Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)

Ini adalah blog mengenai perbicaraan antara manusia dengan... pelbagai perkara. Penulis menganggap takdir sebagai pembaca setia surat-suratnya yang sudah nyata tidak mampu dikirimkan kepada empunya. Mereka... mungkin sudah tidak ada lagi. Penulis memiliki definisi tersendiri terhadap kesunyian. Apakah erti kesunyian? Aku memahaminya tetapi engkau tidak.
Khamis, April 27, 2006
Kirim Salam Pada Amoi

Pada suatu hari, amoi tu telefon lagi. Lalu berlakulah diskusi hati:


Amoi: Hello? Ini awak nama ####-#####-#####-####### kah?

Romantis Selatan: Ya? Ya, sayalah tu. Ada apahal ni?

Amoi: Aiyya, itu hari apa sebab awak off awak punya handset?

Romantis Selatan: Bateri habis maa. Itu bateri sudah kong punya. Tak ada duit mahu tukar baru maa...

Amoi: Ala itu macam awak datang kerja sama saya. Kasi itu surat menyurat punya kerja.

Romantis Selatan: Apa macam kerja? Awak punya syarikat apa nama? Awak dari mana?

Amoi: Aiyya? Itu hari sudah bagi tahu sama awak. Kita Home Inovative punya Syarikat dekat itu Sandakan.

Romantis Selatan: Ini Amoi, apa pasal tiap-tiap kali awak telefon sama saya, mesti keluar itu nombor +60000. Apa pasal?

Amoi: Ayyak? Tidak tahu punya?

Romantis Selatan: Amoi! Amoi tahu tak. Itu Pak Naga - Sinagaga kirim salam sama amoi tau?

Amoi: Aaa... Alo, Siapa itu Sinaganaga? Apa kisah mau kirim salam sama saya?

Romantis Selatan: Untuk mengetahui kisah selanjutnya, dapatkan buku Ayah Kita Bos, oleh Tok Rimau dan Sinaganaga.

Dialog ini cuma rekaan dan cuma wujud di alam fantasi =p

KOMENTAR: .... masih menanti surat daripada Amoi...

Label:

posted by Romantis Selatan @ 4:27 PTG   4 comments
Rabu, April 26, 2006
Amoi Misteri Lagi

Baru saja aku nak keluar dari bilik ni. Tiba-tiba Amoi Misteri telefon. Ini kali kedua. Nasib baik aku belum sampai ke luar atau ke perpustakaan awam macam hari tu. Telefon bimbit pula sedang dicas semula. Bateri 'kong' (ada tak perkataan 'kong' dalam kamus dewan?).

Aku berbincang dengannya. Mengenai soal kerja. Home Inovative? Lebih kurang macam itulah bunyi syarikatnya. Agaknya ada sesiapa yang tahu mengenai syarikat ni. Dia kata ada banyak kerja yang boleh aku buat secara sambilan. Kena bayar, RM30 atau RM35 sekali sahaja.

Syarikat dia dari Sandakan, Sabah. Semua urusan dan bayaran komisen juga dilakukan secara surat menyurat.

Aku minta dia kirimkan risalah berkaitan. Cuma aku tak faham kenapa dia mesti guna +60000 untuk panggil aku. Kenapa tak mahu dedahkan nombor telefon yang sebenar?

Ya, mari kita pergi makan dan sambung belajar! Suasana baru! Harap-harap tak sunyi! Kalau hari ini dah ada apa-apa untuk ditanya, esok dah boleh jumpa pensyarah!

Word verification: lyonn
Bunyinya macam: Lion (Singa)

Label:

posted by Romantis Selatan @ 12:56 PTG   7 comments
Aku Terselamat Daripada Diculik Makhluk Asing

Aku masih ingat bila aku sunyi, aku ingin mencari sesiapa untuk berbual. Bila mereka tak ada, menulis itu menjadi satu perkara yang menarik. Namun ada suatu perkara yang meresahkan aku.

Aku seolah-olah semakin sebati dengan kesunyian. Aku seolah-olah ketagihan untuk menyendiri. Keseorangan. Pada masa yang sama aku ingin berbicara dengan orang lain.

Akhirnya aku sedar. Kesunyian boleh membawa ketagihan. Seperti rokok dan dadah. Tidak semua orang yang menghisap rokok, suka akan rokok. Mereka terpaksa merokok juga kerana ketagihan. Ini kisah benar yang diceritakan sendiri oleh beberapa orang perokok.

Begitu juga dengan penagih dadah. Bukan semua mereka mahu kekal dalam dunia hina itu. Mereka mahu menghindari dadah, namun mereka terperangkap kerana ketagihan.

Kesunyian juga akan menjadi satu ketagihan. Bukan semua orang suka akan ketagihan, namun mereka makin lama makin biasa dengan ketagihan. Apabila tiba masa untuk bersosial, mereka seakan-akan terancam kerana kebiasaan berasa sunyi terjejas. Menakutkan?

Kesunyian adalah racun. Ramai pensyarah yang pernah berbual dengan aku menyatakan hal ini.

Aku hendak mencari tempat belajar yang baru. Suasana baru. Aku akan keluar dari bilik yang serba sunyi ini untuk mencari tempat belajar yang ada orang. Biar pun tak dapat berbual dengan mereka. Asalkan mereka ada berdekatan, aku akan rasa hidup.

Ada kehidupan, barulah nampak dunia ini hidup. Di luar kolej, masih terdapat banyak motosikal dan kereta. Namun suasana cukup sunyi. Budak-budak kolej seolah-olah telah diculik oleh makhluk asing. Seolah-olah di dunia ini cuma tinggal aku seorang sahaja yang terselamat daripada diculik oleh makhluk asing.

KESIMPULAN: Makhluk Asing Memang Jahat. =p

Label:

posted by Romantis Selatan @ 11:38 PG   2 comments
Kisah Buaya Legenda (Bahagian 4)

TERATAK PUTIH DANAU HIJAU (Sansi Orp Lea )
Oleh: Romantis Selatan
Hak Cipta Terpelihara (C) 2006

Sansi Orp Lea (Perhentian Bermusim Di Danau Hijau)

Ma Shagou seorang yang jujur dan berterus terang. Apabila Orang Kaya Kailai mengetahui bahawa Ma Shagou gagal membawa pulang empat batang kayu Trup, malah telah menghilangkan kesemua Shinlap kepunyaannya, Ma Shagou memberitahu apa yang telah berlaku di Danau Hijau. “Jika Tuan tidak percaya, pergilah ke Orp Lea. Saya telah membina sebuah mahkota berbentuk teratak putih daripada tulang-tulang Shinlap kepunyaan Tuan.”

Orang Kaya Kailai pun mengupah berpuluh-puluh orang yang handal-handal untuk membunuh Buaya Legenda Orp Lea. Selepas beberapa hari perjalanan, tibalah mereka di danau hijau. Melihatkan kemunculan manusia yang begitu ramai, burung-burung pun lari berterbangan. “Memang benar terdapat teratak tulang putih di tengah danau. Hai, tuan-tuan sekalian, rejamkan lembing ke dasar di bawah teratak itu. Biar mati buaya durjana itu!”

Orang ramai pun mula mengangkat lembing dan melontar ke dasar di bawah telapak itu. Tiba-tiba permukaan danau bergelora, air memercik hingga ke tebing, Buaya Orp Lea meraung dan mengamuk. Melihatkan betapa besarnya buaya itu, orang ramai mula berundur, namun ada juga yang masih berani melontar lembing ke arah buaya tersebut. Malangnya kulit Buaya Legenda Orp Lea sangat tebal, tidak lut oleh sebarang senjata. Buaya Orp Lea merenung ke arah semua hadirin yang tidak diundang. Kemudian dia menarik nafas sekuat-kuat hatinya, kesemua hadirin tersedut ke dalam mulutnya, termasuk Orang Kaya Kailai. Nampaknya kini, di dunia ini, Cuma Ma Shagou dan anak-anaknya saja yang mampu menceritakan mengenai kebenaran bahawa wujudnya Buaya Legenda Orp Lea. Cerita ini disampaikan oleh Ma Shagou kepada orang kampung. Ada yang percaya dan ada juga yang tidak. Namun, selepas beberapa lama menunggu, Orang Kaya Kailai masih belum pulang, akhirnya kisah ini menjadi buah mulut orang ramai. Walau pun tidak percaya tetapi tetap mahu menceritakan mengenai kisah ini... kisah seekor buaya besar di Danau Hijau, mampu menyedut beberapa ekor Shinlap melalui mulutnya, sehingga menimbulkan ribut kecil yang menggemparkan. Buaya Legenda Orp Lea namanya. Pantang diusik tempat tinggalnya, pasti air akan bergelora dan buaya besar ini akan menyedut mangsanya. Namun, ada juga orang yang berani pergi ke danau hijau tersebut. Apabila sampai di sana, maka pasti akan terlihat sebuah teratak putih yang diperbuat daripada tulang, dan jika diperhatikan betul-betul, pada waktu malam ketika bulan purnama, akan kelihatan sinaran berbentuk mata, berwarna merah di bawah permukaan air danau yang tenang, mata yang menjaga ketenteraman Danau Hijau, tempat perhentian burung-burung bermusim.

Sebuah puisi pun dikarang oleh seorang penduduk tempatan untuk menggambarkan kisah penebang kayu Ma Shagou dengan Buaya Legenda Orp Lea ini.

TERATAK PUTIH DANAU HIJAU
(Sansi Orp Lea )
Oleh: Romantis Selatan
Hak Cipta Terpelihara (C) 2006

Diupah oleh orang kaya Kailai,
Terbayang di mata Ma Shagou sebuah mahligai.
Enam ekor Shinlap menuju ke Jingla,
Cuma tiga ekor hidup berlari pulang.
Kerana teratak tulang putih dikatakan mahkota,
Barulah Ma Shagou mampu bernafas lega.
Gara-gara Shinlap mencemari danau hijau,
Ma Shagou pulang dengan tangan kosong.
Dibayar dengan angin,
Hatinya hampa lalu memberitahu kebenaran.
Orang Kaya Kailai menuju ke Orp Lea,
Dengan ramai pengiring dan pendekar.
Melibat benar adanya teratak tulang putih,
Orang ramai disuruh merejam lembing ke dasar danau.
Marah buaya legenda bukan kepalang,
Habis disedut semua yang ada,
Tidak kira kaya, setia, handal atau pengecut,
Habis ditelan, danau hijau sunyi kembali.
Kisah ngeri tidak menakutkan unggas,
Terus berkunjung mengikut musim,
Maka tetaplah ia dipanggil orang...
Sansi Orp Lea (Perhentian Bermusim Di Danau Hijau).


