Malah ada yang tidak dipakai sebab terlalu mahal untuk dipakai, katanya. Emak tidak pernah bising-bising. Saya memakai pakaian yang sudah berbelas-belas tahun. Seluar sudah koyak dan dijahit semula. Sandal murah. Kasut pemberian ayah.

Abang saya pernah mencucuk saya dengan besi sehingga berdarah-darah. Menyebat saya dengan ekor pari yang dijemur di tengah panas. Emak tidak ambil peduli apabila saya mengadu kepada emak. Seolah-olah luka itu semuanya luka biasa.

Saya selalu lari ke hutan. Bermain dengan serangga dan binatang-binatang. Kucing. Musang pulut. Ayam. Arnab. Apabila melihat saya suka dengan arnab, ayah saya pun memelihara arnab. Arnab membiak dengan pantas. Kandang yang kecil tidak muat lagi. Apabila sudah besar arnab-arnab itu boleh dijual atau dimakan.

Apabila melihat saya suka ikan keli, ayah saya pun menternak ikan keli dengan banyaknya di dalam tangki di belakang rumah. Apabila ikan-ikan keli itu sudah besar, ikan keli itu pun sudah boleh dimakan. Semasa kecil tiga puluh sen seekor, apabila besar, harganya boleh mencapai beringgit-ringgit.

Saya suka menanam pokok tumbuhan. Apabila besar, pokok-pokok itu tumbuh dengan subur. Saya sukakan suasana alam semulajadi. Destiny, hutan, haiwan dan tumbuh-tumbuhan memberikan perasaan yang sungguh menarik. Kedamaian.

Abang gelakkan saya kerana sering bermain di dalam hutan. Saya paling suka dengan kucing. Semasa zaman kanak-kanak dulu, kalau kucing saya mati, saya akan berkabung. Tidak ada kucing bermaksud tidak ada lagi kawan di rumah.

Sekarang saya sedar ayah orang yang paling menyayangi saya berbanding emak. Kadangkala ayah tanya apa yang saya mahu, tetapi saya tidak mahu. Kadangkala saya cuma minta belikan puyuh goreng atau nasi beriani. Lain-lainnya saya bernasib baik sebab apabila bertemu dengan kawan-kawan ayah, kadang-kadang mereka akan berikan saya peralatan sukan yang tidak digunakan lagi.

Saya tidak pernah meminta apa-apa yang tidak berkenaan dalam hidup saya. Apa-apa yang tidak melibatkan akademik atau untuk kegunaan akademik. Dalam keluarga saya, saya seorang yang tidak memiliki kereta. Adik beradik yang lain semua ada kereta. Saya tidak pun minta emak belikan kereta atau apa-apa. Saya terkejut, ketika emak sering mengugut saya mengenai soal ketiadaan wang, adik saya pula dibenarkan memiliki kereta. Sedangkan saya, jam tangan pun saya jahit sendiri talinya. Ayah saya pernah bertanya, kenapa tidak pakai jam tangan? Ada jam tangan atau tidak? Saya cuma pakai jam tangan apabila hendak ke dewan peperiksaan. Sebab ketika itu telefon bimbit tidak dibenarkan dibawa masuk ke dewan.

Kenapa, emak sering salahkan saya? Kenapa semasa kecil dulu, semasa masih bayi, saya dicampakkan ke lantai?

Benci benarkah emak kepada saya? Kenapa?

Destiny, bagaimana rupanya masa depan itu? Masa depan itu semuanya akan bertukar menjadi masa kini, dan masa kini itu semuanya akan bertukar menjadi masa silam.

Saya ingin sekali mengetahui, apakah rupa masa depan itu? Destiny... bagaimana rupa masa depan itu?

Saya ingin melihat masa depan, di mana, ketika itu saya membawa penawar, mengubati emak saya. Biarpun dengan nyawa saya, saya mahu mengubati emak. Supaya emak tidak benci saya lagi. Supaya emak tidak marah saya lagi...

