Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)

Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Isnin, Mei 22, 2006
Pada Suatu Ketika Dahulu

Dunia Melayu Barat

Ini mungkin suatu penamatan untuk bahagian pertama blog ini...

Hampir tiga minggu, aku tinggal di Setapak. Di sini aku melihat budak-budak usianya sebaya anak-anak muridku dalam proses persediaan ke Jepun. Hari ini aku juga mendengar berita salah seorang anak muridku kehilangan sebelah kakinya... sebagai satu tanda hilangnya kebolehannya dalam suatu permainan sukan. Ia seperti satu petunjuk daripada Tuhan.

Sehari sebelum itu, aku mengumumkan `persaraanku` dari menerokai dunia penulisan. Mungkin perkataan yang lebih tepat lagi ialah, berehat panjang.

Aku menghantar SMS yang berbunyi lebih kurang begini kepada seorang pensyarah: "Starting from today, I am a mathematician. No more literature exploration. I will start to think realistic and logistic." 21 Mei 2006.

Setapak adalah tapak permulaan bagi ibu bapaku dalam kerjayanya. Mereka berpindah beberapa kali sebelum menetap di suatu tempat yang aku kira sebagai destinasi terakhir untuk institusi keluarga kami. Di sini, aku sempat menjengah ke sebuah rumah kepunyaan keluargaku. Rumah itu disewa kepada orang lain. Rumah pada ketika aku belum dilahirkan. Berdekatan dengan sebuah padang permainan, antara sebuah surau dengan sebuah masjid.

Mengenang kembali bagaimana susahnya hidup keluargaku. Ini sebuah rumah dua tingkat yang sangat kecil, ruang tamunya sangat kecil, lebih kurang ruang bilik di kolejku. Sewa yang ditetapkan oleh ibu bapaku untuk rumah itu ialah RM350 sebulan. Penyewa rumah itu tinggal di tempat lain, rumah itu diberi tinggal kepada adiknya.

Suasana di sini agak tenteram, aku rasa ibu bapaku telah memilih suatu penempatan yang agak selesa. Tidak ada anjing liar. Kemudahan yang serba lengkap.

Ada sesuatu yang hendak aku terangkan mengenai antara kerjaya ibu bapaku, cita-cita mereka, cita-cita aku dan takdir.

Pada ketika aku masih kebingungan antara takdir, keputusan kini dan masa depan, aku diberi beberapa petunjuk dalam masa dua minggu ini.



Aku Seorang Ahli Matematik

Pada hari aku tiba ke Barat, adalah pada hari yang sama En. JR dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Unit Bimbingan Dan Kaunseling di sebuah IPT di sini. Dia ditukarkan dari kampus induk di Selatan ke kampus Barat. Pada malam sebelumnya aku menghadapi suatu konflik, berkaitan masa depanku di universiti. Antara dua bidang kerjaya.

Malam itu, sekitar pukul 11 malam, aku keluar lambat. Makan di kafe kolej (tempat aku menginap di sini) yang dikuarantin kerana wabak denggi. Namun itu tidak mengganggu urusanku.

Pada malam itu, aku dan En. JR (bakal Dr. JR) makan bersama di kafe. En. JR terpaksa menangguhkan pengajian Ph.D untuk menumpukan tanggungjawabnya sebagai Timbalan Pengarah di kampus Barat ini. Dua jam kami berborak. En. JR seperti ditakdirkan untuk menemui aku pada masa yang sangat penting ini. Kami bercakap mengenai soal pegangan hidup, soal masa depanku, keputusanku pada masa depan.

Hasil perbincangan itu, aku memutuskan untuk berhentii menerokai bakatku dalam bidang penulisan, sastera dan kreatif. Seperti kolej yang dikuarantinkan kerana denggi, seperti aku kuarantinkan bakatku kerana matematik. Matematik adalah denggi buat masa ini, aku perlu mencipta vaksinnya.

Jangan lupa, bidang yang aku ambil adalah major matematik. Aku tak boleh lari. Adalah mustahil untuk aku mencari pensyarah yang sesuai dengan gaya belajarku. Itu tidak realistik. Menerusi pertemuan secara kebetulan dengan En. JR, di Setapak yang nostalgis, aku memahami erti pemikiran realistik dan seterusnya menjadi faktor untuk menjadi seorang ahli matematik.