Puisi ini dikarang oleh seorang penduduk yang bernama Romantis Selatan.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 12:00 PG   0 comments
Selasa, April 25, 2006
Kisah Buaya Legenda (Bahagian 3)

TERATAK PUTIH DANAU HIJAU (Sansi Orp Lea )
Oleh: Romantis Selatan
Hak Cipta Terpelihara (C) 2006

Buaya Legenda Orp Lea

Malam itu, terjadilah suatu peristiwa yang tidak disangka-sangka. Dari dalam tasik, kelihatan sepasang mata bersinar memerhatikan Shinlap-shinlap yang sedang lena.Dengan perlahan-lahan, sepasang mata ini mendekati tebing danau, maka air pun bergelora... dalam sekelip mata, seekor Shinlap kepunyaan Orang Kaya Kailai telah ditelannya. Rupa-rupanya, sepasang mata ini adalah milik kepada buaya legenda Orp Lea! Saiznya jauh lebih besar daripada dua puluh ekor Shinlap! Shinlap-shinlap berteriak ketakutan dan terus lari ke dalam hutan. Buaya Legenda tidak melepaskannya dengan begitu sahaja, dengan menarik nafas, dengan sekali sedut sahaja, dua ekor Shinlap dan beberapa batang pokok tertarik dan termasuk ke dalam mulutnya yang sangat besar. Bunyi kekecohan itu telah menyebabkan Ma Shagou dan anak-anaknya tersedar dari tidur. Alangkah terkejutnya mereka melihat seekor buaya gergasi sedang memerhati mereka bertiga dengan sepasang mata yang merenung ganas! Buaya itu perlahan-lahan naik ke tebing danau, setiap gerakan kakinya menggegarkan persekitaran danau, dan setiap kali tanah dipijak maka akan terbentuklah kesan tapak kaki yang sangat besar.

“Braahhhhh!!!!” Buaya Legenda Orp Lea meraung marah! “Shinlap-shinlap kamu telah mencemari Orp Lea! Air danau telah keruh dan ini menyakitkan hatiku! Sebagai balasan, aku telah menelan tiga ekor Shinlap kepunyaan kamu!” kata Buaya Legenda Orp Lea.

“Tunggu, Shinlap-shinlap yang kamu telan itu bukan kepunyaan kami, ia adalah Shinlap kepunyaan Orang Kaya Kailai. Habislah kami jika perkara ini diketahuinya!” ujar Ma Shagou.

“Hmmmm..... kalau begitu, aku akan mengeluarkannya kembali!” Buaya Legenda Orp Lea terus meludahkan tulang-tulang putih yang masih sempurna keluar dari mulutnya. Tulang-tulang yang bertimbun itu jelas adalah kepunyaan ketiga-tiga ekor Shinlap.

“Sekarang aku telah mengembalikan Shinlap-shinlap kamu, sekarang berikan aku Shinlap kamu atau kalian bertiga menjadi makananku!” ujar Buaya Legenda Orp Lea.

“Tidak, kami tidak dapat memberikan kamu Shinlap-shinlap kami kerana semuanya sudah lari, tetapi kami akan binakan kamu sebuah mahkota di atas kepala kamu, sebagai tanda kamu adalah Tuan Punya Danau Hijau ini. Bolehkah?” kata Ma Shagou.

Setelah berfikir seketika, Buaya Legenda Orp Lea pun bersetuju. Maka, Ma Shagou dan kedua-dua orang anaknya pun bertungkus-lumus menyusun dan mengikat tulang-tulang untuk membina sebuah mahkota yang berbentuk seperti sebuah teratak di atas kepala Buaya Legenda Orp Lea. Setelah beberapa hari, akhirnya mahkota itu pun siap. Buaya Legenda Orp Lea sangat tertarik dengan kecantikan mahkota putih tersebut dan melepaskan Ma Shagou dan anak-anaknya.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 11:52 PTG   0 comments
Kisah Buaya Legenda (Bahagian 2)

TERATAK PUTIH DANAU HIJAU (Sansi Orp Lea )
Oleh: Romantis Selatan
Hak Cipta Terpelihara (C) 2006

Penebang Kayu Ma Shagou

Pada suatu hari, seorang penebang kayu bernama Ma Shagou telah pergi ke kawasan hutan Jingla berhampiran dengan Danau Hijau bersama-sama dengan dua orang anaknya Ma Shalou dan Ma Shaqou serta enam ekor Shinlap (sejenis gajah yang sangat besar tetapi setia). Ma Shagou berasal dari Arliang, kira-kira empat belas batu dari hutan Jingla. Tujuan Ma Shagou adalah untuk mencari empat batang kayu dari jenis Trup, iaitu sejenis kayu yang sangat keras dan cantik untuk dijadikan tiang bagi rumah baru sebagaimana yang dikehendaki oleh Orang Kaya Kailai. Memandangkan upahnya sangat tinggi, maka Ma Shagou tidak keberatan untuk meninggalkan kampung halamannya bersama-sama dengan dua orang anaknya dan enam ekor Shinlap untuk membawa pulang empat batang kayu. Dengan berbekalkan tiga tong minuman dan empat karung barang makanan yang diikat pada badan beberapa ekor Shinlap, Ma Shagou dan anak-anaknya bertolak ke Hutan Jingla Perjalanan dari Arliang menuju ke hutan Jingla memakan masa tiga hari.

Semasa di Hutan Jingla, hari sudah pun hampir gelap. Oleh itu, Ma Shagou telah memutuskan untuk berhenti berehat di Sansi Orp Lea. Mereka akan mula mencari pokok-pokok Trup pada keesokkan harinya. Shinlap-shinlap dibiarkan bermandi-manda di tebing danau.Di Orp Lea (Danau Hijau), pemandangan pada malam hari sangat menarik. Cahaya bulan yang terlukis di atas permukaan danau menyerlahkan keindahan Sansi Orp Lea. Sementara itu, Ma Shagou dan kedua-dua anaknya makan dan minum dengan senang hati. Kehidupan sebagai penebang kayu merupakan mata pencarian mereka bertiga. Memandangkan di Arliang tidak ada kayu-kayu yang bermutu, mereka bertiga sering diupah untuk mencari kayu-kayan di Hutan Jingla. Walau bagaimana pun, ini kali pertama mereka diupah untuk mencari kayu Trup. Kayu Trup Cuma boleh ditebang dengan Kapak Bermata Emas. Kapak ini diberi pinjam kepada mereka oleh Orang Kaya Kailai. Masa untuk menebang kayu ini bukannya sehari dua, itulah sebabnya mereka perlu membawa bekalan makanan yang banyak, selain beberapa ekor Shinlap di mana lima ekor daripadanya adalah kepunyaan Orang Kaya Kailai. Setelah kenyang, mereka pun tidur.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 11:46 PTG   0 comments
Kisah Buaya Legenda (Bahagian 1)

TERATAK PUTIH DANAU HIJAU (Sansi Orp Lea )
Oleh: Romantis Selatan
Hak Cipta Terpelihara (C) 2006

Pada suatu masa dahulu di sebuah kawasan pergunungun di Sinsiria, ada sebuah teratak putih yang diperbuat daripada tulang, terletak di atas Danau Hijau yang juga dikenali sebagai Sansi Orp Lea yang bermaksud Perhentian Bermusim Di Danau Hijau.

Pemandangan di sekitar Danau Hijau ini sangat cantik, burung-burung dari pelbagai jenis akan datang mendarat mengikut musim-musim tertentu, menyerlahkan keunikan Danau Hijau. Terdapat satu legenda yang mengatakan bahawa wujudnya seekor buaya yang sangat besar di dalam tasik ini. Walau bagaimana pun, tidak ramai yang pasti akan kebenaran legenda ini, kerana buaya tersebut jarang memunculkan dirinya. Kisah “Teratak Putih Danau Hijau” adalah kisah mengenai buaya legenda ini...

Label:

posted by Romantis Selatan @ 11:33 PTG   0 comments
Patah Tumbuh Hilang Berganti Lebih Canggih

Dalam beberapa hari ini, aku rasa cukup sunyi... seolah-olah terpisah daripada dunia nyata. Aku masih terkenangkan junior-junior Tahun 5 yang bakal tamat pengajian pada semester ini.

Rasa seperti suatu kehilangan, walau pun aku kini jarang bertemu dengan mereka. Kesibukan dengan Projek Sarjana Muda dan peperiksaan akhir menyebabkan aku tidak dapat mengunjungi mereka. Kolej kediaman pula adalah sangat jauh, lebih jauh berbanding junior-junior Tahun 1. Tidak ada kemudahan bas yang membolehkan aku pergi dan pulang mengikut jadualku. Aku mengirimkan SMS sayonara kepada mereka.

Kehidupan di Kampus akan semakin sunyi dengan ketiadaan ramai pelajar yang aku kenal. Patah tumbuh hilang berganti. Kemasukan pelajar-pelajar baru mengubah suasana di universiti.

Budaya baru, pemikiran baru, sikap baru dan kepintaran yang tinggi. Aku saban tahun bakal menghadapi cabaran yang lebih besar. Salah satu cabaran ialah berdepan dengan pelajar-pelajar yang lebih muda dan pelbagai kerenahnya. Perbezaan umur dan budaya. Perbezaan taraf pendidikan. Pelajar-pelajar ini lahir daripada kaedah dan sistem pendidikan yang lebih baik.

Pada zaman aku tidak ada kemudahan dan teknologi seperti hari ini. Pelajar-pelajar hari ini ramai yang memiliki laptop. Aku masih dengan desktop kuno yang sudah ketinggalan zaman. Harganya kalau aku jual adalah lebih rendah daripada 700 ringgit. Pengetahuan pelajar-pelajar ini semakin meningkat dengan adanya teknologi IT.

Aku adalah pelajar yang berada dalam dua dunia. Seketika aku belajar bersama pelajar-pelajar yang lebih dewasa berbanding denganku dalam kelas kuliah separuh masa. Pada hari yang lain pula aku berdepan dengan pelajar-pelajar yang lebih muda berbanding denganku. Pelajar dewasa dengan Diplomanya, sudah bekerja, sudah memiliki kenderaan sendiri. Pelajar yang lebih muda pula dengan kepintarannya, dengan sifat keanak-anakkannya, dengan budaya barunya.

Aku berinteraksi dengan dua budaya, dua golongan peringkat usia yang berbeza. Dewasa dengan Remaja. Aku di tengah-tengah. Aku mempelajari semakin banyak benda. Benar seperti apa yang pernah dikatakan oleh Dragonizer.

Aku semakin mengerti.

"Matematik itu cuma perantaraan."

Apa yang aku sedang pelajari menerusi kesengsaraan dan penderitaan dalam menyelesaikan urusan dengan subjek-subjek Matematik ini... ialah erti kehidupan yang sebenarnya.

Perasaan apabila kehilangan orang-orang yang kita kenal. Perasaan apabila bertemu dengan gelombang muda dan gelombang dewasa. Pelbagai budaya. Hubunganku dengan kedua-dua gelombang ini setakat ini masih baik. Aku sedang belajar menghadapi kehidupan.

Bagaimanakah agaknya kehidupanku selepas aku tamat pengajian nanti?

