Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)

Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Isnin, Disember 31, 2007
Kisah Bapa Yang Tidak Berminat Dengan Harta Pusaka Peninggalan Nenek

Salam Destiny.

Destiny, malam tadi keluarga saya didatangi seorang saudara, saudara kepada ayah saya. Dia meluahkan rasa geramnya kepada seorang lagi saudara, saudara sulung kepada ayah saya. Mengenai harta pusaka yang diamanatkan kepada salah seorang saudara, saudara yang lebih muda daripada ayah saya tetapi lebih tua daripada dia, saudara yang datang kepada ke rumah saya pada malam tadi. Jadi, siapakah saudara yang datang ke rumah saya pada malam tadi? Bolehkah awak beritahu saya, Destiny, siapakah dia?

Bijak, Destiny, awak memang bijak. Jika petikan di atas pun awak boleh memberikan jawapan yang tepat tanpa was-was, maka tidak sia-sialah saya bertemankan awak, Destiny. Awak dapat memahami perkataan-perkataan saya. Awak kenal apa itu harta pusaka?

Ya, Destiny. Harta pusaka ialah barang-barang peninggalan orang terdahulu kepada warisnya. Saudara-saudara ayah saya berebutkan harta, termasuk harta yang sepatutnya menjadi milik ayah saya. Orang yang datang ke rumah saya pada malam tadi, adalah adik bongsu kepada ayah saya. Dia mengadu mengenai sikap abangnya yang sulung dan lain-lain yang tidak amanah dan tidak adil dalam pembahagian harta pusaka.

Ayah saya sudah tidak begitu peduli mengenai harta pusaka itu. Sebab, ayah saya sudah ada harta sendiri, dan tidak mahu bergaduh dengan adik-beradik yang lain. Destiny, kadang-kadang saya rasa bangga dengan ayah saya. Saya rasa gembira sebab ayah saya tidak gilakan harta. Antara adik-beradik ayah, ayahlah yang paling berilmu dan berpelajaran. Boleh kata, ayah saya ini, yang paling cerdik berbanding adik-beradiknya yang lain. Bila memikirkan cara adik-beradik ayah yang lain berfikir, saya rasa mereka terlalu, kurang pengetahuannya.

Ya, Destiny, adik bongsu ayah pernah tinggal dengan ayah semasa dia bersekolah di bandar. Sebab itu dia rapat dengan ayah.

Ya, memang benar, Destiny. Adik ayah pernah menumpang di rumah ayah dahulu. Adik ayah juga rapat dengan anak-anak ayah. Suami adik ayah bekerja di rumah kebajikan. Tolong orang-orang tua, anak-anak istimewa dan sebagainya. Nampaknya, Destiny, awak tahu banyak mengenai keluarga saya.

Ayah tidak pernah berkira dalam membantu adik-beradik yang lain. Ayah seboleh-bolehnya mahu mengelakkan pergaduhan antara adik-beradik. Apabila adik ayah mengadu mengenai soal harta pusaka itu lagi, ayah cuma mendiamkan diri.

Ayah menerangkan, bukan salah saudara sulung juga. Ini semua gara-gara isteri kepada abang sulung ayah yang suka menghasut. Isteri sulung kepada ayah sungguh bijak bermulut. Anak-anak kepada saudara sulung tidak pernah memberi wang kepada saudara sulung ayah, sebaliknya memberi wang kepada isterinya. Isterinya pula tidak pernah memberi wang tersebut kepada saudara sulung ayah. Sudah lama perkara ini berlanjutan.

Soal pembahagian harta yang tidak adil itu pula, adik ayah bimbang jika-jika abang ayah dan adik-beradik ayah yang lain susah atau diaibkan semasa hendak mati nanti kerana menelan harta pusaka yang tak sepatutnya menjadi miliknya. Ayah berdiam diri. Adik ayah juga kecewa sebab abang ayah mengambil wang sewa rumah yang telah diwariskan kepada adik ayah dalam diam-diam. Adik ayah juga tidak puas hati sebab salah seorang adik-beradik ayah menjual barang-barang kemas milik nenek untuk kegunaan modal perniagaannya sendiri.

