Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)

Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Sabtu, Jun 24, 2006
Darihal Sala dan Ahayihala 3

Sala menghadapi kakandanya Ahayihala
lalu mengutuskan ucapan mislan taahir
"Kembalilah berjuang bersama Adinda"
"Kembalikan Ganasilah yang paling utama"

dan beratus-ratus merpati gurun dilepaskan
dengan setiap satu terikat segulung warkah kekalahan
Ganasilah yang memimpin satu ribu dua belas Sikafarah
yang berkubu di tengah Alhausiddar

dan berita itu tiba pada pengetahuan para mitajumad
yang sedang berhimpun di Barat dan di Selatan
menerima kiriman mendukakan hati
namun anhaleel suwathalaq mesti dipatuhi
lalu mereka membakar diri mereka dengan api kedegilan

bisikan Saleem Haq
terus menitik gema perjuangan

Label:

posted by Romantis Selatan @ 11:50 PG   3 comments
Jumaat, Jun 23, 2006
Darihal Sala dan Ahayihala 2

Debu-debu yang tertiarap lantas berhembusan
menggeliat kesakitan dipijak ratusan kuda-kuda
menggelojohi Alam Miksani

Ahayihala terus memecahkan tenteranya kepada tiga bahagian
satu menuju ke Barat, satu menuju ke Utara dan satu ke Selatan
tanpa lelah yang berikat di leher Ganisalah
lalu sebutir mutiara titis dingin lahir
menjunam dari langit
"Hairu!"

Para Sikafarah bermuka tenang dingin
dengan jubah dan mantel perang dan kuning
memacu kuda-kuda bengis menghala ke Utara
dan bertemulah dengan Jaddan La Sahala
tingginya 11 kaki umpama gergasi

"Inn hasyeed waha Hairu mis la ahi min Jaddan!"
Jaddan bersendirian memikul rantai besi berdepa-depa panjangnya
mukanya memancarkan kegarangan
kesanggupan mengorbankan diri mempertahankan Alam Miksani

Ahayihala selaku Ganasilah kedua dari pasukan Perpaduan Hati Salsiah Qinai
di bawah panji-panji Alhausiddar
Mendepakan kedua-dua belah lengannya
dengan sebilah sabit panjang di setiap satu genggaman tangannya
lantas melaungkan:

"Minar min Haq Alam Miksannn!!! Hairu!"
bertali arus para tentera maju menghamburkan senjata sabit panjangnya
maju menentang para tentera yang sujud kepada Sala Alam Miksann.

"Berjuang saudara-saudaraku"
kedengaran bisikan Saleem Haq
menyambut persetujuan terhadap anhaleel suwathalaq

Jaddan memutarkan rantai-rantai besi
melibas dan menjatuhkan kuda-kuda dan para Sikafarah

"Fin Hairu!"
Lantas 30 pemanah berkuda melancarkan panah-panah ke arah Jaddan
tetapi Jaddan dengan pantasnya menangkis serangan
dengan perisai yang terpasang di lengannya

"Hasyeed!"
Para Sikafarah mengambil peluang itu untuk mencerobohi benteng Jaddan
dan terus menghala ke pintu utama kota Alam Miksani

Laheehara yang melihat dari Menara Pengawal
terus membentangkan tangannya
lantas terjun dari bangunan tinggi itu
dan wati un hesar yang terpasang di tulang-tulang belikatnya
melebarkan sayap lalu menghala ke arah Ahayihala
Di kedua-dua kepala lututnya pula terdapat cakar
yang mencengkam bahu Ahayihala
dan Laheehara terus terbang membawa Ahayihala
ke Menara Utama menghadap Sala

Pintu gerbang dihentam
Jaddan meninggalkan benteng
dan tiba-tiba berpuluh-puluh tentara wati un hesar terbang dari langit
membawa periuk-periuk dalam jala-jemala rantai
berisi batu-batu membara
dilepaskan terhadap para Sikarafah
lalu hangus terbakar hingga ke tulang sumsumnya