Realiti Kehidupan Daria Sudut Pandangan Ibu Bapaku

Menurut En. JR, ibu bapaku mempunyai kekuatan/keazaman yang sangat tinggi. Benar, kedua-duanya mendapat kecemerlangan dalam kerjaya. Kedua-duanya sering mendapat anugerah pekerja cemerlang. Namun ada penghalangnya. Pengiktirafan akademik. Sehebat mana pun idea mereka, akan tetap dikongkong oleh orang yang mempunyai pengiktirafan akademik.

Idea seorang individu yang memiliki Ijazah akan lebih diterima berbanding idea seorang yang memiliki Diploma. Kata-kata seorang Jurutera mampu menundukkan berpuluh-puluh pembantu teknik (jawatan ibu bapaku). Sebab itu mereka mengharap aku menjadi seorang jurutera, sebab itu konflik itu berlaku apabila aku memutuskan untuk mengambil bidang yang lain daripada apa yang mereka kehendaki. Dalam kekaburan itu, aku terlontar ke dunia matematik. Cerita Romantis Selatan bermula dan masih belum tamat...

Ini adalah sebuah cerita, di mana seorang ibu dan seorang bapa. Kedua-duanya adalah tokoh terbilang dalam bidang kerjaya mereka, namun ketokohan itu dikaburi oleh pengiktirafan akademik. Walau berapa hebat pun sumbangan mereka, akan tetap ditenggelamkan oleh kehebatan oleh orang yang lebih tinggi kelayakan akademiknya.

Jika seorang yang memiliki Diploma bekerja untuk orang yang memiliki Ijazah, kehebatan mereka sekadar berada di bawah tempurung ciptaan orang yang berijazah. Sebab itu, mereka menaruh impian untuk melihat salah seorang anak mereka, menjayakan cita-cita itu.

"Kalau tak ada ijazah, orang takkan pandang kita... kita... kita..."

Aku rasa aku sudah memahami sepenuhnya perkataan ini. Aku menterjemahkan ayat-ayat yang pernah diucapkan oleh ibuku, oleh Dr. Z, dalam konsep pendirianku.

"Untuk berjuang, kamu harus mencipta pengiktirafan. Itu adalah strategi yang paling mudah dalam dunia yang serba songsang ini... serba zalim ini. Pengiktirafan itu mesti dalam bentuk pencapaian akademik. Dunia kini, manusia cuma pandang dua perkara sahaja. Jika yang pertama itu adalah pencapaian akademik, yang kedua itu mestilah wang. Dengan dua perkara ini, manusia boleh memperalatkan manusia yang berbakat. Kau juga, Romantis Selatan, harus ingat, kau hari ini adalah manusia berbakat. Namun tanpa kelayakan akademik dan wang, kau akan dipergunakan kelak." Pesan Dragonizer kepadaku, menerusi mesej peribadinya webnya.

"Dan ingatlah, orang yang akan mempergunakan bakat dan sumbangan kau itu adalah orang yang sama ada memiliki wang, atau memiliki pencapaian akademik yang tinggi, atau kedua-duanya."



Kesimpulan Untuk Takdir

Sepanjang aku berada di Barat ini, dalam tempoh hampir tiga minggu ini, terlalu banyak peristiwa telah membantu aku untuk membuat kesimpulan. Setelah meneliti semua perkara itu, aku membuat keputusan...

Dan perlahan-lahan...
Romantis Selatan menyimpan impian dan bakatnya ke dalam suatu sirkel kaca...
dalam sirkel itu, bercahaya impian dan masa depan yang tidak dapat dicapainya
dalam tempoh terdekat ini.
Sirkel kaca itu ditenggelamkan dalam dasar kehidupan realistik
Maka lumpuhlah dia

Seperti rama-rama dalam suatu kepompong sutera,
menguis dan cuba memecahkan kepompong itu,
rama-rama itu berusaha sedaya upaya untuk terbang
sebagai rama-rama...

Walau pada dasarnya rama-rama itu
adalah jelmaan garuda emas dari angkasa
namun dia memutuskan untuk menjadi sekecil rama-rama
apabila mengepakkan sayapnya... tiada taufan
apabila berbunyi... tiada gegendang yang pecah
apabila terlihat kelibatnya... tiada hati yang kecut...

rama-rama itu terbang mencari bunga-bunga di taman
di taman itu terdapat sungai yang mengalir
tidak berhenti-henti

di sungai itu ada beribu-ribu ikan salmon
yang pulang dari laut kembali ke muara

Saat rama-rama itu berjaya memecahkan kepompong,
adalah saat rama-rama itu mengepakkan sayapnya yang bercahaya
dan rama-rama itu menimbulkan kagumnya orang ramai
menilai dirinya dengan harga yang tinggi
hingga dianggap sebagai spesies yang jarang dan unik
serangga yang tinggi nilainya... dikehendaki

dan ramai orang lupa,
rama-rama itu adalah jelmaan garuda emas
rama-rama yang berjiwa naga...