Ayah, ayah tetap tidak kisah. Ayah, ayah tetap tidak peduli. Ayah tidak mahu bergaduh dengan adik-beradik yang lain. Adik ayah pula selalu membuka kisah ini di depan keluarga kami. Tidak puas hati. Ayah kata, yang bermasalah itu isteri abang ayah. Dia yang menghasut abang ayah supaya merebut harta adik ayah dan harta milik adik-beradik ayah yang lain. Isteri abang ayah disokong kuat oleh anak-anaknya, terutama anaknya yang ketiga. Anaknya yang ketiga itu pernah menolak nenek sehingga berdarah dahi kerana terhantuk di dinding. Tahukah Destiny, betapa marahnya aku apabila mendengar kisah itu dahulu. Semasa kecil, neneklah yang menjaga saya. Nenek anggap saya seperti anaknya. Namun itu kisah dia semasa masih muda, semasa kematian nenek, beberapa hari selepas itu, anak ketiga abang ayah menangis dan mencium dahi nenek sambil meminta maaf. Anak ketiga abang ayah itu penyokong kuat isteri abang ayah.

Betul. Destiny, nampaknya awak pun fikir semacam itu? Saya setuju dengan awak: apabila memilih isteri, kita perlu cerewetkan? Doakan saya agar tidak mendapat isteri yang semacam itu. Isteri yang gilakan harta dan tamak. Membawa derita kepada adik-beradik orang lain.

Sekurang-kurangnya, Destiny, saya ada ibu dan ayah yang tidak gilakan harta pusaka. Kadangkala saya marahkan mereka kerana peristiwa pada lapan tahun yang lalu itu, tetapi setiap orang pun ada kebaikan dan keburukannya. Ketika kita kecewa dengan ibu bapa kita, cuba teliti kebaikannya pula. Sekurang-kurangnya dapat mewujudkan rasa bersyukur.

Destiny, hujan makin lebat di luar rumah. Kita tamatkan perbualan kita di sini.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 12:19 PTG   0 comments
Ahad, Disember 30, 2007
Kau Ingin Tahu Bagaimana Rasanya Hidup Tanpa Masa Depan? Kau Baca Ini, Tapi Kau Takkan Faham

Aku tidak ada zaman remaja sebaik rakan-rakanku yang lain. Ah, aku sudah bosan dengan perkataan aku. Sudah lesu. Bagaimana jika kali ini aku menggunakan perkataan saya pula, aku ingin buat suatu pembaharuan. Seboleh-bolehnya, biar apa yang aku tulis kali ini, dapat menghiburkan hati aku sendiri. Siapa lagi yang dapat menghiburkan diri aku, selain aku dan blog aku? Aku tidak pasti sama ada blog aku ini jantan atau betina.

Ini blog saya. Saya tulis kisah hidup saya. Kisah hidup saya tidak menarik macam kisah hidup awak yang membaca kisah hidup saya. Hidup saya penuh dengan perasaan benci, dendam, geram, marah dan memberontak.

Awak rasa awak boleh faham apa yang saya rasa selepas awak baca apa yang saya tulis ini? Berat mata memandang, berat lagi hati yang menderita. Macam mana awak boleh senang-senang kata hidup saya ini sama macam hidup orang lain? Maaf, maaf kalau saya menuduh awak begitu.

Hidup saya tidak semudah seperti yang awak sangkakan. Saya cuba lalui hidup saya dengan sedaya upaya saya. Saya tidak harap belas simpati awak semua. Saya menulis di sini sebab saya rasa saya perlu luahkan sesuatu yang termuntah dalam jiwa saya. Loya, jijik dan lagi, menyakitkan hati saya.

Saya tidah tahu di mana silap saya sehingga saya ditakdirkan jadi begini. Namun, saya sedar ibu bapa saya lebih menderita berbanding saya. Mereka yang mengeluarkan duit untuk saya. Mereka susah kerana saya. Dahulu mereka bercerai pun kerana bergaduh soal saya. Saya yang menyebabkan mereka berpecah belah. Sehingga sekarang, apabila melibatkan soal anak-anak, mereka pasti akan bergaduh lagi. Salah menyalahi sesama mereka.

Sebenarnya, saya sedikit pun tidak suka bercakap soal ini. Kepada siapa lagi saya nak luahkan semua ini. Mr. Bloggie. Saya tidak tahu dari mana datangnya istilah Mr. Bloggie. Tapi Mr. Bloggie, saya rasa awak ini adalah sejenis siput. Saya tidak pasti awak ini male atau female.