Label:

posted by Romantis Selatan @ 4:01 PTG   0 comments
Khamis, Jun 22, 2006
Darihal Sala dan Ahayihala

Penulis: Romantis Selatan
Hakcipta Terpelihara (C) 2006

Sebelum itu:

Dan Sala mengutuskan
kata putus terhadap anhaleel suwathalaq
lalu Saleem Haq dari Bustarma
mengharungi jalan pembakar ke Timur
dan Ganasilah dari Alam Miksani
membawa satu ribu dua belas tentera Alhausiddar

Dua belas mitajumad daripada kalangan Sikafarah
menghauskan lima puluh ribu jiwa dari Qustumah
dan Ahayihala terpekik melaung
"Autu Namusiraq Hal Aunun Jiwasariq Hal Attaqual mun Ganasilah"
"Maha taula iksis tuharu Dariq Ma Alam Miksann!!!!"

dan para tentera dari Perpaduan Hati Salsiah Qinai
lalu berangkat, tunduk, mengirim takzim salam kepada...
jasad-jasad di pembaringan.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 5:18 PTG   3 comments
Rabu, Jun 21, 2006
Aplikasi Kisah Cinta Untuk Berhenti Merokok

Suatu hari saya melihat orang-orang yang merokok. Tua, muda, kaya, papa bergaya dan lagi ada pula budak-budak sekolah. Astagfirullahalazim. Walau bagaimana pun jangan bimbang, saya telah menemui cara-cara yang paling romantis untuk berhenti merokok.

Cari Yang Terbaik Sebagai Teman Hidup Anda
Rokok sungguh mengecewakan. Memudaratkan diri anda. Mengikis wang anda. Lagho. Rokok seperti kekasih yang tidak memahami diri anda, tidak menghargai anda. Materialistik. Anda pula terus tergila-gila, ketagihkan cintanya. Oleh itu tanamkan azam untuk mengubahnya.

Kekasih Yang Curang
Anggaplah rokok sebagai kekasih yang yang curang. Kekasih anda yang bernama Cik Dunhill. Minah Malboro. Ayu Gudang Garam. Di depan anda bukan main dia mengaburi anda dengan asap-asap impiannya. Di belakang anda, dia terlekat dengan jejaka lain. Suatu hari anda melihat Cik Dunhill di tangan lelaki lain. Hancur hati anda. Lupakan dia, lupakan kisah tersebut. Cari yang lain yang lebih manis, menawan dan memikat hati. Ya, carilah gula-gula Hack!

Minta Sokongan daripada Si Dia
Pemain bola perlukan sokongan untuk terus bermain, tetapi perokok memerlukan sokongan untuk berhenti merokok. Ya, kerana cinta lelaki boleh berubah. Si Dia harus menjadi lebih hebat daripada rokok itu.

Si Curang Itu Kembali
Mungkin anda telah lama berjaya melupakan si dia yang telah berlaku curang terhadap anda. Namun, suatu hari anda telah melihat bekas kekasih anda itu muncul dengan gaya menggodanya terhadap lelaki lain. Ya! Segera beritahu lelaki itu keburukan bekas kekasih anda itu, jika anda rasa itu yang terbaik bagi anda. Jika tidak, larikan diri atau sediakan topeng gas.

RS: Saya tidak merokok.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 8:52 PTG   0 comments
Hari Ini Kuberikan Berkat (Sejenis Makanan Jawa)

Darah Tali Berpotensi Ubat 70 Jenis Penyakit.

Apa perlunya menyimpan darah tali pusat? Lebih 70 jenis penyakit berpotensi dirawat menggunakan darah tali pusat. Antaranya barah darah, penyakit jantung, kecederaan saraf tunjang, parkinson dan jumlah itu bertambah dari saban tahun.

Kira-kira 20 tahun lalu, saintis dan penyelidik mendapati bahawa darah tali pusat mengandungi banyak sel dan salah satu daripadanya ialah sel stem.