Label:

posted by Romantis Selatan @ 9:04 PTG   0 comments
Khas Untuk Kak Aina-Emir (Koleksi Puisi-puisi Romantis 4 Serangkai)

Hari ini saya memiliki masa terluang untuk mengarang beberapa puisi untuk tatapan Kak Aina Emir. Semoga ada antara puisi-puisi ini dapat memenuhi kehendak Kak Aina Emir. Tak tahulah saya sama ada puisi-puisi ini boleh dikategorikan sebagai romantis atau tidak, memandangkan saya sudah ketinggalan hampir separuh dekad tahun dalam dunia puisi.

AWAS: Puisi-puisi ini adalah khusus untuk karya penulisan Kak Aina Emir sahaja. Sesiapa yang ingin menerbitkan puisi-puisi ini sila maklumkan kepada saya terlebih dahulu.

Kak Aina...
Ini percubaan saya yang pertama:

Puisi Romantis I
oleh: Romantis Selatan

Dalam bening petang,
Aku menanti senja turun
Layu gemalai isi hati
Teringatkan dia

Rangkaian malam
menutupi liang-liang dingin
Sedingin hatiku
Sesejuk jiwanya

Ucapkan selamat malam
bukan pada kamar tidur
tetapi untuknya
jauh dari mata
dekat di hati
-------------------------------------------------------

Cubaan kedua:
Puisi Romantis II
Oleh: Romantis Selatan

Ada pun hati kita telah bertemu
Sejak itu..
hati kita...
tak pernah kupisahkan lagi...

Di mana lagi jantungku jika bukan dirimu...
-------------------------------------------------------

Cubaan ketiga:
Puisi Romantis III
Oleh: Romantis Selatan

Ini suatu bisikan
bukan dari suara, juga bukan dari lidahku...
Ini bisikan hatiku
Ia mengatakan: "Kau milikku..."
-------------------------------------------------------

Cubaan keempat:
Puisi Romantis IV
Oleh: Romantis Selatan

Hati ini telah terkunci
Terkunci oleh kata-kata suci
Lafaz katamu nanti,
akan membukanya kembali...
--------------------------------------------------------

Sekian koleksi Puisi Romantis 4 Serangkai, daripada saya untuk karya-karya Kak Aina Emir.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 12:24 PTG   8 comments
Isnin, April 24, 2006
Mengkaji Junior-junior Yang Bijak Matematik

Pagi ini tamat satu lagi subjek peperiksaan. Hampir dua hari dua malam aku berkampung di kolej kediaman junior-juniorku (tahun satu). Jarak kolej mereka agak jauh dari kolej aku. Aku menggunakan peluang ini untuk belajar bersama mereka, mengkaji cara orang yang bijak Matematik ini. Hasilnya aku dapati, junior-junior aku ini terdiri daripada dua spesies:

1. Spesies Suka Main Video Game
2. Spesies Kaki Tidur dan Kaki Lalak (Siap ada Band Muzik sendiri)

Kesemua sampel yang diambil adalah lelaki. Sebab mustahil aku akan menceroboh asrama siswi dan tidak ada siswi yang akan sukarela untuk menjadi Pembantu Penyelidik (tak ada peruntukan :p ). Spesies-spesies junior bijak Matematik, berdasarkan pemerhatianku adalah seperti berikut:

SPESIES 1: Spesies Suka Main Video Game

Aku mengambil dua sampel. Sampel pertama, V1, berusia 20 tahun (kemasukan matrik). Sampel kedua V2, berusia 22 tahun (kemasukan diploma). Aku mengkaji persamaan sifat pada kedua-duanya. Hasil pemerhatian adalah seperti berikut:

1. Kedua-duanya suka main video game. Mereka belajar sekejap-sekejap sahaja.

2. Kedua-duanya mendapat Anugerah Dekan (CPA sekitar 3.5#) kerana keputusan cemerlang semester lepas.

3. Menguasai subjek-subjek Matematik dengan cemerlang. Jumlah kredit subjek Matematik yang tinggi membantu mereka untuk mencapai keputusan akademik bertaraf Anugerah Dekan. Keputusan bagi subjek-subjek bukan matematik tidak begitu menyerlah.

4. Kedua-duanya memakai teknik menyembunyi kerajinan diri. Mereka cuma akan fokus pada pembelajaran pada malam hari. Kadangkala mereka kata, baru nak mula ulangkaji, padahal mereka dah habis ulangkaji: berdasarkan saksi-saksi yang boleh dipercayai dan bukti-bukti yang sahih oleh pengkaji sendiri).

5. Kedua-duanya tidur tak tentu masa. Kadangkala berjaga sampai pukul 3-4 pagi.

6. Kedua-duanya jarang ziarah menziarahi, selalu berkurung di dalam bilik.

7. Sampel V1, yang berusia 20 tahun aktif dalam kegiatan ko-kurikulum.

8. Sampel V1 kerap bermain FIFA (bola sepak, ala-ala Playstation), Sampel V2 pula suka bermain Need For Speed (simulasi kereta lumba).

9. Ada sedikit tak kena dari aspek sosial. Lebih mudah dikatakan sebagai mangsa buli (tidak serius) dan lebih suka mengalah. Ada sampel-sampel dari Spesies 2 kurang puas hati (konflik kecil: masih boleh bergaul antara spesies) dengan Spesies 1. Mungkin sebab Spesies 1 sering menyembunyikan kebenaran (rajin belajar). Kadangkala mereka boleh disalah anggap sebagai sombong dan berpusatkan kendiri. Hakikat itu didapati hanya separuh benar. Spesies 1 akan membantu apabila ada orang meminta bantuan selagi mereka tidak menyusahkan diri mereka. Tingkahlaku pasif.

10. Rekod menunjukkan mereka pernah gagal dalam mengatur program aktiviti pelajar.

Kesimpulannya, Spesies 1 akan tamat pengajian dan mendapat Ijazah dengan selamat dan senang-lenang.

SPESIES 2: Spesies Kaki Tidur dan Kaki Lalak (Siap ada Band Muzik sendiri)

Terdapat banyak sampel untuk dipilih. Aku cuma fokuskan kepada dua sampel juga. Sampel pertama, B1, berusia 20 tahun, sampel kedua, B2, berusia 22 tahun. Sampel B1 adalah lepasan matrikulasi. Sampel B2 adalah lulusan diploma. Berbanding Spesies 1. Spesies 2 ini mempunyai variasi dan trait pembolehubah tertentu berdasarkan individu. Namun kedua-duanya amat meminati muzik. Mereka kini dalam proses menggenapkan kumpulan band muzik mereka. Hasil pemerhatian mendapati:

1. Bermain gitar dan keyboard antara hobi utama mereka.

2. Pembelajaran Matematik diselang-selikan dengan bermain alatan muzik, menyanyi dan tidur.

3. Mereka sering juga ziarah-menziarahi antara satu sama lain dan keluar daripada universiti untuk berseronok.

4. Masalah tidur tak tentu masa agak serius di kalangan Spesies 2. Didapati rekod ponteng kelas lebih tinggi berbanding Spesies 1.

5. Purata CPA adalah sekitar 3.49 (menghampiri Anugerah Dekan). Keputusan Matematik sangat baik. Juga didapati tidak begitu menyerlah dalam subjek-subjek bukan matematik. Namun, jumlah kredit yang lebih banyak untuk subjek-subjek matematik berbanding dengan subjek-subjek bukan matematik membantu mereka mencatat nilai CPA atau CGPA dengan cemerlang. (Sebab itu aku tak dapat perlanjutan biasiswa).

6. Separuh daripada spesies ini bijak bercakap dan berkomunikasi. Ada rekod kejayaan dalam mengatur atau merancang program. Selalunya merekalah yang menyelamatkan kegagalan menjalankan program oleh Spesies 1. Ini salah satu punca konflik antara Spesies 1 dan Spesies 2 yang berjaya dikesan.

7. Tingkah laku sedikit agresif berbanding Spesies 1.

Kesimpulannya, Spesies 2 juga tidak akan menghadapi masalah untuk menamatkan pengajian dengan senang-lenang.

Aspek moral dan agama (adakah banyak membantu?)

Memetik kepada aspek ini, aku dapati salah satu sampel dari Spesies 2 bermasalah. Maksud aku masalah untuk bangun tidur. Waktu tidurnya seolah-olah sudah songsang. Siang dan malam ditafsir mengikut kehendak diri. Sampel B1, jika sudah tertidur, susah hendak dikejutkan. Sampel B1 sering tidur pada waktu siang, petang dan malam. Sekitar pukul 12 malam hingga 10 pagi dia akan berjaga. Salah satu punca mungkin kerana gangguan pelajar Diploma kursus lain (kursus Teknikal) yang sering berkunjung ke biliknya sekitar jam 1 pagi hingga ke pukul 3-4 pagi. Membuat bising pada waktu malam hari adalah budaya mereka.

Pelajar-pelajar ini setahun lebih tua berbanding aku. Mereka datang dengan motosikal pada sekitar 1 pagi. Berborak kosong dan menceritakan 'kehebatan' mereka sebagai pelajar, dan pengalaman mereka semasa menjadi pelajar di peringkat Diploma. Mereka berbangga dengan ponteng kelas. Mereka berbangga dengan salah laku sebagai pelajar. Mereka berbangga dengan masalah sosial dan pelanggaran disiplin yang mereka lakukan. Saya anggap mereka ini sebagai golongan veteran yang destructive (pemusnah). Ilmu-ilmu yang mereka ajarkan kepada junior-juniorku itu tidak sesuai dengan status mereka sebagai bekas guru diploma. Aku hairan macam mana mereka boleh lepas masuk ke universiti! Usia mereka lebih tua, tetapi perangai gila-gila mereka sangat ekstrim.

Memandangkan aku bukan tuan bilik, dan mereka pula lebih tua berbanding denganku, dan rapat dengan junior-juniorku, aku tidak dapat berbuat apa-apa. Aku kecewa dengan pelajar-pelajar ini. Lebih tua, tetapi tidak menunjukkan teladan. Melanggar disiplin, membuat bising, mengumpat, mengutuk dan memalukan sesama mereka. Terutama pelajar yang memiliki Diploma Dalam Jurusan Elektrik itu. Sikap lembutnya (ala-ala bapuk) membuatkan aku bertambah rimas. Suka mengumpat, mengutuk dan entah apa-apa lagi. Sesekali mereka bertepuk tampar (bergaduh tetapi ada unsur-unsur emosi dan marah juga sebab fitnah atau tuduhan sesama mereka: membuka pekong kawan sendiri - faham-fahamlah wahai pembaca).

Aku cukup marah tetapi aku bukan tuan bilik. Aku bimbangkan junior-junior aku. Sebelum ini pun aku selalu bertanya sebab apa B1 sering ponteng kelas. Tertidur. Susah nak bangun. Dah kejut berkali-kali pun dia tidur balik. Ini adalah salah satu punca utama.