Destiny, adakah masa depan semacam itu untuk saya?

Label:

posted by Romantis Selatan @ 11:21 PTG   0 comments
Mulut Emak

Salam Destiny,

Kali ini aku atau saya? Saya? Baiklah saya. Hari ini, saya rasa saya telah buat satu kesalahan. Saya tidak patut memaklumkan mengenai hal akademik kepada emak saya. Entah kenapa, hari ini saya memberithau emak saya, mengenai jadual kelas kuliah saya.

Emak saya membebel lagi. Dia tidak pandang pun kebaikan atau apa-apa hasil yang baik, yang telah saya capai. Barangkali hari ini saya kelihatan agak gembira, jadi dia mengambil peluang ini untuk menyerang emosi saya lagi.

Saya berasa sangat sedih kerana emak saya mengungkit hal-hal silam. Saya tidak suka mengingati masa silam itu. Emak saya seolah-olah memekakkan telinga dengan segala perubahan baik yang telah saya capai pada masa kini. Emak saya marahkan saya kerana saya memintanya supaya tidak mengungkit hal-hal silam. Dia kata saya melawan cakapnya.

Ya, memang benar. Bagaimana seorang anak yang telah berusaha untuk menunaikan hasrat ibunya, berusaha untuk menjadi lebih baik, dan kemudian apabila sudah menunjukkan hasil yang baik, tetapi masih tidak dihargai ibunya?

Sejak zaman kanak-kanak lagi, hingga sekarang, saya selalu dijadikan mangsa seperti ini. Emak saya tidak pernah menghargai bakat saya. Dia akan melontarkan kritikan yang tidak membina, melemahkan semangat saya. Dia ingin menunjukkan bahawa dia tidak pernah menyokong apa-apa perkara baik yang saya capai. Benarkah saya ini dahulu bayi yang dicampakkan ke lantai seperti kata pengasuh saya dahulu? Destiny, adakah awak menyaksikan kisah itu dahulu?

Ayah saya cuma mendiamkan diri. Pergaduhan ini tidak pernah selesai, dan selalunya emaklah yang mencetuskannya. Setiap saat gembira dan bahagia akan dimusnahkan sekelip mata.

Destiny, sampai begitu benci dia kepada saya? Atau adakah segala-gala ini adalah dirancang. Masa depan saya, cita-cita saya bukan saya yang tentukan. Ini semua adalah kehendak emak. Dia yang mahu saya mengambil bidang ini. Sedangkan kaunselor sekolah tidak menggalakkan, malah pernah memberi cadangan supaya jangan ambil bidang seperti ini. Emak saya marahkan kaunselor itu.

Baru-baru ini seorang tokoh motivasi yang sangat terkenal bercakap sesuatu di televisyen. Kalau disebut nama tokoh motivasi itu pasti semua orang kenal. Kata-kata itu kena benar dengan emak saya. Emak saya tidak senang hati dengan kata-kata tokoh motivasi itu. Seperti kata orang, siapa yang termakan cili, dialah yang terasa pedasnya. Emak saya berlalu pergi sambil marah-marah. Marah dengan kaunselor tersebut. Mengutuknya. Saya cuma dapat tersenyum pahit.

Destiny, kenapa ya, kenapa ya emak saya bersikap begitu? Dia menafikan kepandaian orang lain. Dia mahu orang dengar cakapnya saja biarpun kata-kata itu tidak benar. Saya sudah puas melihat pergaduhan dalam keluarga ini. Namun sekarang ayah saya sudah bijak mengawal diri. Dia tidak akan melibatkan diri dalam pergaduhan yang tidak bermakna lagi. Apabila emak saya memanaskan telinga setiap ahli keluarga, dia akan mendiamkan diri.

Emak saya satu-satunya yang masih bekerja. Dia akan berpencen tidak lama lagi. Dia sangat tertekan kerana saya belum tamat pengajian lagi. Dia asyik bercerita mengenai kata-kata orang lain kepada saya. Segala kesalahan semuanya dilontarkan kepada saya.