Patutkah saya panggil awak Mr. Bloggie. Apa kata jika saya panggil awak Buddy? Yea, you're my buddy. Teman untuk saya berbicara.

Baiklah Mr. Bloggie, mulai hari ini, saya panggil awak Buddy. Oh, awak ada nama lain. Destiny? Baiklah. Destiny itu sama maksudnya dengan takdir. Kebetulan pula, saya sedang menulis surat untuk takdir.

Awak adalah Destiny. Awak adalah buddy saya. Teman bicara saya. Awak kawan saya sekarang. Tapi, cukuplah untuk hari ini. Saya tidak ada sesiapa lagi yang boleh saya bawa berbicara. Cuma awak sahaja, Destiny.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 2:58 PG   0 comments
Selasa, Disember 11, 2007
Jangan Jadi Seperti Keluarga Kami - Diambang Kemiskinan - Kini Kaya Derita

Bahang kemiskinan semakin dirasai dalam keluarga ini. Demi menyimpan duit untuk membayar yuran pengajianku, makan minum keluargaku seakan-akan tidak bermakna lagi. Ayahku cuma bergantung pada wang pencen.

Nampaknya ke mana-mana aku pergi, masalah seperti ini pasti timbul. Abang iparku tidak menyenangi kehadiranku di rumahnya tempoh hari, juga kerana masalah yang sama. Di sana, kami cuma makan sehari sekali, dan kadangkala dua hari sekali. Aku tidak mahu membebankan mereka, jadi aku membeli barang-barang makanan untuk dimasak sendiri.

Sekarang di rumah ibu bapa aku juga, masalah yang sama turut dirasai. Kadangkala untuk tengah hari, keluarga kami sekadar mengisi perut dengan roti. Sekarang musim hujan, ayahku mengutip ubi kayu di belakang rumah. Aku tidak dibenarkan bekerja, sebaliknya diminta menumpu perhatian terhadap akademikku.

Kewujudan aku sendiri sudah cukup mengaibkan keluarga ini. Dengan sesiapa sahaja aku berinteraksi pasti akan mendatangkan kesan yang buruk. Pergaulanku dengan manusia adalah umpama detik-detik hitam, kegelapan tanpa masa depan.

Apabila mereka menemuiku, pasti mereka akan bertanya mengenai diri aku, apa yang aku lakukan sekarang, pencapaianku dan seumpamanya. Sukar untuk mengelakkan diri daripada pertanyaan seperti ini. Maka aku lebih baik hidup dalam kesunyian. Tidak ada sesiapa pun akan berasa aib, sama ada aku atau keluargaku.

Aku cukup tidak menyenangi sikap jiranku. Mereka anak beranak sering memasang telinga. Apabila mereka mengetahui aku berada di ruang depan rumah, mereka akan mencuri-curi dengar perbualan aku dengan keluargaku, terutama antara aku dengan ibuku. Sedangkan apabila aku keluar, mereka dengan gaya sombong dan menghina, berlagak di depanku. Semasa kejayaan melingkari kehidupan keluarga ini, merekalah yang datang meminjam pelbagai barang-barang dan kadangkala tidak memulangkannya. Sekarang, keluarga ini sudah tidak dihargainya lagi.

Aku rasa, aku tidak lagi memiliki masa depan. Juga, tidak ada masa silam. Masa silamku cuma dipenuhi dengan rasa kebencian, dendam, dosa dan kehinaan. Masa depanku sudah lama musnah. Aku tidak perlu fikir mengenai masa depan. Segala cita-cita tidak pernah dapat kucapai. Aku cuma ada masa kini dan kemudian aku akan kehilangannya.

Keluarga ini mementingkan penderhakaan. Ibuku menjadikan kakak dan abang-abangku sebagai contoh. Mereka berjaya melepasi halangan kerana tidak mahu mendengar percakapannya. Aku menyesal menjadi anak yang taat. Ketaatan adalah punca segala penderitaan. Ibuku memarahiku kerana mendengar percakapan dan arahannya. Kenapa aku tidak melawan cakapnya dulu? Kenapa aku tidak berkeras untuk memilih haluanku? Persoalan ini, telah ibuku lontarkan kepadaku.