Petang pada keesokkan harinya, sekitar jam 2 petang, B1 tidur lagi. Kali ini agak teruk. Aku mengejutkannya berkali-kali supaya sembahyang asar. Dia tidak bangun. Berkali-kali aku kejutkan, dia masih tidur. Apabila aku tanya dah sembahyang belum, dia jawab tak. Selepas itu dia tidur balik. Terlepas waktu asar. Aku ni menumpang bilik mereka. Aku datang ke sini atas kehendak aku, bukan mereka. Jika aku berlaku kasar, ekstrimkah aku?

Kawan-kawan yang lain juga mengalah. B1 memang susah nak dikejutkan. Waktu maghrib hampir habis. Aku cuba kejutkannya lagi dengan membuat panggilan "miss call". Dia bangun dan menyemak senarai pada telefon. Aku minta dia sembahyang maghrib. Dia diam, kemudian melelapkan mata semula. Aku "miss call" lagi. Dia bangun dan menyemak lagi. Kemudian tidur. Kali ketiga, dia kata, "Karang saya baling handset ni...."

Patutkah aku simbah air? Aku mencari gaduh kalau aku berbuat begitu, rakan-rakannya yang lain juga sudah lama mengalah. Aku datang ke sini tidak diundang. Sebabnya jarak antara dua kolej adalah jauh. Mereka memberitahuku, pada waktu itu, walaupun aku kejutkan dia beberapa kali, B1 tetap tidak akan sedar. Dia bangun dan boleh menjawab soalan, tetapi secara separa sedar. Apabila dia betul-betul sedar, kalau kita tanya dia ingat tak apa yang dia buat, dia kata tak tahu. Aku syak ini sejenis penyakit yang serius. B1 kerap ponteng kelas. Adakah kerana sebab kehadiran budak-budak diploma yang pernah bergelar guru sekolah rendah itu menyebabkan budaya tidurnya berubah? Aku marah, tetapi siapa aku untuk mengambil tindakan jika tuan punya badan yang sudah berusa 20 tahun tidak membuat keputusan. Aku akan dipanggil penyibuk.

B1 pernah mengadu kepadaku, matanya ada semacam kerosakan, tidak selesa. Ada masalah. Dia juga mengalami masalah botak. Rambut gugur. Ada sesuatu yang tak kena. Aku tak pasti. Namun B1 tetapi pelajar yang cemerlang Matematik. Sangat bijak! Jumlah markah terkumpul untuk Ujian 1 dan Ujian 2 bagi subjek matematiknya lebih tinggi berbanding V1. Pelajar yang seorang lagi juga begitu. Aku dapati budaya tinggal sembahyang di kalangan junior agak serius. Kebijaksanaan Matematik mereka tidak terjejas. Malah jauh lebih hebat berbanding generasi seangkatan aku. Cuma aku dapati kemahiran dan kematangan mereka agak kurang.

Sekarang apa yang aku dapat simpulkan? Adakah semata-mata untuk pandai Matematik, aku harus mengikuti budaya mereka? Tidak. Kalau ini harganya untuk jadi bijak matematik, "Selamat Tinggal Matematik. Aku berhenti terus daripada pengajian ini. Biarlah hutang dan denda itu datang kepadaku."

Cuma aku dapat buat satu rumusan: Mereka ada budaya 'Belajar Matematik' tetapi tidak secara konsisten. Maksud aku, mereka belajar matematik apabila mereka mahu. Selain itu, mereka disokong kuat oleh latar belakang akademik semasa pengajian di matrikulasi. Ini adalah apa yang aku tidak miliki: Asas matematik pra-universiti. Minat terhadap matematik. Cinta terhadap matematik. Pemikiran secara matematik. Aku tidak miliki semua ini...

Aku terperangkap dalam sistem akademik dan sistem pendidikan yang lebih maju. Aku tidak ada ciri-ciri survival dalam bidang matematik seperti yang dimiliki oleh junior-juniorku.

Jadi, bagaimana?

Label:

posted by Romantis Selatan @ 5:17 PTG   3 comments
Sabtu, April 22, 2006
Kredit I: Adik-adik seperguruanku... Selamat Bekerja!

Hari ini, selepas tamat peperiksaan, aku bergegas berjalan kaki ke kolej kediaman junior-juniorku. Dengan membawa bersama skema-skema peperiksaan untuk suatu subjek Matematik, aku menjejaki mereka. Jarak antara kolej mereka dengan kolej tempat aku tinggal agak jauh. Sejak basikalku rosak, aku jarang pergi untuk belajar bersama mereka.

Hari ini memandangkan dewan peperiksaan itu berdekatan dengan kolej mereka, jadi aku telah membawa bersama apa-apa yang berkaitan dengan subjek Matematik untuk kukongsikan bersama mereka. Harapan aku nanti, aku dapat belajar bersama-sama dengan mereka.

Terkejut aku! Apabila aku lihat budak-budak ini di bilik. Permainan bola sepak ala-ala Playstation sedang ligat dimainkan di bilik. Tiga empat orang budak bergembira, ketawa, bersaing antara satu sama lain. Komputer telah berubah fungsinya menjadi permainan video game. Budak-budak ini...

Aku tidak tahu bagaimana patut aku tegur. Aku dah tegur mereka dahulu dengan bahasa paling halus. Budak-budak ini lebih bijak matematik berbanding dengan aku. Menegur mereka? Keputusan aku jauh lebih teruk... tidak setanding dengan mereka. Ya, Tuhanku... apakah dengan bermain video game akan menjadikan aku bijak matematik? Aku dimaklumkan mereka bermain permainan video ini sejak malam tadi lagi. Sehingga pukul 3-4 pagi. Pagi ini disambung balik. Mereka lebih bijak... aku terlalu risaukan mereka berbanding diri aku sendiri? Mereka takkan ada masalah... takkan ada...

Aku teringatkan junior-junior Tahun 5. Senior kepada budak-budak ini yang juga merupakan junior aku. Tahun terakhir mereka. Semester terakhir mereka. Mujurlah aku tidak dikenali di dalam blog ini. Oleh itu aku bebas memberi perhargaan kepada orang-orang tertentu. Hari ini ada bebera[a orang junior Tahun Akhir yang ingin aku beri kredit atau ingatan:

Hisyam (Tahun 5 - Kelantan)

Budak ini aku kenal semasa dia masih Tahun Satu menerusi satu program khas untuk mengeratkan silaturrahim antara pelajar kanan dan pelajar baru. Semasa masih tahun satu, dia kerap datang menemuiku dan aku kerap mengunjungi bilik junior-juniorku atas tujuan akademik. Aku memberi atau meminjamkannya buku-buku akademik. Berbincang soal matematik dan lain-lain perkara berkaitan akademik. Beberapa tahun kemudian aku selalu juga mempelajari matematik daripadanya...


Ilfi (Tahun 5 - Sarawak)

Rakan sebilik kepada Hisyam. Ketika itu aku mempelajari Aljabar Linear. Kelas Dr. Tahir Ahmad. Semasa di dalam kelas, dia sering bertanya soalan berkaitan Aljabar Linear kepadaku. Pertama kali, aku rasa aku diberi penghormatan oleh seorang pelajar seguru denganku di universiti ini. Aku dianggap paling lemah dalam matematik walaupun aku merajai hampir semua bidang subjek yang lain (bukan matematik). Jika dikira dari segi CPA, aku akan mendapat Kelas Satu sekiranya subjek-subjek matematik dibuang.

Kerana dia seorang junior. Aku sebagai senior harus menunjukkan teladan. Aku cuba mengajarnya. Balik ke bilik. Aku tidak tenang, tidak lena tidur. Aku cuba mencari jawapan, cuba mencari penyelesaian untuk soalan-soalan yang ditanya. Aku juga cuba meramalkan soalan-soalan baru yang bakal ditanya. Aku cacat matematik... garis retak pada tulang tengkorak kiriku masih jelas ketika itu. Satu kemalangan pada suatu pagi (sebelum subuh aku kira). Itukah sebabnya? Tidak ada pengesahan.

Akhirnya terbongkar juga. Aku cacat matematik. Maafkan aku, aku tidak dapat membantu. Aku selaku abang seguru dalam bidang matematik, tidak dapat menunjukkan teladan kepada adik-adik seguru. Ilfi adalah antara junior yang paling aku hormati. Dia rajin dalam segala segi. Ibu bapanya berpisah ketika dia... (lupakan)... Boleh kata dia paling banyak mengajar dan meluangkan masa untuk matematik. Sehingga aku mengkaji cara pembelajarannya. Mengkaji salasilah keluarganya. Mengkaji zaman persekolahannya. Supaya aku mengetahui bagaimana untuk menjadi seorang yang bijak matematik. Apakah rahsianya?

Aku adalah raja dalam bidang bukan matematik. Namun aku tetap menderita kerana bidang ini adalah bidang matematik. Tidak dapat perlanjutan biasiswa. Walaupun bilangan A aku jauh lebih banyak berbanding pelajar-pelajar lain dalam pengajian ini. Satu subjek matematik bernilai 3 kredit. 10 subjek bukan matematik bernilai 20 kredit. 10 subjek matematik bernilai 30 kredit. Bezanya 10 kredit. 30 subjek bukan matematik bernilai 60 kredit. 30 subjek matematik bernilai 90 kredit. Bezanya 30 kredit!

Jurang semakin tinggi sekiranya aku gagal menguasai matematik! Zaman silam terus berlalu menjadi takdir.


Hananie (Tahun 5 - Johor)

Aku tak tahu kenapa budak ini kuberikan kredit. Dalam satu kelas, untuk siswa nama aku paling kerap disebut pensyarah. Pensyarah suka sebut nama aku. Sebab dia tahu kisah aku. Budak ini pula adalah siswi yang sering disebut. Suatu hari pensyarah itu belanja aku makan. Ah, lupakan...

Budak perempuan ini sering menegur aku. Muka dia cukup manis. Dia menghormati aku dalam banyak segi. Manis dengan senyuman dan sengihan. Tenang aku melihat dia. Oh, ya...

Suatu hari, setahun yang lepas, aku nekad untuk tukar kursus. Aku mahu tinggalkan dunia matematik tetapi kemudiannya mendapat halangan dari segi polisi universiti. Semasa aku sedang fotostat bahan-bahan untuk tukar kursus. Gadis ini kebetulan datang untuk fotostat juga. Cepat-cepat aku menyorokkan surat-surat dan dokumen penting. Aku tak mahu dia tanya apa yang aku tengah buat.

"Macam mana exam? Tentu carrymark Abang tinggikan?" tanya Hananie.

"Ah... " Aku tak tahu nak kata apa. Aku membalas soalan, "Macam Hananie, semua subjek OK?"

"Cukup-cukup makan aja, bang." ujarnya, tersipu-sipu malu.

