Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)

Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Khamis, Oktober 19, 2006
Biadab Pada Ramadhan

Kabus dan jerebu sudah menjengah, aku menelusuri ruang-ruang kafe di sebuah tempat di dalam kampus. Kelihatannya begitu banyak sampah sarap bertaburan di atas meja. Polisterine, beg plastik, kertas surat khabar, malah nota-nota kuliah. Lampu tidak tertutup, kipas masing berputar, tidak ada orang di situ. Lengang.

Inilah budak-budak zaman sekarang. Ilmu tinggi, kemahiran tinggi, namun moral dan akhlaknya kurang. Aku berjalan lagi, dan melihat seorang siswa dan siswi berdua-duaan di bahagian kaunter menghadap laptop. Terlalu rapat. Inilah biadabnya siswa dan siswi masa kini.

Aku teringat semalam, seorang junior. Usianya muda setahun daripadaku. Memintaku menterjemah dan menaip tugasan untuknya. Alasannya kerana esok dia ada ujian, dan tugasan itu perlu dihantar esok. Bodoh! Manja! Biadab!

Dan sebelum itu, dua minggu yang lalu. Seorang junior yang lain pula. Memintaku menyiapkan tugasan untuknya. Alasannya dia sibuk. Bodoh! Manja! Biadab! Sikap yang sama. Dia begitu tertarik dengan lokasi bilikku yang dikatakannya mendamaikan. Dengan kuasanya sebagai seorang atlit di peringkat kebangsaan, dia terus terang mengatakan pada semester hadapan dia ingin mengambil bilikku.

Oh, ya! Dan pada dua hari yang lalu seorang junior lagi, tiba-tiba bertanya kenapa aku tidak membeli motosikal. Aku bertanya balik, kenapa dia bertanya soalan ini? Alasannya, ada motosikal senang untuk ke sana dan ke mari. Itu saja? Sedangkan selama ini aku tidak ada masalah untuk ke sana ke mari, sebaliknya aku lihat dia dan rakan-rakannya yang banyak meminta pertolongan dariku. Orang yang bermotosikal lebih bermasalah. Malah sudah berkali-kali dia mengadu tidak cukup wang untuk makan. Bodoh! Manja! Biadab!

Ke mana pergi duit dia? Sedangkan aku, tanpa biasiswa, tanpa pinjaman. Dia dengan wang biasiswa, wang ibu bapa. Aku anggarkan dia mempunyai wang saku sekitar RM400-500. Dua kali ganda wang saku yang aku perolehi. Wang itu dihabiskan dengan bermain permainan komputer di siber kafe, membeli handset yang mahal-mahal dan entah apa-apa lagi. Bodoh! Manja! Biadab! Kalau sanggup menghabiskan wang untuk kelihatan mewah, mesti sanggup menahan lapar juga! Tetapi mereka tidak sanggup berlapar. Manja!

Malah, selalu juga aku lihat junior-junior yang sengaja sendawa dengan kuat apabila berjalan melalui orang lain. Ada pula berjalan dengan bermatakan lubang hidung. Ada pula dengan yakinnya mengarah dan memerintah mak cik di kedai kooperasi. Mak cik itu mengatakan, budak-budak zaman ini sudah tidak sama dengan budak-budak zaman beberapa tahun yang lepas. Budak-budak sekarang terlalu biadab dan kurang ajar.

"Ehhh, berhenti!!!" jerit seorang siswi kepada pemandu bas. Dengan gaya suara yang ditarik-tarik manja dan seolah-olah mahu muntah seperti perempuan baru mengandung. Bukankah lebih baik kalau dia berkata, "Pak Cik, berhenti."

Kelas kuliah sudah menjadi bilik darjah. Kolej sudah menjadi asrama penuh. Bukan sahaja siswa siswi bersikap kurang ajar, malah sudah berjangkit kepada pekerja-pekerja kafe. Menjerit, memekik, melaung sesuka hati. Di mana-mana sahaja kelihatan manusia yang kurang ajar, tidak kira umur 10, 20 atau 30.

Begitu juga apabila pelayan membawa makanan. Makanan itu diletakkan di suatu sudut yang jauh. Pelanggan terpaksa bangun, berjalan dan mengambil sendiri makanan. Ada pula tukang gunting yang biadab memarahi dan menengking pelanggan sesuka hati. Ada pula penjual makanan yang mendahulukan pelanggan yang datang lambat, dan membiarkan pelanggan yang datang awal. Ada pula peniaga yang memandang pelanggan dengan muka masam dan gaya mengugut (beli, kalau tak nak beli boleh blah). Betapa biadabnya peniaga-peniaga ini.