Penyakit yang boleh dirawat menggunakan sel stem:
  • Barah darah
  • Penyakit darah (talasemia)
  • Penyakit metabolik
  • Keimunan
  • Jantung
  • Diabetes
  • Parkinson

RS: Setiap ciptaan-Nya tersirat rahsia.



Lelaki Pilihan Wanita

KUALA LUMPUR: Perkenalan selama setahun dengan Rizal Ashram, 30, anak Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib sudah cukup untuk meyakinkan pelakon drama bersiri, Puteri, Nora Danish Hanif, 24, untuk menamatkan zaman gadisnya.

Nora pernah berkata: “Saya memilih Rizal sebagai teman hidup kerana tertarik dengan budi pekertinya yang lembut, sikapnya yang sederhana serta personalitinya yang baik.”

RS: Alhamdulillah.



Tersungkur

Di Johor Bahru, seorang penagih dadah mati dipercayai akibat dibelasah sekumpulan lebih 20 lelaki selepas dikejar lebih 500 meter dari sebuah rumah yang cuba dipecah masuk di Taman Sentosa di sini, malam kelmarin.

Sementara itu di Melaka, seorang peragut yang cuba melarikan diri sebaik berjaya meragut beg tangan seorang ejen insurans di Jalan Malim Jaya, di sini, terbunuh dipercayai dilanggar sebuah kereta, malam kelmarin.

RS: Ada lagi yang lebih ganas daripada penjenayah.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 8:40 PTG   2 comments
Isnin, Jun 19, 2006
Saya Ketua Saintis Dunia

Hari ini saya dalam perjalanan menuju ke Bangi. Kebetulan saya bertemu dengan seorang pak cik berserban dan berjubah seperti seorang pendakwah sedang bersungguh-sungguh mengajar ilmu matematik di jalanan. Namanya Abdul Halim Bustaman. Di dadanya tergantung kertas bersaiz A4 yang tertulis (cetakan tulisan komputer), "Saya Ketua Saintis Dunia". Pada troli yang dibawanya pula tertampal satu lagi kertas bersaiz A4 bertulis "Saya Beruntung Kerana Tidak Masuk Ke Universiti."

Tertarik mendengar kuliahnya, saya berhenti seketika dan melihat logik dan rasionalnya. Bukan sebarangan orang, nampaknya pak cik ini adalah contoh aktivis intelektual yang lahir tanpa pengiktirafan Master atau Doktor Falsafah dari mana-mana universiti.

Bagaikan tidak sah blog "Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir" jika tidak diletakkan entri khas untuk En. Abdul Halim Bustaman ini. Ternyata apa yang diajarkannya ada benarnya. Namun ia lebih khusus kepada Matematik tahap asas. Saya tidak melihat ajarannya itu melibatkan proses-proses pemikiran logik Matematik peringkat universiti.

Walau bagaimana pun teknik yang dikemukakan oleh En. Abdul Halim Bustaman adalah sangat menarik. Kaedah-kaedah beliau membuktikan bagaimana praktiknya otak kanan - kreativiti, yang secara umumnya menjadi milik orang-orang sastera, dalam bidang matematik.

Saya juga tertarik dengan penemuannya mengenai pendaraban nombor sehingga berdigit-digit dengan menggunakan kaedah pengiraan yang diperolehi menerusi pengkajiannya terhadap corak rangka yang terdapat pada daun.

Saya berharap agar dapat menemuinya lagi pada masa akan datang. Mungkin bukan sekadar pendengar kuliahnya, tetapi sebagai rakan untuk berbincang. Saya ingin melihat bagaimana aplikasi otak kanak untuk subjek-subjek Matematik peringkat tinggi seperti Penyelidikan Operasi, Statistik, Kalkulus, Vektor, Analisis Nyata, Analisis Berangka, Teori Set dan Mantik.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 6:13 PTG   2 comments
Khamis, Jun 15, 2006
Berita Semasa Untuk Takdir

Kurenung tinggi luasnya angkasa,
ternampak banyak unggas dan burung;
Hidup tak tahu berita semasa,
umpama katak di bawah tempurung.