Tiba-tiba aku rasa sayang untuk tukar kursus. Tidak! Aku akan terus cuba! Ini demi masa depan! Perhubungan dan persahabatan takkan terputus biarpun bertukar kursus. Ada masa boleh bertemu lagi! Hari ini... aku kesunyian. Permohonan aku ditolak atas sebab perubahan polisi. Selepas itu, aku bertukar ke Pengajian Separuh Masa dan bermulalah kehidupan baru... seperti hari ini.

Selamat Bekerja! Adik-adik seguruku... Hampir 5 tahun kita berkenalan. Walau pun kalian makin sibuk. Abang seguru kalian masih sendirian di sini. Kalian teruskan perjuangan, demi negara tercinta, demi anak bangsa kita!









Label:

posted by Romantis Selatan @ 12:59 PTG   2 comments
Jumaat, April 21, 2006
Menjelang Hari Peperiksaan

Esok... Bermulanya hari peperiksaan. Aku... bersedia dengan apa yang aku miliki. Hari-hari siangku telah kuisi dengan apa yang patut kuisi. Petang dan malamku telah kusisip dengan apa yang patut kusisip. Rehatku sudah terselit di mana yang patut kuselit. Isi... Sisip... Selit... Maka aku mencipta puisi ini sepintas lalu:

Puyu Si Ikan Darat

Insang
Sirip
Sisik

Seekor Ikan Darat
Di padang rumput mencari sawah
Terkial-kial...
di bawah langit mendung...

Terkenangkan Haruan, Keli dan Sepat...
Lalu layu Si Ikan Puyu
Diam di atas darat

Kemudian datang Jebat
Insang disiang, sirip dikerat
Isi penuh khasiat

Di luar hujan lebat
Sepat, Keli, Haruan gembira melompat
Puyu si ikan darat
masak di dalam kawah berkarat
Memberi protein dan zat
Kepada keluarga si Jebat

Karya Romantis Selatan (21 April 2006)
Hakcipta Terpelihara (C) 2006

Terkenang aku kepada kawan-kawan yang pernah aku tolong, tangisan (segelintir cuma) mereka ketika mahu menyertai kumpulan tugasan, pujuk rayu (tidak semua) mereka ketika meminta bantuanku. Kini mereka (hampir semua) sudah tumbuh sayap makan gaji.

Aku masih di sini... seorang diri... sunyi... tanpa ucapan...

Namun itu adalah pengorbanan: Seperti guru-guru yang telah mengajar anak-anak murid mereka. Guru-guru itu melihat anak-anak murid mencipta kecemerlangan, memegang jawatan penting di syarikat-syarikat besar, di jabatan-jabatan agung dan di mana-mana. Mereka tetap guru-guru yang tersenyum melihat kejayaan anak-anak murid... dari jauh... sayup-sayup di hujung desa...

Lelapkan matamu hari ini lebih awal...
Matahari Selatan akan terbit jua...
Bersedialah...

Label:

posted by Romantis Selatan @ 10:25 PTG   8 comments
Rabu, April 19, 2006
Amoi Misteri & Dia Ingin Belajar, Aku Ingin Belajar

Hari ini ada dua cerita. Cerita pada waktu pagi dan cerita pada waktu petang. Takdir, kau mahu baca cerita pagi atau cerita petang? Takdir senyap seolah-olah berkata, "Kau telah ditakdirkan untuk menulis cerita waktu pagi dahulu."

Baiklah Takdir. Dengarkan ceritaku ini:


Cerita Waktu Pagi: Dia Ingin Belajar

Sebenarnya di kafe tempat aku selalu bersarapan pagi (sebenarnya baru pagi ini aku bersarapan pagi), ada seorang budak berusia 17 tahun. Sudah 2-3 tahun dia bekerja di sini, dari zaman dia budak sehingga ke zaman dia remaja. Aku tidak pernah menegurnya, tetapi dia selalu menegurku untuk mengambil pesanan minuman.

Dahulu aku selalu minum air suam (sudah tiga bulan berterusan aku minum air suam di kafe ini). Namun sekarang tidak lagi, sebab tidak ada banyak alatan tulis yang perlu dibeli. Lagi pun aku perlu minum air selain daripada air suam untuk menambahkan glukosa di dalam otak selain menghilangkan lesu belajar.

Seperti biasa, dia akan 'menyergah' dan 'menepuk meja sehingga aku tercekik di meja makan. Entah apa kenan budak ni?

Hari ini dia menegur aku. Bertanya aku macam-macam soalan berkaitan dengan hidup seorang pelajar. Kemudian tiba-tiba sahaja dia meluahkan masalahnya kepada aku. Ini bukan kali pertama, setiap bulan atau tahun, pasti akan ada orang yang tidak dikenali akan datang berbual dan meluahkan masalahnya kepada aku. Tidak kira pak cik, mak cik, kakak, remaja atau budak. Aku tidak tahu kenapa, namun aku anggap ini sebagai satu petunjuk daripada Tuhan, untuk memberitahu aku, setiap manusia di dunia ini ada masalah dan cabarannya.

Latar belakang hidupnya: Dia diberhentikan sekolah awal tahun ini kerana didapati sering tidak hadir ke sekolah walaupun telah diberi surat amaran. Puncanya, dia dipaksa oleh ayahnya untuk bekerja pada malam lagi. Di mana lagi jika bukan di kafe ini. Keluarganya miskin. Adik beradik ada dua. Kakaknya pula sedang menunggu tawaran masuk ke IPT. Keputusan SPM bagus, 7A atau 8A.

Budak ini budak lelaki. Dia rasa dirinya tidak diadili. Kakaknya lebih mendapat perhatian. "Kakak asyik belajar sahaja. Saya kena kerja. Ayah lebihkan kakak."

Budak ini suka belajar Matematik. Matematik? Ya, Matematik. Dia juga memberitahu dia bagus dalam bidang sukan dan selalu mewakili sekolah dalam acara lompat jauh. Prestasi akademik dan sukannya mula merosot apabila dia mula bersekolah menengah. Ikut kawan.

"Dulu saya selalu belajar Matematik dengan kawan-kawan."

"Saya nak jadi Polis."

Tiba-tiba seorang pak cik yang bekerja di situ memanggilnya. Orang ramai nak pesan minuman. Aku tidak sempat bertanya namanya. Cuma tahu nama sekolahnya. Cuma aku tahu, dia masih berminat untuk ke sekolah. Untuk belajar. Dia ingin belajar, tetapi keputusan ayahnya... Namun aku tahu dia ingin belajar. Anak yang taat?


Cerita Waktu Petang: Aku Ingin Belajar (Panggilan Telefon daripada Amoi Misteri)

Pada waktu petang, selepas solat Zohor berjemaah di Masjid. Aku menemui seorang sahabat junior, dua tahun lebih muda daripadaku. Ini semester terakhirnya. Semester depan dia sudah bebas, merdeka dari dunia kampus. Sahabat datang dan pergi.


Imbas Kembali:
Aku masih ingat semasa aku mula-mula mengenalinya beberapa tahun lalu. Aku menunggu di depan pintu biliknya selama satu jam untuk menunggunya membuka pintu. Waktu itu dia sedang khusyuk belajar. Tiba-tiba dia tutup lampu dan tidur. Aku pulang dengan rendah diri. Pensyarah sibuk. Pelajar sibuk. Aku... penyibuk...

Bermulanya persahabatan:
Namun selepas itu, ketika aku sudah mula 'merajuk' dan berdikari untuk belajar sendiri, suatu hari dia memberikan aku koleksi soalan dan penyelesaian untuk satu subjek Matematik. Aku rasa dia mungkin sudah menyesali perbuatannya dahulu. Ketika itu dia tidak tahu masalah aku. Sebab aku selalunya kelihatan ceria dan tenang walaupun dibelenggu masalah. Sebab aku jarang menceritakan kisah hidup aku kepada orang. Melainkan di dalam tulisan untuk tatapan peribadi. Aku juga tidak suka dikenali. (Aku rasa aku memahami kehendak "Sera - Honeybiru" sebagai penulis blog. Biarlah, aku ditakdirkan untuk tidak dapat mengenalinya secara tulisan.)

Dia cuma tahu aku ada masalah melalui pensyarah yang cuba mencungkil rahsiaku. Antara Cacat Matematik, Cita-cita dengan menjadi seorang Anak Yang Taat. Tamat imbas kembali.


Amoi Misteri
Aku cuba belajar petang itu. Tiba-tiba telefonku bergegar. Aku sudah tetapkan mod telefon ke mod senyap sejak awal-awal lagi. (Pernah baca entri di dalam blog ini berjudul: Parasitisme - Dia Bukan Lagi Kawanku?). Aku mengangkat telefon. Tidak kelihatan nombor telefon pemanggil. Siapa ni?

Suara seorang amoi dalam pelat Cina yang pekat menyebut nama penuhku.

"Awak mahu kerja tak? Kita ada banyak kerja kosong...." Tak berapa jelas. Aku ragu-ragu. Sindiketkah? Betulkah? Macam mana dia tahu nama aku?

"Minta nombor telefon awak." Kata Amoi Misteri itu lagi. Habis, macam mana dia boleh telefon aku ni? Peliklah Amoi Misteri ni.

"Maaf, saya di dalam perpustakaan sekarang. Saya sedang belajar." Aku tidak mahu mengganggu siswa-siswi lain yang sedang belajar.

Tiba-tiba terpapar, "Bateri Empty!" Paparan skrin gelap. Bateri sudah dua tahun tidak tukar. Aku perlu tukar sebelum bulan Mei ini.

Panggilan terputus begitu sahaja. Amoi Misteri terus jadi misteri. Siapa agaknya dia? Mungkin sebab seminggu dua yang dahulu aku pernah mencari kerja untuk cuti panjang ini. Atau ada kawan-kawan yang mengesyorkan nama aku? Siapa Amoi ni.

Aku menghidupkan kembali telefon bimbitku. Aku lihat pada Senarai Panggilan. Nombor +60000 terpapar. Aku menyimpan kembali telefonku lalu berkata kepada diriku: Aku Ingin Belajar.

Sekian.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 6:43 PTG   5 comments
Selasa, April 18, 2006
Pensyarah Baru Balik Dari Wad

Takdir. Adakah kau merindui aku? Tulisanku pada hari ini adalah langkah-langkah kehidupanku sebentar tadi.

Kampus:
Hari ini, aku pulang dari kampus. Sebelum itu, aku bersolat Asar di Masjid. Hujan turun rintik-rintik.

Hujan:
Hujan. Aku berlari meredah hujan. Pokok. Aku berlindung di sebalik pokok. Sekejap-sekejap pokok itu. Sekejap-sekejap pokok ini. Seperti hantu. Sekelip mata sahaja aku berlindung. Nota dan skema peperiksaan akhir subjek statistik kupegang baik-baik agar tidak dibasahi hujan. Nasib baik sudah dibaluti plastik.

Becak:
Becak dan hujan seperti irama dan lagu. Hujan turun, tanah mendap. Air dan tanah membentuk lumpur dan becak.