TAMAT BAHAGIAN 1
Surat Untuk Takdir





Label:

posted by Romantis Selatan @ 9:06 PTG   1 comments
Sabtu, Mei 06, 2006
SMS Daripada Para Serikandi Yang Cukup Istimewa

Di dalam hand phone kepunyaanku terdapat senarai mesej. Mesej-mesej daripada teman-teman rapat, daripada pensyarah-pensyarah; yang belum kupadamkan. Malah ada yang tersimpan selama bertahun-tahun.

Membaca mesej ini dengan adanya nama penghantar, mengubati kesunyian dan kerinduan pada masa silam. Mesej ini di hantar pada masa, tarikh, tahun dan oleh orang berlainan... tetapi ada satu persamaan: kesemua pengirim ini adalah wanita. Atas sebab-sebab tertentu, nama pengirim telah kuubah, begitu juga nama panggilan mereka kepadaku.

"Romantis, i'll always be by your side... ALLAH akan sentiasa bersama-sama orang yg benar, berdoalah pd ALLAH bebanyak utk ketenangan fikiran... " - Baby. Dia mungkin salah seorang wanita yang paling istimewa, dia menyokong aku sepenuhnya untuk terus hidup. Aku masih ingat suatu ketika, aku bersendirian merenungkan keadaan aku, kira-kira enam tahun lalu. Dia menghampiriku dan duduk di sebelahku. Memujukku tanpa kupinta.

Selepas itu dia menjadi antara sahabat terbaikku di universiti sebelum dia tamat pengajian dua tahun lalu. Banyak kenangan bersama. Semasa di universiti, ramai teman-teman menganggap aku dan dia sebagai pasangan kekasih. Ketika dia menemui teman lelakinya yang berpisah sejak 15 tahun lalu, masih ramai kawan-kawan lelaki dan perempuan menyokong hubungan aku dan dia. Cuma apa yang perlu aku tegaskan, aku dan dia cuma kawan. Dia adalah sahabat yang menyokongku... itu sahaja.

"Romantis Selatan, sabarlah, semua yg berlaku ada hikmahnya." - Dr. S. Aku sering bertemu Dr. S yang sudah aku anggap sebagai seorang sahabat dan seorang ibu. Berbincang mengenai pelbagai perkara berkaitan akademik dan hakikat dunia. Cara-cara menyelesaikan masalah, motivasi, kurikulum, pendidikan dan sebagainya.

"Madah yg diberikan tlalu jauh maksudnya apa2 pun itu lah dunia yg memerlukan kesabaran n kebranian." - Dr. Z, selepas perbualan kami mengenai satu peristiwa tragis yang menimpaku. Aku masih ingat kata-katanya yang lebih kurang sebegini, "Saya tahu, awak tidak bodoh. Cuma tidak ada pensyarah di U ni yang boleh mempelbagaikan kaedah mengajar. Mereka cuma tahu mengajar satu cara sahaja. Pendekatan mereka tidak sesuai untuk awak. But U still are gifted person. Kebolehan awak untuk berfikir dan mencipta idea seperti yang awak tunjukkan itu adalah bukti awak adalah gifted person. U need a special tutor. Walau pun tak ada atau susah untuk mencari tutor untuk mengajar awak matematik, tetapi itu satu-satunya cara untuk awak berjaya dalam bidang Matematik. Cuma di Malaysia ini tidak ada fleksibiliti untuk pelajar seperti awak. Sistem pendidikan formal di Malaysia tak sama macam di negara Barat. Negara kita tak fleksibel. Awak cuma tidak beruntung kerana dilahirkan Malaysia but I know you're really gifted."