Bangun pagi gosoklah gigi,
jangan Subuh diabaikan pula;
Pak Lah menyeru pertanian berteknologi,
tanamlah tebu banyaklah gula.

Sepanjang perjalanan awak berangan,
sampai terlepas hingga ke Kluang;
Ada hikmah gula berkurangan,
penghidap diabetes ambillah peluang.

Diserbu lebah habislah disengat,
kasihan sungguh si beruang koala;
Penderma darah silalah beringat,
Pusat Darah Negara tak terima kaki bola.

Kalau hidupmu penuh dosa,
insaflah segera hati berlaga;
Garam, gula, tepung dan serbuk perisa
bentuk baru dadah silalah berjaga.

Sehari suntuk menahan lukah,
mencari kelah di pinggir muara;
Tan Fook dan Wah Wah terus melangkah
pertahankan maruah Badminton negara.

Bila singa dan harimau mula diseru,
bertemulah buku dengan ruas;
Artis Amerika dipancing KRU,
Phil Shapiro bukti empayar meluas.

Bila kaki terkena duri,
Menjerit sudah melaung telah;
Di tangga keempat negaraku berdiri,
berkisar rakyat Malaysia ketagih beli-belah.

Teruna bersiul memikat dara,
Segera merisik jangan sampai disuruh;
Dua wanita Malaysia malukan negara,
Piala Dunia jadi medan bertaruh.

Dibendang padi hendaklah diselia,
pagar jangan dijadikan harapan;
Rosnah Ali Muda serikandi mulia,
anak-anak buta cerah masa depan.

Ikan air tawar baunya hanyir,
carilah ikan laut gunakan kanu;
Pulau Sah Kecil di Tasik Kenyir,
Taman Herba kebanggaan Terengganu.

Saya berasal dari daerah Kapar,
Awak pula menetap di Medan;
Berita semasa sudah terhampar,
Ambilah pengajaran dan juga teladan.
posted by Romantis Selatan @ 1:13 PTG   5 comments
Rabu, Jun 14, 2006
Naskah Percuma AL ISLAM

Hari ini saya ke Utusan Karya untuk membeli AL ISLAM bulan lepas,
Nak masuk ke sana kena ada pelawat punya pas,
Pejabatnya hebat pakai penyaman udara bukannya kipas.

Saya berpeluang bertemu dengan editor,
Naskah percuma diberi bukan dibeli dari stor.

Terima kasih Utusan Karya,
Moga teruskan usaha ilmu pengetahuan kita perkaya.

Demam dan masuk wad punya fasal sudah terlepas satu edisi,
Dahulu tak makan enam hari sekarang badan sudah kembali berisi,
Sastera dan Matematik kini kedua-duanya di sisi.

Aik! Kenapa hari ini bukan 'aku' tapi pakai ganti nama 'saya'?
Sebabnya saya bukan orang gasar maka budi bahasa kita berbudaya,
Bila saya baca semalam punya entri sudah rasa agak loya,
Bunyi 'aku' agak kasar tidak sesuai di alam maya.

Malaysia sudah lama bebas dari Piala Dunia,
Namun demam bola terus menerus dikurnia.

Produktiviti negara sudah pasti agak perlahan,
Tidur lambat pasti sudah jadi punca kesalahan,
Jangan banyak bagi alasan kita atasi kelemahan.

Togo kalah dua satu dengan Korea Selatan,
Perancis dan Jerman setandingnya kelihatan.

Brazil buka kempen Piala Dunia 2006 berentak kemenangan,
Menang tipis satu sifar ke atas Croatia tetap satu kecemerlangan,
Croatia cuma mampu melancarkan satu serangan,
Adriano, Carlos, Kaka dan Ronaldinho mengganas tetapi kubu Croatia banyak halangan.