Imbas kembali:
Siapa yang kutemui hari ini? Ya. Dua orang pensyarah. Seorang sahabat junior. Aku berbual seketika dengannya selepas sudah sekian minggu tidak kutemui kerana kesibukanku dengan hal-hal akademik dan peribadi.

Pensyarah pertama kutemui hari ini?
Ya. Pensyarah Statistik II dan Persamaan Pembeza II. Syukurlah, aku berjaya untuk Persamaan Pembeza II. Markah kertas ujian dua sekitar 35/40. Ujian satu sekitar 32/40. Adakah aku cacat matematik? Ya... Aku cacat matematik, tetapi Dr. Sharidan Shafie adalah pensyarah yang telah banyak membantuku! Orang cacat pun boleh berjaya.

Glen Hoddle:
Aku membaca buku berkaitan dengan Glen Hoddle. Dia bercakap mengenai insan-insan berbakat. Aku tertarik. Eh, bukankah aku baca buku ini dua hari yang lepas. Buku setebal... 800 muka surat.

Pensyarah kedua yang kutemui hari ini?
Selepas solat Zohor berjemaah di masjid, aku menemui pensyarah ini. Pensyarah wanita. Imej wanita muslimah. Dia adalah Pensyarah Statistik II. Aku harap agar aku berjaya untuk subjek Statistik II ini. Juga untuk subjek Analisis Nyata. Pensyarah ini baru keluar dari wad. Kelihatan semakin sihat. Suaminya yang setia menemaninya. Aku mendapatkan skema berkaitan peperiksaan akhir semester-semester yang lalu untuk difotokopi. Hujan turun. Sementara menunggu nota-nota siap untuk difotokopi. Aku bergegas ke masjid untuk solat Asar berjemaah.

Skema soalan peperiksaan akhir:
Kertas-kertas ini adalah antara benda yang paling penting untuk semester ini. Aku berjaya melindunginya dari basahan hujan. Selepas solat Asar. Aku segera mendapatkan salinan fotokopinya. Petang ini aku berehat sambil membaca blog.

Plot:
Kenapa dengan plot? Ya. Perasan tak bagaimana aku menyusun plot untuk penulisan blog ini? Ini suatu ekperimentasi di masa lapang.

Matematik:
Kenapa aku masih masih menulis blog pada minggu-minggu peperiksaan. Benar, jadual harianku dipenuhi penggunaan otak logik dan matematik. Tidak seimbang jika aku mengabaikan otak kananku. Penulisan blog ini sekadar memanaskan otak kananku.


Hayat:
Selagi aku masih ada hayat. Akan aku cuba selesaikan apa yang patut aku selesaikan. Malam ini, aku menemuimu lagi. Matematik.

Takdir:
Bagaimana Takdir... suratku ini?

Sekian.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 6:35 PTG   3 comments
Sabtu, April 15, 2006
Maafkan Aku Takdir - Hari Ini Tidak Ada Surat Untukmu

Hari ini Takdir, aku tidak ada surat untukmu (aku bercakap di dalam hati, tetapi tertulis juga). Hari ini ada beberapa perkataan menarik untuk aku ulaskan.

Matematik:
Kau seperti merpati putih. Kelihatan jinak. Kudekati kau lari.

Mawi:
Bersabar itu separuh daripada Iman. Saudara tertekan, saya pun... tak berapa tertekan. Tetapi kepala saya perlu ditekan sebab semalam dan hari ini saya demam.

Otak:
Apabila aku ke kiri, kau jangan ke kanan. Apabila aku ke hadapan, kau jangan ke belakang.

Kilat dan Guruh:
Ganas sungguh kalian berdua pada hari ini. Langit sudah runtuh?

Demam:
Kadangkala aku fikir aku demam, tetapi aku fikir mungkin sebab belajar Matematik. Bukan-bukan, aku sudah kalis demam. Tidak-tidak, semalam dan hari ini aku demam; batuk dan selsema itu buktinya.

Nasi Dagang Mak Ngah:
Aku mengidam nasi dagang sejak beberapa hari ini. Gulai Ikan Tongkol, Telur Ikan Tongkol, Kepala Ikan Tongkol.

Baulu Butter Plaza Seni Johor Bahru:
Baulu Butter Taste Better, Hazani Abdul Rahman (Pak Uda), tunggu!!!!

Word Verification: khzymj
Teringat pula dekat Al-Khawarizmi, ahli Matematik terkenal.

Sekian.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 7:11 PTG   4 comments
Khamis, April 13, 2006
Apakah Aku Benar-benar Mempelajari Matematik?

Ini adalah satu persoalan, setiap kali aku melengah-lengahkan masa, setiap kali bertambahnya masa aku berada di universiti ini, selagi dikekang dengan 'kecacatan Matematik'; hidup aku tidak akan bermakna.

Seringkali aku merenung, sampai bilakah baru boleh aku memberi sumbangan kepada orang? Aku asyik 'membuang masa' dengan mempelajari Matematik yang takkan diguna pakai... langsung!... Pada masa depan...

Kenapa? Sebab memanglah aku tidak akan menggunakan langsung ilmu matematik tahap universiti ini. Kalau ada pun setakat Matematik Asas, itu pun bukan semua. Bagi aku, matematik peringkat sekolah menengah itu sudah cukup.

Pensyarah-pensyarah ada yang menangisi nasibku... Betul. Cukuplah untuk menyalahkan tujuh tahun lepas. Cukuplah! Hadapi kehidupan dengan tegas dan garang...

Suatu hari, melalui mesejnya Dragonizer berkata kepadaku, "Heh, kaukah yang bergelar Romantis Selatan?"

Aku mengakui,"Ya, Akulah Romantis Selatan yang menderita dan menangisi tahun-tahun penderitaanku dengan lsurat-surat luahan untuk Takdir yang telah ditetapkan kepadaku!"

Dragonizer membalas mesejku,"Tidak ada jalan mati melainkan maut..."

Aku menaip, "Ketahuilah betapa menderitanya aku, hidup tanpa cita-cita."

Dragonizer bertanya,"Habis sekarang kau hidup untuk apa?"

Aku menjawab, "Jalan hidup yang aku lalui sekarang adalah untuk cita-cita orang lain!"

Dragonizer bertanya,"Untuk siapa?"

Aku menjawab,"Untuk sesiapa, selain daripadaku."

Dragonizer mengulang pertanyaannya lagi,"Untuk siapa?"

Aku menjawab,"Untuk ibu bapaku, untuk sahabatku..."

Dragonizer masih tidak berpuas hati, lalu bertanya lagi,"Untuk siapa?"

Aku terdiam. Aku memahami maksudnya kini.

Aku berterus terang:

"Aku khuatir, masa tidak cukup untuk aku menamatkan pengajianku. Aku takut aku tidak dapat memberi sumbanganku dengan bakatku. Maka sia-sialah bakatku.

Sia-sialah ilmu dan kemahiranku yang sepatutnya kugerakkan bersama-sama bakatku. Sedangkan sehingga ke hari ini aku masih menanggung kecacatanku dalam Matematik, menjadi bebanan orang. Menjadi hinaan orang. Jika esok aku mati. Maka aku cukup menyesal, kerana tidak sempat mempergunakan bakatku untuk memberi sumbangan kepada orang ramai. Jika itu berlaku, mataku akan lebih putih dari tulang-tulangku."

Dragonizer bertanya lagi,"Apakah yang engkau cintai dan apakah yang kau hajati (cita-cita) untuk hidupmu?"

Aku menjawab, "Tidak ada apa-apa yang aku cintai dalam hidupku. Tidak ada apa-apa lagi yang aku hajati selain dapat memberi sumbangan besar sebelum aku meninggal dunia."

Dragonizer kemudian berkata,"Cinta itu adalah tanggungjawab. Sayangnya anda mengabaikan cinta. Manusia tanpa cinta adalah seperti jasad tanpa jiwa. Hidup manusia kerana ada citarasa. Daripada citarasa, lahirlah cinta dan cita-cita. Kerana ada cinta, maka akan ada pengorbanan. Anda cuma memiliki pengorbanan tetapi bagaimana dengan cinta?"

Aku mendalami kata-katanya. "Aku memiliki cinta... tetapi aku mengabaikannya."

Dragonizer menyambung lagi,"Ilmu... terlalu luas. Aku juga menanggung penderitaan. Aku pernah kehilangan orang tersayang. Aku terpinggir jauh dari cita-cita. Aku dizalimi orang. Aku pernah difitnah orang. Aku pernah didera orang. Aku pernah dikhianati orang. Aku nyaris-nyaris kehilangan jiwa. Namun aku sedar, dunia ini adalah terlalu zalim untuk manusia. Seperti suatu mimpi ngeri. Apabila aku telah meninggal dunia, barulah aku tersedar dari mimpi ini. Aku ditakdirkan untuk tersedar dari mimpi ini. Bercakap dengan takdir... surat untuk takdir... apakah yang engkau maksudkan itu, kematian?"

Aku terpegun, lalu membalas,"Surat untuk Takdir... Jika aku tidak dapat memberi sumbangan, seolah-olah aku sudah mati. Apabila aku menjadi bebanan orang, seolah-olah aku meminta orang membersihkan pusaraku. Apa bezanya hidup dengan mati? Bakatku dipersia-siakan... bebanan dipertingkatkan..."

Dragonizer bertanya,"Apa yang kau takutkan?"

Aku menjawab,"Setiap tahun, aku melihat idea-ideaku dirampas orang. Bukan aku yang memberi sumbangan, tetapi orang. Orang berjaya dengan idea-ideaku tetapi aku terus dibelenggu di dalam bidang Matematik ini!"

Dragonizer pantas menjawab,"Suatu hari nanti... suatu ketika nanti, kau akan menemui idea-idea yang lebih hebat lagi jika kau terus mendalami apa yang kau percayai. Percayalah pada diri sendiri. Jika kau tidak percaya pada diri sendiri, sia-sialah kau berusaha keras untuk mencari jalan untuk mendapatkan balik apa yang kau cita-citakan."

Aku semakin marah, "Tetapi kekangan? Aku terus dikekang! Bukankah bagus jika sekarang aku berhenti sahaja belajar untuk menyambung cita-citaku?... Tetapi aku tidak boleh! Hutang-hutang kontrak akan berkejaran! Maka aku tidak ada jalan, untuk meneruskan pengajianku. Sudah tertutup semua jalan untuk aku menukar kursus! Aku terpaksa berdepan dengan subjek-subjek Matematik yang tidak diguna pakai untuk seorang guru untuk mengajar matematik di sekolah! Sia-sia ilmu ini kupelajari!"

Dragonizer seolah-olah tersenyum dalam perkataan-perkataan mesejnya,"Kau mempelajari psikologi juga, bukan? Kau mempelajari ilmu-ilmu yang bernilai dua kredit, bukan? Dan kamu mendapat A untuk subjek-subjek itu, bukan? Cuma subjek-subjek Matematik sahaja yang kamu sering kecundang, bukan?"