Satu lagi kata-katanya yang berkesan untukku,"Walaupun apa pun yang awak ingin lakukan, sama ada awak nak jadi itu, atau nak jadi ini, awak kena cepat-cepat tamatkan pengajian awak. Jangan fikir terlalu banyak. Jangan buat macam-macam benda. Tumpukan pada matematik awak. Walau pun apa yang saya nak beritahu awak ini adalah salah, tetapi di Malaysia ni, walau pun awak berbakat atau skillful bagaimana pun, kalau awak tak ada ijazah, tak ada academic certification, orang takkan pandang awak. Inilah realiti dunia kita. Saya tahu apa yang saya katakan ini salah, tetapi ini adalah hakikat yang awak perlu terima. Semua orang dah berfikir macam tu, awak dah terpaksa ikut rentak mereka. Inilah Malaysia."

"Tetapi saya tengok awak ni seorang yang kuat juga! Awak memang seorang yang tabah! Awak mudah bangun lepas jatuh. You are strong!"

Pensyarah ini berasa sedih kerana tidak dapat berbuat apa-apa yang dapat mengubah dan menolongku di universiti ini. Semua pintu untuk membantuku menjadi pelajar cemerlang telah tertutup. Ya, jika ada. Jika aku berjaya menukar kursus, aku akan menjadi pelajar cemerlang dari semua segi. CGPA ku apabila dibuang gred-gred bagi subjek-subjek Matematik; nilainya akan meningkat dan bertaraf Kelas Satu atau sekurang-kurangnya Anugerah Dekan setiap tahun dengan bilangan A yang banyak. Belum lagi dikira dengan keaktifanku di universiti. Kejayaanku mengendalikan program-program universiti. Kejutan-kejutan yang pernah aku buat. Aku terpaksa meredah dunia kehinaan, menjadi bebanan orang. Aku menyertai pelbagai program, sebab aku mahu mengurangkan beban aku kepada orang. Cacat Matematik. Ramai orang berkata, "Program itu hebat sebab ada engkau. Semua orang bertepuk tangan kerana tindakan kau."

Benar, aku sering dipuji oleh orang atasan, Dekan, para pensyarah, staf-staf universiti di atas sumbanganku dalam satu-satu program. Semua program, tidak kira bertaraf universiti atau kebangsaan, semuanya yang aku sertai selalunya membuahkan hasil. Bersyukurlah kepada Tuhan, aku berjaya mengurangkan bebanan. Aku berjaya menambahkan mata kepada sumbanganku, lebih banyak berbanding mata bebanan. Menjadi seseorang yang bernilai. Seseorang yang berguna. Adakalanya orang yang rendah diri, suka bercakap mengenai kejayaannya untuk menutup rasa lemahnya. Ya, aku menulis di sini supaya aku tidak lupa, aku ada menjadi orang berguna. Bukan selalunya membebankan orang. Ini satu bentuk pujukan. Terapi menerusi tulisan.

Prinsip Jiwa Naga yang kupegang membawaku hidup hingga ke hari ini. Jika ada duit, aku akan memeriksa kembali bahagian hemisfera otak kiriku. Kecederaan masa silam?Apa puncanya? Aku percaya masih ada ingatan silam yang TELAH HILANG dan belum dapat kukenal pasti. Ah, itu berkaitan dengan 3/4 kisah silamku yang lain. Tak perlu kubangkitkan... sebab aku sudah berjanji dengan Dragonizer, aku tak boleh ceritakan 3/4 bahagian itu. TAK BOLEH! "Not often in life you meet someone worthy 2 be a friend... No matter how far u are or how seldom we meet... Pls note that ur a FRIEND who is never forggoten!" - seorang gadis India mengirimkan mesej ini beberapa lama selepas dia tamat pengajian. Gadis India ini merupakan salah seorang sahabat paling rapat dan setia. Menyedarkan saya mengenai betapa pentingnya perpaduan kaum.


"I may not be the 'Perfect Sister' that u'r thinking for. Not even the 'BEST' among others. But, surely I'm your sister who will always remember u" - seorang adik angkat sejak zaman sekolah menengah. Aku tidak menolak sesiapa pun untuk menjadi angkat, malah aku sendiri tidak ingat berapakah jumlah sebenar adik angkat yang aku ada. Sudah lama aku memencilkan diri, sejak masuk ke universiti. Sebab aku tidak mahu kisah hidup aku menjejaskan mereka. Aku gembira sebab budak ini berjaya, dia menerima cadangan aku untuk masuk ke IPT berdasarkan kebolehannya. Kisah-kisah keseronokannya di IPT di dalam surat... membuatkan aku selalu berkata kepada diriku, "Walau pun kau menderita, tidak mustahil kau boleh memberikan kebahagiaan kepada orang lain, dengan idea-ideamu..."