Berjaya melepasi halangan? Ayahku tidak berasa senang hati dengan pekerjaan yang dilakukan oleh kedua orang abangku. Abangku yang sulung gajinya kecil, kerjanya juga tidak tetap. Abangku yang kedua, jarang-jarang dapat pulang bercuti. Kerjanya juga tidak tetap. Abang sulungku hidup dalam keadaan yang tidak mempedulikan masa depan dan dalam keluarga ini dia dianggap sebagai pesakit mental. Sering bercakap seorang diri. Dia tidak pernah pulang ke kampung biarpun pada hari raya, untuk bertemu dengan sanak saudaraku lagi, kerana merajuk yang panjang. Barangkali dia cukup malu dengan keadaan dirinya sekarang.

Abang keduaku, pekerjaannya tidak begitu disenangi oleh ayahku. Kadangkala bekerja sehingga ke pagi. Susah untuk mendapat cuti. Kadangkala baru sahaja balik bekerja, sudah perlu pergi ke tempat kerja yang lain pula. Walaupun sudah memiliki ijazah dalam bidang yang lain, ijazah itu sudah tidak bermakna. Keterpaksaan telah dilawan. Abangku memilih untuk mencari kerja yang paling hampir dengan minatnya, tetapi itu bukan kerja yang disukainya. Sekurang-kurangnya mereka berdua telah dapat menjana kewangan sendiri selepas hampir satu dekad mengharungi penderitaan akademik. Aku juga sedang melalui apa yang mereka lalui. Ini takdir dalam keluarga ini. Mereka berdua tidak dapat apa yang mereka kehendaki, dan kini terikat dengan pekerjaan yang tidak stabil waktu bekerjanya, dan pekerjaan ini bukan pekerjaan yang mereka sukai juga. Ibu bapaku pula bersusah hati kerana anak-anak mereka sukar pulang untuk menemui mereka.

Penderhakaan, jika demikian, aku harus menderhaka tetapi Tuhan pasti akan lebih murka. Tetapi aku rasa lebih baik aku menderhaka, kerana apa yang telah aku lalui sudah menjadi takdir. Barangkali sudah takdirnya aku harus menderhaka. Cuma dengan penderhakaan baru dapat aku menjadi orang yang disenangi dalam keluarga ini.

Tuhan pasti akan mencampakkan aku ke dalam neraka. Kalau begitu Tuhan, biarlah aku seorang sahaja yang muat di dalam neraka itu. Jangan ada orang lain yang disumbatkan ke dalam neraka itu. Biar aku sorang yang memenuhinya.

Kalau begitu, kematian itu juga tidak ada bezanya lagi dengan kehidupan. Aku memiliki kuasa untuk menentukan kematianku sekarang. Jika aku membunuh diri sekarang aku juga akan ke neraka. Jika aku terus hidup dalam penderhakaan, kelak aku juga akan mati dan menuju ke neraka.

Hari ini akan menjadi masa silam. Dan masa silam itu selalu dipenuhi kebencian, dendam, dosa dan kehinaan. Segala-galanya cuma membawa aku kepada penyesalan.

Label: ,

posted by Romantis Selatan @ 2:26 PTG   1 comments
Sabtu, Disember 08, 2007
Sebelum Bercita-cita Menjadi Sasterawan, Cita-citaku Adalah Seorang Saintis

Selama beberapa minggu itu, aku hinggap di rumah kakak dan abang iparku. Namun kehadiranku tidak disenangi abang iparku. Soal privasi barangkali? Satu lagi, soal kewangan. Aku tahu, dengan status manusia tidak bekerja, aku cuma akan membebankan kewangan keluarga ini. Selepas menyelesaikan beberapa tugasan berkaitan pendaftaran akademik, aku memutuskan untuk pulang juga.

Aku terpaksa pulang juga, dengan berat hati. Aku tahu, hati aku bakal disakiti ibuku. Juga aku tahu betapa kesalnya ayahku apabila kawan-kawan aku menegurku di masjid, dengan kisah-kisah kegemilangan mereka hari ini. Sebentar tadi, di masjid, aku menemui seorang sahabat lama. Dia telah bekerja sejak tiga tahun lalu.