Van Der Sar penjaga gol Belanda,
Kecederaan betis yang ringan telah melanda,
21 Jun 2006 perang Belanda dengan Argentina barulah reda,
Lionel Messi pemain Argentina yang masih muda,
Namanya diseru, dipinta beraksi di padang macam kuda.

Australia menang tiga satu ke atas Jepun,
Walaupun hari panas kecergasan pemain tak terjejas pun.

Ballack dijangka turun melawan Poland esok pagi,
Walaupun kecederaan masih belum baik lagi,
Namun Jurgen Klinsmann buat keputusan tidak bagi,
Tunggulah esok apa macam Jerman punya strategi.

Beckham kata Michael Owen mampu menyengat,
Dahulu Owen cedera kakinya maka tak dapat beraksi ligat.

Alamak! Demam bola sudah melanda blog Surat untuk Takdir,
Tak lama lagi pasti saya kena sindir,
Terpaksa buat tak tahu macam Pak Pandir.

Kepada semua peminat Bola saya berpesan,
Tengok bola janganlah sampai Solat Subuh tak terkesan,
Nanti di Akhirat tak terjawab secara lisan.

Sekian.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 12:47 PTG   5 comments
Selasa, Jun 13, 2006
Panduan Perantau

Ada orang suka Disneyland Malaysia dibina di Selatan
Aku sokong jika ada unsur-unsur ketimuran anak watan

Bila dah siap tempat tu pastikan ada garis panduan
Kartun dan hero Disney biar ada unsur kemelayuan supaya warga asing tak terkedu-keduan
Maklumlah datang Malaysia bukan nak tengok Barat punya tapi nak rasa budaya biduan
tapi warga tempatan pula yang dirisaunya akan tersedu-seduan

Sepanjang aku berada di Kuala Lumpur
aku menemui beberapa panduan untuk mengelakkan para pembaca terus menggelupur
jangan biar diri tersesat macam dalam hutan lipur

Bila naik LRT dekat-dekatkan diri pada pintu
Kalau tak dapat bila dengar pengumuman cepat-cepatlah ke situ

Bila berjalan jangan mengelamun
Mata dan telinga kena pasang untuk elak kena samun

Kalau bawa beg dekat lorong yang tak sempit
Jangan dekat tepi jalan raya kita berkepit
Nanti tak pasal-pasal kena ragut dengan mat rempit
Ampun maaf, saya tak maksudkan semua mat rempit berhati nasi kapit
Suka juga dengar lagu Mawi yang berjudul kian
Sekian.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 8:29 PTG   2 comments
Ahad, Jun 11, 2006
Ruang

Sejak mengubah prinsip dan jalan hidup
Niat untuk menulis seperti bunga yang kudup

Tiada lagi eksplorasi
Mengenai dunia penulisan tidak ada lagi sensasi

Kalau dulu aku gila untuk menulis
Kini hati ini makin mapan, penulisan makin kalis

Faisal Tehrani masih utuh di fikiran kepala
masih tetap menjadi salah satu idola

Puan Ainon masih dirindui tunjuk ajar
menghafal setiap pemberian ilmu di e-mel setiap kali terbitnya fajar

H.M Tuah Iskandar kekal sentiasa berkumandang kata-kata khutbah
Sentiasa membangkitkan semangatku yang tak kunjung rebah

Kata Encik J. jangan diterokai alam bakat penulisan dan sastera
Tulislah sekadar untuk memenuhi masa lara

Matematik seperti minyak dan sastera itu air di dalam dalam takungan
Jika lebihnya air maka kuranglah minyak dalam kongkongan

Dalam satu jangka ini aku berhenti menimba ilmu di bidang sastera
Demi menghalang kegilaan yang menyebabkan ilmu logik terdera

Ini satu keputusan yang agak sunyi
Tanpa sastera dunia ini umpama tiada irama dan bunyi

Tapi ini satu keputusan yang agak tegas
Diteliti dianalisis dan ditimbang tanpa gegas

Buat seketika aku sekadar bermain dengan penulisan
Kini Sudoku lebih menjadi pilihan...