Adik Angkatku yang paling rapat denganku ini usianya dua tahun lebih muda. Dia tidak bersekolah sekali denganku. Entah macam mana dia tahu mengenai aku. Menurutnya dari seorang rakan perempuan yang bersekolah di sekolah aku. Budak perempuan itu sepupunya. Budak perempuan itu sering bercerita mengenaiku. Aku sangat popular di sekolah. Aku masih ingat budak ini sering mengejutku untuk solat subuh tanpa dipinta. Awal betul dia bangun. Baru sahaja azan subuh, dia sudah jaga dan menelefonku. Sering juga menelefon pada waktu tengah hari dan malam. "Dah makan ke belum, nanti lapar".

Gadis ini... dia menghidap penyakit jantung berlubang.


"I Asked God to make u happy make u smile guide u safely thru every mile Grant u wealth Give u health And most of all Give u care n Love u well." - Seorang lagi gadis sekelas denganku yang rapat. Dia sudah pun berkahwin pada November tahun lepas. Sejak itu aku tidak menelefonnya lagi. Aku katakan, persahabatan antara lelaki dan wanita adalah terhad. Apabila wanita itu telah bertunang atau bersuami, aku sebagai seorang sahabat perlu menghormati perhubungan itu. Aku tidak boleh menganggu hubungan itu. Kita cuma akan berkomunikasi sekiranya ada hal-hal yang penting sahaja, contohnya akademik atau kerjaya. Sebab usia kita sebaya. Orang akan kata bukan-bukan.

Kali terakhir aku menelefonnya beberapa bulan pada tahun lepas. Dia boleh dianggap sebagai seorang kaunselor kepadaku. Aku tidak pasti bagaimana, namun aku masih ingat semasa aku dalam kekeliruan. Semasa itu aku berasa sangat rendah diri. Aku ingin mengasingkan diri dari semua orang. Dia hadir dan membawa aku pulang kepada rakan-rakan sekuliahku. Sejak itu aku ingat lagi, bahawa aku ini bukan mesin, bukan senjata, bukan alat atau ayam laga yang untuk dimegah-megahkan oleh ibu bapa. Aku adalah manusia yang berhak menentukan cita-citanya sendiri. Namun ibu bapa tetap orang yang perlu aku sayangi.

Aku ingat lagi semasa aku menolak dia yang ketika itu duduk berkerusi roda, selepas dia terlibat dalam kemalangan, di sebuah hospital, aku katakan kepada dia,"Aku sudah faham sekarang, kita adalah sakit, apabila kita harap orang menyayangi kita. Kita tidak sakit apabila kita menyayangi orang lain. Aku rasa aku dah menjadi manusia."

Ya... menjadi manusia... ah cukuplah setakat ini aku menulis mesej-mesej... masih ada banyak lagi. Sebab itu peti mesejku cepat penuh. Sebab aku terlalu sayang untuk memadamkan mesej-mesej ini. Mesej-mesej ini menyebabkan rasa... tidak dapat dinyatakan di sini. Tak perlulah... 1/4 bahagian itu sudah cukup. 3/4 bahagian lagi adalah bahagian yang perlu dipadamkan dalam ingatan... Sekian... Ini mungkin adalah catatan-catatan terakhir sebelum aku ke dunia baru... adakah dunia di sana sesunyi dunia di sini...

Dari Selatan Menuju Ke Barat

Label:

posted by Romantis Selatan @ 11:50 PTG   9 comments
Persediaan Menuju Ke Barat

Kampus tempat pengajianku ini masih belum tutup, perpustakaan masih menerima kehadiran orang ramai, walau pun pengunjungnya telah berkurangan lebih enam puluh peratus (jangkaanku). Semester Mei akan bermula seminggu lagi.

Hari ini aku ada masa terluang, sebelum aku membungkus komputerku. Semalam dan sebelumnya aku menyelesaikan masalah berkaitan dengan pendaftaran subjek untuk minggu hadapan. Statusku untuk semester akan datang masih belum diketahui, namun aku masih mencari-cari jalan mengenai dunia yang bergelar Pantai Barat. Ini kerana ada masalah dari segi pangkalan data, barangkali.