Ada pula pemandu teksi yang dengan sengaja mencari untung menaikkan tambang teksi sewenang-wenangnya. Tidak memasang meter, meletakkan harga tambang sesuka hati. Tidak kurang pula pemandu bas yang panas baran sesuka hati. Malah memarahi pelancong asing yang sememangnya tidak tahu banyak perkara.

Semasa menunggu bas beberapa bulan yang lalu. Sekumpulan junior, bukan Melayu, dengan selamba menjejakkan kaki ke pondok menunggu bas dengan kasut-kasut berjenama mahal. Meninggalkan bekas-bekas tanah dan pasir. Mereka duduk mencangkung sambil bergurau sesama mereka. Tanpa rasa bersalah. Bodoh! Manja! Biadab!

Suatu hari seorang junior berlagak pandai. Aku meneliti banyak kesilapan pada tugasannya. Aku menegur kesalahannya dan membetulkannya. Dia menegakkan benang yang basah lagi. Aku lantas bertanya kepadanya prinsip-prinsip dan prosedur yang perlu diteliti dan dianalisis sebelum dia menulis benda-benda itu. Dia terpinga-pinga, tidak tahu, tapi segera dia mengagak-agak dan kemudian mempertahankan pendapatnya. Tidak hairanlah jika dulu budak ini pernah mengadu kepadaku, dia tak sekepala dengan kawan-kawannya. Sering disisih oleh kawan-kawannya. "Dah memang awak jenis kepala macam ni!" Aku mengetahui, dia nyaris-nyaris dibuang universiti kerana keputusan yang sangat teruk semester lepas. Tapi dia masih belum insaf.

Beberapa minggu lepas, aku lihat 5 orang pelajar junior disaman kerana berambut panjang. Pertama kali ada kes sebegini. Budak-budak junior itu ditegur oleh pengurus asrama seperti budak sekolah. Aku hairan. Umur mereka sekitar 20 tahun, tetapi perangai seperti budak berusia 14 tahun. Zaman aku dulu belum pernah aku lihat budak seusia itu ditegur sebegini. Barangkali budak-budak zaman sekarang terlalu diperbudakkan. Bodoh! Manja! Biadab!

Junior-junior zaman sekarang kebanyakannya berilmu tinggi, berkemahiran tinggi, namun tetap bodoh, manja dan biadab juga! Mereka sering menegakkan benang yang basah, kemudian menanggung akibatnya. Selepas itu tanpa rasa kesal, mereka datang meminta pertolonganku. Sedangkan sebelum ini beria-ria mereka mempertahankan pandangan mereka. Bodoh! Manja! Biadab! Identiti bagi kebanyakan mahasiswa Malaysia sekarang.

Ada pula yang memegang jawatan tinggi dalam persatuan dan kepimpinan pelajar, tetapi tidak bertanggung jawab, tidak prihatin, berlagak dan mementingkan diri sendiri. Inikah bakal-bakal pemimpin Malaysia akan datang? Aku cukup risau mengingati zaman akan datang.

Bulan Ramadhan ini. Seolah-olah... seolah-olah... menjelang hari kiamat. Tanpa matahari. Wilayah Selatan ini diterangi sinar senja, biarpun baru jam 2 petang. Matahari sudah malu. Malu pada kebiadaban muda mudi hari ini.

Aku sungguh malu, kerana aku ini warganegara yang hidup pada zaman ini. Zaman yang dihuni manusia yang pintar, berkepakaran tinggi, berpengetahuan tinggi. Namun moralnya rendah.

Kelas-kelas agama dihadiri, pandai mengaji, pandai menjadi imam, pandai baca Al-Quran, pandai membaca doa selepas sembahyang, pandai takbir, pandai qamat, pandai baca doa Qunut, pandai ambil air sembahyang, tahu baca buku-buku agama dan hukum-hukum agama... namun biadab juga. Tetap biadab juga.

Seorang itu, aku lihat buku agama sering dibacanya. Judul-judul bukunya menarik juga. Syurga di bawah tapak kaki ibu, panduan menjadi mukmin sejati dan lain-lain. Namun apabila bercakap, keluar juga perkataan-perkataan kesat. Contohnya suatu hari aku menunjukkan gambar-gambar rakan-rakan seangkatanku suatu ketika dahulu, dia berkata,"Ah, aku kenal menatang ni!"