Kesalahannya kerana dia yang menetapkan cita-cita saya dulu juga dicampak kepada saya. Dia kata, kenapa dulu ikut cakap dia. Kenapa tak jadi macam adik-beradik yang lain. Mereka semua melawan. Mereka semua tak ikut cakap dia. Saya disalahkan kerana ikut cakap emak. Emak saya memang suka bergaduh. Saya tidak faham kenapa boleh ada manusia yang aneh seperti ini.

Destiny, bagaimana agaknya rupa masa depan? Apakah yang akan berlaku antara saya dengan emak saya pada masa depan?

Emak saya asyik mengugut saya. Mengugut tidak dapat menanggung saya. Pada masa yang sama dia melarang saya daripada bekerja sebab dia mahu saya tamat pengajian. Ugutan jenis apakah ini? Walau pun ada peningkatan sekali pun, dia akan tetap mengugut saya.

Emak saya pandai melakukan provokasi. Pandai mencari konflik. Apa-apa perkara yang boleh mencetuskan pergaduhan itulah yang akan diungkitnya, biarpun perkara itu telah berlalu. Seperti melepaskan geramnya kepada saya. Melepaskan tekanannya kepada saya.

Destiny, kalau boleh saya tidak mahu bercakap atau berdepan dengan ibu saya lagi. Nilai kemanusiaan dalam diri saya semakin merosot apabila berdepan dengan emak. Seolah-olah benar dan salah itu tidak ada batasnya lagi. Bercampur aduk. Seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul.

Abang-abang dan kakak-kakak saya dahulu bernasib baik kerana dapat mengelakkan diri dari hal ini. Mereka semua berakhir dengan satu keputusan yang sama. Melawan arahan emak saya, mencipta jalan hidup sendiri. Sekarang mereka semua sudah bekerja dan ada wang sendiri, walau pun ada yang tidak puas hati dengan sikap emak. Sejak ada wang sendiri, mereka sudah boleh menetapkan hal-hal sendiri, walau pun kadangkala emak ada cuba untuk masuk campur.

Kalau saya mempunyai wang, dan pekerjaan, dan boleh menanggung pengajian saya sendiri, pasti saya juga akan dapat menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa lepas geram emak. Emak saya kalah dengan kakak saya. Kakak saya yang sudah bekerja itu menegurnya supaya berfikir positif sebelum mengatakan sesuatu yang tidak baik. Emak saya tidak dapat berkata-kata lagi untuk memenangkan dirinya.

Kalau saya ada duit, pasti saya juga boleh melepaskan diri dari kongkongan emak, tetapi emak tidak benarkan saya bekerja. Jadi, adakah emak saya sengaja melarang saya daripada bekerja dan pada masa yang sama mengugut saya dengan soal-soal kewangan? Dia mahu saya melawan cakapnya. Bukankah begitu, Destiny?

"Kalau orang kata aku jahat, aku lebih jahat lagi." Emak saya selalu mengulang percakapan ini dahulu.

"Aku yang tanggung engkau. Bukan kaunselor tu yang tanggung engkau. Dia yang keluarkan duit. Kenapa engkau nak ikut cakap dia, bukan cakap aku?" Emak saya lupa, dia bukannya kaunselor yang tahu selok belok kerjaya dan kecemerlangan akademik.

Emak saya juga marah dengan Penasihat Akademik yang membantu saya. Apa yang betulnya mengenai emak? Dia sekejap-sekejap menyesal, tetapi lama kemudian dia kembali ke watak asalnya.

Apakah emak saya suka bermain watak jahat, Destiny? Kenapa dia suka berlagak seperti antagonis? Dia mahu saya melawan cakap diakah? Dia mahu saya mengikut jejak abang-abang dan kakak-kakak sayakah? Barangkali, abang-abang dan kakak-kakak saya mengambil tindakan yang betul apabila melawan cakap emak. Saya dapati, kakak saya yang paling tua itulah yang paling senang lenang hidupnya kini, sebab dialah yang paling kuat melawan cakap emak. Dia tidak mahu emak mengatur masa depan hidupnya, keputusannya.