Para pembaca blog kekal dekat di hati
Sudi-sudikan mencurah doa buat mencapai kejayaan yang dinanti

Sekian hari ini aku menulis di sini
Jauh dalam detik hati aku terus merindui sastera dan seni...

Label:

posted by Romantis Selatan @ 4:50 PTG   5 comments
Jumaat, Jun 09, 2006
Dunia Baru!

Tertarik dengan cerita Dunia Baru!
Cerita ini memaparkan gadis bertudung sebagai wirawati yang ayu

Budak bernama Mardhiah
Bernas kata-katanya umpama Sri Diah

Komen saya mengenai cerita ini
Muziknya dengan jalan cerita cukup harmoni

Cuma saya harap gerakan kamera
lebih kreatif dan berselera

Sekian sahaja komentar saya
Salam hormat buat insan-insan setia

Sudi membaca blog yang bertema sayu
Diam umpama ubi kayu...

Berbalik kepada kisah saya yang belum beres
Kadangkala terkilan kerana tak dapat menghadiri bengkel PTS

Kelas turut wujud pada hari Sabtu dan Ahad
Masa untuk menyertai bengkel cukup terhad...

Suatu hari nanti pasti Puan Ainon dan rakan-rakan
pasti akan bersua, berkongsi ilmu penulisan...

Pasti akan tiba...
detik yang mencairkan rasa hiba...

Label:

posted by Romantis Selatan @ 7:24 PTG   2 comments
Khamis, Jun 08, 2006
Peralihan

Sehari selepas prinsip baru kucipta...
sekali lagi aku diserang demam yang teruk,
kepalaku berpinar-pinar menyusun abjad
terngiang-ngiang khutbah dan bacaan artikel dan hujah...
aku tahu itu suatu penolakan
terhadap keputusan yang telah aku buat
seperti antibodi yang berperang di dalam badan

Sepanjang enam hari itu 22 Mei -28 Mei...
tidak ada satu makanan pun kujamah,
lidah hilang deria rasa,
gigi menjadi longgar,
aku cuma mampu meneguk air sekali-sekala...
badanku menggigil mungkin kerana kekurangan tenaga
berat badanku jatuh dengan teruk...?

Pada malam 28 Mei 2006,
aku dibawa ke rumah saudaraku
pada malam itu juga aku dibawa ke klinik,
namun klinik menolak untuk memberi rawatan
aku dibawa ke hospital dan ke wad kecemasan
menerima rawatan, urat badan ditebuk dimasukkan air dan zat-zat lain...

Pada malam itu, terngiang-ngiang pasukan bola sepak
bermain di sekitar permaidani tempat aku terbaring
tidak pernah aku bermimpi sebegini...

Selama beberapa hari itu aku berehat
dan dibawa pulang ke kampung...

Aku mendapat berita kematian bapa saudaraku yang terencat akal...
Dia meninggal pada bulan Mac lalu...
teruk betul aku ini...
kerana terlalu sibuk 7 hari seminggu dengan masalah akademik dan cita-cita
aku mengabaikan segala-galanya...

kerana malu untuk pulang ke kampung,
aku abaikan kampung dari mata hatiku...

dan aku mendengar berita ini...
bapa saudaraku itu meninggal pada akhir bulan Mac
kerana paru-paru berair...

Label:

posted by Romantis Selatan @ 4:01 PTG   3 comments

© 2006 Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)
Main title designed by Amiene Rev from Brotherhood of The Dragon
No part of the content or the blog may be reproduced without permission.
Original Blogger Templates by GeckoandFly.

 


 

 



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Novel Kesayangan Saya


Web This
Profil Penulis


Nama: Romantis Selatan
Lokasi: Malaysia
Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini. Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya... Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang. Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan.
Maklumat Lanjut

Yang Sudah-sudah
Arkib
Jaringan Blogger
Mesej Pengunjung

Affiliates

Powered by Blogger
make money online blogger templates
Best Malaysian Sites