Aku mengiya.

Dragonizer seolah-olah tersenyum sinis,"Apakah yang engkau pelajar sekarang ialah Matematik? Moyang Matematik hingga ke cicitnya Matematik yang tidak akan kau gunakan apabila kau sudah mengajar di sekolah?"

Aku mengiya.

Dragonizer menamatkan kata-katanya,"Ketahuilah, Matematik itu cuma perantaraan, kau sekarang sedang mempelajari erti kehidupan yang sebenar menerusi matematik. Penderitaan, kesabaran, kepimpinan, tanggungjawab, kesetiaan, kesyukuran dan hukamah... Bergembiralah, saudaraku."

Setelah membaca mesejnya. Aku bangkit. Dari luar tingkap, aku melihat burung-burung berterbangan bebas. Aku tersenyum. Hatiku berteriak!

Label:

posted by Romantis Selatan @ 6:46 PTG   2 comments
Selasa, April 11, 2006
Berjalan Kaki Pergi Ke Sekolah

Semasa aku mula bersekolah rendah, darjah satu, aku selalu bangun awal pagi. Makan roti atau maggi. Kemudian ibuku sediakan bekal, kadangkala roti keping dengan telur mata kerbau (banjo). Kadangkala makan maggi. Kadangkala makan nasi goreng ikan sardin. Kadangkala makan nasi goreng ikan bilis. Air, selalunya nescafe atau milo.

Selalunya aku berjalan kaki ke sekolah. Apabila sampai ke sekolah, aku meletakkan beg. Embun pagi masih kuat. Padang rumput berkabus. Aktiviti harian pada waktu pagi ialah mengutip sampah. Selalunya dedaun kering. Daun-daun kering yang berembun selalunya membuat tanganku kurang selesa. Pelajar-pelajar senior (darjah enam) selalunya jarang mengutip sampah. Adakalanya mereka meminta sampah, dedaun kering daripada pelajar-pelajar yang lebih junior sebab jika guru atau pengawas tidak nampak mereka memegang sampah, tidak akan dibenarkan masuk ke kelas. Sebelum masuk ke kelas, mesti buang sampah ke dalam tong sampah. Bilik darjah kayu. Dimakan anai-anai.


Kemudian, aku ternampak sebuah kereta. Kereta buruk berwarna biru. Toyota model lama. Dari kereta itu keluarlah kakak-kakakku, abang-abangku. Aku? Aku sudah sampai di sekolah. Ayah dan Ibuku berada di dalam kereta. Itulah fenomena setiap minggu. Aku rasa seolah-olah terabai dan tersisih.

Suatu hari Ibuku memujiku, antara adik-beradikku yang lain, aku yang paling rajin pergi ke sekolah berjalan kaki. Hari itu, aku tersenyum. Rupa-rupanya Ibuku mengambil berat tentangku...

Label:

posted by Romantis Selatan @ 12:03 PG   0 comments
Jumaat, April 07, 2006
Program Manusia VS Program Tuhan

Sebentar lagi akan ada suatu program di hadapan kolej. Aku tidak dapat belajar pada malam ini. Semua penghuni kolej diwajibkan untuk turun.

Seketika kemudian, kedengaran bunyi guruh. Hujankah? Majlis malam ini, ada disediakan makan minum. Hidangan sate. Kedengarannya cukup enak.

Aku sering sekali berpakaian kasual apabila berjalan ke mana-mana. Kecuali jika ada majlis-majlis rasmi. Majlis pada malam ini agak pelik, lokasinya tidak begitu strategik. Berdasarkan pengumuman yang dibuat. Sekadar turun untuk makan-makan dan bergambar.

Aku rasa makanan itu cuma umpan. Supaya pelajar-pelajar tidak melarikan diri. Supaya senang untuk mengambil gambar. Betul atau tidak? Kita lihat sebentar lagi. Mungkin semester ini, semester terakhir aku menginap di kolej.

Semester hadapan, terpaksa cari jalan lain. Pengangkutan. Aku mesti mengurus baik-baik. Agihan masa semester depan lebih padat. Aku rasa, tidak perlu untuk membawa komputer pada semester hadapan. Segala penulisan perlu ditulis di dalam minda. Tahun hadapan baru mula menaip.

Sebelum itu. Masa yang ada untuk aku menulis sinopsis baru cukup singkat. Aku akan cuba gunakan masa ini untuk menulis karya-karya pendek. Aku akan gunakan Teknik Surah Yusuf sebagai asasnya.

Pekerjaan yang segera dapat gaji. Sepatutnya tak ada masalah kewangan tahun ini. Betul, semester Mei ini pula aku ke Kuala Lumpur. Kalkulus Vektor. Tak dapat cari duit untuk semester hadapan. Apa agaknya kerja yang hendak aku cuba kali ini? Agak-agaknya bagaimana suasana di Kuala Lumpur. Penginapan belum ada, makan minum tak tahu di mana. Aku tidak suka Kuala Lumpur. Suasananya tidak sesuai dengan jiwa aku. Namun, aku akan menimba pengalaman kali ini. Sebenarnya aku pernah ke Kuala Lumpur untuk mencari duit setahun yang lalu. Namun tidak sempat mengelilingi Kuala Lumpur. Selain tempat kerja dan asrama pekerja, aku hanya beredar di sekitar kawasan perumahan. Sempat juga berkenalan dengan penduduk sekitar. Anjing-anjing liar berkeliaran. Gejala sosial... aduh. Jauh bezanya. Kejutan budaya. Aku semakin tidak suka Kuala Lumpur.

Angin sudah bertiup kencang. Program pada malam ini sudah pasti bersaling titisan hujan. Sudah masuk waktu Isyak. Aku perlu solat dahulu. Kemudian pergi ke program. Hujan sudah turun, semakin lama semakin lebat. Guruh berdehem-dehem.

Manusia merancang program. Tuhan juga yang menentukan.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 8:23 PTG   0 comments
Kenangan Sebagai Seorang Guru

Beberapa tahun yang lepas, ketika mengajar di sebuah sekolah. Suatu hari saya bertanya kepada seorang pelajar:

"Apa cita-cita kamu?"

"Jurutera, Cikgu."

"Aik, kamu tak ambil subjek Fizik dan Matematik Tambahan, macam mana kamu nak masuk bidang Jurutera?"

Budak itu merupakan budak kelas belakang (kelas corot). Semua pelajar dalam kelas itu tidak mengambil subjek Fizik dan Matematik Tambahan.

Sijil Terbuka...

Label:

posted by Romantis Selatan @ 12:23 PG   3 comments
Khamis, April 06, 2006
Seorang Ibu, Seorang Mertua, Seorang Nenek

Hari ini, aku mengenangkan kembali... musibah yang berlaku kepada diriku sepanjang tujuh tahun ini. Teknik Surah Yusuf, yang kupelajari melalui Puan Ainon membuatkan aku terfikir semula; hikmah di sebalik tujuh tahun ini...

Apa yang aku maksudkan ialah penderitaan Nabi Yusuf, merengkuk di dalam penjara bertahun-tahun lamanya. Aku juga... tujuh tahun di dalam penjara. Aku tahu, tidak ada gunanya aku menyalahkan orang tuaku kerana perkara tujuh tahun lampau.

Aku teringatkan sebuah lagu yang pernah berkumandang di televisyen. Lagu itu membuatkan aku berasa sayu. Pada masa kecil, aku dijaga oleh nenek. Aku masih ingat lagi pada 27 Oktobor 2000, ketika itu aku mengekori program universiti. Belum lagi memiliki telefon bimbit. Hari itu hari Jumaat, nenek meninggal dengan wajah yang bercahaya. Serangan penyakit jantung. Aku cuma tahu tiga hari kemudian. Pada hari dan masa nenek meninggal, sebutir cirit bintang gugur dari langit. Ketika itulah nenek meninggal dunia. Aku sudah mengesahkan masa kematiannnya.

Aku tinggal dengan nenek sehingga aku berusia kira-kira tiga tahun. Kemudian aku menemui adik-beradiku yang lain. Ibu bapaku sibuk dengan pekerjaan. Tidak ada orang yang boleh menjagaku.

Aku teringat suatu hari aku terkena demam. Umurku ketika itu... tujuh atau lapan tahun. Demam panas. Ibuku menjagaku pada malam hari. Tidak lena tidur. Walaupun terkenal dengan kegarangan dan ketegasannya, ibuku sebenarnya seorang yang penyayang. Di pejabat... gelarannya - Iron Lady. Seorang yang cekap dalam menjalankan tugas. Walaupun aku jarang merasai masakan ibuku, kecuali hari Jumaat. Hari itu Ibuku mampu memasak. Hari cuti.

Aku tidak memiliki bilik. Ruang tamulah tempat tidurku. Adakala tikus melintas di telingaku. Selepas tahun ketiga di universiti. Kakakku berkahwin. Persiapan dilakukan kira-kira setengah tahun. Rumahku diubahsuai. Setiap kali pulang bercuti, aku akan mengangkat batu-bata, pasir dan mengecat bilik. Mengecat pagar. Rekabentuk rumah dibuat sendiri oleh ayahku.

Perkahwinan itu hendak diadakan seringkas mungkin. Namun Ibuku membantah. Perkahwinan ini cuma sekali dalam hidup. Perlu dilakukan sebaik-baiknya. Kakakku tidak bersanding, namun upacara akad nikah berlangsung dengan lancar dan sederhana. Sayang sekali nenek tidak dapat melihatnya.

Nenek selalu membelaku. Setiap pagi selepas subuh, dia akan pergi menoreh getah. Kemudian pulang dengan nasi bungkus yang dibelinya. Adik sepupuku yang perempuan, tinggal bersama nenek. Anak yatim. Ibunya meninggal kerana penyakit paru-paru berair.

Suatu hari dia meminta susu. Tetapi tidak ada air susu. Nenek mengambil tepung, lalu memasukkan ke dalam air sejuk. Apabila dikacau, kelihatan seperti susu. Pemergian nenek... aku cukup sedih, adikku memberitahu. Semasa nenek meninggal dunia, secara mengejut, adik sepupuku melihatnya di depan mata.

Begitu pantas. Aku pulang tiga hari kemudian. Ayahku memaklumkan kepadaku. Sudah terlambat. Ayahku cukup sedih. Ketika itu, ayahku dan adikku baru pulang dari rumah nenek...

Apa agaknya nenek akan kata apabila dia tahu penderitaanku hari ini. Di rumah, aku jarang menunjukkan emosiku. Kecuali apabila berbincang dengan ibuku. Aku tidak mahu adik aku tahu keadaanku. Pada masa itu adik aku menganggap aku sebagai seorang... idola barangkali. Aku tidak mahu dia tahu aku ada masalah di universiti. Cuma berkonflik mengenai pemilihan bidang ke universiti sejak tujuh tahun lepas. Empat tahun selepas aku berada di universiti, barulah adik aku tahu...