Di sana nanti aku akan di kelilingi gunung ganang, makhluk-makhluk aneh, cahaya yang tidak putus-putus siang dan malam. Aku akan merisik peluang pekerjaan di sana. Sekolah-sekolah yang berdekatan. Pusat-pusat tuisyen berdekatan. Kerja ini memang mencabar, tetapi aku sudah berpengalaman dan tahu apa yang patut aku buat. Aku tidak bermasalah untuk mengajar pelajar yang lembab matematik, kerana aku tahu apa yang orang cacat matematik perlu tahu berkaitan dengan konsep matematik. Pernah aku mengajar seorang pelajar yang tidak tahu membaca dan mengira di sebuah sekolah. Pelajar itu selalu gagal dan mendapat markah tercorot di dalam kelas. Namun selepas aku menggantikan tempat guru tersebut, aku mengajarnya dengan cara aku sendiri, pelajar tersebut yang selalu mendapat E tiba-tiba mendapat markah C. Orang yang makan cili tahu betapa pedasnya cili itu. Aku akan mencari pekerjaan yang aku sudah berpengalaman. Pekerjaan yang tidak akan menganggu pelajaranku.


Strategi Menakluki Dunia Melayu Barat

Bukan bermaksud aku tidak mahu mencuba sesuatu yang baru. Cuma aku bukan penganggur, matlamat utamaku adalah masih pada akademik. Sekiranya aku tamat pengajian atau bercuti sepenuh masa (tidak ada kuliah/ujian/peperiksaan), barulah aku akan mencuba sesuatu yang baru. Bukan kali pertama aku mencuba pekerjaan baru. Sebelum ini sudah banyak kerja yang aku lakukan. Kebanyakannya berkaitan dengan kebajikan masyarakat atau perniagaan. Pernah suatu ketika aku hendak dipilih menjadi presiden sebuah kelab, namun aku menolak kerana beban akademik sangat berat! Ada juga pelajar yang mengesyorkan aku menyertai Majis Perwakilan Mahasiswa, tetapi aku tetap menolak! Ini kerana dunia matematik akan memusnahkan aku sepenuhnya.

Namun itu kisah beberapa tahun lepas. Sudah dua ke tiga tahun aku hidup dalam kesunyian, ditemani dengan selonggok subjek Matematik yang belum selesai. Jika dahulu aku cuma perlu bawa satu sahaja bersesuaian dengan tahapku. Namun sekarang tiga subjek matematik, tidak ada masa luang yang cukup untuk aku menjalankan aktiviti sampingan yang melibatkan komitmen. Cuma pada semester Mei ini, cuma satu subjek sahaja. Maka sudah ada peluang untuk bekerja. Ada peluang mencipta komitmen. Mencari sedikit wang, bukan mengorbankan wang. Apa yang penting sahaja. Untuk menamatkan pengajian.

Buat sementara ini biar aku senaraikan apa perkara yang perlu kubuat:

1. Sahkan pendaftaran untuk semester Mei.
2. Tambang teksi.
3. Cari tempat tinggal sementara: Kolej.
4. Kemudahan sekitar kolej.
5. Lokasi Bilik kuliah.
6. Jadual kuliah sepanjang semester.
7. Senarai pekerjaan yang tidak membebankan tumpuan akademik.
8. Majikan.
9. Pengangkutan awam yang ada.

Berdasarkan maklumat yang sedia ada, tindakan-tindakan berikut perlu dilaksanakan:

  1. Pendaftaran subjek yang telah kubuat belum lagi disahkan. Perlu mendapat pengesahan semula. Perlu segerakan pengesahan. Masalah dengan sistem pangkalan data.
  2. Cari tempat tinggal sementara.
  3. Rancang bayaran untuk pengangkutan dari Selatan ke Barat.
  4. Tambang teksi.
  5. Sebaik sahaja pendaftaran disahkan, segera berhubung dengan pejabat kolej untuk menyewa bilik. Berdasarkan maklumat, sewa satu hari sekitar enam ringgit.
  6. Kira anggaran minimum belanjawan sepanjang enam minggu dan yuran pengajian.