Apa yang paling saya ingat ialah bagaimana kakak saya itu menangis semasa tidak dibenarkan masuk ke sebuah sekolah elit, kerana ibu bapa saya tidak yakin dia dapat masuk. Borang itu tidak diluluskan biarpun kakak saya sebelum itu dengan gembiranya membawa borang itu pulang. Kesedaran itu melahirkan pemberontakan. Dan sejak itu kakak saya tidak mengikut kata-kata emak lagi, dan dia paling berjaya kini.

Apa yang perlu saya putuskan, Destiny? Apakah tindakan yang sewajarnya? Saya perlu mendapatkan wang dengan kadar segera. Supaya, apabila ibu saya berpencen nanti, saya tidak akan perlu berhenti belajar. Senyap-senyap. Senyap-senyap tanpa diketahui emak, saya perlu mencari duit sendiri mulai saat ini.

Tanpa duit untuk memiliki motosikal. Tanpa duit untuk memulakan modal perniagaan. Terikat dengan jadual belajar. Pekerjaan yang tidak boleh diheboh-hebohkan atau tidak boleh dilihat oleh orang lain. Supaya tidak ada satu pun berita akan sampai kepada emak.

Pekerjaan apakah itu, Destiny?

Label:

posted by Romantis Selatan @ 7:17 PTG   0 comments
Independent Study

Salam Destiny,

Semalam dan beberapa hari lepas, saya ada cuba menyelesaikan masalah yang entah wujud, entah tidak. Cuba teka, masalah apa agaknya yang menimpa saya, Destiny?

Ya. Sebenarnya ada satu subjek yang sudah sekian lama, tidak wujud dalam pangkalan pendaftaran subjek. Saya cuba mendapatkan kelulusan untuk subjek tersebut semester ini.

Tadi? Ya, ada lagi, tetapi masih tidak boleh lagi. Susah benar hendak menghubungi TD. Cuma dia yang tahu status sebenar saya. Sama ada dapat ambil atau tidak dapat ambil subjek tersebut, buka semester nanti.

Nanti saya cuba lagi. Sepatutnya boleh, tapi saya rasa tak perlulah bimbang sangat. Cuma, keadaan semakin menekan lagi. Saya mesti cuba dapatkan subjek tersebut untuk semester dua ini. Mustahil tak dapat, sedangkan subjek itu melepasi syarat untuk belajar secara independent.

Kerani itu memberitahu bahawa TD akan menelefon saya. Sudah beberapa kali saya menghubungi TD tetapi tidak ada. Cuma ada setiausahanya sahaja.

Esok pula Tahun Baru. pejabat entah buka, entah tidak. Selamat Tahun Baru, Destiny.

Tahun 2007 sudah menutup tirainya. Apa-apa yang ada dalam tahun itu sudah, tidak bermakna lagi. Cuma derita, kesunyian dan... elok dilupakan saja segala pengalaman yang ______ itu. Apa maknanya untuk diingati semua itu?

Saya ini bagaikan tidak ada masa depan. Yang ada cuma masa kini. Destiny, bagaimana rupanya masa depan itu? Saya ingin tahu...

Apa kata pada masa akan datang kita ber-aku-kau pula?

Label:

posted by Romantis Selatan @ 3:05 PG   0 comments

© 2006 Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)
Main title designed by Amiene Rev from Brotherhood of The Dragon
No part of the content or the blog may be reproduced without permission.
Original Blogger Templates by GeckoandFly.

 


 

 



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Novel Kesayangan Saya


Web This
Profil Penulis


Nama: Romantis Selatan
Lokasi: Malaysia
Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini. Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya... Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang. Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan.
Maklumat Lanjut

Yang Sudah-sudah
Arkib
Jaringan Blogger
Mesej Pengunjung

Affiliates

Powered by Blogger
make money online blogger templates
Best Malaysian Sites