Dan pada suatu hari dia tidak berpuas hati dengan seorang siswi sekelasnya, "Celaka budak perempuan ni." Adakah ini, kata-kata yang seharusnya keluar dari mulut seorang siswa yang menghadiri usrah di universiti? Malah tidak keberatan jika aku katakan, ada juga siswa-siwa yang memegang jawatan dalam persatuan-persatuan bertunjangkan Islam di universiti, bersikap sombong, tidak memberi salam apabila bertemu, berbuat baik apabila ingin meminta bantuan, bercakap kasar dan sebagainya...

Kalau begini, kalau yang tahu agama, yang rapat dengan agama, malah aku ini lebih jahil daripada mereka, mereka yang boleh dianggap ustaz, turut sama biadab.

Suatu hari aku menziarahi seorang juniorku. Bertanyakan hal-hal pelajarannya. Datang seorang pelajar aliran agama, juga mengambil bidang pendidikan Islam di universiti. Memasang pen drive di komputer juniorku. Lagu-lagu irama rock berat berkumandang. Ini lagu baru. Ini mengenai itu ini dan begitu juga begini. 'Bakal Ustaz' yang dua tahun lebih muda daripadaku itu menerangkan kepada juniorku. Aku diam menggeleng kepala. Selepas 'bakal ustaz' itu pulang, juniorku berkata, "Pelikkan, ambil bidang pendidikan Islam, tetapi suka benda-benda macam ni."

"Biasalah ustaz zaman sekarang."

Dan aku tahu, cuma beberapa orang sahaja yang akan respon terhadap isu ini. Sebab bagi mereka yang lain... "Biasalah! Biasa-biasakan dirimu..."

Dan aku semakin yakin. Pada masa akan datang. akan munculnya golongan manusia yang berkemahiran tinggi, pakar, berpelajaran tinggi... namun tetap bodoh! Biadab! Manja! Cukup merisaukan...

Sekarang pun kita sudah lihat, banyak blogger cenderung meletakkan isu-isu lucah di dalam blognya. Seolah-olah tidak ada pengunjung wanita yang akan membaca blognya. Mencarut semahu-mahunya. Sedangkan bahasanya cukup menarik untuk dibaca.

Dan sajian seperti ini terus mengisi minda-minda para pembaca kita. Jahanamlah dunia akan datang. Angkara manusia-manusia seperti ini.

Ya Tuhanku! Kurniakan lebih ramai Faisal Tehrani untuk menulis kitab-kitab yang dapat menegur, menyindir dan menyedarkan bangsa kita, mengenai betapa biadabnya anak-anak muda hari ini. Betapa bodoh, manja dan biadabnya mereka.

Aku rasa, ilmu agama junior-junior ini lebih tinggi daripadaku. Sebab mereka menghadiri sekolah agama pada zaman sekolahnya, di sekolah agama mereka diteliti satu persatu, cara mengambil air sembahyang, cara bersolat, bacaan surah-surah Al-Quran. Aku tidak pernah ada zaman sekolah agama. Belajar sendiri dengan ibu bapa atau di dalam kelas. Tetapi budak-budak ini...

Ya, sungguh menakutkan dunia hari ni... kadangkala aku rasa menyesal kerana aku dilahirkan pada zaman moden ini. Namun, aku harus sedar dan bertapak di dunia nyata. Di sekeliling kita, terlalu ramai manusia biadab. Harap-harap aku akan dapat menyingkir keluar budaya ini dari terus menerus menyerap ke dalam diriku. Tak boleh ikut berdegil di kandang keldai! Tak boleh ikut ketawa mengekeh di dalam kandang dubuk! Tidak boleh ikut mendengus di dalam kandang khinzir!

Bagaimana lagi mahu kugambarkan situasi generasi zaman ini? Dapatkah sesiapa memahami perasaanku? Ramadhan ini cuaca terus berjerebu. Terus berjerebu. Tanda ramainya manusia biadab pada Ramadhan.

Label: ,

posted by Romantis Selatan @ 4:15 PG   2 comments
Khamis, Oktober 12, 2006
Romantisnya Ramadhan

Ramadhan sudah berkunjung. Sekian lama. Nuzul Al Quran sudah berlalu. Namun masih dalam diri ini, serba kekurangan, terasa. Aku meniti hari hari yang seharusnya tidak diingati lagi. Udara dari jalan hidup yang kuhirup ini sudah agak lama mencari-cari penghujungnya.