Setelah perkara di atas diselesaikan, tugas selanjutnya adalah mencari kerja sampingan yang tidak membebankan pengajian. Oleh sebab aku cuma mengambil satu subjek sahaja, dan kelasnya dijangka pada hari Sabtu dan Ahad sahaja, maka aku akan mencari kerja sampingan. Kerja-kerja tersebut mestilah memenuhi kriteria berikut:

  1. Majikan yang fleksibel, berpengetahuan tinggi dan berfikiran waras.
  2. Berdekatan dengan kolej.
  3. Keadaan sosial di tempat kerja terkawal (tidak ada gejala-gejala sosial seperti pekerja tidak solat atau bersembahyang Jumaat, pergaulan bebas lelaki perempuan, budaya melepak atau ponteng kerja dan sebagainya.)
  4. Tidak membebankan aktiviti fizikal dan meletihkan mental. Pekerjaan yang bersifat ringkas tetapi kreatif atau menjana minda.
  5. Masa bekerja adalah fleksibel dan boleh diatur oleh pekerja itu sendiri (untuk memudahkan urusan akademik seperti ujian, kelas gantian dan peperiksaan akhir).


Ini adalah kriteria-kriteria yang selalu aku ambil kira apabila mencari pekerjaan. Aku tidak mahu menjadi seperti pelajar-pelajar yang pernah aku kenali sebelum ini; ponteng kelas, tidak hadir ujian, tidak menghantar tugasan, datang lambat ke kelas, datang ke kelas dengan minda yang penat, lupa maklumat penting berkaitan akademik, hilang tumpuan belajar dan akhirnya ditendang dan pulang ke kampung dengan berlenggang. Dikutuk oleh selonggok kutu kampung, dimaki oleh para pendengki yang tak pernah merasa masuk universiti.


Customer Always Right

Selama ini aku berpegang pada pendirian, "jika berduit, makan, jika tidak berduit tak perlu makan." Pernah juga selama dua hari tidak makan, cuma minum air. Tidak ada masalah. Cuma akan mengganggu pengfokusan terhadap pelajaran jika terlalu kurang nutrien. Apabila hal ini berlaku, aku selalunya akan banyak berehat dan menyingkat masa belajar.

Namun disebabkan aku mengamalkan prinsip McDonald, "Customer Always Right". Aku tidak kisah untuk minum air suam, walaupun didatangi oleh pelayan yang agak bermuka masam atau peniaga makanan yang bermuka serius. Jika tidak ada duit tidak perlu makan makanan yang mahal. Ada juga peniaga yang bermasam muka apabila melihat aku jarang membeli di kedainya. Seperti satu kesalahan kalau aku tak membeli satu hari.

Customer Always Right. Aku berhak memutuskan untuk membeli atau tidak. Aku berhak memilih gerai yang makanannya murah. Aku berhak minum air suam. Air suam baik untuk kesihatan. Petua untuk awet muda dan kekal ceria.

Biar pun ada sesetengah orang mungkin berkata, "Budak itu tidak berduit. Tak perlu berikan dia layanan istimewa. Tak perlu senyum pun. Tak perlu ambil peduli tentang dia."

ROMANTIS SELATAN TAK KISAH.

Kemudian satu suara bertanya, "Habis kalau awak tak kisah, kenapa nak ceritakan juga?"
Lalu aku pun menjawab,"Kerana ini adalah kisah hidupku..."

Label:

posted by Romantis Selatan @ 7:46 PTG   0 comments
Selasa, Mei 02, 2006
Kerana Manisnya Epal - Suatu Pengiktirafan

"Untuk pelajar-pelajar sekolah cerpen ini tidak asing lagi. Tetapi ada juga pembaca 'terlebih umur' yang selalu bertanya, apa 'rasanya' cerpen 'Kerana Manisnya Epal', kerana itulah saya tampilkan di sini. Jangan tanya saya kenapa cerpen ini terpilih untuk menjadi teks bacaan di sekolah. Saya sendiri tertanya-tanya sampai hari ini. Malah sewaktu mengarang cerpen ini saya masih di sekolah. Saya telah lupa banyak hal mengenai cerpen ini, cuma satu yang masih disemat dalam hati - watak Mazlina dalam cerpen ini. Di manakah agaknya gerangan si dia?"- Faisal Tehrani

Masa semakin suntuk untuk semester ini. Komputer saya akan disimpan di dalam kotak. Saya akan berangkat mencari pekerjaan sambilan sambil mempelajari satu subjek Matematik, jika tidak ada masalah. Meninggalkan Selatan menuju ke Barat dalam sebulan dua; kerana gurunya ada di sana.