Aku harap kisah aku akan menjadi teladan buatnya. Supaya tegas dengan cita-cita sendiri. Cita-cita kita... bukan cita-cita ibubapa kita. Cita-cita kita... hidup kita... ini tidak berkait dengan soal ketaatan. Tanggungjawab ibu bapa cuma menjaga kita. Masa depan kita, jika yang kita pilih itu tidak salah... kita berhak membuat keputusan sendiri...

Aku harap semua ibu bapa akan memahami perkara ini. Aku tidak mahu lagi menyalahkan ibu bapaku. Tidak lagi. Aku perlu mencari penyelesaian.

Nenek dan ibuku... sama-sama telah menjalankan tanggungjawab mereka... sebagai ibu..


Your Mother
Munsyid: Yusuf Islam

Who should I give my love to?
My respect and my honor to
Who should I pay good mind to?
After AllahAnd Rasulullah

Comes your mother
Who next?
Your mother
Who next?
Your mother
And then your father
Cause who used to hold you
And clean you and clothes you
Who used to feed you?
And always be with you
When you were sick
Stay up all night
Holding you tight
That’s right no other
My mother

Who should I take good care of?
Giving all my love
Who should I think most of?
After Allah And Rasulullah
Comes your mother
Who next?
Your mother
Who next?
Your mother
And then your father
Cause who used to hear you
Before you could talk
Who used to hold you?
Before you could walk
And when you fell who picked you up
Clean your cut
No one but your mother
My mother

Who should I say why close to?
Listen most to
Never say no to
After Allah
And Rasulullah
Comes your mother
Who next?
Your mother
Who next?
Your mother
And then your father
Cause who used to hug you
And buy you new clothes
Calm your head
And blow your nose
And when you cry
Who wiped your tears?
Knows your fears
Who really cares?
My mother

Say Alhamdulillah
Thank you Allah
Thank you Allah
For my mother.

Label:

posted by Romantis Selatan @ 12:04 PG   0 comments
Rabu, April 05, 2006
Jiwa Naga - Lalui Kehidupan Dengan Tegas Dan Garang!

Baru malam tadi aku rasa sangat gembira kerana sudah ada peluang untuk memulakan jalan hidupku sebagai seorang penulis. Namun, kegembiraan itu cuma... cukup untuk membuatku tidur lena semalaman. Buat pertama kali barangkali. Malam tadi aku rasa aku bermimpi melihat budak kecil, anak-anak saudaraku barangkali...

Pagi ini, tiba-tiba aku berasa sayu. Betul, hari ini hari pendaftaran kolej... aku... aku terkecuali. Sebab aku bukannya sama seperti pelajar-pelajar di sini. Status aku... unik. Hari ini aku rasa terpinggir. Ignorant. Tersisih. Aku mendengar pelajar-pelajar junior berbual-bual mengenai bilik asrama yang telah mereka dapat. Aku tiba-tiba rasa bimbang...

Hari ini aku cukup gembira. Pelajar-pelajar junior yang aku ajar mengenai psikologi untuk tugasan mereka. Berjaya! Mereka gembira, sebab daripada tugasan yang telah ditolak. Mereka mendapat pujian. Tugasan itu bernilai A-.

Pensyarah mereka pernah berkata, "Baiki tugasan kamu. Saya harap kamu akan dapat B+." Hari ini mereka mendapat A-.

Aku bertanya lagi, "Apa komen pensyarah?"

Mereka berkata, "It's a successful work! (Tugasan yang berjaya!)".

Aku tersenyum. Tidak sia-sia aku menolong mereka, memberi tunjuk ajar kepada mereka cara-cara membuat tugasan. Mencari idea dan bahan penulisan. Rujukan utama yang aku suruh mereka cari ialah buku-buku Edward De Bono dan Ainon. Mohd. Lihatlah, adakah aku ini tidak layak untuk mendapat ijazah? Aku berjaya membimbing mereka... syukurlah.

"Dah daftar asrama? Ada banyak kosong tak?" Aku berharap akan ada kekosongan lagi. Kalau boleh kolej lingkaran dalam; sebab dekat dengan kampus. Tidaklah susah untuk aku berjalan kaki. Jadual kuliahku selalunya tujuh hari seminggu. Kadangkala lima hari seminggu. Terutama jika kelas pada hari Sabtu dan Ahad.

Aku pelajar Pengajian Separuh Masa tetapi belajar untuk semua kelas kuliah. Kelas untuk Pengajian Sepenuh Masa juga aku ikuti. Pelajar Pengajian Separuh Masa tidak layak untuk memohon asrama kecuali dengan kelulusan HEP. Bergantung pada kekosongan bilik. Jika ada, aku dapat. Jika tidak ada. Carilah rumah untuk disewa.

Aku dimaklumkan. Semua kolej lingkaran dalam sudah penuh. Kolej lingkaran luar juga semakin penuh. Nampaknya, aku terpaksa menyewa di luar rumah. Motosikal aku tidak ada. Bas... itulah masalahnya. Bermalam di masjidlah aku jika kelas lewat malam atau awal pagi.

Kelas hari ini. Aku rasa cukup lemah. Pagi ini sahaja aku tidak lalu makan lagi tapi aku paksa juga untuk minum air. Aku rasa cukup lemah, sedih, layu dan cair.
Pelajar-pelajar junior ramai yang ponteng kelas hari ini. Aku rasa cukup sunyi.

Aku tidak suka hari cuti, aku harap ada kuliah. Biarpun penat, sekurang-kurangnya ada pelajar yang boleh berbicara. Bertukar pendapat. Bertanya soalan. Kenapa mereka ponteng? Kelas aku tidak ada pensyarah yang tetap. Pensyarah ganti. Empat orang semuanya. Kelas untuk subjek Statistik II. Pensyarah yang mengajar pukul 11 pagi sudah habis silibusnya. Jadi pensyarah ganti yang seorang lagi akan masuk pada pukul 12. Kenapa aku masih di sini, belum kerja lagi? Sunyi...

Pukul 12. Pensyarah masuk ke kelas. Aku melihat pelajar-pelajar junior di depan, di belakang, kiri dan kanan. Ada yang telah ponteng. Mereka tidak dapat menolong aku. Pensyarah? Pensyarah aku masuk wad, masih belum keluar-keluar lagi. Pensyarah yang ada sekarang, pensyarah ganti. Kadangkala aku duduk berdiri atau duduk di hadapan pintu pensyarah yang masuk wad itu. Aku harap ada keajaiban untuk subjek tersebut. Aku mahu bertanya banyak soalan. Kadangkala aku berbicara di dalam hati. Seolah-olah berbicara dengan pensyarah. Tiba-tiba aku rasa rapat... tidak sunyi lagi. Tapi itu cuma rekaanku.

Tersisih, terpinggir... Aku harap ada kenalan yang boleh aku duduk di sebelah. Tak perlu bersuara. Duduk sahaja cukup. Tuhan... Malaikat... di sisi kamu bukan? Terdengar suara berbisik. Itu suara hati.

Pelajar-pelajar junior semuanya gembira dapat bilik. Dapat duduk kolej. Aku... kolej sudah penuh untuk semester hadapan. Aku... sewa di luarlah. Motosikal. Ya... perlu beli. Perlu cari motosikal. Perlu kerja sambilan. Kelas tujuh hari seminggu. Kerja? Bila?

Maaf Puan Ainon. Jadualku pasti sibuk semester hadapan. Aku belum dapat jadi penulis lagi. Kerja sambilan, aku perlu cari kerja yang segera dapat gaji. Untuk bayar sewa rumah. Untuk beli motosikal atau tumpang teksi. Kalau kelas pukul 8 pagi bagaimana? Kalau kelas habis pukul 11 malam bagaimana? Mana ada bas? Teksi pula ada yang ambil peluang naikkan harga waktu malam. Motosikal? Bagaimana aku nak berkunjung ke bilik junior untuk ulangkaji pada waktu malam kalau tidak ada pengangkutan?

Dragonizer! Ya! Tegas dan garang! Tidur masjid? Ya! Surau? Ya! Tegas dan garang! Kehidupan tidak akan menaruh belas kasihan kepada kita. Kita harus menghadapi cabaran hidup dengan tegas dan garang. Ini kata-kata Dragonizer.

Tiba-tiba seperti hembusan api! Aku tiba-tiba jadi nekad. Brotherhood of The Dragon. Saudara Naga. Jiwa Naga.

Tidak ada sesiapa pun yang dapat tolong aku, sekarang! Aku tidak boleh lemah, harus menghadapi hidup. Tidak ada guna berfikir untuk berhenti belajar semata-mata aku menjadi beban orang, beban ibubapa.

Jiwa Naga - Tegas dan garang!

Marilah masa depan! Terus mara!

Nota: Word Verification untuk blog kali ini agak menarik. Aku perlu menaip: Yoshh (Yoshh! Blog ini seakan-akan memberi semangat kepadaku pula...)

Label:

posted by Romantis Selatan @ 1:25 PTG   0 comments

© 2006 Surat Untuk Takdir (Bahagian 1, 2, 3 & Akhir)
Main title designed by Amiene Rev from Brotherhood of The Dragon
No part of the content or the blog may be reproduced without permission.
Original Blogger Templates by GeckoandFly.

 


 

 



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Novel Kesayangan Saya


Web This
Profil Penulis


Nama: Romantis Selatan
Lokasi: Malaysia
Pengenalan Diri: Mula menulis blog sekitar jam 1 pagi, Hari Ahad, 26 Mac 2006. Blog ini mengangkat tema "Cacat Matematik - Antara Cita-cita dan Ketaatan Seorang Anak" yang diselang-selikan dengan alunan kehidupan silam dan kini. Blog ini merupakan satu cara bagi penulis untuk mengubati dirinya daripada kedukaan dan kekecewaan silam hampir sedekad yang lalu. Penulis walau bagaimana pun cuma membongkar 1/4 daripada kisah hidupnya, di mana kisah-kisah silam berkaitan dengan kehilangan, kematian tanpa selamat tinggal dan kerinduan di dalam mimpi tidak dapat diluahkan kerana akan mengeruhkan keadaan dan membawa kesakitan yang tidak terperi untuk diingati. Ternyata, penulisan blog ada hadnya... Jiwa Naga - Surat Untuk Takdir, adalah ekspresi penulis untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan Prinsip Jiwa Naga - Tegas dan Garang. Walaupun menggunakan nama Romantis Selatan. Penulis memegang prinsip apabila menulis buku: Penulisan Satu Cara Pengajaran/Pendidikan yang mementingkan Teknik Penyampaian Mesej yang kreatif dan bebas. Segala Hakcipta Penulis adalah Terpelihara (C) Romantis Selatan.
Maklumat Lanjut

Yang Sudah-sudah
Arkib
Jaringan Blogger
Mesej Pengunjung

Affiliates

Powered by Blogger
make money online blogger templates
Best Malaysian Sites