Cerita mengenai kawan aku ini, menyebabkan kekesalan ayahku. Kesal kerana suatu ketika dahulu, dia dan ibuku yang menyebabkan aku terpaksa melalui kegelapan selama beberapa tahun.

Dahulu, keluarga ini berlagak. Menghina diploma dan bidang-bidang mudah. Aku dijadikan ayam sabung. Simbolik kemegahan keluarga. Sekarang mereka kesal dan sering berkonflik, malah pernah melalui perceraian. Mujurlah perceraian itu cuma seketika.

Sejak itu, aku tidak suka lagi pulang ke rumah. Kehadiranku bagaikan tidak lagi diterima. Ibuku sering menyakiti hatiku. Berbanding adik beradikku yang lain, aku sering dianak-tirikan.

Dalam keluarga ini, penderhakaan itu satu kemestian. Ibu aku menyalahkan aku kerana taat, mengikut telunjuknya semasa membuat pilihan ke universiti. Sedangkan sebelum itu aku memberontak menentangnya. Kakak dan abangku dijadikan contoh, kerana mereka sering mengingkari arahan ibuku. Mereka berjaya kerana mereka tidak menurut telunjuk ibuku. Sedangkan sebelum itu, mereka dimarahi berkali-kali.

Adakah ibuku sukakan penderhakaan? Atau tidak mahu mengakui kesalahannya?

Apa pun kesalahan pasti akan dijatuhkan kepadaku. Kegeraman di pejabat juga akan dilepaskan kepada aku. Sejak aku kanak-kanak hingga sekarang. Barangkali benar kata ibu aku. Dia jahat. Kalau orang kata dia jahat, maka dia adalah lebih jahat daripada itu.

Aku pulang ke rumah beberapa hari lalu. Mengemas bilikku yang sudah bersawang. Tapak kakiku hitam memijak debu-debu. Nyamuk, labah-labah sudah bersarang dalam bilikku. Di atas meja, hadiah-hadiah penghargaan yang diberikan kepadaku oleh rakan-rakan sekerja dahulu, sudah berdebu. Aku mencuci satu persatu.

Aku juga menemui kad jemputan kahwin dan, oh ya, kad hari raya daripada Kak Aina Emir. Tidak pula aku dimaklumkan akan kad ini semasa keluargaku pulang ke rumah nenek tempoh hari. Buku Kau Laksana Bulan dengar khabarnya sudah 8 kali diulang cetak. Judul klasik yang mencatat jualan yang sungguh memeranjatkan, ulas sebuah akhbar tempatan.

Aku semester ini, berjaya mencatat satu pencapaian yang paling baik dalam hidupku. Semua ini adalah kerana bantuan seorang sahabat. Namanya, Dragonizer. Dia adalah menulis di sebuah blog. Kami belajar menulis bersama-sama. Salah seorang guru kami adalah Haji Sasman bin Yasir, seorang bekas editor di Dewan Bahasa dan Pustaka. Dia menggunakan nama pena Duke Amiene Rev. Sibuk benar dia menguruskan soal-soal akademik.

Aku tahu dia hendak membantu aku. Terima kasih, Amiene Rev. Aku mendapat keputusan yang paling baik dalam sejarah hidupku untuk satu subjek matematik. Ada dua subjek. Satu lulus dan satu gagal. Namun gred yang baik untuk satu subjek itu, barangkali adalah perkara yang paling menggembirakan dalam hidup aku. Belum pernah aku merasai keputusan sebaik itu. Sahabatku ini, mengalami depresi kerana menguruskan program ini. Dia sebenarnya bukan sahaja ingin membantu aku, tetapi pelajar-pelajar yang lain juga. Tugas ini amat berat dan mencabar. Lebih-lebih lagi beliau turut terlibat dalam projek penulisan tesis untuk mengajar orang dewasa. Sekarang aku pasti dia sangat sibuk. Aku mengunjungi blognya, tidak ada update terkini. Entri terakhirnya berbaur depresi. Pasti program ini memberi impaks yang besar terhadap emosinya.

Tetapi, dia telah berjaya. Biarpun satu lulus dan satu gagal untuk aku, tetapi yang lulus itu sangat berharga, kerana grednya. Bermakna aku sudah melakukan lompatan saujana dalam pencapaian akademikku.