Terbaca saya di blog Faisal Tehrani. Memandangkan fungsi komen telah ditutup. Saya tertarik untuk mengulasnya di sini. Pandangan saya secara peribadi, Cerpen "Kerana Manisnya Epal" sememangnya layak menjadi teks bacaan di sekolah. Cerpen ini memenuhi Prinsip Penulisan saya, Penulisan Satu Bentuk Pendidikan/Pengajaran. Ini pegangan saya ketika saya berniat untuk menceburi bidang penulisan. Sebab itulah pada fikiran saya, cerpen ini sesuai dijadikan teks bacaan. Cerpen yang banyak ilmu dan pengetahuannya. Saya berminat dengan sastera, cuma kerana adanya hal seperti ini.

Cerpen ini menyebabkan saya tercetus untuk mengenali Faisal Tehrani. Seterusnya saya mengiktiraf Faisal Tehrani sebagai idola saya dalam bidang penulisan kreatif. Seangkatan dengan Puan Ainon Mohd (Kemahiran Berfikir) dan H.M. Tuah Iskandar (Motivasi). Ketika cerpen ini tersiar pada tahun 1995, saya baru Tingkatan Satu. Pada masa yang sama saya terkenal sebagai pelajar pintar Matematik dan Bahasa. Saya menguasai kedua-dua bidang sehinggalah ............ .................. ................ ........ .................... ............ ............. ......................... ................. ...... ........... ................. ............... Tragedi itu, mengubah hidup saya. Sejak itu saya suka menulis. Menulis surat-surat yang tidak tahu untuk dikirimkan kepada siapa. Nama Romantis Selatan dicetuskan kemudian.

Saya menceburi dunia penulisan menjadi satu cara untuk menggabungkan pelbagai intelektual. Saya dibesarkan dalam dunia serba terkongkong. Saya ingin menulis dan oleh itu saya mencipta dunia sendiri. Dunia yang lengkap serba serbi budaya, politik, bahasa, ekonomi, teknologi, sejarah dan sebagainya. Dunia sebelum saya mengenali Mr. Tolkien atau Mrs. Harry Potter.

Namun terlalu banyak halangan. Terlalu banyak tugasan yang perlu saya selesaikan sebelum saya dapat menceburi bidang ini. Dalam setahun, dua tahun, atau tiga tahun ini saya harus menyelesaikan tugas-tugas yang belum selesai. Namun saya bersyukur kerana sudah ada ruang yang sudah diwujudkan untuk saya. Terima kasih kepada Puan Ainon.

Buat beberapa bulan selepas ini. Saya mungkin tidak akan dapat menulis lagi di blog ini. Ada kerja yang perlu diselesaikan. Saya tidak ada kesempatan untuk mengunjungi siber kafe. Komputer saya pula akan disimpan di dalam stor. Ada urusan lain. Salam hormat untuk semua pembaca.

PST: Jangan lupa membeli buku-buku PTS! Cerita-ceritanya sangat menarik! Jangan lupa baca ulasan saya mengenai buku OREN!

posted by Romantis Selatan @ 3:26 PTG   4 comments
Isnin, Mei 01, 2006
Filem Titanic 2: Jack Dawson Kembali

Para pengunjung digalakkan untuk menekan butang "Pause" untuk hentikan lagu "Naruto OST -Sadness and Sorrow" bagi mendengar trailer filem Titanic 2: Jack's Back. Titanic 2 dikatakan adalah sekuel untuk Titanic di mana Jack Dawson ditemui terperangkap di dalam ketulan ais di dasar laut. Lebih mengejutkan apabila Jack Dawson didapati masih hidup! Jack hidup dalam dunia serba baru dan moden, lebih malang buatnya apabila kekasihnya Rose, telah meninggal dunia pada usia 102 tahun. Adakah trailer ini benar atau tidak? Jika benar, adakah filem sekuel ini mampu menyaingi kehebatanfilem pertama. Kita tunggu jawapannya.

posted by Romantis Selatan @ 10:56 PG   2 comments

© 2006 Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)
Main title designed by Amiene Rev from Brotherhood of The Dragon
No part of the content or the blog may be reproduced without permission.
Original Blogger Templates by GeckoandFly.

 


 

 



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Novel Kesayangan Saya


Web This
Profil Penulis


Nama: Romantis Selatan
Lokasi: Malaysia
Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini. Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya... Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang. Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan.
Maklumat Lanjut

Yang Sudah-sudah
Arkib
Jaringan Blogger
Mesej Pengunjung

Affiliates

Powered by Blogger
make money online blogger templates
Best Malaysian Sites