Bulan ini, bilangan manusia yang mampu menguntum senyum semakin ramai. Rezeki para penjaja meningkat tinggi. Bangunan-bangunan kediaman mula menampakkan rupanya. Namun cuaca seolah-olah cemburu, kabus-kabus bersisa dari kebakaran hutan merantau jauh dari negeri jiran, mengaburi mata yang memandang, menyesakkan nafas yang terhela. Ini sudah tentu satu petanda bala.

Sedangkan pada Ramadhan ini, sudah terbuka pintu kemaafan dan kemakbulan doa...

Label:

posted by Romantis Selatan @ 11:11 PTG   2 comments
Isnin, Oktober 09, 2006
Baboon Dalam Semak

Semak itu ditiup angin padang pasir mendekatiku. Perlahan-lahan mendekatiku. Semak itu bergoyang-goyang, mengeluarkan bunyi bising. Ketika itu kilauan cahaya matahari terik di atas kepala. Semak itu terus bergoyang-goyang.

"Apa hajatmu ke mari?" Garuda Bersayap Emas itu memalingkan kepalanya ke arah semak, sejenak.

"Aku ada satu kempen." Semak itu bergoyang-goyang lagi.

"Kempen apa?"

"Kempen Anti-Keganasan. Pengganas harus dihapuskan. Kau bersetuju?"

"Siapa?"

"Pengganas. Kau bersetuju?" Semak itu bergoyang-goyang sambil melompat-lompat.

"Apa definisi pengganas bagimu? Tonjolkan dirimu. Usah bersembunyi di dalam semak yang menyemakkan."

"Baiklah!" Lalu keluar dari semak itu seekor Baboon. "Sekarang sudah sepatutnya kau berpuas hati. Lalu jawablah. Apakah kau setuju dengan usulku untuk menghapuskan pengganas?"

"Apa definisi pengganas bagimu?" Garuda itu kian merah menyala anak matanya melihat sikap Baboon yang menyemakkan.

"Lalu kau bersetuju atau tidak?" Baboon itu terus dengan soalannya.

Tanpa menjawab sepatah pun. Beberapa daun-daun tajam, seperti bunyi pedang berselisih arah, lalu dalam kilatan aura emas itu, terpancar aura kilauan dingin biru perak, pantas memenggal Baboon itu dari rahangnya hingga ke mulutnya.

Lalu terpenggal sebahagian kepala Baboon itu, dengan matanya yang sentiasa terbeliak dan dahi yang masih kekal berkerut. Kening yang menaik menampakkan putih kelopak matanya. Baboon itu tidak menyangka perbuatannya mengganggu Garuda Emas itu akan mendapatkan mudarat pada dirinya. Darah tidak sempat mengalir, terus membeku.

Melihat padang pasir itu telah dikotori, Garuda Emas itu tidak berasa selesa, lalu terbang tinggi antara celah-celah langit tidak berawan.

Adakah benar.... Garuda Bersayap Emas itu... sudah pulang? ... atau Garuda Dwi-Kutub itu... masih bersembunyi... di sana...? ? ?

Label:

posted by Romantis Selatan @ 12:36 PG   1 comments
Khamis, Oktober 05, 2006
Romantis Selatan Kembali

Dunia ini seakan-akan lemah longlai. Aku sudah membebaskan diri dari segala jenis belenggu yang menghalangku selama ini. Aku ingin cari kebenaran yang telah hilang, lenyap langsung dari isi hati yang luas tersebar menerusi catatan ini.

Aku temui sinaran hidup ini, dalam dakapan kebenaran. Dari cahaya yang melimpah ruah. Garuda dingin itu perlahan-lahan. Di antara sayap dan dadanya, terpancar cahaya merah bara. Sayap-sayap dan cakar-cakarnya menghembuskan kilauan kekuningan, laksana lautan yang disinari matahari petang.

Garuda Bersayap Emas itu kembali. Melihat dunia yang dirindui. Namun adakah ini akan berkekalan?

Label:

posted by Romantis Selatan @ 6:24 PTG   4 comments

© 2006 Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)
Main title designed by Amiene Rev from Brotherhood of The Dragon
No part of the content or the blog may be reproduced without permission.
Original Blogger Templates by GeckoandFly.

 


 

 



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Novel Kesayangan Saya


Web This
Profil Penulis


Nama: Romantis Selatan
Lokasi: Malaysia
Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini. Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya... Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang. Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan.
Maklumat Lanjut

Yang Sudah-sudah
Arkib
Jaringan Blogger
Mesej Pengunjung

Affiliates

Powered by Blogger
make money online blogger templates
Best Malaysian Sites