Tetapi, yang gagal itu, amat menyakitkan hati. Kerana itu, aku tidak berani pulang. Ibuku tidak menyenangi satu gred yang gagal itu. Bermaksud aku harus menambah satu semester lagi. Lalu di rumah ini tidak ada ketenangan lagi.

Bilik yang bersawang itu, aku mengambil beberapa hari mengemasnya. Terlalu berat debunya. Aku masih penat selepas perjalanan jauh dari selatan. Balik saja, terus mengemas bilik. Sempat solat subuh di masjid bersama ayahku. Seorang pakcik kelihatan serius mukanya ketika bersalaman denganku. Pasti dia menyoal di dalam hati, "Awak ni bila nak habis belajar?"

Suasana di kampung tidak begitu ceria lagi. Aku rasa seolah-olah tidak diterima lagi. Kampung ini bukan tempat untuk aku menenangkan fikiran. Jeritan ibuku apabila memarahiku, kedengaran sampai ke rumah jiran. Memalukan aku. Semuanya gara-gara berita buruk mengenai keputusan akademik. Kecemerlangan yang kuperolehi dalam subjek selain matematik tidak pernah disebut-sebut lagi. Tidak bermakna apa-apa lagi.

Aku mengemas bilik seperti orang yang sudah hilang ingatan. Kebencian dan dendam terhadap masa silam hingga kini, seolah-olah meragut segala memori. Aku bagaikan tidak ingat apa-apa lagi. Sudah lupa dengan segala penderitaan. Barangkali aku sudah lali, pasrah dengan apa yang berlaku. Barangkali aku sudah jemu mengingati dendam-dendam lama ini. Dendam terhadap kegelapan selama lebih tujuh tahun ini. Aku sangat berdendam dengan tujuh tahun yang sia-sia ini.

Aku terus mengemas bilikku. Membersihkan barang-barang yang masih baik dan yang sudah rosak. Menghalau serangga-serangga keluar dari bilik.

Aku membuka laci. Membuang barang-barang yang sudah rosak. Buku-buku yang sudah tidak boleh dibaca lagi. Lama sangatkah aku tinggalkan bilik ini?

Kemudian aku menemui sesuatu. Buku yang dibalut dengan kemas. Tersorok antara buku-buku yang lain. Berkeadaan baik. Tahun 1995. Buku itu tertulis:

"Kajian Mengenai Matematik" - Penulisnya adalah aku!

Aku membelek-belek lagi. Tiba-tiba aku rasa diri ini seolah-olah Adiputra. Buku ini ditulis semasa zaman kanak-kanakku. Aku juga melihat beberapa lukisan mekanikal yang aku lukis sendiri. Cita-cita, saintis!

Rupa-rupanya, aku pernah bercita-cita untuk menjadi seorang saintis! Buku ini sudah amat lama tersimpan. Sudah lebih 12 tahun. Aku meneliti lagi. Ah, ini...

Aku terkejut. Rasa gementar, gembira dan terharu. Sebuah buku...

kerana buku ini, aku ingin jadi seorang sasterawan,
kerana buku ini, aku bercita-cita mahu menjadi penulis,
ini semua, adalah karya-karya yang terselamat.

Aku masih menyimpannya, aku tidak sangka! Kenapa baru sekarang aku menemuinya? Rupa-rupanya buku-buku ini semuanya disorok! Tidak dimusnahkan! Kerana sudah cukup lama aku meninggalkan bilik ini, dan apabila berlaku kerosakan pada barang-barang di bilik ini, maka segala harta cita-cita yang telah kukunci di dalam peti seolah-olah hilang.

Seorang saintis dan kemudian seorang penulis. Kajian tentang Matematik, aku yang mengkajinya.

Siapa aku sebenarnya?

Label:

posted by Romantis Selatan @ 12:51 PG   0 comments

© 2006 Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)
Main title designed by Amiene Rev from Brotherhood of The Dragon
No part of the content or the blog may be reproduced without permission.
Original Blogger Templates by GeckoandFly.

 


 

 



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Novel Kesayangan Saya


Web This
Profil Penulis


Nama: Romantis Selatan
Lokasi: Malaysia
Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini. Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya... Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang. Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan.
Maklumat Lanjut

Yang Sudah-sudah
Arkib
Jaringan Blogger
Mesej Pengunjung

Affiliates

Powered by Blogger
make money online blogger templates
Best Malaysian Sites